05 Oktober 2006

Lee Kuan Yew Tidak Minta Maaf Pun

Hangat diperkatakan tentang tuduhan Lee Kuan Yew, Menteri Mentor Singapura yang mengatakan kaum Cina di Malaysia dan Indonesia disisihkan secara sistematik kerana kerajinan dan kejayaan mereka. Rentetan itu, Lee menghantar surat permohonan maaf kepada Pak Lah. Namun jika diteliti isi kandungannya, Lee hanya memohon maaf secara peribadi kepada Pak Lah sahaja, bukan kepada rakyat Malaysia amnya. Dia hanya meminta maaf kepada Pak Lah di atas "ketidakselesaan" yang dialami Pak Lah ekoran kata-katanya itu.

Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Itulah peribahasa terbaik untuk menggambarkan sikap dan tingkah laku orang yang bernama Harry Lee yang berpendidikan tegar Inggeris itu. Sedang dia mengatakan orang Cina disisihkan di Malaysia, lihat saja nasib dan kedudukan orang Melayu di negara pulau itu. Kalau kata-katanya yang orang Cina di Malaysia ditekan itu "betul", jika dibandingkan dengan orang Melayu di pulau itu, maka orang Melayu di pulau itulah yang lebih ditekan dan disisihkan.

Buka saja akhbar mereka, bukan akhbar perlecehan tapi akhbar arus perdana seperti Strait Times, kita dapati syarat-syarat wajib untuk mendapat kerja ialah fasih berbahasa Mandarin. Bukankah itu penyisihan yang nampak jelas untuk orang bukan Cina seperti Melayu dan India khususnya. Bahasa Mandarin bukanlah bahasa pengantaraan antara kaum di sana, jadi kenapa itu dijadikan salah satu syarat wajib. Tiada tindakan dari pemerintah untuk menangani hal ini.

Di Malaysia, didirikan sekolah vernakular Cina yang khusus mengajar semua matapelajaran dalam bahasa Mandarin kecuali subjek Bahasa Melayu yang diajar dalam bahasa Melayu. Adakah itu menyisihkan orang Cina di Malaysia? Kalau dilihat di negara lain, malah di Singapura sendiri, pemerintah mahukan sekolah yang standard dan diajar dalam bahasa yang satu iaitu bahasa kebangsaan. Lihat di Selatan Thailand, walaupun penduduk majoriti Melayu, di sekolah diajar dalam bahasa Thai. Jika Malaysia mahukan semua itu, semua sekolah vernakular mesti ditutup dan hanya sekolah kebangsaan dibuka dan diajar dalam bahasa Melayu, bahasa kebangsaan. Tetapi Malaysia masih menghormati keistimewaan orang Cina yang ada sekolah vernakular mereka sendiri.

Lee Kuan Yew sendiri malah pernah mengatakan orang Melayu di republik itu tidak boleh memegang jawatan tinggi dalam turus angkatan tentera mereka. Alasannya jika berlaku perang antara Singapura dan Malaysia, pegawai tertinggi Melayu akan belot dan berpihak kepada Malaysia kerana akan wujud sentimen kesamaan dari segi bangsa dan agama.

Orang Melayu di pulau itu juga dinafikan kekuatan mereka dari sudut politik. Kawasan majoriti Melayu seperti Geylang dibubarkan komposisi kaumnya supaya menepati peratusan penduduk negara itu. Setiap kawasan haruslah mempunyai komposisi Cina paling ramai diikuti Melayu, India dan lain-lain. Dengan cara itu, kaum teramai di sana akan menjadi penentu kuasa. Di Malaysia tidak ada semua itu. Kawasan majoriti orang Cina seperti di Cheras, Ipoh atau Pulau Pinang tidak dipecahkan komposisi kaumnya. Mereka masih mempunyai wakil kerajaan dari kalangan orang Cina.

Dengan situasi di Singapura sekarang di mana kadar kelahiran di kalangan orang Cina paling rendah manakala kadar kelahiran orang Melayu masih tinggi, wujud kebimbangan suatu hari nanti Melayu akan kembali menjadi majoriti di pulau itu. Maka tidak hairan banyak kewarganegaraan Singapura dianugerahkan untuk orang berketurunan Cina dari negara lain. Lihat saja kemasukan beramai-ramai rakyat China ke pulau itu. Jika selama ini kita biasa dengan nama Cina seperti Chong, Lim atau Tan, sekarang kita lihat banyak nama Cina seperti Xi, Liu atau Zhang yang berasal dari China. Juga sungguh mudah untuk rakyat Malaysia atau Indonesia berketurunan Cina ditawarkan kewarganegaraan pulau itu.

Sudahlah Lee. Hentikan sikap keCinaanmu itu. Biarpun Malaysia dan Singapura terhasil dari perbalahan dua bangsa iaitu Melayu dan Cina dan kau melihat Melayu Malaysia dan Indonesia sebagai musuh dalam selimutmu, marilah maju ke depan. Malaysia dan Indonesia takkan boleh membuang dan melenyapkan Singapura dari dunia Melayu. Kita harus terus hidup, bersama hidup aman sejahtera (Majulah Singapura) dan hentikan provokasi terhasil dari ketakutanmu (adakah kau bersalah dengan orang Melayu?).

, , , , , ,

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...