16 Disember 2007

Ciplak dan Saduran

Aku menonton Asian Idol yang disiarkan secara langsung di 8TV. Setelah Peter Pan mempersembahkan lagu popularnya, Tak Bisakah, kemudian muncul pula pemenang Indian Idol, Abhijeet Sawant, menyanyikan lagu 'Tak Bisakah' versi Hindi yang dikatakan disadur daripada lagu itu yang berjudul Kya Mujhe Pyar Hai. Hal ini pernah hangat diperkatakan dulu.

Mungkin satu kejutan namun jika benar lagu Hindi itu disadur daripada lagu kumpulan Indonesia itu. Takkan pula berkongsi pentas dengan lagu ciplak? Entahlah.

Pun begitu, fikirku Abhijeet lebih baik jika dia menyanyikan lagu Hindustan tradisional jika dibandingkan dengan lagu moden Bollywood. Suaranya lunak. Mungkin peminat fanatik Bollywood tak dapat tidur malam.

24 November 2007

Hindraf dan Jutawan

Besok, Angkatan Tindakan Hak-hak Hindu (Hindraf) bakal mengadakan demonstrasi di depan Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur. Mereka bakal menyerahkan petisyen kepada Suruhanjaya Tinggi British meminta Ratu Elizabeth II melantik seorang penasihat diraja untuk mewakili komuniti India di dalam dakwaan bahawa Kerajaan British membawa mereka ke Tanah Melayu sebagai buruh kasar dan mengeksploitasi mereka.

Mereka telah memfailkan saman US$4 trilion (RM13.5 trilion) di Mahkamah Keadilan Diraja di London dan mendakwa pihak British patut dipersalahkan terhadap 'penindasan' kaum India di Malaysia. Saman itu adalah US$1 juta (RM3.4 juta) untuk setiap orang India di Malaysia.

Peristiwa robohnya sebuah kuil Hindu berusia seratus tahun di Shah Alam telah memuncakkan tuntutan Hindraf ini setelah tunjuk perasaan di depan pejabat Perdana Menteri di Putrajaya dulu.

Kuil Hindu di Malaysia sebenarnya terlalu banyak dengan ratio penduduk Hindu sendiri. Dulu setiap rumah ada kuil tersendiri. Hari ini pembangunan tidak memungkinkan terlalu banyak kuil Hindu. Kuil-kuil harus dialihkan dan digabungkan menjadi satu kuil yang lebih besar. Orang Islam sendiri, sebagai majoriti penduduk negara ini, tidak boleh sewenang-wenangnya membina masjid. Pembinaan masjid terlalu banyak yang lari daripada ratio sebenarnya tidak menggambarkan suasana jemaah dan sebagai punca berpecah-belah. Sembahyang Jumaat pun minimum 40 orang.

Sungguhpun golongan Hindu berhak menyuarakan hak-hak mereka, jika ada ditindas, namun apabila dilihat pada nilai saman itu, rasanya tidak masuk akal. Adakah golongan Hindu yang kurang pengetahuan mereka dieksploitasi dengan habuan sedemikian rupa? Adakah Ratu Elizabeth bakal menerima petisyen itu dan membiarkan kerajaannya disaman dengan jumlah yang mungkin menyebabkan negara Britain muflis?

Tadi semasa di lebuhraya beberapa halangan jalan raya dibuat oleh pihak polis. Kelihatan beberapa keluarga India ditahan. Antaranya orang tua yang siap berpakaian sari dan bersanggul bunga Melur di kepala mereka. Mereka nampak naif. Apabila diminta polis untuk menunjukkan kad pengenalan mereka, mereka akur. Tidak seperti pembangkang Melayu yang boleh bertikam lidah dengan pihak polis yang menghalang laluan mereka. Jikalau mereka bakal menyertai perhimpunan itu, macam kasihan pula dengan mereka.

Pelik juga pihak Hindraf menggunakan kerajaan British. Di dalam petisyen mereka, mereka juga menghantar salinan kepada Setiausaha Agung PBB, Senat Amerika Syarikat, Perdana Menteri India dan juga Menteri dari negeri Tamil Nadu di India. Atas asas apa mereka mahu mendakwa kerajaan British? Kalau hendak menyaman, nenek moyang mereka yang dibawa British yang patut menfailkan saman. Bukankah mereka golongan seterusnya yang lahir dan dibesarkan di Malaysia dan tidak merasai kesusahan nenek moyang mereka? Mereka rakyat Malaysia sekarang ini dan kenapa pula mahu mengadu kepada British? Adakah British masih menjajah Malaysia?

Rasanya masih ada orang Malaysia yang masih berangan berada di bawah kekuasaan Inggeris dan berjiwa Inggeris. Inilah golongan comprador yang perasan diri mereka berkulit putih padahal penuh dengan pigmen Asia dan mengagungkan apa saja dibuat orang kulit putih. Mat Salleh berlari pakai baju kerja di Taman KLCC pun dia nak ikut. Mat Salleh makan donat J.Co, dia pun nak ikut sama sampai beratur panjang mengalahkan cop pasport di imigresen Woodlands, Singapura...

Orang Hindu dari India berhijrah ke Tanah Melayu kerana salah satu alasannya mahu lari daripada sistem kasta di India yang amat diskriminasi. Rasanya orang India di Malaysia lebih baik taraf kehidupan mereka jika dibandingkan dengan di India. Kalau dikatakan dieksploitasi, atas dasar apa?

Mereka berhak menyuarakan pendapat mereka, namun caranya biarlah kena. Buat demonstrasi di depan pejabat Perdana Menteri ketika Perdana Menteri berada di luar negara. Demonstrasi besok di depan Suruhanjaya Tinggi British pun ketika hari pegawai tidak bekerja di situ.

Kesian orang estet atau kampung sanggup datang ke KL bersanggulkan bunga Melur melalui beberapa sekatan jalan dengan hajat mendapat duit yang belum tentu dapatnya. Harapnya mereka orang kampung yang kurang pengetahuan tidak dieksploitasi dan dengan niat mempertahankan hak-hak mereka.

13 November 2007

Marah Aljazeera - Menang Jadi Arang, Kalah Jadi Abu

Kisah Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin aka Zam membidas Aljazeera sungguh menarik. (Lihat berita di sini.) Kegagalan menjawab soalan wartawan Aljazeera yang disiarkan seantero dunia itu secara convincing bukan saja memalukan seorang menteri Malaysia malah memperlihatkan penggunaan hujah-hujah lemah yang hanya "laku" di Malaysia.

Bagi pihak Zam, jikalau terus membenarkan Aljazeera melakukan lintas langsung dengan apa yang berlaku di Malaysia, maka malulah kerajaan Malaysia. Maka terbuka segala pekung di dada yang selama ini media massa dan elektronik berarus perdana ataupun lebih tepat sehaluan dengan kerajaan tidak akan siarkan. Agaknya inilah akibat membenarkan Aljazeera beroperasi di Kuala Lumpur. Seperti kita sedia maklum, itulah Aljazeera, satu laporan alternatif tanpa berselindung di sebalik fakta.

