19 Oktober 2006

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1427H

Ingin kuambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1427H. Kususun sepuluh jari memohon ampun dan maaf zahir dan batin jika terkasar bahasa, tutur kata dan penulisanku yang mengguris hati. Semoga kita sudahi Ramadhan ini sebagai yang terbaik pernah kita lalui dan marilah kita raikan kejayaan ini dengan penuh kesyukuran, kesederhanaan dan bersamalah kita mengeratkan lagi silaturrahim antara kita.

Rupanya Ramadhan ini juga adalah yang terakhir buatku di Johor Bahru kerana tahun depan ku akan berpindah ke Kuala Lumpur. Iftar petang tadi adalah yang terakhir dan terawihku tadi juga yang terakhir buatku di sini. Agak sedih setelah lima kali menjalani ibadah puasa di sini. Pelbagai suka duka, riang ria, pahit maung telah kulalui di sini.

Sebelum kubalik kampung esok, ingin kuungkapkan satu pantun:

Menduga ikan di dalam kali,
Kuda berlari terjatuh pelana,
Leka di jalanan jangan sekali,
Semoga Aidilfitri lebih bermakna.

Salam takzim dariku.

Pautan:
Lihat gambar-gambar juadah Ramadhan

08 Oktober 2006

Jerebu - Antara Kelangsungan Hidup dan Kemaslahatan Umum

Seperti saban tahun, kali ini jerebu datang lagi. Karenah jerebu memang menggusar dan merimas dan bahkan menguji kesabaran kita. Kita tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya melihat di luar jendela, segalanya putih. Inilah gara-gara jerebu yang berasal dari laman jiran kita. Setiap tahun, beratus malah beribu titik panas dikesan di Kalimantan dan Sumatera hasil pembakaran hutan yang membawa asap tidak sihat ke seluruh rantau ini.

Inilah dilema antara seorang yang mahu meneruskan kelangsungan hidup dan seorang lagi pentingkan kemaslahatan umum. Seorang petani yang tidak punya banyak wang harus mempergunakan cara yang murah dan mudah untuk membersihkan kebunnya. Dengan hanya satu cucuhan api, kebunnya akan terang-benderang kerana seluruh semak samun sudah dihapuskan dan malah rakannya yang bakal bercucuk tanam di hujung sana juga turut mendapat habuan kerana api yang marak di musim kemarau begini tidak mengenal sempadan. Inilah caraku yang paling senang dan paling penting murah, kata petani itu.

Apa aku kisah dengan asap putih yang pergi ke negara tetanggaku yang dikatakan lebih baik nasibnya daripadaku. Aku tak mampu untuk menyewa jentolak buat meratakan semak di kebunku yang dah setahun naik ini.

Di seberang satu lagi, di tanah yang dikatakan sudah matang, tidak akan ada gempa bumi, tsunami dan segala bencana alam lain, katanya, seorang Datuk dengan isteri mudanya, yang diperolehi dengan mas kahwin bernombor sama dari ribuan Ringgit ke Sen itu, menatap ke luar jendela. Asap putih telah menenggelamkan panorama Menara Berkembar Petronas yang telah menaikkan harga kondominiumnya. Apa sudah jadi ini? Setiap tahun masalah yang sama. Sampai bila pun perkara ini tidak berkesudahan.

Apa sudah jadi dengan negara jiranku ini. Mereka tidak tahukah ini menggugat aktiviti masyarakat, menyebarkan penyakit dan malah merugikan ekonomi negara. Bagaimana kapal terbang mahu berlepas dan mendarat. Bagaimana kapal dagang di selat paling panjang, paling strategik itu dapat dikemudi supaya tidak berlanggar antara satu sama lain. Bagaimana jika jerebu ini berlarutan di musim lebaran nanti bakal menyebabkan kemalangan kenderaan yang mungkin berlaku di lebuhraya dari sempadan Siam di Utara sehinggalah ke sempadan Temasik di Selatan. Ini satu malapetaka besar. Datuk berfikir secara the worst case scenario.

