04 November 2006

Penterjemahan Yang Lemah

29 Oktober 2006 @ 11.00 malam

Tika ini sedang kumenonton Ada Apa Dengan Cinta yang disiarkan di TV9. Kuteruja untuk menontonnya sekali lagi kerana dulu, melalui VCD yang kubeli ketika filem ini sedang hangat, tidak kufahami dialog-dialognya kerana loghat Jakarta yang digunakan terlalu pekat. Tambahan pula, pertuturan para pelakon mudanya yang jelita dan kacak itu sangat cepat dan sukar ditangkap.

Namun harapanku tidak kesampaian. Penterjemahan Bahasa Jakarta ke Bahasa Melayu sangat lemah dan selalu tertinggal beberapa ayat penting. Yang diterjemah hanyalah terbatas untuk perkataan yang biasa dituturkan orang Jakarta yang orang Malaysia sendiri fahaminya. Perkataan-perkataan seperti lu, gue, kayak, cowok, cewek, ngomong, enggak dan jelek (awak/kau, saya/aku, macam, ‘balak’, ‘awek’, cakap, tidak/tak dan buruk) sememangnya mudah difahami orang Malaysia.

Beberapa perkataan yang ku sendiri tidak fahami tidak diterjemah langsung ke Bahasa Melayu. Tidak ada sarikata yang keluar pada masa itu, lebih-lebih lagi apabila banyak perkataan Jakarta disusun dalam satu ayat. Apabila keluar percakapan yang boleh ditangkap oleh orang Malaysia, barulah keluar sarikata. Itupun ditukarkan ke perkataan-perkataan yang lebih biasa disebut orang Malaysia (atau lebih tepat ke Bahasa KL) sungguhpun perkataan yang disebut para pelakon itu sendiri adalah perkataan asal Bahasa Melayu juga seperti ‘bagaimana’ ditukar ke ‘macam mana’, ‘lalu’ ditukar ke ‘lepas tu’ dan ‘ibu’ menjadi ‘mak’.

Inilah ‘masalah’ yang terjadi apabila menterjemah bahasa dari rumpun yang sama. Kuterfikir adakah orang Inggeris meletakkan sarikata apabila menonton filem-filem Hollywood? Adakah pawagam di Amerika menyediakan khidmat sarikata untuk filem-filem Harry Potter? Adakah Bahasa Inggeris mereka masih saling difahami sungguhpun temanku dari Australia mengatakan loghat Inggerisnya tidak sama dengan yang di Amerika.

Adakah Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia terlalu jauh bezanya? Bagiku perbezaan ini disebabkan lebih kepada loghat. Di Malaysia, cenderung ke Bahasa KL manakala di Indonesia, lebih cenderung ke Bahasa Jakarta. Jika dituturkan bahasa standard (bahasa yang kita tulis dalam karangan di sekolah), kita masih saling memahami. Dengar saja ceramah pendakwah tersohor Indonesia, Aa Gym. Tentu tahap pemahaman orang Malaysia jauh lebih tinggi peratusannya jika dibandingkan dengan memahami dialog-dialog filem Ada Apa Dengan Cinta ini.

Dari sudut lain, nampaknya ‘tsunami’ dari Indonesia terus melanda lagi. Sesudah kumpulan-kumpulan muzik Indonesia menjadi hit di seluruh Malaysia, kini stesen-stesen TV berlumba-lumba menaikkan rating dengan menyajikan filem-filem dan drama-drama dari Indonesia. TV3 sekarang berbangga kerana sinetron Bawang Putih Bawang Merah sudah memecah rekod jumlah tontonan teramai, yang malah mengalahkan Buletin Utama terbitan TV3 sendiri. Ini juga memadamkan rekod terdahulu opera sabun Latin, Rosalinda. Untuk menarik lebih ramai penonton, buat pertama kali, sarikata juga disediakan untuk filem-filem dan drama dari Indonesia akhir-akhir ini. Tidak pernah kulihat sebelum ini, kecuali di NTV7 dahulu, sebelum diambilalih Media Prima.