Namun jika Aljazeera dihalau keluar dari Menara Berkembar PETRONAS itu, maka hilanglah gah Malaysia sebagai salah satu hab media utama dunia itu. Takkan membiarkan Aljazeera keluar kerana tekanan politik, atas kepentingan pihak tertentu, dan membiarkan nama Malaysia buruk. Tentu pusat-pusat media lain di rantau ini seperti Singapura sedia menerima dengan kedua-dua belah tangan terbuka. Lagilah Kuala Lumpur tidak mahu ini terjadi.

Zam tentu dalam dilema sekarang. Langit terbuka sekarang pasti menerbangkan bau bangkai gajah yang tidak tertutup dek nyiru ke seluruh pelosok dunia. Tanpa TV, telefon bimbit, SMS, blog semuanya ada sebagai alternatif.

Gambaran sebenar di KL laporan Aljazeera pada 10 Nov lalu:



Wawancara Zam dengan wartawan Aljazeera:





Laporan berkaitan oleh BBC:




Terima kasih buat para pemuat naik di Youtube.

03 November 2007

Ekzos Besar

Tadi semasa membelok kanan ke sebatang jalan di sebuah lampu isyarat, sebuah kereta tiba-tiba muncul dari sebelah kiriku, memotong barisan dan juga masuk ke kanan. Melihat ekzos yang besar, kebiasaannya kita beranggapan mereka ini golongan yang kurang bersopan di jalan raya.

Dengan 'berlesenkan' ekzos besar, mereka ini biasanya suka memecut di jalan raya, suka memotong barisan dan suka menggunakan lorong kecemasan. Kereta mereka bukannya kereta-kereta yang mahal atau yang berprestasi tinggi tetapi kereta-kereta buatan Malaysia termasuk Kancil yang diubahsuai. Entahlah, ini yang selalu kelihatan di jalan raya. Kalau kereta yang standard, tidak mungkin pula mereka berbuat sebegitu.

Fikirku, dengan melawaskan sistem ekzos yang membuang segala rintangan di dalamnya termasuklah sistem catalytic converter, prestasi enjin tidaklah meningkat mana. Lainlah kalau dibeli kereta yang lebih besar kapasiti enjinnya dan lebih baik prestasinya serta berlengkapkan ciri-ciri keselamatan yang bagus.

Bagiku, mereka ini golongan yang perasan kereta mereka 'power', sedangkan tidak seberapa. Ada yang membeli Proton tapi perasan memandu Mitsubishi, ada yang memandu Kancil tetapi perasan memiliki Daihatsu. Tidakkah mereka fikir dengan menukar logo, orang masih tahu model asal kereta mereka?

Golongan ini boleh 'diajar' apabila mendaki bukit. Contohnya di Lebuhraya Karak semasa mendaki ke terowong Genting Sempah. Dengan ekzos yang sudah tidak ada rintangan, tiada daya mampatan pada enjin, maka ekzos mereka akan 'berong'. Kereta inilah yang bakal tertinggal di belakang berbanding kereta yang standard.

Satu lagi yang kurasa pelik ialah orang yang suka meninggikan sistem gantungan kereta mereka seperti seolah-olah sebuah kereta rali. Tidak terfikirkah mereka tentang pusat graviti yang telah ditinggikan itu bakal mempengaruhi keseimbangan kereta semasa memandu? Cuba mengambil selekoh dengan kereta sebegini, pastinya mereka tidak boleh melayan selekoh dengan laju. Jalan raya adalah permukaan rata, maka tidak perlu ditinggikan pusat graviti kereta seperti kereta rali kerana mereka berlumba di jalan berbatu yang tidak rata.

Sebagai seorang yang pernah belajar Kejuruteraan Automotif, pelik aku lihat mereka yang sekadar mengikut gaya semasa ini. Yang kaya adalah kedai aksesori kereta, yang papa kedana adalah wannabe yang perasan kereta mereka 'power'. Baik kumpul duit beli kereta yang sememangnya sudah 'power' berasal dari kilang...

Perbendaharaan kata:
berong - bising (seperti ekzos) - asal Pantai Timur

21 Oktober 2007

Capital FM88.9 - Berita Buruk!

Khabarnya sebuah stesen radio baru bakal dilancarkan di Lembah Kelang bermula 1 Disember ini. Dinamakan Capital FM88.9, radio ini bakal beroperasi dari Hotel Concorde dan dikeudarakan dalam dua bahasa iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Radio ini bakal mendedahkan senario muzik tempatan dengan fokus terhadap persembahan studio secara langsung dan secara rekod.

Ini mungkin berita baik bagi sesetengah pihak tetapi tidak kepadaku. Aku juga menggunakan frekuensi 88.9 MHz untuk radio mini di keretaku bagi mendengar segala MP3 kegemaranku. Radio mini yang disambung kepada pengecas api rokok ini dapat dipancarkan dengan frekuensi bermula dari 87.7 hinggalah 88.9 MHz. Namun disebabkan lambakan pelbagai stesen radio yang ada di Lembah Kelang yang mengganggu pancaran signal radio mini itu, hanya frekuensi 88.9 MHz yang sesuai untuk ditala.

Namun radio baru yang bakal dilancarkan ini bakal mengganggu siaran radio miniku itu. Alahai, dalam banyak-banyak frekuensi yang ada, kenapalah dipilih frekuensi itu... Kenapa tidak dipilih frekuensi 100MHz ke atas saja?

Apa boleh buat mereka yang melancarkan radio ini bukannya mendengar MP3 seperti caraku ini. Kereta Protonku tidak ada MP3 player. Jadi inilah caranya saja... :(

20 Oktober 2007

Era - Banyak Sangat Yang Salah!

Apabila terdengar Info Trafik di Era.fm, aku selalu menguatkan sedikit suara radio di keretaku untuk mendengar pengumuman kesesakan lalulintas terkini. Namun tidak enak pula untuk didengar kerana terlalu banyak kesalahan istilah dan tatabahasa.

Sering disebutkan Woodlands Causeway yang sesak dengan kenderaan berat. Aku tertanya-tanya dari manakah istilah Woodlands Causeway ini timbul. Bukankah istilah Bahasa Melayunya dan juga sebutan yang betul adalah Tambak Johor?! Kenapa mahu diInggeriskan? Malukah beristilah dalam bahasa sendiri yang sememangnya nama asal untuk laluan yang menyekat aliran air Selat Tebrau yang penuh dengan kontroversi itu? Kalau mahu cakap Inggeris, bekerja sajalah di Hitz.fm atau Mix.fm.

