26 September 2006

Dorm

Hujung munggu lepas, tidak kubuat apa-apa di bulan puasa ini kecuali menonton VCD/DVD. Salah satu cerita yang kutonton ialah Dorm yang berasal dari Siam. Ini bukan saja satu lagi cerita seram garapan terbaik para sutradara Thai, malah bagiku cerita ini seolah-olah menggamit kenanganku di zaman sekolah dulu.

Babak-babak cerita ini menyegarkan kembali zamanku semasa tinggal di asrama dulu. Semuanya hampir sama - tinggal di dorm yang besar dengan katil tersusun antara satu sama lain, makan beramai-ramai di dewan makan dan mandi di kolah dengan gayung sambil berseluar pendek (dan bahagian dalam seluar itulah yang jarang disabunkan...)

Cerita ini mengisahkan seorang budak berusia 12 tahun, Chatree yang dihantar olah bapanya ke sebuah sekolah berasrama di tengah-tengah semester. Alasan bapanya ialah untuk mempastikan Chatree memperolehi pelajaran terbaik di sekolah yang lebih berprestij dan menghalang Chatree dari terganggu pelajarannya oleh gangguan di rumah seperti TV.

Lazimnya di sekolah ada pembuli dan cerita ini juga berkisar dengan pembulian. Rakan-rakan seasrama Chatree cuba menakut-nakutkan Chatree dengan cerita hantu di sekolah itu. Kononnya ada seorang pelajar mati lemas dipercayai membunuh diri di kolam renang sekolah itu. Warden di situ, Cik Pranee juga dikatakan mempunyai kaitan dengan peristiwa itu.

Pada malam pertama ketika Chatree berkeseorangan pergi ke tandas, belumpun sempat dia membuang air kecil, dia diganggu oleh hantu itu. Akibatnya Chatree lari lintang-pukang ke bilik dan akhirnya Chatree terkencing di katil. Ini menjadi bahan tawa kawan-kawannya.

Rupa-rupanya, hantu budak yang membunuh diri itu mahu berkawan dan meminta pertolongan dengan Chatree. Hanya Chatree yang mampu melihat hantu yang bernama Vichien itu. Setiap hari Vichienlah yang menjadi teman rapat Chatree.

Klimaks cerita ini ialah Chatree membantu Vichien kembali ke alam kematian untuk selama-lamanya dan Vichien tidak lagi bergentayangan di asrama itu. Rupanya misi Vichien ialah untuk menjelaskan keadaaan sebenar di mana dia tidak membunuh diri.

Walaupun cerita ini mungkin agak klise bagi sesetengah orang tetapi set penggambaran di asrama memberikan kelainan bagi cerita ini. Cerita ini berkisar tentang kehidupan di asrama seperti cerita hantu yang pasti setiap sekolah ada versinya tersendiri, warden yang garang, hidup teratur berdisiplin dan kerinduan pelajar baru terhadap orang tua dan rumah serta pembulian.

Babak paling mengesankan ialah di mana Chatree berlinangan air mata semasa makan telur goreng kerana teringatkan peristiwa telur goreng di rumahnya. Teringat kali pertama dalam hidupku berenggang dengan orang tuaku dulu.

Teringat di sekolah dulu, kutakut untuk ke tandas berkeseorangan di tengah-tengah malam kerana seringkali diceritakan kisah-kisah hantu di sekolahku. Kalau berjalan ke tandas, pandanganku terus ke depan, tidak memandang ke kiri atau kanan supaya tidak terlihatkan benda-benda aneh. Di tandas pula, sentiasa kuharapkan ia selesai cepat. Kalau dengar bunyi aneh, apalagi, berlarilah balik ke dorm.

Namun itu zaman junior. Tetapi bila sudah senior, diri sendirilah yang menjadi hantu...

Lihat trailer filem Dorm di bawah:



Pos terdahulu yang berkaitan:
Puteri Gunung Ledang
100 Tahun Malay College Kuala Kangsar
Teringat Perkara Lama
Moero Attack dan Bola Tampar

Tag: , , ,

4 ulasan:

  1. Masa Kecil memang penuh kenangan. selamat berpuasa my bro. :)

    BalasPadam
  2. Ya, ini membuatkan kita kadang-kadang ketawa sendirian malah bisa juga menangis. Selamat berpuasa juga, kawanku.

    BalasPadam
  3. Erwin, ya memang saya minat. Tapi cerita hantu Asia saja. Wah dah boleh cakap loghat Malaysia ya! Bile nak datang Malaysia?

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...