11 Disember 2006

Kurang Dari Satu Kilometer Menjadi 40 Kilometer!



Entah kenapa hari ini (hari minggu) kuberasa sangat bosan tinggal di rumah. Biasanya pada hujung minggu, ku lebih senang berada di rumah kerana pada hari bekerja, ku sudah bekerja di luar dan hujung minggulah waktunya untukku berehat di rumah. Tiada apa-apa yang menarik untuk kulakukan di rumah. Torrent-torrent yang kutunggu-tunggu sudahpun dimuat turun. Blog-blogku pula sudah dikemaskini. Hendak menonton TV, terasa malas.

Pada mulanya kumahu ke kedai mamak saja untuk makan tengah hari walaupun perutku masih kenyang kerana lambat mengambil sarapan. Lalu kubawa The Star yang masih belum ku habis baca sebagai pengisi waktu di sana. Sengaja kupilih jalan jauh untuk ke kedai yang sebenarnya di seberang jalan rumahku saja itu. Kumahu menghilangkan kebosananku. Sedang kumemandu, jalan raya tiba-tiba sesak. Biasanya kumenyumpah seranah ;-), tetapi kali ini kusantai saja. Memandu pun perlahan. Kereta-kereta lain banyak meyusup masuk ke depan keretaku. Ku tak kisah.

Sedang kumenunggu keretaku lepas dari kesesakan itu, kuterfikir apa kata kukeluar saja dari hiruk-pikuk kota Johor Bahru ini. Kufikir untuk pergi ke tempat yang boleh menenangkan fikiranku ini. Ku tidak tahu untuk ke mana. Entahlah. Kuikut rasa hati – pergi ke arah Utara. Ke mana? Tak tahu.

Kubatalkan saja niatku untuk makan di kedai mamak. Perutku pun masih kenyang. Apa kata pergi Air Terjun Kota Tinggi? Tak mahulah. Kumahukan tempat yang suasana yang saujana mata memandang. Di sana hutan, bukannya dapat memandang jauh. Pohon-pohon di hutan waima hijau, masih tidak menjadi pilihanku.

Melihat meter di keretaku, kelihatannya minyak sudah pun mahu habis. Kuberhenti di sebuah stesen minyak dulu. Tenangkan fikiran. Nanti mendapat idea untuk ke mana. Kubeli makanan ringan dan minuman untuk bekalan.

Kuberfikir lagi. Kalau mahu tempat yang saujana mata memandang, pantailah jawabnya. Tapi di sini mana mahu dicari pantai. Yang cantik jauh. Kalau ke Desaru, jangkamasa untuk ke sana lama, bahkan sama dengan perjalanan ke Melaka – 2 jam, walaupun jika dilihat di peta Desaru tak jauh dari Johor Bahru! Ini kerana tiada laluan dekat untuk ke sana. Lebuhraya yang dikatakan akan siap umpama menanam tebu di bibir saja, terutama di waktu pilihanraya. Entah bila siap, err entah bila dimulakan?

Ku sudah sampai ke Kota Tinggi. Di depanku simpang empat. Kalau ke kiri, ke bandar Kota Tinggi. Kalau terus, ke Mersing dan kalau ke kanan, ke Desaru. Mahu terus, tempat menarik seperti Mersing sangat jauh. Ke Kota Tinggi, jalannya pasti sesak di sana. Lalu kuambil keputusan ke kanan saja iaitu ke arah Desaru.

Setelah membelok, kulihat papan tanda di bahu jalan. Desaru 42km. Agak dekat juga! Boleh juga ke sana. Tapi kufikir lagi. Ku tidak membawa kamera, rugilah kalau ke sana kalau tidak “menembak” dan diletakkan di Fotopagesku. Lagi pula langit membiru hari ini sangat cantik untuk dipotretkan. Tidak apa, nanti menyesal pula kalau tidak bergambar di Desaru.

Kumendapat idea, apa kata singgah di tengah jalan ke Desaru saja. Dulu, ku pernah singgah di sebuah warung yang menjual Roti Tempayan. Agak terkenal dan semestinya sedap. Ku tidak tahu lokasi sebenarnya. Yang kuingat warung itu berhadapan dengan stesen minyak Shell. Kalau ke sana, bolehlah menikmati Roti Tempayan sambil membaca The Star dan melihat kereta lalu lalang dalam perjalanan pulang dari Desaru.