Balik semula ke seberang, ada seorang pemilik banglo besar. Banglonya meninggi ke langit dan berdiri megah di samping teratak-teratak kecil dan usang di sekelilingnya. Tahun ini, wangku semakin banyak. Sayang pula untuk kukeluarkan sebagai modal untuk meneruskan aktiviti di ladangku. Ah, aku bakar saja ladangku itu. Habis semua dibakar, akan senanglah nanti anak-anak pokok ditanam. Sangat efisyen caraku ini.

Nun di kota terbesar rantau ini yang dulunya orang Belanda panggil nama lain dan akhirnya Jepun menukar kembali namanya, seorang menteri pening kepala memikirkan masalah negara. Di hujung sebelah paling utara ada masalah. Di sebelah paling timur pun ada masalah. Di kepulauan rempah pun ada masalah. Ini pula datang satu lagi masalah yang dibangkitkan menteri negara tetanggaku. Aku punya banyak masalah. Ini bukan keutamaanku. Aku biarkan dulu masalah ini. Bukannya terkena batang hidungku sekarang ini. Aku mahu selesaikan masalah lain dulu. Tahun depan saja aku lihat balik perjanjian jerebu itu...

Pos terdahulu yang berkaitan:
Jerebu Sudah Berlalu Tapi...
Jerebu - Permasalahan Yang Melangkaui Sempadan Negara

Tag: , ,

07 Oktober 2006

Nusantara

Istilah Nusantara sebenarnya diinterpretasi sangat berlainan sekali antara Indonesia dan negara-negara rumpun Melayu lain. Nusantara berasal dari perkataan Jawa lama iaitu nusa yang bererti pulau dan perkataan antara. Dalam konsep kekuasaan Raja Jawa, Nusantara merupakan lingkungan kekuasaan Raja yang ketiga

Yang paling hampir dengan pengaruh Raja ialah Negara Agung dan diikuti Mancanegara yang dikatakan masih mirip budaya Jawa tetapi di luar lingkungan pengaruh Jawa. Ini termasuk Madura, Bali dan kemungkinan Lampung dan Palembang. Manakala Nusantara merupakan kawasan yang di luar pengaruh Jawa tetapi masih berlindung di bawah kekuasaan Raja Jawa dengan membayar ufti kepada Raja Jawa.

Di Indonesia, istilah Nusantara digunakan hanya untuk merujuk kepada wilayah-wilayah Indonesia. Nusantara tepat digunakan kerana Provinsi seperti Aceh dan Papua merupakan wilayah-wilayah yang dikatakan dalam lingkungan Nusantara tadi.

Walau bagaimanapun, di Malaysia, Brunei dan Singapura, Nusantara digunakan dengan mengambilkira faktor geografi dan budaya. Dalam erti kata lain Nusantara merujuk kepada Dunia Melayu iaitu kawasan rumpun Melayu yang mengamalkan adat, budaya dan bahasa yang hampir sama. Ini meliputi Selatan Thailand, Malaysia, Singapura, Brunei, Selatan Filipina dan Indonesia.

Tag: , , ,

06 Oktober 2006

Silk

Satu lagi filem seram menarik menunggu di pawagam iaitu filem Silk dari Taiwan. Khabarnya akan ditayangkan pada 12 Oktober nanti. Filem ini mengisahkan sepasukan saintis diketuai oleh Hashimoto (lakonan Yosuke Eguchi) berjaya menangkap kuasa hantu seorang kanak-kanak dengan menggunakan ciptaan yang dipanggil Menger Sponge.

Mereka berusaha untuk belajar tentang masa lalu hantu itu dan menggunakan khidmat agen khas, Ye (Zhang Zhen), seorang ahli JCCU (Joint Crime Crackdown Unit) yang mempunyai indera penglihatan luar biasa.

