11 Disember 2006

Kurang Dari Satu Kilometer Menjadi 40 Kilometer!



Entah kenapa hari ini (hari minggu) kuberasa sangat bosan tinggal di rumah. Biasanya pada hujung minggu, ku lebih senang berada di rumah kerana pada hari bekerja, ku sudah bekerja di luar dan hujung minggulah waktunya untukku berehat di rumah. Tiada apa-apa yang menarik untuk kulakukan di rumah. Torrent-torrent yang kutunggu-tunggu sudahpun dimuat turun. Blog-blogku pula sudah dikemaskini. Hendak menonton TV, terasa malas.

Pada mulanya kumahu ke kedai mamak saja untuk makan tengah hari walaupun perutku masih kenyang kerana lambat mengambil sarapan. Lalu kubawa The Star yang masih belum ku habis baca sebagai pengisi waktu di sana. Sengaja kupilih jalan jauh untuk ke kedai yang sebenarnya di seberang jalan rumahku saja itu. Kumahu menghilangkan kebosananku. Sedang kumemandu, jalan raya tiba-tiba sesak. Biasanya kumenyumpah seranah ;-), tetapi kali ini kusantai saja. Memandu pun perlahan. Kereta-kereta lain banyak meyusup masuk ke depan keretaku. Ku tak kisah.

Sedang kumenunggu keretaku lepas dari kesesakan itu, kuterfikir apa kata kukeluar saja dari hiruk-pikuk kota Johor Bahru ini. Kufikir untuk pergi ke tempat yang boleh menenangkan fikiranku ini. Ku tidak tahu untuk ke mana. Entahlah. Kuikut rasa hati – pergi ke arah Utara. Ke mana? Tak tahu.

Kubatalkan saja niatku untuk makan di kedai mamak. Perutku pun masih kenyang. Apa kata pergi Air Terjun Kota Tinggi? Tak mahulah. Kumahukan tempat yang suasana yang saujana mata memandang. Di sana hutan, bukannya dapat memandang jauh. Pohon-pohon di hutan waima hijau, masih tidak menjadi pilihanku.

Melihat meter di keretaku, kelihatannya minyak sudah pun mahu habis. Kuberhenti di sebuah stesen minyak dulu. Tenangkan fikiran. Nanti mendapat idea untuk ke mana. Kubeli makanan ringan dan minuman untuk bekalan.

Kuberfikir lagi. Kalau mahu tempat yang saujana mata memandang, pantailah jawabnya. Tapi di sini mana mahu dicari pantai. Yang cantik jauh. Kalau ke Desaru, jangkamasa untuk ke sana lama, bahkan sama dengan perjalanan ke Melaka – 2 jam, walaupun jika dilihat di peta Desaru tak jauh dari Johor Bahru! Ini kerana tiada laluan dekat untuk ke sana. Lebuhraya yang dikatakan akan siap umpama menanam tebu di bibir saja, terutama di waktu pilihanraya. Entah bila siap, err entah bila dimulakan?

Ku sudah sampai ke Kota Tinggi. Di depanku simpang empat. Kalau ke kiri, ke bandar Kota Tinggi. Kalau terus, ke Mersing dan kalau ke kanan, ke Desaru. Mahu terus, tempat menarik seperti Mersing sangat jauh. Ke Kota Tinggi, jalannya pasti sesak di sana. Lalu kuambil keputusan ke kanan saja iaitu ke arah Desaru.

Setelah membelok, kulihat papan tanda di bahu jalan. Desaru 42km. Agak dekat juga! Boleh juga ke sana. Tapi kufikir lagi. Ku tidak membawa kamera, rugilah kalau ke sana kalau tidak “menembak” dan diletakkan di Fotopagesku. Lagi pula langit membiru hari ini sangat cantik untuk dipotretkan. Tidak apa, nanti menyesal pula kalau tidak bergambar di Desaru.

