29 September 2006

Ada Apa Dengan Malaysia?

Jikalau aku seorang pelancong asing, apa yang membuatkan aku ke Malaysia? Apakah keunikan Malaysia? Jika kudisuruh memilih di antara beberapa negara di dunia ini, adakah akan kumemilih Malaysia?

Mungkin jawapannya tidak. Ada apa dengan Malaysia? Ada senibina tersendiri? Ada budaya tersendiri? Ada keindahan alam belum diterokai? Ada makanan unik? Mungkin semua itu ada tapi tidak kutahu.

Inilah persoalan pelancongan di Malaysia sekarang. Malaysia ada semua itu, bukan tidak ada, tetapi masalah suka meniru orang lain dan kurangnya strategi pemasaran membuatkan orang luar tidak dapat memberikan satu perkara unik tentang Malaysia.

Kita tidak perlu pergi jauh. Cukup dengan membandingkan dengan jiran-jiran kita. Kita ambil contoh senibina. Jika kita melihat rumah berbumbung tajam seperti tanduk kerbau, kita dengan cepat itu mengatakan itu berasal dari Indonesia. Itu adalah senibina Minangkabau. Kalau hiasan dalaman ataupun luaran, seluruh dunia tahu konsep Bali.

Di Malaysia, kita bukan tidak ada senibina tersendiri tetapi ia kurang menonjol. Kita ada senibina Terengganu seperti di Muzium Losong yang berasaskan istana Melayu zaman silam dan juga ukiran pada kepala perahu. Kenapa tidak kita tonjolkan ini semua. Kelihatannya semua orang mahukan kemodenan. Tiada lagi unsur tradisional.

Cara berfikir kita tentang kehendak pelancong juga kadang-kadang melucukan. Dulu apabila ramai orang Arab berkunjung ke sini, menteri berkenaan mahu membuat satu lorong Arab yang khusus menjual barangan berasaskan Arab. Cuba kita berfikir balik. Jika kita ke negara lain, adakah kita akan mencari sesuatu yang sama dengan negara kita? Itu bukannya membuatkan pengalaman semakin luas, tetapi akan tetap berada di takuk lama.

Jika kita ke London, Sydney atau Wellington, adakah kita akan makan Nasi Lemak? Nak makan Nasi Lemak di Malaysia pun boleh. Sudah berbelanja besar-besar, alih-alih nak makan Nasi Lemak saja? Lagipula Nasi Lemak itu bukannya asli kerana bahan yang membuatnya tidak asli. Seperti orang Thai, adakah mereka mahu makan Tom Yam di KL? Tentu rasanya tidak sesedap dan tidak seasli yang ada di tempat sendiri.

Jika anda selalu menaiki perkhidmatan tren dari KLIA ke KL Sentral, adakah anda perasan adanya unsur-unsur keMalaysiaan di iklan-iklan di TV tren? Yang biasa kulihat ialah Carta Lagu 10 Terbaik Amerika Syarikat, Filem Terbaik Amerika dan seumpamanya. Kenapa tidak Carta 10 Filem Terbaik Malaysia? Kenapa tidak didedahkan filem buatan Malaysia? Adakah pelancong mahu tahu semua itu? Mungkin pelancong tadi sudah melihat carta itu sebelum dia menaiki kapal terbang di negara mereka.

Sebut pasal filem, kita pun tidak ke mana-mana. Lihat Thailand, filem seramnya sudah menembusi pasaran Amerika. Kita masih tercari-cari identiti budaya Malaysia dalam filem. Tak nak buat cerita Toyol? Rasanya belum ada cerita hantu Thai atau Korea yang mengisahkan orang bersahabat dengan hantu dan menggunakan hantu untuk mencuri. Yang mereka ada hanya orang diganggu hantu.

Selamat Tahun Melawat Malaysia 2007.

Tag: , , , , , , , , ,

3 ulasan:

  1. mungkin pemerintah (kerajaan)malaysia terlalu membatasi kebebasan berkreasi, mengemukakan berpendapat, pers, hiburan dan lainnya. (cabut Internal Security Act- ISA)

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...