29 September 2006

Ada Apa Dengan Malaysia?

Jikalau aku seorang pelancong asing, apa yang membuatkan aku ke Malaysia? Apakah keunikan Malaysia? Jika kudisuruh memilih di antara beberapa negara di dunia ini, adakah akan kumemilih Malaysia?

Mungkin jawapannya tidak. Ada apa dengan Malaysia? Ada senibina tersendiri? Ada budaya tersendiri? Ada keindahan alam belum diterokai? Ada makanan unik? Mungkin semua itu ada tapi tidak kutahu.

Inilah persoalan pelancongan di Malaysia sekarang. Malaysia ada semua itu, bukan tidak ada, tetapi masalah suka meniru orang lain dan kurangnya strategi pemasaran membuatkan orang luar tidak dapat memberikan satu perkara unik tentang Malaysia.

Kita tidak perlu pergi jauh. Cukup dengan membandingkan dengan jiran-jiran kita. Kita ambil contoh senibina. Jika kita melihat rumah berbumbung tajam seperti tanduk kerbau, kita dengan cepat itu mengatakan itu berasal dari Indonesia. Itu adalah senibina Minangkabau. Kalau hiasan dalaman ataupun luaran, seluruh dunia tahu konsep Bali.

Di Malaysia, kita bukan tidak ada senibina tersendiri tetapi ia kurang menonjol. Kita ada senibina Terengganu seperti di Muzium Losong yang berasaskan istana Melayu zaman silam dan juga ukiran pada kepala perahu. Kenapa tidak kita tonjolkan ini semua. Kelihatannya semua orang mahukan kemodenan. Tiada lagi unsur tradisional.

Cara berfikir kita tentang kehendak pelancong juga kadang-kadang melucukan. Dulu apabila ramai orang Arab berkunjung ke sini, menteri berkenaan mahu membuat satu lorong Arab yang khusus menjual barangan berasaskan Arab. Cuba kita berfikir balik. Jika kita ke negara lain, adakah kita akan mencari sesuatu yang sama dengan negara kita? Itu bukannya membuatkan pengalaman semakin luas, tetapi akan tetap berada di takuk lama.

Jika kita ke London, Sydney atau Wellington, adakah kita akan makan Nasi Lemak? Nak makan Nasi Lemak di Malaysia pun boleh. Sudah berbelanja besar-besar, alih-alih nak makan Nasi Lemak saja? Lagipula Nasi Lemak itu bukannya asli kerana bahan yang membuatnya tidak asli. Seperti orang Thai, adakah mereka mahu makan Tom Yam di KL? Tentu rasanya tidak sesedap dan tidak seasli yang ada di tempat sendiri.

Jika anda selalu menaiki perkhidmatan tren dari KLIA ke KL Sentral, adakah anda perasan adanya unsur-unsur keMalaysiaan di iklan-iklan di TV tren? Yang biasa kulihat ialah Carta Lagu 10 Terbaik Amerika Syarikat, Filem Terbaik Amerika dan seumpamanya. Kenapa tidak Carta 10 Filem Terbaik Malaysia? Kenapa tidak didedahkan filem buatan Malaysia? Adakah pelancong mahu tahu semua itu? Mungkin pelancong tadi sudah melihat carta itu sebelum dia menaiki kapal terbang di negara mereka.

Sebut pasal filem, kita pun tidak ke mana-mana. Lihat Thailand, filem seramnya sudah menembusi pasaran Amerika. Kita masih tercari-cari identiti budaya Malaysia dalam filem. Tak nak buat cerita Toyol? Rasanya belum ada cerita hantu Thai atau Korea yang mengisahkan orang bersahabat dengan hantu dan menggunakan hantu untuk mencuri. Yang mereka ada hanya orang diganggu hantu.

Selamat Tahun Melawat Malaysia 2007.

Tag: , , , , , , , , ,

28 September 2006

Astana Idaman - Watak Datin Rocky Bertukar Pelakon

Setelah terlepas siri Astana Idaman di Astro Ria minggu lepas kerana ku ke KL, tiba-tiba minggu ini kulihat watak Datin Rocky sudah bertukar pelakon. Watak asal dilakonkan oleh Rozie Othman namun telah digantikan oleh Hamidah Wahab.