Pada mulanya, Ye keberatan namun demi ibunya yang sedang sakit tenat menunggu kematian, dia sanggup menerima tugasan itu untuk mengetahui apa yang hantu itu bakal dedahkan tentang kehidupan dan juga kehidupan selepas kematian.

Ye dapat melihat sehelai sutera tersambung dari hantu itu ke satu kuasa misteri. Dari helaian sutera itulah, Ye mengetahui bagaimana kematian kanak-kanak itu sungguh menakutkan.

Kerana takutkan hantu kanak-kanak itu berbahaya, pasukan itu memutuskan untuk mengasingkannya tetapi tanpa diketahui, mereka sebenarnya mencetuskan satu lagi kuasa yang lebih kuat dan ganas di hujung lain helaian sutera itu.

Lihat trailer filem Silk:



Pautan:
Laman rasmi filem Silk yang canggih dan interaktif
Pos terdahulu yang berkaitan:
Dorm
Misteri Nusantara


Tag: , , , ,

05 Oktober 2006

Lee Kuan Yew Tidak Minta Maaf Pun

Hangat diperkatakan tentang tuduhan Lee Kuan Yew, Menteri Mentor Singapura yang mengatakan kaum Cina di Malaysia dan Indonesia disisihkan secara sistematik kerana kerajinan dan kejayaan mereka. Rentetan itu, Lee menghantar surat permohonan maaf kepada Pak Lah. Namun jika diteliti isi kandungannya, Lee hanya memohon maaf secara peribadi kepada Pak Lah sahaja, bukan kepada rakyat Malaysia amnya. Dia hanya meminta maaf kepada Pak Lah di atas "ketidakselesaan" yang dialami Pak Lah ekoran kata-katanya itu.

Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Itulah peribahasa terbaik untuk menggambarkan sikap dan tingkah laku orang yang bernama Harry Lee yang berpendidikan tegar Inggeris itu. Sedang dia mengatakan orang Cina disisihkan di Malaysia, lihat saja nasib dan kedudukan orang Melayu di negara pulau itu. Kalau kata-katanya yang orang Cina di Malaysia ditekan itu "betul", jika dibandingkan dengan orang Melayu di pulau itu, maka orang Melayu di pulau itulah yang lebih ditekan dan disisihkan.

Buka saja akhbar mereka, bukan akhbar perlecehan tapi akhbar arus perdana seperti Strait Times, kita dapati syarat-syarat wajib untuk mendapat kerja ialah fasih berbahasa Mandarin. Bukankah itu penyisihan yang nampak jelas untuk orang bukan Cina seperti Melayu dan India khususnya. Bahasa Mandarin bukanlah bahasa pengantaraan antara kaum di sana, jadi kenapa itu dijadikan salah satu syarat wajib. Tiada tindakan dari pemerintah untuk menangani hal ini.

Di Malaysia, didirikan sekolah vernakular Cina yang khusus mengajar semua matapelajaran dalam bahasa Mandarin kecuali subjek Bahasa Melayu yang diajar dalam bahasa Melayu. Adakah itu menyisihkan orang Cina di Malaysia? Kalau dilihat di negara lain, malah di Singapura sendiri, pemerintah mahukan sekolah yang standard dan diajar dalam bahasa yang satu iaitu bahasa kebangsaan. Lihat di Selatan Thailand, walaupun penduduk majoriti Melayu, di sekolah diajar dalam bahasa Thai. Jika Malaysia mahukan semua itu, semua sekolah vernakular mesti ditutup dan hanya sekolah kebangsaan dibuka dan diajar dalam bahasa Melayu, bahasa kebangsaan. Tetapi Malaysia masih menghormati keistimewaan orang Cina yang ada sekolah vernakular mereka sendiri.