Sekarang ini juga, satu lagi sinetron menjadi hit ialah sinetron Kiamat Sudah Dekat yang juga disiarkan di TV9. Seperti juga yang kusebut di atas, mutu penterjemahan sungguh rendah. Beberapa kesilapan kudapati seperti resep diterjemahkan sebagai konsep, sedangkan maksud asal kalau diterjemah ke Bahasa Melayu ialah resepi. Beberapa perkataan yang penterjemah tidak tahu juga sengaja ditinggalkan seperti mendingan yang bermaksud lebih baik. Penonton mungkin sedar atau tidak, kerana loghat yang digunakan dalam cerita ini lebih kepada loghat Betawi, bukan loghat Jakarta.

Nampaknya pihak Media Prima harus meningkatkan mutu penterjemahan Bahasa Indonesia/Jakarta di TV3 dan TV9. Kalau tidak dapat mencari penutur fasih kedua-dua loghat iaitu Bahasa Jakarta/Indonesia dan Bahasa Melayu, kenapa tidak ditemuduga bibik-bibik atau pekerja-pekerja Indonesia yang sudah lama berada di Malaysia? Daripada mengambil penterjemah yang ada sijil, diploma atau ijazah tetapi lemah mutu penterjemahannya, lebih baik (mendingan) ambil yang tiada kelayakan tetapi masih mampu menterjemah dengan baik.

P/s – bolehkah kujadi penterjemah sambilan untuk TV3 dan TV9…? ;-)

6 ulasan:

  1. musik dan film indonesia berjaya di malaysia. mungkin dalam hal hiburan indonesia lebih unggul dari malaysia. Indonesia hanya kalah dalam hal ekonomi.

    BalasPadam
  2. Ya, sy bersetuju tapi untuk muzik saja. Lagu dari Indonesia lebih baik dari di sini. Bagaikan roda, grup Indonesia hit di sini. Dulu, zaman Rock, grup Malaysia popular di sana spt Search, Iklim, Ukays.

    Filem Malaysia juga tak kurang hebat kerana ada yang menang anugerah di peringkat Asia Pasifik. Cuma filem Malaysia tidak dpt ke sana kerana katanya masalah bahasa (yg sy rasa pelik...) Filem Indonesia pula menyajikan cewek dan cowok gantang yg pastinya menarik remaja di sini untuk menonton.. Sy rasa filem Indonesia kurang mutunya... Maaf... ;-)

    BalasPadam
  3. saya kira peminat search, iklim, UK's, spoon dan lainnya di Indonesia kebanyakan adalah masyarakat desa(kampung), makanya sebagian orang menganggap lagu dan musik dari malaysia adalah kampungan (tidak bermutu)yang hanya disukai oleh orang desa. hingga kini penyanyi malaysia yang tetap exist di Indonesia cuma Siti Nurhaliza dan sheila madjid, saya rasa mungkin lagu yang mereka bawakan tidak terlalu kampungan. Maaf ya :-)

    BalasPadam
  4. selama 5 tahun mas strozze tinggal di Johor apakah pandangan dan pemahaman mas strozze tentang Indonesia berubah jika dibandingkan dengan sebelum tinggal di johor.

    sy rasa orang johor lebih paham tentang Indonesia dibandingkan dengan masyarakat malaysia yang ada di daerah lain, mungkin mereka tahu banyak tentang Indonesia dari menonton siaran Tv asal Indonesia terutama SCTV dan RCTI. Betul tak pendapat saya ini?

    BalasPadam
  5. saya menjadi mengerti, banyak juga produk film indonesia yang beredar di malaysia ... :)

    BalasPadam
  6. Erwin, mmg betul tu. Org Johor lebih terdedah kepada Indonesia jika dibandingkan dgn negeri2 lain. Ini kerana kedudukan geografinya yang lebih dekat di samping byk imigran dari Indonesia tinggal di sini. Bahkan kebanyakan orang Johor leluhurnya berasal dari Indonesia seperti Jawa dan Bugis.

    Ya, Bahtiar. Org Malaysia "gila" produk dari Indonesia..

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...