Sungguh janggal kurasa kerana apabila kita sudah sebati dengan watak seseorang, pertukaran mengejut pelakonnya adalah sesuatu yang sukar diterima. Terasa seperti hilang keterujaan untuk terus mengikuti cerita ini kerana kecacatan tersebut.

Satu hal lagi ialah Hamidah pastinya dibayangi Rozie yang cukup baik membawa watak Mak Datin. Kulihat Hamidah tidaklah setanding Rozie dan agak janggal pabila dia digandingkan dengan Jalaludin Hassan.

Ada satu forum di sini yang rata-ratanya tidak menyokong perubahan ini. Berbagai-bagai pendapat diluahkan untuk tidak menyokong perubahan ini.

Sebenarnya inilah satu-satunya drama Malaysia yang kuikuti di TV. Sebelum berbuka puasa, juga kutonton Hikmah 2 yang tidak kuhabis ikuti tahun lepas di RCTI kerana telah kubalik kampung untuk berlebaran.

Entahlah kenapa kuterlekat untuk menonton Astana Idaman. Mungkin agaknya selalu kumenonton TV pada jam 11 malam sebelum tidur. Hikmah pula jalan ceritanya menarik di samping watak Ana (kalau yang perempuan mengikuti watak Arman). Dulu semasa menonton Hikmah 1, sering kucapai Kamus Dewan* untuk memahami perkataan daripada bahasa Jakarta

*Kamus Dewan terbaru sebenarnya sudah memasukkan perbendaharaan kata daripada bahasa-bahasa rumpun Melayu lain seperti bahasa Jakarta, Jawa, Sunda dan Minang di samping loghat-loghat Melayu dari setiap negeri di Malaysia. Kupasti pembaca akan menemui maksud pamit, keren dan sebagainya.

Tag: , , , , ,

26 September 2006

Dorm

Hujung munggu lepas, tidak kubuat apa-apa di bulan puasa ini kecuali menonton VCD/DVD. Salah satu cerita yang kutonton ialah Dorm yang berasal dari Siam. Ini bukan saja satu lagi cerita seram garapan terbaik para sutradara Thai, malah bagiku cerita ini seolah-olah menggamit kenanganku di zaman sekolah dulu.

Babak-babak cerita ini menyegarkan kembali zamanku semasa tinggal di asrama dulu. Semuanya hampir sama - tinggal di dorm yang besar dengan katil tersusun antara satu sama lain, makan beramai-ramai di dewan makan dan mandi di kolah dengan gayung sambil berseluar pendek (dan bahagian dalam seluar itulah yang jarang disabunkan...)

Cerita ini mengisahkan seorang budak berusia 12 tahun, Chatree yang dihantar olah bapanya ke sebuah sekolah berasrama di tengah-tengah semester. Alasan bapanya ialah untuk mempastikan Chatree memperolehi pelajaran terbaik di sekolah yang lebih berprestij dan menghalang Chatree dari terganggu pelajarannya oleh gangguan di rumah seperti TV.

Lazimnya di sekolah ada pembuli dan cerita ini juga berkisar dengan pembulian. Rakan-rakan seasrama Chatree cuba menakut-nakutkan Chatree dengan cerita hantu di sekolah itu. Kononnya ada seorang pelajar mati lemas dipercayai membunuh diri di kolam renang sekolah itu. Warden di situ, Cik Pranee juga dikatakan mempunyai kaitan dengan peristiwa itu.

Pada malam pertama ketika Chatree berkeseorangan pergi ke tandas, belumpun sempat dia membuang air kecil, dia diganggu oleh hantu itu. Akibatnya Chatree lari lintang-pukang ke bilik dan akhirnya Chatree terkencing di katil. Ini menjadi bahan tawa kawan-kawannya.

Rupa-rupanya, hantu budak yang membunuh diri itu mahu berkawan dan meminta pertolongan dengan Chatree. Hanya Chatree yang mampu melihat hantu yang bernama Vichien itu. Setiap hari Vichienlah yang menjadi teman rapat Chatree.

Klimaks cerita ini ialah Chatree membantu Vichien kembali ke alam kematian untuk selama-lamanya dan Vichien tidak lagi bergentayangan di asrama itu. Rupanya misi Vichien ialah untuk menjelaskan keadaaan sebenar di mana dia tidak membunuh diri.

