26 Februari 2006

Blog dan Bahasa

Hari ini blog bagaikan bercambah seperti selepas hujan. Remaja khususnya berlumba-lumba menghasilkan blog sendiri dan menjaringkan blog-blog mereka dengan blog rakan-rakan mereka.

Untuk meluahkan pendapat dan buah fikiran mereka, pelbagai gaya bahasa dan penulisan dapat dilihat. Di samping bermedium bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa ibunda mereka, ada juga yang menggunakan bahasa slanga yang hanya dapat difahami sesama mereka sendiri sahaja.

Perkara ini sebenarnya sangat membimbangkan. Keupayaan bahasa mereka pasti akan terjejas.

Kalau ditulis dalam bahasa Melayu, mereka mengeja perkataan-perkataan mengikut cara mereka menyebut sesuatu perkataan. Sebagai contoh, perkataan saja dieja dengan sajer. Tak penatkah mereka menaip satu lagi huruf r di belakang perkataan itu.

Banyak juga penulisan yang dicampur kedua-dua bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Apabila tak tahu istilah bahasa Inggeris, diganti dengan bahasa Melayu. Begitu juga sebaliknya, jika tak tahu perkataan Melayu, ditulis dalam bahasa Inggeris.

Hasilnya, keupayaan bertutur dalam kedua-dua bahasa ini terjejas. Inilah yang dikatakan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Sepatutnya blog adalah satu wadah untuk mereka mengembangkan kemahiran dan bakat mereka di bidang penulisan. Namun, hakikatnya kini mereka masih di takuk lama.

Pos berkaitan:
Penterjemah Inggeris-Melayu Untuk Halaman Internet
Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia
Singapura Memperbanyakkan Penutur Bahasa Melayu
Ketchup
Bahasa Indonesia - Mengapa Bahasa Melayu?
10 Bahasa Paling Dipertuturkan Di Dunia

10 Februari 2006

Penggantungan Sarawak Tribune Tepat



Penggantungan Sarawak Tribune dilihat sebagai tepat setelah menyiarkan semula karikatur jahat yang menghina Nabi Muhammad SAW di kala bantahan hangat seluruh umat Islam sedunia. Berita Cartoon, Not Much Impact Here ataupun Kartun, Tidak Banyak Impak Di Sini yang disiarkan 5 Februari lalu telah mengundang marah umat Islam Malaysia.

Rentetan bantahan orang ramai, Sarawak Tribune telah mengumumkan permohonan maaf kepada umat Islam namun hal ini tidak sama sekali meringankan tindakan terhadap akhbar berbahasa Inggeris di Sarawak itu. Serentak dengan penggantungan itu, pengurusan akhbar itu tidak akan menerbitkan lagi Sarawak Tribune walaupun jika permit diberi kembali pada masa depan.

Pihak polis juga diharap dapat menyiasat dengan rincinya jikalau ada pemprovokasi dalam penyiaran ini. Dakwaan Pengarang Kumpulan, Toman Mamora bahawa beliau bukan dipecat tetapi diarah melucutkan jawatan dan juga dakwaan Penasihat Editorial, Datuk Idris Baung bahawa Toman Mamora menyelinap masuk karikatur itu di saat akhir akhbar dicetak perlu disiasat jika ada dalang dalam hal ini.

Penyiaran Sarawak Tribune adalah tak bertanggungjawab dan memalukan Malaysia sendiri sebagai sebuah negara bermajoriti Islam. Di kala bantahan berterusan umat Islam sedunia, mereka menguji kesabaran umat Islam Malaysia dengan penyiaran itu. Kini, mereka mendapat balasannya di atas ketidakpekaan ataupun mungkin sikap provokasi itu.

Islam sendiri tidak membenarkan sebarang penghinaan terhadap agama lain dan penganut agama lain juga harus faham dan tidak sesekali menghina Islam. Dalam masyarakat majmuk Malaysia, kita harus elakkan hal-hal yang sensitif. Penyiaran unsur-unsur penghinaan terhadap mana-mana agama, bangsa ataupun budaya hanya dilihat sebagai menjolok sarang tebuan.

