25 April 2006

Lawatan ke Indonesia II - Jogja: Menjengah Desa Mencari Hasil Kerajinan Tangan & Candi Prambanan



10 April 2006

Temanku pada awalnya ke sini bertujuan mencari perabot untuk perniagaannya. Dia sudah berkira-kira dengan Mas Adi malam tadi dan dengan informasi luas yang Mas Adi miliki, hari ini kami mahu mencari perusahaan kraftangan kampung yang sangat bermutu hasilnya. Di sini, orang yang membuat perabot itu dipanggil pengrajin.

Kami menyewa sebuah pacuan empat roda dan dengan supir atau pemandu kami, Mas Aji, kami ke Desa Trangsan, Sukoharjo. Mereka lebih berpengetahuan dalam hal ini. Trangsan bererti terangsang dan masing-masing ada interpretasi sendiri. Mas Adi memanggil erection. Kami juga melewati Stesen Keretapi Gawok. Gawok itu bererti alat sulit perempuan. Hmm, macam-macam nama di sini. Kalau di Terengganu, sudah lama ditukar nama yang tak elok itu. Kalau dulu dipanggil Pulau Babi, kini menjadi Pulau Bahagia. Pernah pemanggil radio menyarankan nama kampung yang paling hulu di Terengganu, Kampung Ulu Pueh menjadi Kampung Alamanda. Berbelit lidah orang kampung itu nanti...

Perjalanan kami waima sesat seketika untuk mencari arah tujuan yang betul sungguh mengasyikkan. Pemandangan sawah padi sungguh mempesonakan. Melihat orang bertanam padi mengingatkan aku suasana di kampung ketika ku masih kecil. Padi di sini tak bermusim iaitu padi masih boleh dituai walaupun akarnya digenangi air. Sesudah menuai, terus ditanam semaian padi. Bendang-bendang di sini agak besar jika dibandingkan dengan di Malaysia. Di celah-celah ruangan tak digunakan untuk menanam padi, pasti dimanfaatkan dengan menanam sayur-sayuran.

Akhirnya kami sampai ke sebuah perusahaan perabot yang ditujui. Terdapat banyak kerusi telah disiapkan atas tempahan pelanggan. Meja dan sofa juga ada sedang disiapkan. Kami bertemu pemilik, Bapak Tugiyono, yang sangat peramah dan sangat menghormati tetamu. Beliau begitu berminat dengan peluang perniagaan yang dihidangkan. Kami juga diberi peluang melawat kilang dan gudang milik Pak Tugiyono.

Di sini, kami kadang-kadang terasa sedikit asing kerana kami tak memahami pertuturan orang di sini. Sesama mereka digunakan Bahasa Jawa manakala Bahasa Indonesia hanya digunakan untuk bertutur dengan orang luar dari daerah lain. Bahasa Jawa digunakan dengan meluas di Jawa Tengah dan Jawa Timur. Inilah bahasa pertama mereka. Manakala bahasa Indonesia, bersama asasnya Bahasa Melayu sebagai lingua franca terbesar dan terluas di rantau ini, hanyalah digunakan sebagai bahasa kedua.

Selesai urusan temanku itu, kami pulang. Destinasi kami ialah ke Candi Prambanan. Kami makan dahulu sebelum ke sana. Mahu mencuba Nasi Padang yang banyak bertebaran bukan sahaja di Indonesia malah di Malaysia sendiri itu. Namun lauknya banyak yang dah habis. Kami makan makanan Jogja sahaja.

Untuk masuk ke Prambanan, bayaran untuk orang asing adalah US$10 manakala untuk orang Indonesia pula ialah Rp.8000. Wah, mahal sekali! Nampaknya terpaksa kami menjadi orang Indonesia. Apabila ditanya orang mana, hendak kujawab orang Tanjung Pinang! Mas Aji pula mencadangkan bilang saja orang Riau. Akhirnya, Mas Adi saja yang beli. Dapat harga orang Indonesia. Apabila bercakap dengan petugas di situ, kucuba sedaya upaya membuang loghat Melayu Malaysia ini. Nasib baik ku banyak menonton TV Indonesia... Maaf Indonesia, mungkin duit yang kujimat ini boleh digunakan untuk membeli-belah nanti. Ini juga untuk Indonesia...