Walaupun cerita ini mungkin agak klise bagi sesetengah orang tetapi set penggambaran di asrama memberikan kelainan bagi cerita ini. Cerita ini berkisar tentang kehidupan di asrama seperti cerita hantu yang pasti setiap sekolah ada versinya tersendiri, warden yang garang, hidup teratur berdisiplin dan kerinduan pelajar baru terhadap orang tua dan rumah serta pembulian.

Babak paling mengesankan ialah di mana Chatree berlinangan air mata semasa makan telur goreng kerana teringatkan peristiwa telur goreng di rumahnya. Teringat kali pertama dalam hidupku berenggang dengan orang tuaku dulu.

Teringat di sekolah dulu, kutakut untuk ke tandas berkeseorangan di tengah-tengah malam kerana seringkali diceritakan kisah-kisah hantu di sekolahku. Kalau berjalan ke tandas, pandanganku terus ke depan, tidak memandang ke kiri atau kanan supaya tidak terlihatkan benda-benda aneh. Di tandas pula, sentiasa kuharapkan ia selesai cepat. Kalau dengar bunyi aneh, apalagi, berlarilah balik ke dorm.

Namun itu zaman junior. Tetapi bila sudah senior, diri sendirilah yang menjadi hantu...

Lihat trailer filem Dorm di bawah:



Pos terdahulu yang berkaitan:
Puteri Gunung Ledang
100 Tahun Malay College Kuala Kangsar
Teringat Perkara Lama
Moero Attack dan Bola Tampar

Tag: , , ,

25 September 2006

Wi-Fi Percuma di KLIA

23 Sept 2006 @ 2.00PM

Sebenarnya ku sudah lama tidak ke KLIA kerana jarang menaiki kapal terbang. Kalau kunaik pun, ku ke LCC kerana semua penerbangan AirAsia berlepas dan mendarat di sana.

Kali ini kuterpaksa menaiki kapal terbang MAS kerana ku tidak boleh memandu. Apabila kuberjalan ke terminal, kulihat banyak banner mempromosikan Wi-Fi percuma untuk para penumpang. Wah, ini sudah satu berita baik! Lantas kuambil PDAku dan sekarang sudah kuterhubung ke seluruh dunia! Sebab inilah pos ini tertulis...

Terima kasih KLIA!

Tag: , , , , ,

23 September 2006

Selamat Menyambut Ramadan 1427H

Kuambil kesempatan di sini untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadan 1427H. Moga-moga Ramadan ini merupakan yang terbaik pernah kita semua lalui.

Kupetik pesanan ahli jawatankuasa masjid yang kupergi tadi - "Saya kira ada 1000 orang datang ke masjid pada malam yang berkah ini. Kita berharap semoga jumlah ini bertahan sehingga ke akhir puasa."

Diharapkan kita semua bersama-sama berjemaah di masjid bersembahyang terawih, bukan hanya di awal puasa, bahkan diteruskan sehingga ke penghabisan bulan puasa.

Tag: , , , , ,

17 September 2006

KT vs JB

Tempoh hari, kulihat ada satu surat dihantar ke The Star oleh seorang penduduk Petaling Jaya (PJ) yang mengatakan semasa lawatan beliau ke Kuala Terengganu (KT), beliau mendapati KT jauh lebih bersih dari PJ. Ku yang sememangnya berasal dari KT selama ini tidak ambil kisah namun setelah kubaca dan kufikirkan, ya, itu memang benar.

Dibandingkan dengan Johor Bahru (JB), JB lebih kurang sama dengan PJ. Banyak kemudahan rakyat yang sesudah dibina tidak terurus. Berhampiran rumahku, jalan raya diperlebarkan dan apabila mahu siap, semuanya dibiarkan seolah-olah melepaskan batuk di tangga. Kerja-kerja housekeeping di JB ini selalunya diabaikan.

Lihat saja, garisan putih di jalan raya tidak disiapkan habis. Tiada anak panah petunjuk arah ke mana sesuatu lorong itu patut mengarah. Pasir yang bertaburan di jalan raya juga tidak diketepikan. Akhirnya rumput dan lalang yang tumbuh. Ini diparahkan lagi oleh kurangnya kesedaran sivik penduduknya yang suka membuang sampah di merata-rata tempat. Selain itu, lori-lori yang biasanya membawa muatan lebih selalu "terkeluar" dari lorong sebenarnya dan melanggar benteng di tepi jalan. Habis roboh dan kadang-kadang hancur apa yang dibina.