Kumendapat idea, apa kata singgah di tengah jalan ke Desaru saja. Dulu, ku pernah singgah di sebuah warung yang menjual Roti Tempayan. Agak terkenal dan semestinya sedap. Ku tidak tahu lokasi sebenarnya. Yang kuingat warung itu berhadapan dengan stesen minyak Shell. Kalau ke sana, bolehlah menikmati Roti Tempayan sambil membaca The Star dan melihat kereta lalu lalang dalam perjalanan pulang dari Desaru.

Ku santai saja. Kelajuanku 80 km/j. Banyak kereta menunggu untuk memotongku. Biasanya akulah antara yang laju, agresif untuk memotong kereta di depan. Jalan dua lorong di sini kulihat tidak mampu lagi menampung jumlah kenderaan yang agak banyak melalui laluan ini, lebih-lebih lagi cuti sekolah begini. Barisan kereta yang panjang bergerak kelihatan sukar untuk kereta yang diparkir sebentar di bahu jalan untuk masuk semula ke lorong memandu. Itulah, seperti kukatakan, lebuhrayanya entah bila siap… Nasib baik semuanya laju-laju belaka, 90 km/j. Sungguh lancar trafiknya.

Terasa lama pula untuk sampai ke tempat tujuan yang ku tidak pasti itu. Kiri kananku, kelihatan banyak ladang kelapa sawit. Barangkali banyak Felda di sini kerana gabungan Felda-Felda ini telah dijadikan satu kawasan Parlimen iaitu Parlimen Pengerang yang diwakili oleh seorang menteri yang tidak habis-habis dengan membina kompeks sukan di London itu. (Untuk shopping?) Pelik juga kerana fikirku kawasan kampung bukannya ramai sangat penduduknya untuk dijadikan satu kawasan Parlimen. Ah, tinggalkan bab politik ini…

Kurasa sudah bosan pula memandu. Tempat yang ditujui belum sampai lagi. Asalnya mahu melepaskan kebosanan, kini hampir penat pula memandu. Akhirnya kelihatan beberapa rumah kedai di tepi jalan. Mungkin ini tempatnya. Semakin dekat, kulihat pula papan tanda stesen minyak Shell yang meninggi melebihi pepohon di situ. Sah, inilah tempatnya! Rasa hampir penat itu tiba-tiba hilang.

Di depan stesen minyak itu, tertera papan tanda Roti Tempayan di kedai makan itu yang dipisahkan sebuah lorong dari stesen minyak itu. Kumenyusur masuk ke lorong itu dulu. Mahu ke masjid dulu untuk bersolat Asar. Nanti balik lebih senang kerana semuanya sudah usai. Ramai juga penduduk Felda Air Tawar 5, seperti nama tertera di muka lorong tadi, mengimarahkan masjid. Ingatkan ada majlis kahwin atau orang meninggal tapi jemaah yang menunggu bilal mengalunkan iqamah.

Sesudah solat, inilah masanya. Makan time. Kumemandu keluar untuk ke kedai makan itu. Agak ramai orang jika dibandingkan semasa kulalu tadi sehinggakan kuparkir keretaku agak jauh. Tidak mengapa. Kupesan order dan tidak lama, sampai Roti Tempayan dan Teh Tarik yang kupesan. Saiz Roti Tempayan itu amat besar memenuhi keseluruhan pinggan. Baru kuteringat, semasa kudatang ke sini dulu, kubungkus saja sisanya kerana tidak dihabis makan setelah menjamah Nasi Goreng Kampung.

Pastinya agak lama untuk kuhabiskan semuanya. Lalu kuambil The Star yang kubawa dan kulapik surat khabar itu untuk menikmati Roti Tempayan. Bukan untuk mengelakkan meja kotor, tapi untuk kubaca akhbar itu sambil menelan cubitan-cubitan kecil roti itu. (Kakak itukan bakal membersihkan mejanya…). Agak lama ku situ. Orang yang sampai bersamaku tadi sudahpun beransur pulang. Kuhabiskan dulu membaca The Star edisi Ahad yang agak tebal itu.