Dek hari mendung nak hujan, suasana agak kelam. Tak sesuai untuk mengambil gambar. Banyak gambar yang kuambil tak menjadi. Semasa di perkarangan candi, hujan mulai turun. Nasib baik ada perkhidmatan menyewa payung. Kami berlindung di anjung candi. Seram juga melihat suasana yang gelap gelita di dalam candi. Maklum, inikan tempat yang sudah lama. Sudah jatuh ditimpa tangga, bateri kameraku juga dah habis. Kami berteduh di situ saja tanpa melakukan apa-apa sehingga hujan agak reda. Kami langsung pulang ke Prawirotaman.

Sesudah mempersiap dan menata diri di hotel, kami keluar untuk makan malam. Kali ini menggunakan khidmat Mas Adi lagi. Kami mahu mencuba Sate Madura yang dikatakan sedap itu. Kami makan di warung berdekatan dengan hotel kami sahaja. Namun tak sesedap Sate Kajang atau sate yang pernah kumakan di Jakarta semasa libur di sana dulu.

Mas Adi membawa kami ke kawasan Keraton lagi. Kami ke kedai yang menjual kemeja T khas buatan Jogja atau dipanggil Dagadu. Dagadu merupakan bahasa kod penjenayah yang jika dialih bahasa ia bermakna "Matamu". Jenama kemeja T yang kami beli dipanggil Djokja dan kualitinya amat bagus. Corak yang dipaparkan berkenaan Jogja dan kehidupannya.

Mas Adi mengajak kami ke kawasan dua pohon Beringin berhampiran. Katanya peserta akan diuji untuk berjalan lurus sambil ditutup mata ke kawasan antara dua pohon Beringin itu. Seolah-olah dipimpin seseorang, peserta akan berjalan lurus. Namun kepada yang tak menjadi, suasana lucu menggamit hilai tawa pengunjung lain kerana berjalan tunggang-langgang. Ku tak mahu mengambil bahagian kerana tak mahu terlibat dengan aktiviti spiritual seumpama itu.

Setelah itu, kami pulang. Sudah capek atau penat. Ayam capek - I am capek!

Pautan menarik:
Koleksi gambar di Prambanan
Koleksi gambar di Trangsan
Pos terdahulu - Lawatan Ke Indonesia I

14 April 2006

Lawatan ke Indonesia II - Keraton Solo



9 April 2006

Semasa bangun pagi, ku masih berasa penat. Ku masih menghadapi cabaran demi cabaran. Malam tadi di kala orang sedang enak tidur, ku ke tandas sebanyak empat kali gara-gara cirit-birit. Kurasa penyebabnya adalah sate yang kumakan semasa dalam pesawat semalam.

Setelah aku bertanya temanku, memang sah gara-gara sate itu. Dari tengah hari semalam, kami makan menu yang sama kecuali semasa di dalam pesawat sahaja. Dia tidak mengalami apa-apa pun. Hmm nampaknya mungkin kuterpaksa menulis surat kepada Tony Fernandes. Inilah layanan terburuk pernah kuterima dari AirAsia!

Lupakan AirAsia. Hari ini kami ke Kraton Kasunan dengan menaiki beca. Hari ini agak sesak kerana keesokan harinya cuti Maulidur Rasul di sini. Ada pasar berhampiran Keraton yang bernama Pasar Klewer dan ramai orang memenuhi jalan ke sana kerana persiapan menyambut Maulidur Rasul juga ada pelbagai acara diadakan termasuk acara diRaja.

Dengan seorang pramuwasata (pemandu pelancong), kami dibawa masuk ke muzium diRaja di situ. Di halaman Keraton, terdapat pasir laut yang berwarna hitam yang diambil khas dari Laut Selatan buat hamparan di depan Keraton. Khabarnya pasir ini tidak boleh
dicuri kerana barangsiapa mengambil pasir ini tanpa kebenaran, nescaya pada malamnya akan datang pengawal Keraton zaman silam lengkap berpakaian perajurit lama menuntut pasir yang dicuri itu untuk dipulangkan. Pernah terjadi pengunjung yang ingkar kelihatan berpencak silat di tengah malam dan mukanya bengkak seolah-olah ditampar dan ditumbuk. Untuk kembali pulih, harus memulangkan pasir itu dan kesan sakit hanya akan hilang selepas 40 hari.

Kedudukan atau martabat Keraton ini adalah lebih rendah jika yang dibandingkan dengan yang di Jogja. Hasil campurtangan Belanda, Kesultanan Mataram terbahagi dua. Satu di Jogja di bawah Sultan Hamengku Buwono manakala di Solo yang pro Belanda di bawah kekuasaan Sunan Paku Alam.