Jadi di sini ku telah ambil gambar di kedua-dua bandar itu. Mari kita bandingkan.


Rumput kering dan sampah bertaburan di JB.


Kemas dan bersih di KT.

Kalau di KT, semuanya terurus. Jarang kelihatan sampah. Kerja-kerja merapikan bandar ini selalu dilakukan. Setiap pagi selalu kelihatan pekerja-pekerja Majlis Perbandaran atau dipanggil Bandaran oleh penduduk di sini menyapu sampah. Kadang-kadang ada mesin penyedut sampah bekerja. Pantang ada sedikit ruang, pasti ditanam pokok-pokok hiasan (cuma akhir-akhir ini ditanam pokok kaktus plastik, aduih....).

Ini semua tidak ada di JB. Yang ada cuma yang datang memotong rumput. Selepas dipotong tiada yang menyapu rumput yang berterbangan di jalan raya. Ke mana bajet? Mungkin semuanya sudah mengalir ke Teluk Danga (sebut da nge, bukan dan ga seperti disebut sesetengah orang yang terlalu keInggerisan itu...)

Berkenaan sikap suka membuang sampah ini, kufikir jika sesebuah tempat itu bersih dan kemas, agaknya orang segan untuk membuang sampah. Namun jika sudah kotor, siapa pun tidak segan untuk melonggokkan lagi sampah di situ. Teringatku satu papan tanda di Jogja - Hanya Orang Sembarangan Membuang Sampah Sembarangan.

Pos terdahulu berkaitan:
Panjang dan MBJB - Memalukan!

Tag: , , , ,

14 September 2006

Puting Beliung

Ku sedang tenang memandu di lebuhraya. Semuanya sungguh terkawal. Tiba-tiba ada sebuah kereta membuat pusingan U secara tiba-tiba di lebuhraya itu tiga lorong itu. Kereta itu menongkah arus dan mengambil lorong paling kanan. Ku pun terpaksa mengelak dan kumasuk ke lorong tengah. Kutertanya-tanya kenapa kereta itu berbuat begitu. Kali ini kelihatannya ada beberapa kereta lagi membuat pusingan U. Kujadi bingung. Ada apa ini?

Pertanyaanku terjawab. Di depanku kini kelihatan awan gelap seolah-olah mahu menyentuh bumi. Awan itu kelihatan ada ekor. Lama-kelamaan ekor itu turun menyentuh bumi. Oh, puting beliung rupanya. Kujadi teruja, tanpa rasa sedikit ketakutan pun. Kumemandu perlahan di lebuhraya itu dan kucapai telefon bimbitku untuk mengambil gambar kejadian alam yang sungguh luar biasa ini. Kuambil beberapa keping gambar. Sungguh cantik gambar-gambarku.

Keretaku bergerak lagi. Akhirnya kusampai ke kawasan yang dilanda puting beliung itu. Suasana sungguh hingar-bingar dan haru-biru. Orang ramai yang cedera parah meneriak meminta bantuan. Kelihatan ada seseorang yang telah berjaya merakam kejadian itu. Di dalam rakaman beliau, orang ramai berlari tidak tentu hala untuk mencari tempat perlidungan dan apabila awan berisikan habuk hitam datang melanda, semuanya habis disapu. Sungguh menakutkan.

Tiba-tiba, ada sebuah bas muncul meluru ke jalan. Kebetulan seorang remaja lelaki berada di situ dan bas yang seolah-olah terbang itu menggesek ubun-ubun remaja itu. Berteriak dia kesakitan. Di dalam bas itu pula kelihatan cebisan daging dan darah manusia bertaburan di cermin depannya. Kukira itu penumpangnya yang telah terkorban.

Kujadi takut. Kutakut! Apa harus kubuat? Remaja tadi masih lagi berteriak. Dia berteriak meminta tolongku! Kutakut. Kumahu lari dari tempat ini. Kumahu lakukan seperti kereta-kereta tadi. Kumahu lari!