Wah, sungguh padat perutku dek Roti Tempayan besar itu. Sampai penat pula setelah makan. Setelah bayar, kumemandu pulang. Kali ini, tidak boleh perlahan lagi. Kena laju sikit sebab hari dah pun petang. Seperti biasa, perjalanan pulang terasa sungguh singkat jika dibandingkan dengan perjalanan pergi tadi.

Setelah tiga jam keluar tadi, ku pun sampai ke rumah semula. Pasa asalnya mahu ke kedai mamak yang jaraknya tidak sampai satu kilometer pun, tapi perjalananku akhirnya mengambil jarak lebih kurang 40 kilometer! Hanya untuk makan! Tapi kupuas, puas kerana kebosananku hilang…



Tag: , , ,

10 Disember 2006

Sekitar Sukan Asia Doha 2006



Malam tadi adalah malam kegembiraan apabila lagu Negaraku berkumandang apabila pasangan Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong memenangi emas acara beregu lelaki badminton Sukan Asia apabila mengalahkan pasangan Indonesia, Luluk Hadiyanto-Alven Yulianto. (Juga gembira melihat Liverpool membelasah Fulham 4-0…)

Ada beberapa perkara menarik tentang kemenangan pasangan tersebut. Jurulatih beregu, Rexy Mainaki, membaling jaketnya ke arah kumpulan penyokong Indonesia, mungkin tanda hormat setelah “menderhakai” negara sendiri. Juga, sungguh puas hati beliau dapat membalas kritikan pedas sebelum ini setelah pasangan tersebut bermain buruk dalam acara berpasukan. Kini beliau bernafas lega setelah dikatakan mahu meletak jawatan gara-gara persembahan buruk tersebut.

Juga lagu Gadis Melayu berkumandang sebaik kemenangan tersebut. Siapa yang memasangnya? Adakah seseorang membuat permintaan jika pasangan Malaysia menang? Apa-apa pun Negaraku tetap berkumandang yang sebelumnya Ole-ole Kita Menang Kitalah Juara dinyanyikan.

Selain itu, juga menarik perhatianku ialah pemakaian atlet Bahrain, Ruqaya Al Ghasara yang memenangi pingat gangsa acara 100m pecut wanita. Siapa kata berpakaian Muslim tidak boleh bersukan. Beliau malah membuktikannya. Mungkin beliau boleh mendapat tempat yang lebih baik jika dia bermula dengan lebih baik, di mana beliau adalah orang terakhir berlepas dari blok permulaan.



p/s – kusuka lagu semasa penyampaian pingat di Sukan Asia kali ini. Lagu berirama Arab moden itu kedengaran menaikkan semangat dan seolah-olah meraikan kejayaan.

Dikemaskini semula:
Ruqaya Al Ghasara bagaimanapun memenangi pingat emas dalam acara 200m. Syabas!

Tag: , , , , ,

06 Disember 2006

Di Sebalik Peraturan Terbaru Pemakaian MPKB

Heboh sekarang memperkatakan peraturan terbaru Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) yang mewajibkan warga Kota Bharu mematuhi peraturan terbaru pemakaian wanita di khalayak ramai. Jika tidak dipatuhi, denda RM500 bakal dikenakan.

Antara tegahan terbaru yang diwajibkan di tempat-tempat awam seperti pusat membeli-belah dan restoran-restoran ialah pemakaian yang ketat dan jarang, mini skirt dan blaus pendek menampakkan pusat. Untuk orang Islam, busana mestilah melitupi hingga sampai ke buku lali dan diwajibkan memakai tudung. Yang bukan Islam pula hendaklah memakai pakaian yang bersesuaian dan sopan serta tidak menjolok mata.

Ada beberapa perkara menarik yang ingin dikupas di sini. Sebenarnya yang kuat “melompat” apabila mendengar peraturan baru ini ialah mereka yang tidak terikat dengan peraturan ini! Mereka itu bukannya tinggal di Kota Bharu. Yang diprihatinkan mereka ialah hilangnya kebebasan dan “kemodenan” perempuan di Kelantan. Sedarkah kita apabila pengumuman ini dibuat, sekurang-kurangnya 90% wanita Kelantan sudah mematuhi peraturan itu! Bahkan mungkin lebih daripada itu.