Begitu juga dengan 'di Lebuhraya LDP'. LDP itu sudahpun merujuk kepada lebuhraya iaitu Lebuhraya Damansara-Puchong. Kalau disebut Lebuhraya LDP, sebutannya menjadi Lebuhraya Lebuhraya Damansara-Puchong. 'Di LDP' sudah cukup.

Satu lagi, pihak Era masih keliru dengan penggunaan dari dan daripada. Sering kedengaran umpamanya 'daripada Bulatan Pahang'. Di skrin radio di kereta sempena raya ini pula tertera 'Raya dari Era'. 'Dari' hanya boleh digunakan untuk masa dan tempat. Jadi kedua-dua frasa di atas adalah salah. Sepatutnya dibaca 'dari Bulatan Pahang' dan 'Raya daripada Era'.

Bulatan Pahang adalah sebuah tempat, maka 'dari' mesti digunakan. Era pula adalah sekumpulan orang atau sebuah badan, maka 'daripada' adalah penggunaan yang lebih tepat. Pihak ITIS juga pernah menggunakan 'daripada' untuk tempat yang tertera di papan elektroniknya, namun syabas kerana kesilapan ini telah diperbetulkan. 'Ke' dan 'kepada' juga digunakan untuk keadaan yang sama.

Di samping itu, juga nasihat buat Saiful Apek dan Fara Fauzana. 'Mereka-mereka' adalah perkataan yang salah kerana memajmukkan lagi perkataan yang sudah merujuk kepada majmuk. 'Mereka' sudah cukup. Tidak perlu diulang. Pak Khatib di kampungku juga salah dengan 'para-para'nya. Tapi apa boleh buat, itulah teksnya...

[Dikemaskini 28 April 2008 - Era telah pun memperbetulkan kesalahan-kesalahan di atas. Syabas Era!]

19 Oktober 2007

Perantau atau Pendatang?

Semasa di kampung halaman tatkala lebaran tempoh hari, kulihat beberapa papan iklan dan sepanduk menyambut kepulangan para perantau ke desa tercinta.

Mengingatkan istilah perantau ini, teringat kisah di Bali dulu. Kubertemu seorang pekerja kedai kasut Edward Forrer di sana. Kubertanya kepadanya dari mana dia berasal. Katanya dia berasal dari Flores. Telahanku tepat melihatkan perawakannya yang berkulit lebih gelap dan berambut kerinting – tanda seseorang berasal dari sebelah Timur kepulauan Indonesia.

Katanya dia pendatang di situ. Istilah ini digunakan kerana dia bukan berasal dari Bali tetapi datang ke situ untuk mencari rezeki. Balasku, istilah pendatang ini dalam konteks Bahasa Malaysia agak kasar bunyinya. Biasanya di Malaysia, dia dipanggil perantau.

Pendatang biasanya dikaitkan dengan seseorang yang datang dengan keadaan daif dan masuk ke tempat orang lain secara haram atau tidak sah. Ini termasuklah pendatang asing tanpa izin (PATI) dari luar negeri seperti Indonesia, Filipina dan Myanmar.

Istilah perantau pula digunakan untuk seseorang yang merantau jauh untuk mencari rezeki yang halal, menuntut ilmu seperti belajar agama atau silat dan juga mencari pengalaman baru.

Merantau biasanya dikaitkan dengan masyarakat Minangkabau dan Kelantan. Sejak turun temurun, orang Minang dan Kelantan suka merantau untuk mencari rezeki dan menuntut ilmu. Lihat saja rangkaian restoran masakan Padang di seluruh Indonesia dan Malaysia. Seorang warga Australia yang kukenali yang pernah menetap di Indonesia pernah mengatakan bahawa restoran masakan Padang itu umpama McDonald’s Indonesia. Di segenap ceruk rantau, ada restoran sebegitu.

Di Malaysia, restoran-restoran dan warung-warung kepunyaan orang Kelantan ada di mana-mana bandar-bandar besar. Di samping masakan Kelantan, orang Kelantan juga mahir menyediakan masakan Thai yang begitu kuat pengaruhnya di sana disebabkan kedudukan geografi negeri itu dan juga masyarakat Melayu Selatan Thai di seberang sempadan yang sama budaya dan bahasa dengan mereka.

Namun hari ini, istilah merantau tidak hanya terhad kepada masyarakat-masyarakat tersebut. Keperluan dunia hari ini menyaksikan setiap orang perlu merantau atau berhijrah untuk mengubah nasib diri. Maka tidak hairan kota-kota menjadi lengang apabila tiba Hari Raya dan kampung-kampung pula bertambah ceria dengan hilai tawa semua orang yang berkumpul.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Selamat pulang perantau-perantau ke kota. Yang belum menjenguk desa, pulanglah!

12 Oktober 2007

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1428H

Image hosted by Photobucket.com

Hari ini merupakan hari terakhir kita berpuasa, sungguhpun di beberapa negara, mereka sudahpun menghabiskan sebulan puasa yang kini menyambut Aidilfitri. Ramadhan berlalu namun kita patut bermuhasabah diri. Adakah diri kita ini lebih baik daripada sehari sebelum puasa dulu?

Sedih juga meninggalkan Ramadhan. Tiada lagi "night life". Surau-surau dan masjid-masjid tak lagi dipenuhi sepertimana di bulan Ramadhan. Tiada lagi kemeriahan membeli juadah berbuka puasa. Tiada lagi bazar Ramadhan. Tiada lagi gerai-gerai melanjutkan waktu perniagaan hingga ke lewat untuk orang bersahur ataupun membeli untuk sahur pada dinihari kelak. Tiada lagi orang pergi kerja awal daripada kebiasaannya - dan jalan mulai sesak seperti sediakala di waktu pagi.

Semua itu adalah kemeriahan Ramadhan. Ia bernilai tetapi nilainya hanya dirasakan apabila sudah tiada lagi. Kita perlu tunggu setahun lagi untuk menikmati kembali ambien sebegini, kalau usia dipanjangkan.

Apa-apa pun, sambutan Syawal tak mungkin dilupakan begitu saja. Di sini, kuambil kesempatan menyusun sepuluh jari, kuhulur tangan memohon ampun dan maaf andai ada tersilap, ada kekhilafan, ada terguris, ada terhina atau ada berbekas di hati. Kutadah tangan semoga selamat segalanya, selamat di rumah, di perjalanan, di mana saja.

08 Oktober 2007

Rasa Sayang - Indonesia Mahu Menyaman Malaysia

Beberapa hari lepas, seorang klien berbangsa Cina dari Johor menelefonku. Dia selalu membuat lawak. Dia menyapaku dalam Bahasa Jawa,

"Waras?"

Jawabku,

"Kurang waras..."

"Eh, jangan main-main! Nanti kena saman macam Rasa Sayang!"

Aku tertawa kecil untuk menjaga hatinya, walaupun aku sendiri tidak faham dan sambil tertanya-tanya apa maksudnya. Aku lupakan saja.

