06 Disember 2006

Di Sebalik Peraturan Terbaru Pemakaian MPKB

Heboh sekarang memperkatakan peraturan terbaru Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) yang mewajibkan warga Kota Bharu mematuhi peraturan terbaru pemakaian wanita di khalayak ramai. Jika tidak dipatuhi, denda RM500 bakal dikenakan.

Antara tegahan terbaru yang diwajibkan di tempat-tempat awam seperti pusat membeli-belah dan restoran-restoran ialah pemakaian yang ketat dan jarang, mini skirt dan blaus pendek menampakkan pusat. Untuk orang Islam, busana mestilah melitupi hingga sampai ke buku lali dan diwajibkan memakai tudung. Yang bukan Islam pula hendaklah memakai pakaian yang bersesuaian dan sopan serta tidak menjolok mata.

Ada beberapa perkara menarik yang ingin dikupas di sini. Sebenarnya yang kuat “melompat” apabila mendengar peraturan baru ini ialah mereka yang tidak terikat dengan peraturan ini! Mereka itu bukannya tinggal di Kota Bharu. Yang diprihatinkan mereka ialah hilangnya kebebasan dan “kemodenan” perempuan di Kelantan. Sedarkah kita apabila pengumuman ini dibuat, sekurang-kurangnya 90% wanita Kelantan sudah mematuhi peraturan itu! Bahkan mungkin lebih daripada itu.

Di dalam Islam, perempuan wajib menutup aurat. Yang boleh dibuka di khalayak ramai hanyalah muka dan tapak tangan. Di Kelantan, wanitanya memang terkenal dengan kesopanan, memakai pakaian menutup aurat, malah kejelitaan mereka juga.

Sebagai orang yang berasal dari Pantai Timur, penulis sendiri memahami budaya orang Pantai Timur. Jika dibandingkan dengan orang di bahagian lain di Malaysia ini seperti Pantai Barat, agak berlainan sekali. Di Pantai Timur, sekurang-kurangnya 90% penduduk bandar adalah Melayu dan Islam. Jika di kampung-kampung 100%. Orang Melayu di Pantai Timur memang sebati dengan cara hidup Islam dan berorientasikan Melayu kerana mereka majoriti. Amat jarang untuk mencari mereka yang tidak bertudung di sana. Kalau sembahyang, mesti lengkap lima waktu.

Di dalam The Star hari ini, terdapat satu kartun satira yang menggambarkan pusat membeli-belah di Kota Bharu membuat lelongan baju-baju seksi kerana katanya selepas larangan tersebut, baju-baju tersebut bakal tidak laku. Sedarkah mereka yang di Kota Bharu tidak ada pasaran bagi baju-baju sedemikian jika dibandingkan dengan di Pantai Barat? Mungkin ada tapi penulis fikir tidak balik modal kalau cuba dijual di sana.

Ini merujuk kepada fakta kedua iaitu kurangnya pemahaman mereka tentang cara dan gaya hidup penduduk Pantai Timur yang berlainan daripada di Pantai Barat. Mereka sering mengkritik kurangnya hiburan di Pantai Timur. Hiburan di sini bermaksud kelab malam yang menyediakan arak dan malah sesetengah mengharapkan layanan perempuan. Bagi penduduk tempatan, mereka tidak perlu semua itu. Itu adalah maksiat dan dosa.

Jika diamati, yang membuat bising itu ialah golongan “atasan” seperti menteri dan golongan bukan Islam yang terlalu prihatinkan nasib bukan Islam di sana yang disangka bakal mendapat ketidakadilan peraturan yang mirip Islam. Hasil tinjauan penulis, akhbar Melayu tidak banyak memperkatakan hal ini, manakala yang menganggap isu ini besar ialah akhbar berbahasa Inggeris seperti The Star yang memberikan tajuk utama di muka depan. Channel News Asia di Singapura juga memperkatakan hal ini. Adakah wujud Islamophobia di sini? Jika ditanya kepada penduduk bukan Islam di Pantai Timur, mereka tentu lebih faham keadaan dan budaya di Pantai Timur dan sememangnya maklum dengan peraturan itu.

Lihat saja hasil tinjauan SMS di Edisi 7, NTV7 tadi, 85% yang bersetuju mengatakan wanita yang berpakaian seksi itu tidak menghormati diri sendiri. Hasilnya, umum tidak “melompat” dengan peraturan terbaru itu, cuma segolongan kecil termasuk menteri yang malah tidak terikat langsung dengan peraturan ini heboh memperkatakannya. Mereka ini jumlahnya kecil tapi "salakan"nya terlalu kuat. Bila ditanya pernah ke Kota Bharu untuk merasai sendiri suasana di sana. Jawabnya tidak! Alahai, nak kritik tapi dari jauh…

Tag: , , ,

1 ulasan:

  1. Bagus sebenarnya peraturan tu...malangnya ianya hanya 'memaksa' bukan mendidik...itu mungkin juga bermakna, walaupun dah lebih 10 tahun negeri Kelantan 'berciri Islam', masih ada orang Islam di kelantan yang tak tahu nak dress cara Islam...

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...