30 Mac 2006

Beli Kodak Untuk Kamera Digital?

Dek kerana mahu menyambung lesen memanduku untuk jangkamasa maksimum, ku juga mahu mengemaskini gambar lamaku pada lesen. Tambahan pula, gambar sedia ada boleh dikatakan sudah lapuk kerana itulah gambar pertamaku ketika memperolehi lesen memandu selepas tamat sekolah menengah dulu.

Atas nasihat teman, kupergi mengambil gambar instant. Katanya boleh siap segera selepas diambil gambar. Ku tak terfikir pun yang pada zaman sekarang gambar boleh siap sebegitu cepat. Ku hanya memikirkan seperti pada masa dulu iaitu cetakan akan hanya siap selepas beberapa jam diambil gambar. Maklumlah, dah lama aku tak ke kedai gambar. Zaman sekarang kalau mengambil gambar dengan kamera digital, gambar-gambarnya hanya disimpan dalam bentuk softcopy dan tidak dihantar untuk dicetak.

Dengan harga RM10, kumendapat 5 keping cetakan gambar dan satu CD yang menyimpan softcopy gambarku itu buat cetakan di masa depan. Canggih! Gambar yang diambil juga boleh dibetulkan jika terdapat sebarang kesilapan. Kebetulan semasa kuambil gambar, posture badanku tidak berapa betul. Dengan perisian yang terdapat di kedai itu, gambarku telah dibetulkan.

Kali ini aku puas dan teruja. Puas kerana kudapat mengambil gambar dengan cepat dan dapat pergi ke JPJ tanpa mengambil masa yang lama. Teruja kerana kecanggihan teknologi terkini yang sangat pantas berkembang dan pada masa yang sama industri foto juga kelihatan pantas mendakap perubahan dalam industri mereka. Janganlah ada kes Pak Pandir pergi ke kedai gambar mahu mencari Kodak untuk kamera digitalnya...

25 Mac 2006

Jalan-jalan ke Kuantan


1 Mar 2006 @ 1.00PM

Kali ini ku tenang. Tak tegang lagi seperti minggu-minggu lepas. Tak ada lagi berkejar ke sana kemari menghuraikan permasalahan yang tak putus-putus itu.

Kini kumengadap ketenangan Laut China Selatan! Ku sekarang berada di Cherating, Kuantan menghirup udara segar sambil mendengar Teman Tapi Mesra dari Ratu dikeudarakan Hot FM yang baru menjangkau ruang udara Kuantan ini...

Kurasa kuberhak untuk semua ini setelah kubertungkus-lumus sejak akhir-akhir ini. Alangkah indah mendengar alunan muzik alam ini. Bunyi deruan ombak. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa.

Hari ini tak ramai orang di sini kerana bukan hujung minggu. Hanya kelihatan beberapa pelancong asing berjalan-jalan membakar kulit mereka yang kurang pigmen itu. Nun di tengah lopak air yang terperangkap dek air surut, dua orang nelayan yang tak menghiraukan terik mentari tekun mencari rezeki.

Alangkah indah di sini. Petang-petang berjoging di tepi pantai. Lupakan gim itu yang di kota juga boleh dijumpai. Sambil berlari boleh menghirup udara pantai.

Malam-malam menikmati makanan laut yang segar dari laut. Selepas itu mengambil pencuci mulut sambil duduk di atas pasir pantai dan mendengar alunan ombak malam yang sedang pasang. Berbicara dengan teman-teman yang lama tak ketemu.

Kumahu terus di sini tapi apakan daya. Aku harus pulang ke tempatku.

24 Mac 2006

Kemenangan 7-0 Liverpool - Ramalan Paling Tepat

Kemenangan besar 7-0 Liverpool ke atas Birmingham pada peringkat suku akhir Piala FA Inggeris tempoh hari sebenarnya sudah diramal secara tepat oleh seorang peminat Liverpool sebelum permainan lagi. Bukan sahaja jumlah jaringan yang diramal tepat malah beberapa ramalan lain juga tepat seperti jumlah gol pada separuh masa permainan serta siapa yang menjaringkan gol. Paling menarik gol sendiri pemain Birmingham juga diramal dengan tepat! Ramalan tepat beliau adalah:

1. Gol pertama dijaringkan pada minit pertama.
2. Tiga gol dijaringkan pada separuh masa pertama.
3. Empat gol dijaringkan pada separuh masa kedua.
4. Gol keenam adalah gol sendiri.
5. Djibril Cisse menjaringkan gol pada lewat permainan.