Semalam, aku membaca akhbar. Rupanya pemerintah Indonesia mahu menyaman Kerajaan Malaysia kerana melanggar hakcipta lagu Rasa Sayang yang digunakan dalam promosi pelancongan Malaysia. La, ini yang dimaksudkannya. Itulah akibatnya setelah beberapa hari tidak membaca akhbar mahupun menonton berita di TV...

The Jakarta Post melaporkan seorang ahli parlimen Indonesia menyarankan agar Malaysia disaman kerana menggunakan lagu Rasa Sayang atau Rasa Sayange yang dikatakan berasal dari Maluku tanpa kebenaran.

Pelik tapi benar. Lucu pun ada. Perkara sebegini dijadikan isu walhal beberapa perkara besar lain yang patut diberikan keutamaan dalam mengukuhkan hubungan kedua-dua negara patut dibincangkan dan diperkatakan. Mereka sepatutnya bercakap umpamanya tentang masalah jerebu, masalah pekerja-pekerja Indonesia seperti kes dera, kes jenayah dan pendatang haram, langkah-langkah meningkatkan industri hospitaliti secara bersama dan beberapa perkara berfaedah lain.

Fikirku, ini berlaku kerana adanya agenda seseorang mencari publisiti murahan. Mungkin juga terjadi disebabkan beberapa isu bilateral antara kedua-dua negara yang menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak.

Menteri Kebudayaan dan Kesenian Malaysia pula menafikan yang lagu itu menjadi hak Indonesia saja tetapi menjadi milik seluruh penduduk Kepulauan Nusantara kerana telah dinyanyikan secara meluas di rantau ini. Kalau mahu disaman, Singapura juga perlu diheret sama kerana menyanyikan lagu Rasa Sayang ini saban tahun semasa sambutan kemerdekaan Republik itu.

Tidak masuk akal, itulah pandanganku. The Jakarta Post juga melaporkan sesetengah pihak di Indonesia menanyakan kalau-kalau batik dan angklung juga telah dipaten oleh Malaysia. Persamaan budaya antara kedua-dua negara menyebabkan beberapa unsur tradisional dikongsi bersama. Sepatutnya, sesetengah pihak ini tidak mengatakan unsur-unsur tersebut milik mereka sendiri tetapi milik bersama.

Kalau macam itu, Malaysia juga boleh menyaman Indonesia kerana menggunakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Indonesia! Ini kerana Bahasa Melayu berasal dari kawasan sini dan dituturkan sebagai bahasa ibunda, tidak seperti majoriti orang Indonesia. Pelik bukan? Tapi itulah analogi terhadap tindak-tanduk pelik sesetengah pihak di Indonesia ini. Namun, tidak mungkin kita akan berbuat sebegitu kerana kita menerima persamaan.

Menyebut persamaan, kelihatannya Indonesia mahu mengambil hala tujuan sendiri. Bagi orang Malaysia, Bahasa Indonesia dianggap satu cabang loghat Melayu tetapi bagi Indonesia, Bahasa Malaysia seolah-olah bahasa asing yang langsung tidak difahami. Contohnya filem dan sinetron Indonesia yang disiarkan di Malaysia tidak pernah dialih bahasa kerana ianya diterima sebagai satu bahasa yang sama, sungguhpun kini perlu diletakkan sarikata kerana menggunakan bahasa gaul ataupun bahasa pasar yang dipertuturkan di Jakarta.

Di Indonesia, sebagai contoh, filem Pontianak Harum Sundal Malam telah dialihbahasa ke Bahasa Indonesia dahulu sebelum ditayangkan. Memang di Indonesia dasar satu bahasanya dipergunakan dan hanya Bahasa Inggeris dibenarkan disiar di TV, selain daripada Bahasa Indonesia, loghat Melayu dari Malaysia sepatutnya tidak perlu dialihbahasa. Alasan bahawa orang Indonesia tidak memahami bahasa di sini juga adalah karut. Bagaimana pula jutaan orang Indonesia di Malaysia boleh memahami bahasa di sini. Semasa di Johor dulu pun, tidak pernah aku dengar suara orang Riau yang ditemuramah disiarkan di TV. Untuk temuramah di Jawa pula, sungguhpun Bahasa Indonesianya sangat pekat dengan loghat Jawa, masih pula disiarkan.

Makna Nusantara itu sendiri ditafsirkan secara berlainan di Indonesia. Di sana, Nusantara bererti kawasan seluruh kepulauan Indonesia saja. Di Malaysia, Singapura dan Brunei, Nusantara dilihat dari sudut yang lebih luas iaitu seluruh kawasan Kepulauan Melayu yang bukan sahaja meliputi empat negara tersebut, tetapi juga melibatkan Selatan Thailand dan Filipina, sesuai dengan konsep kekuasaan Raja Jawa zaman dahulu. (Lihat entri terdahulu yang bertajuk Nusantara di sini.) Jika difahami dari sudut pemahaman orang Indonesia, agaknya kenyataan menteri Malaysia tentang "milik seluruh Kepulauan Nusantara" itu telah disalah erti dan jadinya memang milik orang Indonesia!

Jadi rasanya, cukuplah memperkatakan tentang perkara yang tidak perlu diberikan keutamaan ini. Sangat tidak masuk akal apabila memperkatakan sesuatu yang diterima pakai secara umum, tiba-tiba sesetengah orang mahu menjadikan hak milik mutlak mereka. Bayangkan pemerintah China mahu menyaman Malaysia kerana menjadikan tarian singa sebagai warisan negara. Bukankah kita sepatutnya bangga apabila budaya kita diterima pakai oleh umum?

Laporan akhbar:
Whither the feeling of love?
Quarrel does not even end in singing!
So who owns the song Rasa Sayang?
Rasa Sayang tetap diguna promosi negara
Rasa Sayang 'ours too... we have right to sing it'
‘Rasa Sayang’ belongs to Malay Archipelago: Deputy Dean

25 September 2007

Kenapa Pertandingan di Astro Kirana Mesti Ada Sarikata Inggeris?

Sudah beberapa kali, kulihat iklan promosi Astro Kirana Short Film Awards 2007 ditayangkan di Astro. Antara syarat penyertaan ialah filem pendek yang dihantar boleh menggunakan apa juga bahasa tetapi hendaklah disertakan sarikata Bahasa Inggeris.

Aku pelik juga. Adakah pertandingan ini melibatkan masyarakat antarabangsa? Setelah diteliti, pertandingan ini hanya terbuka kepada warganegara Malaysia. Nah, kenapa mahukan sarikata Bahasa Inggeris? Kenapa tidak bahasa kebangsaan kita? Ada rakyat Malaysia yang tidak pandai bertutur bahasa kebangsaan? Atau pengadilnya bukan orang Malaysia? Kalau begitu, sudah habis bakatkah orang di Malaysia ini? Astro harus menjawab.