Dalam pada itu, lebih 8000 umat Islam berhimpun secara aman di Kedutaan Denmark di Kuala Lumpur hari ini sebagai membantah penyiaran karikatur tersebut. Demonstrasi secara aman itu dilihat berjaya kerana tiada unsur provokasi dan malah dipuji pihak polis sendiri. Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam ucapan terima kasih beliau mengatakan pihak polis yang menjaga keamanan itu bakal menjadi saksi di hadapan Allah di akhirat kelak kerana telah mengadakan bantahan terhadap penghinaan Rasulullah s.a.w.

Desakan supaya memboikot barangan Denmark agar diteruskan juga dilaungkan. Sekarang ekonomi Denmark sudah kerugian berbilion Dolar atas pemulauan itu yang kebanyakannya dipelopori negara-negara Arab. Walaupun ancaman Duta Denmark bahawa ini akan menjejaskan hubungan dagang dengan Denmark, kita tak perlu takut kerana maruah Baginda lebih mulia daripada berhubung dengan orang yang benci akan Islam ini. Kita masih banyak lagi peluang dagang bahkan dengan umat Islam sendiri, pasarannya juga luas.

Pos berkaitan:
Kebiadapan Media Barat dan Kebebasan Bersuara I
Kebiadapan Media Barat dan Kebebasan Bersuara II

09 Februari 2006

Panjang dan MBJB - Memalukan!



Liputan The Star berkenaan seorang Samaritan bernama Panjang yang sanggup berkerja tanpa upah untuk menutup lubang-lubang di jalan-jalan selenggaraan MBJB sebenarnya dilihat sebagai memalukan. Memalukan bukan kerana kerja Panjang, bukan kerana pertolongan Panjang tetapi lebih dilihat sebagai kegagalan pihak MBJB mempastikan jalan-jalan di kawah kelolaannya diselenggara dengan baik dan sebarang kerosakan diambil tindakan segera.

Terlalu banyak jalan di Johor Bahru yang rosak tidak diambil peduli. Ada yang dah siap dibaiki tetapi rosak semula dalam jangkamasa yang singkat. Mutu kerja memang patut dipersoalkan. Bukan dalam kawasan MBJB saja malah kawasan-kawasan MPJBT dan PBT Pasir Gudang juga mengalami nasib yang sama.

Contoh terbaik adalah Lebuhraya Pasir Gudang. Jalan dah diturap baru beberapa tahun lepas tetapi tanpa mengambil masa lama jalan itu rosak kembali. Alasan diberikan kerana terlalu banyak kenderaan termasuk kenderaan berat melalui kawasan itu. Sepatutnya ini dah diambil kira sebelum proses pembaikan kerana sebarang kerosakan susulan pasti akan memerlukan lebih peruntukan dan membazirkan wang rakyat. Inilah mungkin agaknya pihak berwajib amat lambat bertindak kerana peruntukan sudah habis dek kegagalan pengurusan.

Bagi penulis sendiri, sudah jemu melanggar lubang-lubang di jalanan ini. Sistem gantungan kereta dah berkali ditukar. Kalau ke Pasir Gudang, sistem gantungan ini pasti teruk diuji. Jalan masuk ke Pelabuhan Johor adalah yang paling mencabar. Sudahlah jalan tak rata dan berlubang, terpaksa pula menempuh dua rintangan besi laluan kereta api yang terbonjol di tengah-tengah jalan akibat kehausan tar di sekelilingnya.

Kalau memandu di Jalan Tampoi, jalannya sudahlah tak berlampu malah banyak pula lubang di sana sini. Di bawah persimpangan bertingkat Lebuhraya Pasir Gudang - Giant Plentong pula, jalannya umpama bukan jalan lagi. Dah tak nampak tar di permukaan jalan. Cuma nampak akhir-akhir ini ada cubaan memperbaiki jalan itu. Harap-harapnya lebih pantas kerjanya kali ini. Jangan jadi lagi persimpangan bertingkat Lebuhraya Pasir Gudang - Jalan Kota Tinggi yang dah bertahun untuk disiapkan.