Semasa beliau membuat ramalan, ramai pengunjung lain menyatakan ramalan itu takkan tepat. Malah ada mencemuh beliau. Tetapi apabila berakhir permainan, ramai pula yang meminta rahsia telahan beliau!

Jaringan/pos berkaitan:
Fan predicts 7-0 win on BBC site
Original post at 606 Message Boards, BBC
He's Back!
Viva Liverpool, But Please Forgive Me...
'Owen Syndrome'

23 Mac 2006

Jalan-jalan Di KL



Dek terlalu sibuk, ku semacam dah tak terurus lagi. Kerja bertimbun banyak. Ku malah tak ada masa langsung untuk memotong rambutku yang dah panjang ini.

Keesokannya big boss akan turut sama menghadiri mesyuarat. Takkan kumahu memperagakan rambutku yang serabai ini. Mahu tak mahu kuharus mencari kedai gunting rambut malam itu juga.

Ku tak pernah potong rambut di KL. Bertanya kawan-kawan, mereka juga tak biasa. Akhirnya ku ke Bukit Bintang saja jikalau ada kedai di sana. Ku pernah mendapat flyers mempromosikan kedai rambut di sana tapi ku tak tahu di mana lokasi sebenarnya. Mungkin di BB, Sungei Wang ataupun Low Yat.

Mula-mula ku ke Low Yat, ke tingkat bawah. Cari-cari tapi tak jumpa. Setelah berputus asa, ku ke Sungei Wang pula. Namun banyak yang kujumpa adalah salon. Kalau nak warnakan rambut sekali atau membuat teknik rebonding, bolehlah.

Setelah tak jumpa, kuberjalan kaki sekitar Bukit Bintang. Tak ketemu lagi. Yang ada banyak kedai urut yang memberikan "khidmat tambahan". Setelah berpusing-pusing, ku sampai balik ke Low Yat.

Cuba lagi mencari di tingkat bawah, kalau-kalau terlepas tadi. Masih tak jumpa. Ku dah berputus asa. Lalu ku ke tingkat atas untuk mencari sedikit gadget - tujuan nombor duaku ke sini.

Sampai di tingkat dua, kelihatan beberapa kedai yang mempunyai ciri-ciri yang kucari itu. Oh, rupanya di sini. Tak kusangka di sini. Penat saja kuberjalan ke sana ke mari. Flyers itu sebenarnya merujuk kedai di sini, bukan di bawah.

22 Mac 2006

Misteri Genting Highlands


(Picture from http://www.mingalaronline.net)

Ketika ke Genting Highlands tempoh hari, kumenaiki kereta kabel untuk ke puncak. Kebetulan seorang teman sedang sarat mengandung, dia tak ikut serta. Sebaliknya dia menaiki kereta sahaja. Alasan lain juga kerana dia pernah mendengar cerita kurang elok tentang kereta kabel di Langkawi.

Akhirnya tinggal beberapa orang sahaja yang menaiki kereta kabel. Tak ramai orang di stesen kereta kabel pada waktu itu kerana bukan musim cuti sekolah dan waktu itu sudah pun malam.

Pada permulaan perjalanan memang seronok. Semua orang menganggap thrillnya pasti kurang kerana pada waktu malam, cerun-cerun yang dalam di bawah laluan kereta kabel pasti tak dapat dilihat.

Tetapi sangkaan itu meleset sama sekali. Pada waktu malam thrillnya memang tetap ada malah berlainan sama sekali. Di sesetengah tempat yang tak terjangkau lampu limpah, suasananya amat gelap. Hanya lampu malap di dalam kereta kabel sendiri yang sedikit sebanyak menerangi penglihatan.

Di kawasan-kawasan gelap itulah, seolah-olah sudah dirancang, kelajuan kereta kabel dikurangkan. Bayangkan setelah diperlahankan, suasana sungguh sunyi! Tiada lagi bunyi angin dibelah kereta kabel. Tiada lagi bunyi celoteh kami, seolah-olah sudah diarahkan diam. Cengkerik yang dari tadi berbunyi tak henti-henti pun tiba-tiba diam membisu. Semua orang melayan perasaan masing-masing.