Di Malaysia, masih ada orang yang tidak mampu bertutur dalam bahasa common. Kalau begini, integrasi kaum yang dilaung-laungkan tidak akan menjadi kenyataan. Kebolehan berkomunikasi adalah satu faktor penting. Apabila sudah dibesarkan dalam kelompok sendiri, bersekolah di sekolah yang hanya menggunakan bahasa sendiri, bekerja di syarikat yang hanya mengambil pekerja berbangsa sendiri, bagaimanakah untuk memahami bangsa lain dan berinteraksi dengan bangsa lain?

Malaysia gagal dalam hal ini. Lihat jiran kita, Indonesia. Mereka mampu bersatu dalam satu bahasa. Pergi ke seceruk rantau mana pun, mereka mampu bercakap bahasa penyatuan. Hentikan budaya 'minum air Mat Salleh' dan berpijak di bumi sendiri...

24 September 2007

Malapetaka Suatu Pembalasan?

Minggu lepas, seorang ustaz dari Padang, Indonesia dijemput untuk menyampaikan kuliah sebelum waktu Zuhur di surau pejabatku. Surau hari itu penuh dengan jemaah, tanda semua orang tidak mahu terlepas mendengar kuliah ustaz tersebut.

Beliau menghuraikan tentang siri musibah yang melanda Indonesia beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya di Sumatera. Paling mutakhir, gempa bumi di Bengkulu yang turut menggegarkan pencakar-pencakar langit Semenanjung Malaysia.

Menurut beliau, terlalu banyak maksiat berlaku dan boleh dikatakan setiap malam di sana, orang berdangdut hingga lewat malam. Pada malam pra tsunami 2004, segelintir masyarakat Aceh menyambut pra Natal, sungguhpun orang di sana terkenal dengan jolokan Serambi Mekahnya. Pada malam itu, ada yang mabuk-mabuk dan ada juga yang tidak beralas seurat benang pun. Pagi keesokannya, malapetaka meragut beribu-ribu nyawa dalam sejarah manusia telah berlaku.

Gejala murtad juga berleluasa di Indonesia. Sesudah kehilangan segala kekayaan dek siri bencana alam, kini sesetengah orang kehilangan harta yang mereka masih ada, iaitu akidah. Bantuan percuma dari luar bukanlah percuma pada namanya, tetapi masih ada harga untuk dibayar. Orang dari Barat telah membawa dan menyebarkan budaya mereka dan juga pegangan mereka. Bagi yang goyah pegangan akidah, mereka mudah terjebak dengan syurga dunia.

Bagi yang merokok, hati-hati rokok dari sana juga ada pengaruh Yahudi dan Nasrani, sepertimana rokok dari Barat. Gudang Garam misalnya menyumbangkan beberapa peratus hasil jualan sepuntung rokok untuk gerakan Kristian di sana. Pemiliknya berbangsa Cina, bernama Jawa bagaimanapun, dan beragama Kristian. Djarum pula dikatakan abreviasi untuk Demi Jesus Aku Rela Untuk Mati.

Kuliah dihabiskan dengan seorang ustaz muda (masih kanak-kanak) dari Bengkulu yang membacakan doa. Suaranya sungguh mendayu dan menusuk apabila membaca doa dalam Bahasa Melayu. Senang dimengerti jika dibandingkan dengan Bahasa Arab yang kita tidak fahami...

Bagi orang Malaysia pula, masalah sama juga berlaku di sini. Paling mendapat perhatian adalah kes Lina Joy. Kita sebenarnya tidak kurang juga perbuatan-perbuatan yang mendapat murka Yang Maha Esa. Jangan berdabik dada beralasankan kita tidak duduk di Lingkaran Api Pasifik atau Sumatera masih melindungi kita.

Para paranormal meramalkan Semenanjung juga tidak terlindung daripada malapetaka alam tersebut. Seorang rakan yang 'kuat' Kristiannya berkata, seorang paderi bermimpi Semenanjung Malaysia juga bakal kena bencana alam seperti di Indonesia. Ketepikan mereka dengan kepercayaan-kepercayaan mereka, namun yang pasti dengan perlakuan maksiat yang berleluasa, pemimpin yang zalim dan bukan ahlinya, rasuah serta korupsi, alam pastinya tidak mampu lagi menanggung kesengsaraan ini.

Entri berkaitan:
Tsunami - Sudah Ada Amaran Sebelum Berlaku?
Aceh Telah Hancur Tetapi Masjidnya Tetap Utuh

23 September 2007

Kes Nurin - Ibubapa Akan Didakwa?

Ketua Polis Negara mengatakan ibubapa Nurin boleh dikenakan tindakan kerana cuai. Tatkala kita merasa sedih dengan pembunuhan kanak-kanak perempuan tidak berdosa ini, kenyataan ini pula keluar dari mulut peringkat tertinggi polis.

Pelik juga. Apakah keutamaan polis di sini? Mahu menghukum ibubapa yang sukar menerima kenyataan yang anak kesayangan mereka sudah tiada lagi? Bagaimana dengan si pembunuh kejam itu?

Cukuplah dengan pelbagai tuduhan yang mencalar keintegritian polis hari ini dan segala jawapan yang dihuraikan namun tidak meyakinkan, satu lagi kenyataan yang kurang bijak keluar daripada pihak polis.

Nurin Jazlin Jazimin, 8 tahun, telah hilang sejak 20 Ogos 2007 dan pelbagai usaha dijalankan untuk mengesannya. Pada 17 September 2007, sebuah beg sukan berisi mayat seorang kanak-kanak perempuan yang merengkok di dalamnya umpama bayi di dalam kandungan telah ditemui. Hasil bedah siasat menunjukkan kanak-kanak itu mengalami deraan seksual di mana timun dan terung dimasukkan ke bahagian sulit.

Ibubapa Nurin dipanggil untuk membuat pengecaman, namun mereka tidak mengakui yang itu adalah anak mereka berdasarkan tanda pada badan yang berlainan. Lalu ujian DNA dilakukan buat pengesahan. Pada 20 September 2007, keputusan DNA bagaimanapun menunjukkan yang kanak-kanak malang itu adalah Nurin. Bapa Nurin pun begitu masih menafikan yang itu anak mereka. Namun keesokannya, bapa Nurin menukar fikiran dan menerima kenyataan dan mengambil mayat anaknya dari Hospital Kuala Lumpur.

Sehingga hari ini, tiada petanda pembunuh kejam itu dikesan.

Cukuplah betapa beratnya orang tua Nurin menerima hakikat yang anak mereka dibunuh kejam, kini tindakan mahu diambil pula. Bukankah yang dialami mereka itu adalah satu 'hukuman'? Polis sepatutnya bertindak mengikut prioriti. Tegakkan keadilan dengan menghukum si pembunuh itu, bukannya mengambil langkah mudah menghukum ibubapa Nurin dahulu.

Kuharap jawapan meyakinkan daripada pihak polis nanti. Jangan ada kaitan antara pembunuh dengan polis yang korup. Polis pula jangan mengambil jalan mudah untuk menutup kes ini. Nyiru yang kecil takkan dapat menutup bangkai gajah.