Di Keraton ini, terdapat juga banyak patung-patung yang beridentitikan Kristian. Ku sangat penasaran dengan keadaan ini kerana Sultan adalah seorang Muslim dan rakyat di sini majoritinya Islam. Menurut pariwasata, patung-patung adalah hadiah kurniaan Raja Rom. Dahulu pabila para mubaligh Kristian datang, Sultan Solo menerima dengan hati terbuka. Rakyat bebas memilih lima agama yakni Islam, Hindu, Buddha, Protestan dan Katholik. Namun Sultan mesti beragama Islam. Menurut pramuwisata, dipercayai bahawa semua orang menyembah Yang Maha Berkuasa, cuma caranya berlainan dan semua orang bebas memilihnya. Inilah asas falsafah kenegaraan Indonesia, Pancasila, yang salah seorang pengasasnya berasal dari keturunan di sini. Dalam hatiku, langsung ku tak bersetuju. Ku hanya mendengar tanpa kusematkan di fikiranku. Ini bertentangan dengan apa yang kupelajari dan kufahami.

Bersempena hari Maulud Nabi pada keesokannya, persiapan juga sedang dijalankan di Keraton. Terdapat hiasan bunga yang diperbuat dari nasi. Di Masjid Raya yang bersebelahan juga sibuk dengan pelbagai persiapan. Kami menghadapi jalan sukar untuk keluar kerana terlalu ramai orang di sini. Pasar Klewer yang terletak di depan pintu masuk Keraton juga sesak di samping fun fair yang didirikan di situ. Kami pulang ke hotel menaiki beca lagi dan seterusnya mendaftar keluar dari hotel.

Seusai urusan daftar keluar, kami ke Restoran Wong Solo untuk makan tengah hari. Kami mahu mencuba Ayam Bakar yang terkenal itu yang kami tidak temui malam tadi. Ayamnya sangat enak. Selepas itu, sesudah masuk waktu petang, kami mengambil teksi untuk ke Jogjakarta. Temanku mahu mencari perabot atau mebel dalam panggilan Jawa di Klaten yang berlokasi di tengah-tengah perjalanan nanti.

Perjalanan ke Jogja dipenuhi dengan panorama suasana kehidupan kampung yang tenang dan damai. Di merata-rata tempat ada banyak sawah diusahakan berlatarbelakangkan gunung-ganang dan yang paling menarik pemandangan adalah Gunung Merapi, gunung berapi yang berasap di puncaknya. Khabarnya gunung itu sudah dikelaskan sebagai berjaga-jaga tahap keselamatannya.

Walau bagaimanapun, kami tidak jadi berhenti di Klaten kerana pemandu teksi kurang arif tentang lokasi tempat itu. Sebaliknya kami terus ke Jogja. Destinasi kami adalah ke Jalan Prawirotaman untuk menginap di Delta Homestay. Dengan harga Rp.80 ribu, hotel ini sangat sesuai untuk back packers seperti kami. Lokasinya lebih tenang jika dibandingkan dengan di pusat kota. Kami bertemu Mas Adi, seorang pengayuh beca yang sangat berinformasi. Beliau ikhlas dan tidak kelihatan mahu menipu para tamu. Beliau memberitahu beliau pernah tinggal di Australia selama dua bulan atas jemputan seorang pelancong dari sana.

Malam itu kami dibawa ke kawasan berhampiran Keraton. Mula-mula kami ke kedai menjual lukisan. Banyak lukisan bermotifkan kebudayaan dan kehidupan orang Jawa khususnya di Jogja digambarkan. Khabarnya ada lukisan yang bermotifkan spiritual yang mana pelukisnya berpuasa dan bermeditasi sebelum melukis ada juga dijual. Lukisan ini banyak menggambarkan dewa-dewi Hindu. Kami membeli satu dua lukisan yang hanya menggambarkan pemandangan alam kerana pegangan kami, Islam, menegah lukisan yang menggambarkan benda hidup, apatah lagi lukisan yang bermotifkan agama lain.

Kemudian kami ke Jalan Malioboro yang terkenal itu. Kami mahu ke pusat membeli belah atau di sini dipanggil mal untuk mencari CD artis-artis Indonesia yang ngetop itu. Temanku awal-awal lagi sudah dipesan untuk membeli beberapa keping CD. Kumembeli album Radja dan Dewa 19 yang terbaru di samping Gamelan Jawa yang kucari sejak dari Solo lagi. CD di sini murah, dalam lingkungan Rp.45-50 ribu sahaja ataupun sekitar RM20. Di Malaysia harga CD sudah tentu mencecah RM30 ke atas.