Di dalam Islam, perempuan wajib menutup aurat. Yang boleh dibuka di khalayak ramai hanyalah muka dan tapak tangan. Di Kelantan, wanitanya memang terkenal dengan kesopanan, memakai pakaian menutup aurat, malah kejelitaan mereka juga.

Sebagai orang yang berasal dari Pantai Timur, penulis sendiri memahami budaya orang Pantai Timur. Jika dibandingkan dengan orang di bahagian lain di Malaysia ini seperti Pantai Barat, agak berlainan sekali. Di Pantai Timur, sekurang-kurangnya 90% penduduk bandar adalah Melayu dan Islam. Jika di kampung-kampung 100%. Orang Melayu di Pantai Timur memang sebati dengan cara hidup Islam dan berorientasikan Melayu kerana mereka majoriti. Amat jarang untuk mencari mereka yang tidak bertudung di sana. Kalau sembahyang, mesti lengkap lima waktu.

Di dalam The Star hari ini, terdapat satu kartun satira yang menggambarkan pusat membeli-belah di Kota Bharu membuat lelongan baju-baju seksi kerana katanya selepas larangan tersebut, baju-baju tersebut bakal tidak laku. Sedarkah mereka yang di Kota Bharu tidak ada pasaran bagi baju-baju sedemikian jika dibandingkan dengan di Pantai Barat? Mungkin ada tapi penulis fikir tidak balik modal kalau cuba dijual di sana.

Ini merujuk kepada fakta kedua iaitu kurangnya pemahaman mereka tentang cara dan gaya hidup penduduk Pantai Timur yang berlainan daripada di Pantai Barat. Mereka sering mengkritik kurangnya hiburan di Pantai Timur. Hiburan di sini bermaksud kelab malam yang menyediakan arak dan malah sesetengah mengharapkan layanan perempuan. Bagi penduduk tempatan, mereka tidak perlu semua itu. Itu adalah maksiat dan dosa.

Jika diamati, yang membuat bising itu ialah golongan “atasan” seperti menteri dan golongan bukan Islam yang terlalu prihatinkan nasib bukan Islam di sana yang disangka bakal mendapat ketidakadilan peraturan yang mirip Islam. Hasil tinjauan penulis, akhbar Melayu tidak banyak memperkatakan hal ini, manakala yang menganggap isu ini besar ialah akhbar berbahasa Inggeris seperti The Star yang memberikan tajuk utama di muka depan. Channel News Asia di Singapura juga memperkatakan hal ini. Adakah wujud Islamophobia di sini? Jika ditanya kepada penduduk bukan Islam di Pantai Timur, mereka tentu lebih faham keadaan dan budaya di Pantai Timur dan sememangnya maklum dengan peraturan itu.

Lihat saja hasil tinjauan SMS di Edisi 7, NTV7 tadi, 85% yang bersetuju mengatakan wanita yang berpakaian seksi itu tidak menghormati diri sendiri. Hasilnya, umum tidak “melompat” dengan peraturan terbaru itu, cuma segolongan kecil termasuk menteri yang malah tidak terikat langsung dengan peraturan ini heboh memperkatakannya. Mereka ini jumlahnya kecil tapi "salakan"nya terlalu kuat. Bila ditanya pernah ke Kota Bharu untuk merasai sendiri suasana di sana. Jawabnya tidak! Alahai, nak kritik tapi dari jauh…

Tag: , , ,

05 Disember 2006

Dedikasi Untuk Cibilzsonic

Ini ditujukan khas buat Cibilzsonic, yang menjadi orang pertama memberikan komen di shoutbox baruku itu: :-)

Cahaya suria itulah menerangi harimu
Isi alamlah rezekimu
Buana inilah tempatmu berpijak
Indah luas samudera itu pandanganmu
Langit yang tinggi itulah azammu
Zahirkan cita-citamu
Satu hati inginkan jaya
Omonganmu untuk didengari
Nuranimu menyentuh jiwa
Ilhammu cetusan idea
Cubalah, cita-citamu kan tercapai
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...