Al-Fatihah buat Nurin, belasungkawa* buat keluarganya.

Pos berkaitan:
Apabila Pengadil Karate Dipukul

Tag:


*belasungkawa - (Jawa) turut berdukacita, takziah

19 September 2007

Baju Melayu

Image hosted by Photobucket.com

Ramai rakan bertanya, "Tak buat baju raya ke tahun ni?".

Seperti biasa jawapanku tidak. Aku sudah beberapa tahun tidak membuat baju raya atau baju Melayu. Bukannya apa, sekali pakai saja. Selepas raya, baju itu tersimpan di dalam almari. Seluarnya hanya dipakai semasa hari raya pertama saja. Kalau baju itu, boleh juga dipakai di waktu lain, namun bukanlah selalu.

Kalau hari Jumaat, yakni hari bekerja, aku tidak memakai baju Melayu untuk bersembahyang Jumaat. Hanya pakaian bekerja. Kalau di negeri-negeri yang cuti hari Jumaat, boleh juga memakai baju Melayu. Di Terengganu dulu, aku memang memakai baju Melayu dan berkain pelikat untuk ke masjid pada hari Jumaat. Di sana, kalau berbaju biasa, memang pelik kerana boleh dikatakan semua orang memakai baju Melayu atau jubah. Berlainan pula di negeri-negeri yang bekerja pada hari Jumaat, kalau yang berbaju Melayu itu kurang.

Walau bagaimanapun, di bulan puasa ini, majoriti memilih untuk berbaju Melayu dan berkain pelikat untuk bersolat terawih. Jadi, pada waktu inilah aku membuka almari dan mencari segala baju Melayu yang ada. Bolehlah bertukar-tukar baju Melayu setiap malam.

Kalau difikirkan untuk kegunaan bulan puasa, elok juga aku membuat baju Melayu baru, namun bila dipertimbangkan yang baju itu atau lebih tepatnya seluarnya hanya dipakai sekali, lebih baik pakai yang seadanya. Kalau dibuat baju saja, tentu kurang ceria. Takkan tak nak memakai seluar dan samping.

14 September 2007

Berjualan di Bulan Puasa

Di surau, ustaz memperkatakan tentang orang yang tidak menghormati puasa. Menurut beliau, seorang Melayu Islam tanpa segan silu menjual nasi pada pukul 10 pagi di sebuah pasar terkenal ibukota. Sungguh menyedihkan apabila ramai pula yang rata-ratanya beragama Islam bertandang ke gerainya. Apabila ditegur, dia menjawab 'kerana Allah'...

Dalam hal ini, dia bukan sahaja bersalah kerana tidak menghormati bulan Ramadhan, bahkan turut bersubahat dengan orang yang tidak berpuasa.

Dulu, di Johor Bahru, seorang bilal yang gerai roti canainya sering penuh dengan pelanggan di waktu pagi, turut meneruskan perniagaan paginya di bulan puasa. Walaupun dia hanya menjual roti canainya kepada orang bukan Islam, namun dia juga disabitkan dengan kesalahan yang sama seperti di atas.

Roti canainya sungguh sedap. Walaupun sewaktu menunggu pesananku yang kadang-kadang 'aura' longkang di tepi meja menusuk ke lubang hidungku, aku masih setia untuk berkunjung lagi ke gerai itu. Pun begitu, apabila melihat gerainya terus beroperasi di bulan puasa, persepsiku terjejas. Lebih baik dia menjual roti canai di waktu petang saja. Takkan tak ada orang nak berbuka puasa dengan roti canai, kan?

Marilah kita ambil iktibar dengan kisah di atas. Rezeki takkan ke mana, lagi-lagi bulan Ramadhan ini...

13 September 2007

Pemain Bola Sepak Islam di Eropah

Di kalangan pemain bolasepak di Eropah yang rata-ratanya bukan beragama Islam, terdapat juga beberapa pemain yang beragama Islam yang mencipta nama di sana, termasuklah beberapa nama besar yang sangat terkenal.

Antara yang diketahui umum ialah lagenda Perancis, Zinedine Zidane. Pemain yang sungguh berbakat yang dikatakan bakal menggantikan Zidane, juga dari Perancis, iaitu Franck Ribery juga beragama Islam. Khabarnya, Nicholas Anelka juga telah memeluk Islam.

Jadi, batas agama bukanlah penghalang untuk orang Islam menceburi bidang ini. Di bawah disenaraikan pemain-pemain beragama Islam di kelab-kelab ternama Eropah:

1. Zinedine Zidane (bersara)
2. Franck Ribery (Bayern Munich)
3. Nicholas Anelka (Manchester City)
4. Mohammad Sissoko (Liverpool)
5. Emre Belozoglu (Newcastle)
6. Kolo (Habib) Toure (Arsenal)
7. Ahmed Hossam aka Mido (Tottenham Hotspur)
8. Papa Boupa Diop (Fulham)
9. Frédéric Kanouté (Sevilla)
10. Khalid Boulahrouz (bekas pemain Chelsea)
11. Robin Van Persie (Arsenal)
12. Zlatan Ibrahimovic (Juventus)

12 September 2007

Selamat Menyambut Ramadan 1428H

Besok kita bakal memulakan ibadah puasa. Kuambil kesempatan di sini untuk mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa dan semoga puasa kali ini merupakan yang terbaik buat kita semua. Kita sudah pun memulakan sembahyang terawih tadi dan harapnya berterusanlah kunjungan kita ke masjid-masjid dan surau-surau tanpa tertinggal satu malam pun.

Baru juga tadi, kedengaran gempa di Sumatera. Semoga mereka yang terkena musibah tersebut lebih tabah menyambut Ramadan tahun ini.

Ku pula cuba menyesuaikan diri dengan tempat baru di sini, sebagai kali pertama menyambut Ramadan di KL. Sepanjang bulan puasa ini, ku berazam untuk mengemaskini blogku ini sekerap mungkin dan entri-entri mestilah berkaitan dengan Islam (dan sudah tentu dengan label 'Islam'). Wassalam.

Pos berkaitan:
Selamat Menyambut Ramadan 1427H
Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak
Bulan Ramadan - Bulan Makan?
Gambar makanan bulan puasa
Gambar-gambar lain di Fotopages

09 September 2007

Apabila Pengadil Karate Dipukul

Mungkin sudah lama tidak 'dekat' dengan media Indonesia setelah berpindah ke KL, aku semacam tidak ambil pusing tentang berita dari seberang itu. Baru-baru ini, terdapat komen mengecam rakyat Malaysia keseluruhannya datang ke blogku ini. Bahasanya maha kasar. Terpaksa aku padam saja buat menjernihkan keadaan. Ini gara-gara kes pengadil Karate dari Indonesia telah dipukul sekumpulan polis berpakaian preman di Nilai, Negeri Sembilan.