Ku santai saja. Kelajuanku 80 km/j. Banyak kereta menunggu untuk memotongku. Biasanya akulah antara yang laju, agresif untuk memotong kereta di depan. Jalan dua lorong di sini kulihat tidak mampu lagi menampung jumlah kenderaan yang agak banyak melalui laluan ini, lebih-lebih lagi cuti sekolah begini. Barisan kereta yang panjang bergerak kelihatan sukar untuk kereta yang diparkir sebentar di bahu jalan untuk masuk semula ke lorong memandu. Itulah, seperti kukatakan, lebuhrayanya entah bila siap… Nasib baik semuanya laju-laju belaka, 90 km/j. Sungguh lancar trafiknya.

Terasa lama pula untuk sampai ke tempat tujuan yang ku tidak pasti itu. Kiri kananku, kelihatan banyak ladang kelapa sawit. Barangkali banyak Felda di sini kerana gabungan Felda-Felda ini telah dijadikan satu kawasan Parlimen iaitu Parlimen Pengerang yang diwakili oleh seorang menteri yang tidak habis-habis dengan membina kompeks sukan di London itu. (Untuk shopping?) Pelik juga kerana fikirku kawasan kampung bukannya ramai sangat penduduknya untuk dijadikan satu kawasan Parlimen. Ah, tinggalkan bab politik ini…

Kurasa sudah bosan pula memandu. Tempat yang ditujui belum sampai lagi. Asalnya mahu melepaskan kebosanan, kini hampir penat pula memandu. Akhirnya kelihatan beberapa rumah kedai di tepi jalan. Mungkin ini tempatnya. Semakin dekat, kulihat pula papan tanda stesen minyak Shell yang meninggi melebihi pepohon di situ. Sah, inilah tempatnya! Rasa hampir penat itu tiba-tiba hilang.

Di depan stesen minyak itu, tertera papan tanda Roti Tempayan di kedai makan itu yang dipisahkan sebuah lorong dari stesen minyak itu. Kumenyusur masuk ke lorong itu dulu. Mahu ke masjid dulu untuk bersolat Asar. Nanti balik lebih senang kerana semuanya sudah usai. Ramai juga penduduk Felda Air Tawar 5, seperti nama tertera di muka lorong tadi, mengimarahkan masjid. Ingatkan ada majlis kahwin atau orang meninggal tapi jemaah yang menunggu bilal mengalunkan iqamah.

Sesudah solat, inilah masanya. Makan time. Kumemandu keluar untuk ke kedai makan itu. Agak ramai orang jika dibandingkan semasa kulalu tadi sehinggakan kuparkir keretaku agak jauh. Tidak mengapa. Kupesan order dan tidak lama, sampai Roti Tempayan dan Teh Tarik yang kupesan. Saiz Roti Tempayan itu amat besar memenuhi keseluruhan pinggan. Baru kuteringat, semasa kudatang ke sini dulu, kubungkus saja sisanya kerana tidak dihabis makan setelah menjamah Nasi Goreng Kampung.

Pastinya agak lama untuk kuhabiskan semuanya. Lalu kuambil The Star yang kubawa dan kulapik surat khabar itu untuk menikmati Roti Tempayan. Bukan untuk mengelakkan meja kotor, tapi untuk kubaca akhbar itu sambil menelan cubitan-cubitan kecil roti itu. (Kakak itukan bakal membersihkan mejanya…). Agak lama ku situ. Orang yang sampai bersamaku tadi sudahpun beransur pulang. Kuhabiskan dulu membaca The Star edisi Ahad yang agak tebal itu.

Wah, sungguh padat perutku dek Roti Tempayan besar itu. Sampai penat pula setelah makan. Setelah bayar, kumemandu pulang. Kali ini, tidak boleh perlahan lagi. Kena laju sikit sebab hari dah pun petang. Seperti biasa, perjalanan pulang terasa sungguh singkat jika dibandingkan dengan perjalanan pergi tadi.

Setelah tiga jam keluar tadi, ku pun sampai ke rumah semula. Pasa asalnya mahu ke kedai mamak yang jaraknya tidak sampai satu kilometer pun, tapi perjalananku akhirnya mengambil jarak lebih kurang 40 kilometer! Hanya untuk makan! Tapi kupuas, puas kerana kebosananku hilang…



Tag: , , ,

3 ulasan:

  1. amacam jb dah surut ke banjir strozze

    takde gambar banjir?

    BalasPadam
  2. takde la... aku pun melarikan diri dari banjir... kat trg ni. nasib baik sempat chow ke trg dulu, nak balik jb pun dah malas - jalan banjir, tanah jerlus/runtuh... ;-(

    BalasPadam
  3. pembinaan lebuhraya senai-desaru dah tergantung dah.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...