Perut pun sudah berkeroncong. Mas Adi membawa kami menjamah makanan asli Jogja iaitu Nasi Gudeg. Nasi ini dimakan dengan sambal khas berserta ayam, telur dan juga tempe. Kurasa sungguh enak, maklumlah sudah lapar tapi temanku itu yang mendapat nama baru "Gudeg Wijilan" merasa tak sesuai dengan seleranya. Cuma tadi ku tak ambil ayam kerana kepala ayam dimasak sekali. Sungguh eksotik. Ku ini bukannya ala-ala Fear Factor...

Selepas makan kami pulang ke hotel. Mahu berehat untuk perjalanan yang pasti mengujakan keesokannya.

Koleksi gambar di Solo
Pos terdahulu - Lawatan ke Indonesia (Bhgn I & II)
Pos terdahulu - Lawatan ke Indonesia (Bhgn III)

(Tulisan asal dikarang di Agung Internet, Jalan Poppies, Kute, Bali)

12 April 2006

Lawatan Ke Indonesia II - Pra Lawatan - Cabaran Demi Cabaran



8 April 2006

Dari negeri Johor Ke negeri Mataram. Kalau roboh kota Melaka, papan di Jawa hamba dirikan. Kali ini bersama seorang temanku, kami berangkat ke Solo, Indonesia. Pelbagai halangan dan dugaan ditempuh sebelum perjalanan kami. Asalnya mahu pergi bersama seorang teman lain tapi beliau tidak dapat turut serta. Kumahu batalkan saja tetapi kubernasib baik kerana seorang kawan yang lain dapat pergi.

Perjalanan bermula apabila kuhabis urusan kerjaku di KL. Sewaktu kumendaftar keluar, satu lagi cabaran kutempuhi. Ramai orang pada masa itu mahu mendaftar keluar dan masing-masing ada dengan masalah sendiri. Ada yang meragui bil yang dicaj dan ada juga yang mahu dicaj bil mereka secara asing-asing walaupun mereka datang berkumpulan.

Kumenunggu hampir dua puluh minit untuk mendaftar keluar. Biasanya tidak sampai tiga minit pun. Para pekerjanya pula kelihatan tidak mengambil inisiatif langsung untuk memperbaiki keadaan seperti mempercepatkan proses daftar keluar. Apabila ku sudah bercekak pinggang barulah terhegeh-hegeh mahu cepat.

Kami menaiki LRT ke KL Sentral dan seterusnya menaiki bas ulang-alik ke LCC. Dinamakan Skybus, perjalanan ke LCC mengambil masa satu jam untuk sampai. Kerana kami lambat tadi, kami hanya mendapat tempat duduk yang paling belakang. Apabila duduk di situ, maklum sajalah untuk sebarang lantunan bas yang terhasil dari sistem gantungannya, orang yang duduk terbelakanglah yang paling terasa kesannya. Akhirnya apabila sampai ke LCC, kami sudah kepenatan.

Di LCC, kusudah fikirkan yang keadaan di sini tidak boleh disamakan dengan KLIA, meskipun kumahu yang terbaik di sini setaraf dengan terminal yang baru siap ini. Walau bagaimanapun, kudapati keadaannya tidaklah selesa sangat. Terlalu sesak disitu menandakan ruangan yang dibina tidak mampu mengisi jumlah penumpang yang ramai. Terlalu ramai orang menunggu baik di balai berlepas mahupun balai ketibaan. Di situ juga masih belum banyak kedai yang dibuka. Di McDonald's, ramai orang beratur untuk membeli makanan. Pun begitu, proses daftar masuk cepat kerana banyak kaunter dibuka.

Sampai di balai berlepas, terlalu ramai orang menunggu pesawat masing-masing sehinggakan tidak cukup kerusi. Kami terus beratur di pintu yang ditetapkan kerana kami masuk pada waktu pesawat sudah hampir berlepas. Dengan kelihatan sebuah pesawat menunggu di luar, kami teruja untuk memulakan perjalanan. Namun keterujaan kami tersekat kerana itu bukan pesawat kami. Kami terpaksa menunggu lagi.

...terhenti di Prawirotaman, Jogjakarta, 12 April 2006...
...disambung kembali di Kuta, Bali, 14 April 2006...