Aku melungsuri beberapa laman Indonesia. Banyak sekali hal ini diperkatakan. Khabarnya, beberapa siri demonstrasi telah diadakan di Indonesia untuk membantah perlakuan buruk sekumpulan polis ini. Apabila berlakunya sesuatu yang menegangkan hubungan kedua-dua belah negara, maka perkara-perkara lama yang masih belum hilang rasa tidak puas hati diungkit-ungkit kembali. Kes Sipadan dan Ligitan, Ambalat, pengusiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dan perkataan "Indon" itu sendiri dibangkitkan.

Bukan ku mahu menegakkan benang yang basah, cuma apabila berlaku pertikaian antara dua negara serumpun ini, pihak berkenaan terlalu emosi. Kadang-kadang apa yang diperkatakan tidak berlandaskan fakta dan alasan. Main hentam kromo saja.

Aku tidak mahu menyentuh kes Sipadan, Ligitan dan Ambalat. Biarkan pada proses pengadilan. Nama PATI itu sendiri merujuk kepada orang yang melakukan kesalahan. Memasuki negara orang tanpa izin, yakni tanpa melalui proses yang sah adalah salah. Kalau sudah salah, tiada apa lagi mahu dipertikaikan. Alasan mencari rezeki bukanlah menghalalkan cara. Namun kesalahan tidak juga boleh diletakkan seratus peratus ke atas PATI itu sendiri, bahkan sindiket yang menipu, memeras dan membawa mereka yang naif, dengan niat asal tulus ikhlas mencari yang halal itu, juga patut diseret sama. Tidak pernah kedengaran mereka ini turut mendapat balasan setimpal. Adakah mereka dilindungi?

Perkataan "Indon" itu bergantung kepada penafsiran seseorang. Fikirku, "Indon" adalah perkataan yang bukan merendah-rendahkan martabat seseorang dari sana. Mungkin perkataan "Mat Indon" itu lebih kasar - merujuk kepada mereka yang sering melakukan jenayah dan berpakaian selekeh.

Berbalik kepada sekumpulan polis tadi, harapnya mereka mendapat pengadilan secukupnya. Janganlah lagi rosak susu sebelanga gara-gara nila beberapa titik itu. Harapnya mereka bukan memeras ugut untuk mendapat wang tambahan. Harapnya mereka tidak meminta rasuah. Harapnya tahap integrasi polis tidak tercalar. Harapnya rasuah tidak menular ke seluruh organisasi polis. Harapnya tiada sogokan diterima di kalangan polis termasuklah pucuk pimpinan atasan keselamatan negara. Aku takut andai aku tidak dilindungi...

07 September 2007

Tukar Nama Jalan

Akhbar The Star dua hari lepas menyiarkan satu artikel tentang penukaran nama-nama jalan yang asalnya dinamakan dengan nama-nama tokoh penjajah dengan nama-nama baru yang lebih bersifat 'keMalaysiaan'. Dulu, beberapa nama seperti Weld Road ditukar ke Jalan Raja Chulan dan Mountbatten Road ditukar ke Jalan Tun Perak. Kini beberapa nama batang jalan di Jinjang juga ditukar.

Seperti biasa, akhbar ini yang ku amati memilih pendapat dari sebelah pihak sahaja, yakni majoriti pembacanya. Semua komen tidak bersetuju kerana penukaran nama tidak menggambarkan sejarah, menghilangkan nostalgia lama dan juga ada berpendapat menidakkan sumbangan tokoh Inggeris yang pernah menjajah tempat ini.

Namun, apabila difikir dari sudut lain, kenapa mahu diagungkan nama penjajah itu. Sudah merdeka ke belum? Kenapa tidak saja di'Malaysia'kan? Seperti India, nama Culcutta sudah ditukar ke Kolkata dan Bombay sudahpun menjadi Mumbai. Cuma di Malaysia, Georgetown belum lagi ditukar ke nama asal, Tanjung, di samping beberapa nama tempat lain seperti Port Dickson dan Slim River.

Kadang-kadang, terfikir juga tentang golongan yang dipanggil comprador. Ketika zaman penjajahan di Asia, golongan ini menjadi orang tengah antara penjajah dengan pemerintah/penduduk tempatan. Mereka kaya-raya, mengagung-agungkan penjajah seperti Inggeris. Mereka berfikiran Inggeris, bercakap Inggeris, gaya hidup seperti Inggeris sungguhpun kulit hitam, coklat atau kuning.

Adakah pemikiran ini masih ada di kalangan rakyat Malaysia? Adakah mereka ini yang mahukan semuanya bernafas Inggeris? Bercakap Inggeris saja dan tidak mampu bercakap dalam bahasa lain termasuk Bahasa Malaysia? Merasa diri mereka Causassian tetapi berkulit Asia di luar? Nama mereka juga hanya ada nama Inggeris atau Perancis, Itali, Sepanyol atau Latin, yang tidak menggambarkan jati diri mereka itu?

Untuk bersikap adil, mari kita berfikir dari sudut mereka berfikir. Penjajahlah yang mengubah nasibku. Membawa aku merantau. Aku hidup senang. Kalau aku tidak mengikut penjajah, masakan aku begini. Tentu nasibku tidak ubah seperti orang kampung nenek moyangku yang daif.

Jadi, sebagai contoh, merdeka dilihat dari sudut berbeza. Ada golongan yang riang kerana mendapat kembali kuasa memerintah negara dan dapat menentukan hala tuju sendiri tanpa kongkongan. Segolongan lagi, yang membantu mereka sudah tiada. Mereka bersendirian. Kadang-kadang, kuterfikir sejauh mana kesetiaan mereka kepada negara ini. Aku sangsi - satu jawapan 'jahat' daripadaku, namun mungkin betul... Lihat sekeliling...

30 Ogos 2007

Merdeka Tapi...

Malam ini detik 12 tengah malam, kita menyambut lagi Hari Kemerdekaan. Sudah 50 tahun, namun pelbagai isu yang sepatutnya sudah dirungkaikan masih lagi terawang-awangan.

Ketidakpuashatian satu bangsa terhadap satu bangsa lagi kelihatan semakin jelas dan sudah dibawa ke peringkat yang mendapat perhatian meluas. Dulu, media terhad. Yang ada hanyalah TV, radio dan surat khabar yang dikawal sesetengah isi kandungannya. Nah, sekarang kita ada Internet. Semuanya bebas tanpa dikawal. Tulis dan cakaplah apa saja.

Orang Cina meluahkan isi hati yang mereka tidak mendapat perhatian sewajarnya di negara ini. Mereka dilayan seperti warga kelas kedua. Apabila mahu masuk ke universiti, kuota dikenakan. Yang bijak daripada bangsa mereka ditidakkan hak oleh seorang yang kurang bijak daripada bangsa Bumiputra. Apabila kontrak kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan diberikan keutamaan terhadap Bumiputra, mereka juga tidak berpuas hati.