Astaghfirullah! Itulah, tidur tak basuh kaki lagi. Bermimpi pun yang bukan-bukan...

Tag: , ,

09 September 2006

Kerana Vs Karena

Sedang jari-jemariku sibuk menaip di komputer ribaku, tiba-tiba kudengar satu suara yang biasa kudengar keluar dari TVku yang siap terpasang, namun kali ini loghatnya amat berlainan sekali. Rupanya itulah suara Siti Nurhaliza bercakap loghat Indonesia di dalam iklan Pantene yang disiarkan di RCTI.

Agak janggal kudengar dari mulut Siti yang kebiasaannya sungguh pekat dengan tutur loghat Melayunya. Perkataan rontok (merujuk kepada rambut rontok) disebut seperti sebutan loghat Jawa. O disebut seperti o dalam sebutan torque dalam Bahasa Inggeris, tidak seperti sebutan Bahasa Melayu KL yang bunyinya seperti sebutan o dalam perkataan tone.

Satu lagi, yang mungkin menjadi kekeliruan orang Malaysia iaitu kerna. Kerna adalah singkatan untuk kerana. Kerna merupakan perkataan Bahasa Melayu dan ini bukanlah perkataan Bahasa Indonesia. Dalam Bahasa Indonesia, ia disebut karena atau kadang-kadang disingkatkan sebagai karna. Sebutan re dalam karena disebut seperti re dalam perkataan rebung atau reban. Di dalam iklan itu, Siti masih menyebut kerna, bukan karena atau karna.

Tag: , , , ,

07 September 2006

My Heart

Lagu My Heart persembahan Acha Septriasa dan Irwansyah yang juga dipetik dari filem Heart.

Klip video ini memang kupasang siang dan malam. Memang sebuah halwa telinga yang mengasyikkan.

Liriknya menarik kerana menggunakan dua bahasa. Jikalau kita menterjemahkannya secara terus, perkataannya akan berlainan tetapi maksud kedua-duanya adalah sama.

Bila kita mencintai yang lain
Mungkinkah hati ini akan tegar

If you love somebody
Could we be this strong
I will fight to win
Our love will conquer all

Sebisa mungkin tak akan pernah
Sayangku akan hilang

Wouldn’t risk my love
Even just one night
Our love will stay in my heart




Tag: , , , , , ,

04 September 2006

Akhirnya Crocodile Hunter...

Steve Irwin atau lebih dikenali sebagai Crocodile Hunter telah meninggal dunia pagi tadi kerana terkena libasan ekor ikan pari semasa sebuah penggambaran rancangan TV di Australia.

Ketika kejadian, beliau yang berada di atas seekor ikan pari tiba-tiba dilibas dan sengat dari ikan pari itu dikatakan menusuk ke jantung beliau. Pasukan paramedik yang datang dipetik berkata mereka tidak dapat menyelamatkan beliau. Kejadian berlaku di Batu Karang Batt, laut lepas Pelabuhan Douglas, Queensland.

Ini merupakan satu kehilangan besar kepada pecinta alam dan peminat siri TV beliau. Beliau sangat dikenali kerana keberaniannya menangkap dan menjinakkan buaya dan juga ular. Kini tiada lagi episod baru Steve terutamanya di rangkaian Animal Planet. Beliau meninggalkan seorang balu dan dua orang anak.

p/s – dulu ada khabar angin yang mengatakan dia mati dibaham buaya. Namun akhirnya jatuh ke tangan ikan pari. Pun begitu, keluarga beliau mungkin bangga dengan apa yang telah dilalui beliau...

Lihat gambar Steve Irwin aka Crocodile Hunter

Tag: Steve Irwin, Crocodile Hunter, Australia, stingray, Animal Planet

03 September 2006

Merdeka Merdeka Merdeka



Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Rabu lepas, kebetulan kuberada di KL selepas menghadiri satu kursus, kubercadang untuk menonton konsert Merdeka di KLCC yang sangat dekat dengan pejabatku dan menyertai pengiraan detik ke 31 Ogos seterusnya menikmati pertunjukan bunga api.