Lee Kuan Yew sendiri malah pernah mengatakan orang Melayu di republik itu tidak boleh memegang jawatan tinggi dalam turus angkatan tentera mereka. Alasannya jika berlaku perang antara Singapura dan Malaysia, pegawai tertinggi Melayu akan belot dan berpihak kepada Malaysia kerana akan wujud sentimen kesamaan dari segi bangsa dan agama.

Orang Melayu di pulau itu juga dinafikan kekuatan mereka dari sudut politik. Kawasan majoriti Melayu seperti Geylang dibubarkan komposisi kaumnya supaya menepati peratusan penduduk negara itu. Setiap kawasan haruslah mempunyai komposisi Cina paling ramai diikuti Melayu, India dan lain-lain. Dengan cara itu, kaum teramai di sana akan menjadi penentu kuasa. Di Malaysia tidak ada semua itu. Kawasan majoriti orang Cina seperti di Cheras, Ipoh atau Pulau Pinang tidak dipecahkan komposisi kaumnya. Mereka masih mempunyai wakil kerajaan dari kalangan orang Cina.

Dengan situasi di Singapura sekarang di mana kadar kelahiran di kalangan orang Cina paling rendah manakala kadar kelahiran orang Melayu masih tinggi, wujud kebimbangan suatu hari nanti Melayu akan kembali menjadi majoriti di pulau itu. Maka tidak hairan banyak kewarganegaraan Singapura dianugerahkan untuk orang berketurunan Cina dari negara lain. Lihat saja kemasukan beramai-ramai rakyat China ke pulau itu. Jika selama ini kita biasa dengan nama Cina seperti Chong, Lim atau Tan, sekarang kita lihat banyak nama Cina seperti Xi, Liu atau Zhang yang berasal dari China. Juga sungguh mudah untuk rakyat Malaysia atau Indonesia berketurunan Cina ditawarkan kewarganegaraan pulau itu.

Sudahlah Lee. Hentikan sikap keCinaanmu itu. Biarpun Malaysia dan Singapura terhasil dari perbalahan dua bangsa iaitu Melayu dan Cina dan kau melihat Melayu Malaysia dan Indonesia sebagai musuh dalam selimutmu, marilah maju ke depan. Malaysia dan Indonesia takkan boleh membuang dan melenyapkan Singapura dari dunia Melayu. Kita harus terus hidup, bersama hidup aman sejahtera (Majulah Singapura) dan hentikan provokasi terhasil dari ketakutanmu (adakah kau bersalah dengan orang Melayu?).

, , , , , ,

03 Oktober 2006

Perang Rancangan Bulan Puasa

Entahlah adakah ini satu lagi "perang" antara stesen TV atau mungkin kebetulan. TV3 seperti saban tahun menyiarkan Jejak Rasul, RTM1 pula menyiarkan rancangan Syahadah dan Astro Ria menyiarkan rancangan Ziarah. Semuanya disiarkan dari jam 6.30 petang hingga 7.00 malam iaitu waktu perdana di bulan puasa begini di mana seisi keluarga sedang berkumpul untuk berbuka puasa.

Jejak Rasul tahun ini mengisahkan perjuangan getir Rasulullah SAW manakala Syahadah pula menyiarkan kehidupan masyakarat Islam di China yang jumlahnya lebih ramai dari orang Islam di Malaysia sendiri. Ziarah pula merentas ke Afghanistan menyelami kehidupan pasca perang di sana.

Semuanya cukup menarik dan kita sebagai penonton mungkin sukar untuk memilih. Aku agak tertarik dengan rancangan Syahadah kerana cita-citaku mahu ke sana suatu hari nanti. RTM1 juga bijak menarik penonton kerana selepas rancangan itu, diperdengarkan bacaan ayat-ayat Quran oleh artis-artis. Antara yang pernah muncul ialah Aisyah, Ustaz Asri Rabbani, Akma AF3, Yassin dan juga Mawi. Mereka juga tidak kurang kehebatan dalam membaca Al-Quran.

Tag: , , , , , , ,
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...