Pihak berwajib seharusnya lebih peka dan pantas dengan masalah besar di JB ini. Selain punca kesesakan lalulintas, lubang-lubang ini merupakan punca kemalangan bahkan boleh menjadi punca kematian. Harap ada lebih rasa tanggungjawab daripada pihak berwajib. Jangan ulangi lagi jawapan yang paling tak bertanggungjawab yang pernah berlaku kepada seorang pelapor, "Jalan luas, elak saja lubang itu!". Di mana nak mengelak, jalan di bandar sudah semakin sempit kerana kekurangan ruang!

08 Februari 2006

Kebiadapan Media Barat dan Kebebasan Bersuara II

Kebebasan bersuara media-media Barat seperti yang dilaung-laungkan mereka sebenarnya bukanlah kebebasan yang hakiki. Sikap double-standard mereka amalkan di sana.

Media-media Amerika dan Britain tidak dibenarkan menyiarkan berita angggota tentera yang terkorban dan dibawa pulang untuk dikebumikan. Ini atas alasan tidak mahu menyemarakkan sentimen anti perang yang hangat di sana.

Lebih sensitif lagi jika mereka mempersendakan Yahudi dan akan dicop sebagai anti Semitik. Dalam siri terbaru The Apprentice, Donald Trump amat berhati-hati mengangani isu ini apabila isu seorang peserta yang juga merupakan seorang gay mempersendakan seorang lagi peserta berbangsa Yahudi berusia awal 20-an yang tak pernah mengadakan hubungan seks. Ini mungkin bukanlah contoh double-standard tetapi contoh amat berhati-hatinya mereka tentang isu Semitik.

Begitu juga mereka tak mahu terlibat dengan isu wanita dan homoseksual yang amat sensitif.

Tetapi apabila sampai isu mempersendakan Islam dan penganutnya, mereka seolah-olah tiada tegahan dan inilah katanya kebebasan bersuara media.

Pos berkaitan:
Kebiadapan Media Barat dan Kebebasan Bersuara I

07 Februari 2006

Sikap Curiga Singapura



Singapura mahukan pasir dari Malaysia dijual kepadanya dan diberi kebenaran menggunakan ruang udara Malaysia buat latihan jet pejuangnya. Itulah syaratnya jika Malaysia mahukan jambatan penuh buat menggantikan Tambak Johor.

Asas Malaysia untuk membina jambatan adalah untuk mengurangkan kesesakan di waktu puncak dan musim perayaan. Ini juga untuk mempastikan Kompleks Imgresen dan Kuarantin (CIQ) yang bakal siap dapat digunakan sepenuhnya. Selain itu, air Selat Tebrau yang dah berkurun tersekat alirannya antara Laut China Selatan dengan Selat Melaka dapat mengalir kembali dan mengurangkan pencemaran teruk di Selat Tebrau dan sungai-sungai sekitarnya.

Jika diteliti semua permintaan Singapura, semuanya berpihak kepada Singapura. Jika mereka tak dapat permintaan mereka, mereka sebenarnya tak rugi pun kerana itu semua bukan hak Singapura. Hak yang didesak adalah hak Malaysia.

Pasir adalah hak Malaysia. Jika dijual, pasir itu akan digunakan untuk menambah keluasan pulau itu dan secara langsung memberi kesan kepada alam sekitar yang melampaui batas wilayah Singapura sendiri. Air yang deras disebabkan penyempitan selat akan mengganggu ekologi yang merugikan para nelayan tempatan. Malah dugong yang sangat jarang kewujudannya mungkin akan pupus. Air yang deras juga bakal mencetus hakisan teruk.