Sedang kubersiap turun dari bilik hotelku, Traders Hotel, untuk menjemput seorang teman yang datang, kudisapa oleh seorang pekerja hotel yang kebetulan berada di lif yang sama denganku. Beliau bertanya ke mana kupergi untuk menyambut kemerdekaan. Kumembalas yang ku hanya ke bawah bersama-sama orang ramai yang sudah mula memenuhi ruangan di situ untuk meraikan detik-detik ulangtahun kemerdekaan.

Beliau tersenyum mengangguk dan malah mencadangkan kepadaku untuk meraikannya di puncak bangunan hotel saja kerana persembahan bunga api nanti akan lebih mengujakan jika kuberada di situ. Wah, idea yang bagus! Aku membeli cadangan beliau itu. Lagipula, di bawah sudah terlalu sesak dengan lautan ribuan wargakota yang datang.

Pabila turun di lobi, kubawa temanku ke bilik saja tanpa ke Taman KLCC. Sementara menunggu detik 12 malam, kumembaca akhbar yang belum terhabis baca dari pagi tadi sambil menonton filem patriotik, Gandhi yang disiarkan di TV2. Temanku pula meminjam komputer ribaku untuk melungsuri Internet yang disediakan secara percuma oleh pihak hotel.

Lebih kurang lima minit ke tengah malam, kami naik ke tingkat 33 hotel ini yang mana terletaknya sebuah kolam renang dan sebuah kafe. Nampaknya sudah ramai tetamu hotel lain yang berkumpul di sini dan menempah tempat terstrategik untuk menyaksikan pertunjukan bunga api.

Kendatipun begitu, kami masih menemui satu ruang yang belum diduduki. Kedudukannya masih strategik kerana terus menghadap menara berkembar tertinggi dunia, walaupun bukan yang paling tinggi sekarang (kata Mahathir), Menara Berkembar PETRONAS. Kelihatan bangunan pencakar langit lain juga tidak mahu ketinggalan untuk meraikan kemerdekaan. Bangunan-bangunan itu disimbahi cahaya multirona yang sungguh kontras tetapi menarik.

Lebih kurang empat minit ke 12 malam, berdasarkan jamku yang kurasa tepat dengan jam Astro, kedengaran riuh-rendah sorakan lautan manusia menunggu detik bersejarah itu. Namun di sebelah lain bangunan hotel kami, kedengaran tembakan bunga api ke udara sudahpun dilepaskan. Eh, bukankah belum detiknya lagi? Jam mereka cepat agaknya… Bunga api itu dilancarkan dari kawasan sambutan di Bukit Bintang. Beberapa tetamu hotel bergegas ke sebelah sana untuk menyaksikan pertunjukan itu. Kami, bagaimanapun, tetap duduk di tempat kami. Nanti ada yang ambil tempat kami pula.

Sedang tetamu hotel lain menikmati pertunjukan bunga api dari Bukit Bintang itu, kudapati waktu telah pun melampaui jam 12 malam. Mana pertunjukan bunga api dari KLCC. Semua orang kelihatan tidak sabar-sabar untuk permulaannya. Sorakan ribuan manusia dari kawasan KLCC yang sungguh ramai itu yang sekarang melimpah sehingga ke Jalan Ampang semakin lama semakin kuat.

Jamku sudahpun lima minit selepas jam 12 malam. Tiba-tiba kedengaran sebuah suara nyaring pantas meluncur ke langit. Ya, pertunjukan sudah bermula! Satu demi satu bunyi nyaring naik ke langit dan disusuli dengan percikan bunga api yang berwarna-warni dan bersilih-ganti dengan bentuk berlainan.

Sungguh mengujakan dan sangat cantik! Rupa-rupanya bunga api itu meletup di depan mata kami! Dilancarkan dari bawah, bunga-bunga api memercikkan cahaya gemerlapan di aras yang sama dengan tingkat yang kami duduki. Ku tidak mampu membuka mataku kerana percikan itu sungguh dekat dengan kami. Tambahan pula bunyi letupan kuat itu membingitkan telingaku.

Sungguh menarik! Inilah pengalaman pertamaku berada dekat dengan percikan dan letupan bunga api. Ku berjaya menangkap beberapa keping gambar namun sedikit kabur kerana tanganku bergoyang dek letupan di depan mataku itu. Nikmati video dan gambar-gambarku (di pautan) di bawah:



Koleksi gambar Ambang Kemerdekaan di KLCC

Tag: , , ,
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...