Setelah sampai semula di tempat yang lebih terang, seorang teman memecah kesunyian dengan berkata yang dia ternampak “Maya Karin” ataupun pontianak bertenggek di atas dahanan pokok di hutan tebal di bawah laluan kereta kabel tadi.

Kusudah mengagak di sini pasti banyak makhluk-makhluk halus. Tempat ini pun bukanlah sebuah tempat yang elok sangat. Sering kedengaran cerita-cerita para penjudi menggunakan khidmat makhluk-makhluk ini untuk meraih kemenangan besar. Apabila kalah dan tak mahu lagi dibebani dengan makhluk-makhluk itu, maka ditinggalkan mereka itu di hutan berhampiran. Temanku yang agak arif tentang hal-hal ini juga mengatakan banyak hantu raya tinggal di sini.

Dalam perjalanan pulang, mahu melihat tapi tak muncul. Kalau dicari takkan jumpa…

09 Mac 2006

Hatiku Sudah Dimiliki - Siti Nurhaliza - Petanda Kejatuhan?


Datuk K

Beberapa hari lepas banyak akhbar menyiarkan berita pengakuan Siti Nurhaliza yang hati beliau sudah dimiliki. Banyak pihak mengaitkan beliau dengan Datuk K atau nama sebenarnya Datuk Khalid Mohd Jiwa, seorang ahli perniagaan yang memiliki beberapa syarikat yang tersenarai di bursa saham.

Jika ini benar-benar terjadi maka akan hancurlah harapan para peminat Siti yang mengharapkan sekurang-kurangnya berlaku satu acara perkahwinan yang agung ala Raja-raja antara pasangan beliau yang sepatutnya seusia ataupun tak jauh beza umur antara mereka.

Barangkali di benak para peminat beliau kenapa dipilih seorang lelaki berusia 47 tahun yang agaknya layak dipanggil bapa untuk menjadi suami beliau. Mahukan seorang yang kaya? Mungkin juga tidak kerana Siti sendiri telahpun kaya.

Kenapa Datuk K menjadi pilihan? Ramai memerhatikan Siti sangat rapat dengan kakak Datuk K iaitu Zaiton yang pernah menganjurkan konsert amal Siti. Juga dikatakan Siti rapat sejak Datuk K menceburkan diri dalam perniagaan berkaitan industri hiburan.

Adakah ini menandakan mulanya zaman kejatuhan Siti? Jika Siti berkahwin dengan Datuk K, mungkin sebahagian besar peminat tak bersetuju dan tidak akan kisah lagi dengan perkembangan beliau.

Beberapa hal lain juga dilihat bakal menggugat kedudukan Siti sebagai artis paling popular di Malaysia malah juga di rantau Nusantara ini.

Jika dilihat dari sudut neutral, Siti sepatutnya sudah membersihkan nama beliau dengan “mengajar” Datuk Sharifah Aini di mahkamah atas kes emel layang Datuk Pah yang cuba menjatuhkan maruah beliau. Belum pun penghakiman bermula, kes itu sudah awal-awal lagi ditolak kerana bukan Siti sendiri yang membuat aduan.

Apabila kes itu tergantung, maka tidak ada ruang untuk menegakkan kebenaran. Umum tidak dapat memastikan pihak mana yang benar. Mungkin Siti sendiri adalah sepertimana yang didakwa Datuk Pah?

Fenomena Raja SMS, Mawi juga dilihat bakal menggugat kedudukan beliau. Pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian baru-baru ini, Mawi memecah tradisi kemenangan Siti Nurhaliza dengan menggondol Anugerah Artis Paling Popular dengan majoriti undian melebihi Siti sebanyak tujuh kali ganda.

Adakah ucapan terima kasih Siti “untuk yang tersayang” di akhir kata-kata beliau semasa Anugerah Bintang Popular Berita Harian adalah yang terakhir sebelum kejatuhan beliau? Biar masa menentukan. Siti sudah biasa dengan jatuh bangun dunia hiburan ini…

Nota kaki: Bukan pembaca bukan dari Malaysia, "Datuk" adalah gelaran kurniaan Sultan-sultan negeri-negeri Malaysia untuk tokoh-tokoh masyarakat.

Artikel-artikel berkaitan dengan Siti Nurhaliza:
Siti Nurhaliza Can't Speak English? (previous post from archive)
All eyes now on Datuk K (The Star)
Siti hitung hari? (Harian Metro)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...