Kenapa mahu ruang udara? Ruang udara Malaysia adalah kedaulatan Malaysia. Jika dibenarkan, bagaimana nak menghadkan ruang yang diberi kepada mereka? Jika sudah masuk pasti ada kemungkinan melencong dari batas dibenarkan. Jika Malaysia bertindak balas, bagaimana tindakan itu dijustifikasikan? Kalau sekarang sudah ada batas ruang udara antara negara, tak perlu bersusah payah menghasilkan satu lagi peraturan membenarkan pesawat pejuang Singapura ke sini.

Pesawat pejuang adalah satu anggota pertahanan. Pasti setiap gerak langkah adalah berdasarkan sekuriti masing-masing dan tidak dapat tidak pasti berlaku aktiviti perisikan. Singapura sejak dikeluarkan dari Malaysia ketara benar sikap curiga-mencurigainya. Mereka menjalin hubungan ketenteraan dengan Israel dan Amerika dan memperkuatkan ketenteraan mereka seolah-olah jiran-jiran mereka adalah singa yang hanya menunggu masa “ngap” mereka. Ini umpama takut dengan bayang-bayang sendiri.

Masih ingat lagi penulis ketika kes penangkapan ahli JI di Republik itu dan isu terrorisme masih hangat, kebanyakan pemuda Melayu bawah 30 tahun dari Malaysia yang ke sana melalui Tambak Johor perlu ke bilik pegawai imigresen untuk disoalsiasat sebelum dicop visa masuk mereka. Ini terjadi kepada penulis sendiri. Bila ditanya, jawapannya rutin biasa. Pernah juga teman-teman dari Indonesia juga ditahan ke bilik pegawai walaupun mereka ada dokumen lengkap. Teman yang ikut sekali dari Thailand tak pula ditahan.

Banyak lagi isu tertangguh. Isu air sudah lama diperkatakan. Sikap “cincai” pihak Malaysia juga membuka peluang buat mereka. Setelah perjanjian menyewakan seluruh pulau selagi ada bulan dan bintang oleh pemerintah zaman dahulu yang cetek pemikiran, Malaysia terlalu jujur menjual air sesen seliter untuk jangkamasa yang panjang. Orang dulu agaknya tak berapa kenal akan inflasi.

Malaysia mempunyai peluang menaikkan harga pada 80-an tetapi pemimpin Malaysia pada masa itu terlalu sibuk dengan pertelagahan politik sesama sendiri. Cubaan menaikkan harga beberpa tahun lepas tak berjaya kerana sikap kiasu atau tak mahu kalah Singapura yang terkenal seantero dunia walaupun harga tak masuk langsung pada masa sekarang. Isu ini masih berlarutan.

Begitu juga dengan isu wang caruman CPF, versi KWSP di sana, milik rakyat Malaysia yang bekerja di sana. Wang mereka tak boleh dikeluarkan.

Jelas semua isu yang tertunggak adalah bukan milik mereka. Jangan kita diputar belit mereka itu yang mahukan kita tergadai satu demi satu hak kita. Sekarang bukan lagi zaman selagi ada bulan dan bintang. Semua benda ada harganya dan jangan biarkan anak cucu kita tak merasainya.

Tak perlulah kita membuang masa berunding lagi. Kalau mereka tak mahu buat jambatan kita teruskan saja cadangan jambatan separuh yang bengkok itu. Biar generasi akan datang dapat menilai perangai “satu titik hitam” di rantau ini yang pernah digelar mantan Presiden Indonesia, BJ Habibie itu.

Atas dasar apa kita memujuk Republik itu untuk membina jambatan penuh jika kita menggadaikan hak kita? Air kan dah mengalir di wilayah Malaysia. Jangan diikut sikap penuh curiga mereka. Sudah terang lagi bersuluh. Mereka mahukan penjelasan dari Malaysia apa habuan yang bakal mereka dapat dari pembinaan jambatan ini. Tiba-tiba mereka jadi bodoh dalam hal ini.

“Kebodohan” mereka ada banyak maknanya itu. Sikap curiga-mencurigai masih menyelubungi pemikiran mereka. Mereka risau pembinaan jambatan bakal membenarkan Pelabuhan Johor di timur dan PelabuhanTanjung Pelepas di barat Johor dihubungkan dengan jarak yang lebih singkat dan mempercepatkan pertumbuhan kedua-duanya lalu menjadi saingan terbesar pelabuhan mereka. Mereka sudah serik dengan kehilangan dua pelanggan terbesar mereka kepada PelabuhanTanjung Pelepas.