Kali ini ada beberapa pesawat lain turun lagi. Kami lega. Namun harapan tinggal harapan. Yang ditunggu tak kunjung tiba. Orang ramai yang masih duduk semasa kami beratur tadi pula yang berlepas dahulu. Rupanya pesawat kami masih belum sampai.

Kami hampa. Ramai yang beratur tadi sudah keletihan dan mulai duduk di atas lantai. Kesabaran kami teruji. Tidak ada langsung pengumuman kelewatan dari Airasia. Tiada juga pengumuman maaf buat menenangkan para penumpang. Beberapa penumpang mengambil inisiatif untuk bertanya. Akhirnya diberitahu juga kelewatan penerbangan kepada para penumpang. Itupun sudah hampir dengan waktu penerbangan yang tertunda itu.

Sepanjang perjalanan, pesawat agak bergoyang dek cuaca buruk. Ada beberapa perempuan yang menjerit. Tapi keadaan itu sekejap-sekejap sahaja. Tak ada apa yang perlu dirisaukan.

Perutku pula berkeroncong setelah melalui beberapa peristiwa tadi. Kumemesan nasi goreng sate kerana ku belum menjamah nasi lagi hari ini. Almaklum, pesawat tambang murah tetapi makanannya berharga mahal. Nasi goreng satu senduk kecil berserta dua cucuk sate berharga RM9.00. Oleh kerana lapar, kubeli jua.

Apabila kami sampai ke Solo, hari sudahpun gelap. Proses imigresen amat cepat. Para pegawai di situ juga ramah. Tidak ada yang meminta uang pelicin. Kami menaiki teksi ke Jalan Slamet Riyadi sambil memperjudikan nasib kalau-kalau ada hotel yang sesuai dan masih kosong. Pemandu teksi itu menyarankan kami agar menginap di Hotel Dana. Kami bersetuju untuk tinggal di sana. Sebagai back packers, kami tidak kisah kerana kami hanya satu malam transit di Solo. Nasib kami juga baik kerana masih ada satu lagi bilik kosong untuk kami walaupun ada majlis perkahwinan di situ.

Pada malam itu, kami makan di luar. Mahu mencari Ayam Bakar yang terkenal itu tapi tidak dijumpai. Kami makan di restoran makanan laut bakar sahaja. Walau bagaimanapun udang bakarnya tetap sedap. Selepas makan, kami pulang. Sudah penat melalui hari yang
sangat sukar...

Koleksi gambar di Solo

11 April 2006

Pasca Harga Minyak Naik

Entahlah sejak akhir-akhir ini kudapati kesesakan lalulintas di JB kurang dari biasa. Apabila turun dari Lebuhraya Utara Selatan menyusuri Lebuhraya Pasir Gudang, pasti akan ada bottle neck yang menyebabkan kesesakan. Semasa kulalui laluan itu minggu lepas, walaupun pada masa itu sudah jam lima petang, kurasa pelik kerana laluan lancar. Di Johor Jaya di bawah flyover Lebuhraya Pasir Gudang yang biasanya kenderaan berasak-asak pun sekarang nampaknya sudah tidak ada kesesakan.

Baru-baru ini ketika makan di sebuah pusat membeli-belah di JB, seorang teman memberikan pendapat yang mengatakan ramai orang sekarang tidak keluar rumah disebabkan kenaikan harga minyak.

Mungkin ada kebenarannya. Masing-masing ada pelbagai cara untuk menangani masalah kenaikan harga minyak. Kalau dulu serumah ada empat kereta, keempat-empatnya pasti akan berada di atas jalan raya pada masa yang sama. Kini mungkin satu atau dua sahaja yang bergerak.

Bagi yang mempunyai kenderaan bercc tinggi, pasti penggunaannya akan dihadkan. Yang menjadi pilihan adalah kenderaan yang ekonomi yang rata-ratanya bercc rendah.

(Dikarang di Metro Guest House, Jogjakarta, Indonesia. Tunggukan pos-pos menarik berkenaan Lawatan ke Solo, Jogjakarta dan Bali nanti...)

02 April 2006

Moero Attack Dan Bola Tampar



Ingat Moero Attack? Sekarang pasti pembaca terbayang jauh nun di masa lampau ketika masih bersekolah cerita ini disiarkan pada lebih kurang jam 4 petang di TV3. Pelbagai gambaran pasti terpancar ketika masih di zaman sekolah sambil menikmati ais krim, memakan makanan ringan, main tikam dan lain-lain.

