08 Oktober 2006

Jerebu - Antara Kelangsungan Hidup dan Kemaslahatan Umum

Seperti saban tahun, kali ini jerebu datang lagi. Karenah jerebu memang menggusar dan merimas dan bahkan menguji kesabaran kita. Kita tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya melihat di luar jendela, segalanya putih. Inilah gara-gara jerebu yang berasal dari laman jiran kita. Setiap tahun, beratus malah beribu titik panas dikesan di Kalimantan dan Sumatera hasil pembakaran hutan yang membawa asap tidak sihat ke seluruh rantau ini.

Inilah dilema antara seorang yang mahu meneruskan kelangsungan hidup dan seorang lagi pentingkan kemaslahatan umum. Seorang petani yang tidak punya banyak wang harus mempergunakan cara yang murah dan mudah untuk membersihkan kebunnya. Dengan hanya satu cucuhan api, kebunnya akan terang-benderang kerana seluruh semak samun sudah dihapuskan dan malah rakannya yang bakal bercucuk tanam di hujung sana juga turut mendapat habuan kerana api yang marak di musim kemarau begini tidak mengenal sempadan. Inilah caraku yang paling senang dan paling penting murah, kata petani itu.

Apa aku kisah dengan asap putih yang pergi ke negara tetanggaku yang dikatakan lebih baik nasibnya daripadaku. Aku tak mampu untuk menyewa jentolak buat meratakan semak di kebunku yang dah setahun naik ini.

Di seberang satu lagi, di tanah yang dikatakan sudah matang, tidak akan ada gempa bumi, tsunami dan segala bencana alam lain, katanya, seorang Datuk dengan isteri mudanya, yang diperolehi dengan mas kahwin bernombor sama dari ribuan Ringgit ke Sen itu, menatap ke luar jendela. Asap putih telah menenggelamkan panorama Menara Berkembar Petronas yang telah menaikkan harga kondominiumnya. Apa sudah jadi ini? Setiap tahun masalah yang sama. Sampai bila pun perkara ini tidak berkesudahan.

Apa sudah jadi dengan negara jiranku ini. Mereka tidak tahukah ini menggugat aktiviti masyarakat, menyebarkan penyakit dan malah merugikan ekonomi negara. Bagaimana kapal terbang mahu berlepas dan mendarat. Bagaimana kapal dagang di selat paling panjang, paling strategik itu dapat dikemudi supaya tidak berlanggar antara satu sama lain. Bagaimana jika jerebu ini berlarutan di musim lebaran nanti bakal menyebabkan kemalangan kenderaan yang mungkin berlaku di lebuhraya dari sempadan Siam di Utara sehinggalah ke sempadan Temasik di Selatan. Ini satu malapetaka besar. Datuk berfikir secara the worst case scenario.

Balik semula ke seberang, ada seorang pemilik banglo besar. Banglonya meninggi ke langit dan berdiri megah di samping teratak-teratak kecil dan usang di sekelilingnya. Tahun ini, wangku semakin banyak. Sayang pula untuk kukeluarkan sebagai modal untuk meneruskan aktiviti di ladangku. Ah, aku bakar saja ladangku itu. Habis semua dibakar, akan senanglah nanti anak-anak pokok ditanam. Sangat efisyen caraku ini.

Nun di kota terbesar rantau ini yang dulunya orang Belanda panggil nama lain dan akhirnya Jepun menukar kembali namanya, seorang menteri pening kepala memikirkan masalah negara. Di hujung sebelah paling utara ada masalah. Di sebelah paling timur pun ada masalah. Di kepulauan rempah pun ada masalah. Ini pula datang satu lagi masalah yang dibangkitkan menteri negara tetanggaku. Aku punya banyak masalah. Ini bukan keutamaanku. Aku biarkan dulu masalah ini. Bukannya terkena batang hidungku sekarang ini. Aku mahu selesaikan masalah lain dulu. Tahun depan saja aku lihat balik perjanjian jerebu itu...

Pos terdahulu yang berkaitan:
Jerebu Sudah Berlalu Tapi...
Jerebu - Permasalahan Yang Melangkaui Sempadan Negara

Tag: , ,

3 ulasan:

  1. negara jiranmu ini adalah negara luas dan besar. untuk mengatasi masalah kebakaran hutan dan lahan pertanian serta kabut asap butuh dana yang besar yang tak sepenuhnya dapat di sediakan oleh pemerintah (maklum, negara masih banyak utang).

    Di negara maju seperti Amerika Serikat pun tiap tahun juga sering terjadi kebakaran hutan yang menyebabkan masalah jerebu (kabut asap), begitu pula di Australia (sering tengok berita internasional).

    BalasPadam
  2. Nurmahmudi, saya bersetuju dgn anda. Perkara ini malah dibangkitkan Malaysia kerana menyedari kekurangan di pihak Indonesia. Harapnya para pemerintah dapat sama-sama mencari jalan penyelesaian.

    BalasPadam
  3. assalammualaikum...

    sebenarnya permasalahan ini sudah lama berlaku. cuma nya tiada campur tangan dari semua pihak. memang kita tidak boleh menunding jari ke arah indonesia, negara nya besar. tanpa campur tangan dari pihak tertentu, sampai bila pun masalah ini tidak akan selesai. tapi itu tidak boleh di jadikan alasan . sebenar nya kesalahan itu adalah datang dari diri sendiri. tiada nya etika dalam diri sendiri,para golongan petani atau sesiapa yang terlibat. sifat itu sebenarnya yang harus ditanamkan oleh pemerintah. terangkan kepada mereka apa kesannya sekiranya pembakaran itu berlaku secara berleluasa..bagi didikan atau jalan penyelesaian yang tidak membebankan kaepada mereke. jadi mungkin adanya sifat atau etika ini, mungkin permasalahan itu boleh diatasi. lagi satu pihak pemerintah boleh juga mengenakan tindakan undang2 yang tegas terhadap sesiapa yang melakukan nya..
    wassalam

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...