Meruntuhkan tambak yang sedia ada juga bakal menjadikan alatan ketenteraan mereka seperti kereta kebal kurang berkesan. Pembinaan jambatan dilihat bakal mengukuhkan keselamatan Malaysia.

Sikap curiga-mencurigai mereka adalah segalanya. Padahal mereka akan banyak dapat manfaatnya terutama dalam memajukan kawasan utara pulau itu. Tepuk dada tanya selera. Tak perlu pening kepala. Kalau mereka mahu, baguslah demi kebaikan bersama. Kalau tak mahu, biarkan mereka dengan keluarga mereka. Jangan kita kehilangan sesuatu yang tak patut kita hilang.

Kalau Leftenan Adnan melihat episod ini, alamat menangis penuh sesalanlah…

Pos berkaitan:
Singaporean - Kiasu and Speak English

06 Februari 2006

Kebiadapan Media Barat dan Kebebasan Bersuara I



Publikasi gambar penghinaan Rasulullah SAW di media-media Eropah telah meluapkan amarah umat Islam sedunia. Rentetan dari penyiaran gambar yang biadap itu beberapa tunjuk perasaan dan demonstrasi keras telah diadakan komuniti Islam seantero dunia. Beberapa negara Arab pula telah memanggil pulang diplomat mereka dari negara-negara terbabit.

Gambar asal disiarkan di sebuah media Denmark. Bantahan dilakukan namun jawapan Perdana Menteri Denmark amat mengecewakan atas alasan kebebasan bersuara media. Atas alasan itu juga beberapa media Eropah dan juga New Zealand dengan sengaja menyiram minyak ke api dengan mengulangcetak gambar-gambar tersebut.

Adakah mereka tak peka dengan penegahan penjelmaan Rasulullan SAW dalam apa jua bentuk di dalam hukum Islam? Jawapannya mungkin ya tetapi yang lebih tampak perbuatan mereka adalah "sengaja dalam kepekaan" ialah menggambarkan serban Rasulullah SAW menyerupai senapang. Ini adalah satu lagi cubaan menerapkan unsur Islamophobia ataupun ketakutan terhadap Islam yang berobjektifkan kebencian terhadap Islam.

Di pihak umat Islam pula, reaksi sedunia umat Islam sebenarnya cukup mengagumkan. Kelihatan seluruh umat bersatu menentang kejahatan ini. Ini sebenarnya amat menakutkan Barat. Cuma kita perlu berhati-hati dalam apa jua tindakan kita. Kesejahteraan saudara seIslam yang tinggal secara minoriti seperti di Eropah, Amerika dan Australasia harus juga diambilkira. Kita perlukan sedikit kekerasan dan keagresifan namun perlu disasarkan dengan bijak dan berkesan. Jangan ini pula adalah peluang keemasan musuh Islam memperkuatkan armada mereka.

03 Februari 2006

Penterjemah Inggeris-Melayu Untuk Halaman Internet



Kutemui satu laman ini yang khusus menterjemah halaman berbahasa Inggeris ke Bahasa Melayu. Dihasilkan Linguamatix.com, ini adalah sesuatu yang baru bagi pengguna Internet yang mahu melayari web dalam Bahasa Melayu. Program ini masih dalam percubaan dan masih banyak perlu dipertingkatkan. Kendatipun agak lucu hasilnya, sekurang-kurangnya ada program sebegini untuk terus dimajukan. Pembaca boleh mencuba aplikasi ini di pautan berikut:

www.linguamatix.com

Pos berkaitan:
Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia
Singapura Memperbanyakkan Penutur Bahasa Melayu
Ketchup
Bahasa Indonesia - Mengapa Bahasa Melayu?
10 Bahasa Paling Dipertuturkan Di Dunia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...