Idea menulis fasal Moero Attack ini dah lama kufikirkan cuma tak dapat bahan yang kucari-cari. Kumahu sekurang-kurangnya ada video yang boleh meningkatkan keterujaan ataupun boleh mengalirkan air mata jika mengenang zaman dahulu (ada ke?!). Pernah kujumpa video ini di Jiwang Torrent tapi seedernya entah ke mana menghilang. Hari ini kucuba lagi melayari laman Internet lain, akhirnya aku berjaya!

Bercakap tentang Moero Attack ini, pastinya ramai yang berkongsi pengalaman yang sama. Ku masih ingat ku selalu memonteng kelas agamaku di waktu petang semata-mata kerana tak mahu terlepas menonton rancangan ini. Summersault berkembar, servis piring terbang dan puncak kehebatan Chun iaitu summersault berpusing ciptaan ibunya masih terbayang-bayang di fikiran. Ku pernah dilucutkan jawatan ketua kelas agamaku kerana terlalu kerap memonteng. Apalagi pabila di akhir-akhir episod, ku tak kelihatan langsung di sekolah...

Moero Attack
mengisahkan seorang gadis berhijrah ke Hokkaido semata-mata untuk terpilih mewakili Jepun ke temasya Sukan Olimpik di Moscow. Pelbagai dugaan dan cabaran ditempuhi untuk mencapai cita-citanya. Berkat galakan bapanya, beliau dapat juga ke Sukan Olimpik.

Hasil penangan Moero Attack ini juga bola tampar tiba-tiba menjadi sukan kegemaran pada masa itu. Semua orang mahu belajar bermain bola tampar. Ini termasuk diriku. Ketika pihak sekolah mengumumkan untuk memilih pemain menyertai pertandingan bola tampar peringkat negeri (pada masa itu tak ada peringkat daerah kerana tak semua sekolah didedahkan dengan sukan ini), aku sangat teruja untuk mewakili sekolah.

Pemilihan hanya dilakukan dengan menyuruh murid-murid membuat servis. Ramai juga yang datang. Ada yang boleh tapi ada juga yang tak berjaya. Sampai ke giliranku, aku berjaya menyervis bola ke gelanggang lawan. Kusangka kuberjaya tapi tidak! Kata guru yang membuat pemilihan itu, kakiku melepasi garisan ketika membuat servis tadi. Terus aku tak terpilih. Ini tidak adil! Bakatku dipersiakan begitu saja gara-gara hanya kaki terlepas garisan servis.

Penat saja aku berlatih di belakang rumahku. Sehinggakan kumenggunakan bola sepak yang zahirnya lebih berat dari bola tampar untuk berlatih. Sampai hari ini aku menyesali keputusan guru itu... (isk...isk..)

Tapi tak mengapa Cikgu. Ku tak kisah kerana kudapat juga bermain untuk sekolah menengahku. Pernah ku ke peringkat kebangsaan dan seterusnya bermain untuk universitiku sebagai Kapten...

Tetapi setelah kumelalui semua itu, setelah kubelajar undang-undang dan teknik bermain bola tampar, rupa-rupanya summersault berkembar atau berpusing itu menyalahi undang-undang permainan bola tampar! Ku masih ingat pesan Cikgu Hamzah semasa kelas ko-kurikulumku (kuambil bola tampar juga sebagai subjek ko-kurikulum), semua yang dalam Moero Attack itu tidak boleh dilakukan semasa permainan sebenar. Yang dipaparkan hanyalah untuk mengolahkan cerita itu supaya lebih dramatis. (Sihat lagi ke Cikgu Hamzah?. Beliau terkena buatan orang ketika ku di tahun akhir pengajian. Dari badan yang gempal beliau menjadi kurus kering...)

Begitulah penangan Moero Attack. Buat menyahdukan memori anda semua, kutemui satu video di bawah di Internet.



Berikut pula hasil nukilan beberapa bloggers yang berkaitan dengan Moero Attack. Gaban, Ding Dang, Kum Kum, Projek Susu Segar? Semua ini pasti terkait pada zaman itu... Sukar untuk kupastikan siapakan penulis asal kerana terlalu banyak disiarkan di pelbagai laman. Kupasti ini nukilan ini pernah dilayangkan melalui emel. Kendatipun begitu, kusiarkan semua yang kutemui ini. Cheers!

Those Days
A walk down memory lane...
Nostalgia of Malaysian 70's Babies (sebenarnya tahun 80-an ni...)
Attiesya
Forum Moero Attack Di Cari.com.my
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...