03 September 2006

Merdeka Merdeka Merdeka



Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Rabu lepas, kebetulan kuberada di KL selepas menghadiri satu kursus, kubercadang untuk menonton konsert Merdeka di KLCC yang sangat dekat dengan pejabatku dan menyertai pengiraan detik ke 31 Ogos seterusnya menikmati pertunjukan bunga api.

Sedang kubersiap turun dari bilik hotelku, Traders Hotel, untuk menjemput seorang teman yang datang, kudisapa oleh seorang pekerja hotel yang kebetulan berada di lif yang sama denganku. Beliau bertanya ke mana kupergi untuk menyambut kemerdekaan. Kumembalas yang ku hanya ke bawah bersama-sama orang ramai yang sudah mula memenuhi ruangan di situ untuk meraikan detik-detik ulangtahun kemerdekaan.

Beliau tersenyum mengangguk dan malah mencadangkan kepadaku untuk meraikannya di puncak bangunan hotel saja kerana persembahan bunga api nanti akan lebih mengujakan jika kuberada di situ. Wah, idea yang bagus! Aku membeli cadangan beliau itu. Lagipula, di bawah sudah terlalu sesak dengan lautan ribuan wargakota yang datang.

Pabila turun di lobi, kubawa temanku ke bilik saja tanpa ke Taman KLCC. Sementara menunggu detik 12 malam, kumembaca akhbar yang belum terhabis baca dari pagi tadi sambil menonton filem patriotik, Gandhi yang disiarkan di TV2. Temanku pula meminjam komputer ribaku untuk melungsuri Internet yang disediakan secara percuma oleh pihak hotel.

Lebih kurang lima minit ke tengah malam, kami naik ke tingkat 33 hotel ini yang mana terletaknya sebuah kolam renang dan sebuah kafe. Nampaknya sudah ramai tetamu hotel lain yang berkumpul di sini dan menempah tempat terstrategik untuk menyaksikan pertunjukan bunga api.

Kendatipun begitu, kami masih menemui satu ruang yang belum diduduki. Kedudukannya masih strategik kerana terus menghadap menara berkembar tertinggi dunia, walaupun bukan yang paling tinggi sekarang (kata Mahathir), Menara Berkembar PETRONAS. Kelihatan bangunan pencakar langit lain juga tidak mahu ketinggalan untuk meraikan kemerdekaan. Bangunan-bangunan itu disimbahi cahaya multirona yang sungguh kontras tetapi menarik.

Lebih kurang empat minit ke 12 malam, berdasarkan jamku yang kurasa tepat dengan jam Astro, kedengaran riuh-rendah sorakan lautan manusia menunggu detik bersejarah itu. Namun di sebelah lain bangunan hotel kami, kedengaran tembakan bunga api ke udara sudahpun dilepaskan. Eh, bukankah belum detiknya lagi? Jam mereka cepat agaknya… Bunga api itu dilancarkan dari kawasan sambutan di Bukit Bintang. Beberapa tetamu hotel bergegas ke sebelah sana untuk menyaksikan pertunjukan itu. Kami, bagaimanapun, tetap duduk di tempat kami. Nanti ada yang ambil tempat kami pula.

Sedang tetamu hotel lain menikmati pertunjukan bunga api dari Bukit Bintang itu, kudapati waktu telah pun melampaui jam 12 malam. Mana pertunjukan bunga api dari KLCC. Semua orang kelihatan tidak sabar-sabar untuk permulaannya. Sorakan ribuan manusia dari kawasan KLCC yang sungguh ramai itu yang sekarang melimpah sehingga ke Jalan Ampang semakin lama semakin kuat.

Jamku sudahpun lima minit selepas jam 12 malam. Tiba-tiba kedengaran sebuah suara nyaring pantas meluncur ke langit. Ya, pertunjukan sudah bermula! Satu demi satu bunyi nyaring naik ke langit dan disusuli dengan percikan bunga api yang berwarna-warni dan bersilih-ganti dengan bentuk berlainan.

Sungguh mengujakan dan sangat cantik! Rupa-rupanya bunga api itu meletup di depan mata kami! Dilancarkan dari bawah, bunga-bunga api memercikkan cahaya gemerlapan di aras yang sama dengan tingkat yang kami duduki. Ku tidak mampu membuka mataku kerana percikan itu sungguh dekat dengan kami. Tambahan pula bunyi letupan kuat itu membingitkan telingaku.

Sungguh menarik! Inilah pengalaman pertamaku berada dekat dengan percikan dan letupan bunga api. Ku berjaya menangkap beberapa keping gambar namun sedikit kabur kerana tanganku bergoyang dek letupan di depan mataku itu. Nikmati video dan gambar-gambarku (di pautan) di bawah:



Koleksi gambar Ambang Kemerdekaan di KLCC

Tag: , , ,

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...