Lantaran ketidakpuashatian tersebut, terlalu banyak perkara negatif muncul. Apabila diperkatakan perkara-perkara positif dan nilai-nilai murni yang ada di negara ini, golongan negatif inilah yang memperlekehkannya. Bukan kumahu menyebelahi mana-mana pihak, tapi pernah kualaminya. Pernah kubertanyakan di Yahoo Answers Malaysia kenapa terlalu ramai orang asing mahu datang ke Malaysia. Pasport dan MyKad Malaysia telah menjadi barangan yang sangat berharga sehinggakan sanggup dicuri. Ada jawapan yang diterima menjawab ada apa dengan Malaysia, bukannya bagus sangat. Rakyat Malaysia ada yang mahu keluar dari Malaysia.

Rasa tidak puas hati itulah menyebabkan golongan ini kurang rasa milik terhadap negara ini. Mereka lebih suka menjadi oportunis dan duitlah segala-galanya. Umpama semut, di mana ada gula, di situlah ada semut. Di mana ada duit, di situlah ada mereka. Mereka mencari peluang di mana-mana saja termasuklah di luar negara.

Dari sudut pandangan pemerintah Melayu, bangsa tersebut sudah kaya, sudah berada. Mereka menguasai ekonomi. Nak apa lagi. Mereka dianggap sudah tamak. Diberikan betis, hendak pula peha. Mereka dianggap sudah diberikan segala-galanya. Mereka dibenarkan berniaga dan majoriti orang Melayulah yang menjadi pelanggan setia mereka. Mereka telah menguasai sektor swasta. Mereka juga diberikan keistimewaan belajar dalam bahasa ibunda, yang tidak terdapat di negara lain selain daripada negara nenek moyang mereka. Hendak apa lagi?

Akhirnya, perkara ini tidak selesai dan berterusan sebagaimana asal. Ketidakpuashatian terus berlaku, namun golongan minoriti tidak terdaya merubah. Hidup saja dengan keadaan sekarang ataupun lari keluar daripada masalah dengan keluar dari negara ini.

Masalah utama di sini ialah stereotaip dan rakyat Malaysia dibahagi-bahagikan mengikut kaum. Ini mungkin kesan dasar pecah dan perintah zaman Inggeris dulu. Orang Melayu dihadkan untuk tinggal di kampung-kampung menjadi nelayan atau petani. Orang India tinggal di estet-estet. Dua golongan ini terpinggir daripada arus pembangunan dan hidup miskin. Orang Cina tinggal di bandar-bandar yang pesat aktiviti ekonomi seperti kegiatan pelabuhan dan lombong bijih timah. Orang Cina lebih kaya daripada dua bangsa tersebut dan malah ada segelintir daripada mereka diberikan lombong oleh Inggeris. Selepas merdeka, mereka masih lagi dikategorikan mengikut kaum-kaum ini.

Apabila orang Cina mengatakan orang Melayu semuanya mendapat perlindungan kerajaan, inilah yang dikatakan stereotaip. Adakah semua kontrak kerajaan diperolehi secara menyeluruh oleh segenap lapisan orang Melayu? Tidak sama sekali. Hanya golongan tertentu yang rapat dengan golongan tertentu yang punya kuasa sahaja yang mendapat habuannya. Inilah kronisme. Golongan inilah yang menjadi perosak. Mendapat kontrak kerajaan bernilai jutaan Ringgit tetapi tidak mempunyai kepakaran. Akhirnya, diberikan kepada orang lain. Kerana mahukan 'kekayaan dibahagi untuk semua', diberikan lagi kepada orang lain. Dua orang pertama tadi hanya untung atas angin. Duduk di kerusi, duit masuk dengan sendiri.

Dulu, sewaktu ku di universiti, ada siswa yang tidak langsung menjamah biasiswanya. Dia hanya menggunakan wang saku pemberian orang tuanya yang kaya. Sewaktu praktikal pula, ku pernah bertanya pada seorang kerani di pejabat adakah dia ada perancangan untuk melanjutkan pengajian di masa depan. Jawabnya, dia pernah mendapat tawaran ke universiti tetapi terhambat kerana masalah kewangan dan tidak mendapat biasiswa atau pinjaman. Alangkah baiknya kalau biasiswa yang tidak digunakan oleh siswa tadi diberikan kepadanya. Inilah yang dikatakan satu ketirisan dalam pemberian biasiswa, hatta kepada Bumiputra sendiri.

Orang Melayu pula mengatakan orang Cina semuanya kaya. Banyak gedung-gedung membeli-belah dan syarikat-syarikat besar dimiliki orang Cina. Tauke balak semuanya mereka. Pendapatan per kapita mereka adalah yang tertinggi berbanding kaum-kaum lain. Namun, sedar tak sedar, mereka juga punya golongan yang miskin dan tertinggal di kampung. Dengan polisi mengutamakan Bumiputra, golongan ini pastinya tersepit dan tersisih. Mereka juga perlukan pembelaan.

Kesimpulannya, dengan menstereotaipkan sesuatu kaum dan mengenali seseorang itu berdasarkan kaum adalah sesuatu yang silap. Seorang Cina mungkin pernah berkata kepada seorang Melayu, "Lu senanglah. Lu Melayu senang dapat kontrak kerajaan!". Namun apabila seorang Melayu itu penyokong pembangkang, adakah pernyataan di atas benar? Mungkin juga seorang Melayu berkata kepada seorang Cina, "Cina semua dah kaya, tu pun nak mintak lebih!". Walau bagaimanapun, tak semestinya penanam sayur itu hidupnya senang.

24 Ogos 2007

Marah Cakap Inggeris?

Pernah kuberikan satu komen di blog seorang teman maya ini berkenaan orang Indonesia bercakap dalam Bahasa Inggeris dengan orang Malaysia. Dalam kes tertentu, kerana ketidakfahaman antara satu sama lain, Bahasa Inggeris terpaksa digunakan buat menerangkan maksud sesuatu yang ingin disampaikan. Sungguhpun berasal dari bahasa yang sama, Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia telah mengalami evolusi dan asimilasi yang pesat sejak zaman penjajahan, membawa haluan sendiri dan akhirnya kadang-kadang saling tidak difahami.

Namun, bukan itu yang ingin diperkatakan di sini tetapi ada sesetengah orang menggunakan dari Indonesia menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya apabila bercakap dengan orang Malaysia ataupun sebaliknya. Mungkin mereka fikir mereka sangat moden dan mengikuti peredaran zaman semasa dengan bercakap bahasa itu. Bayangkan anda bertemu seorang yang tata rias dan busananya kelihatan sungguh bergaya dan bercakap Bahasa Inggeris dengan slanga yang menekankan huruf "r". Dengar pun berbelit lidah. Alih-alih, dia itu dari Jakarta. Marah tak? Gedik? Hmm.

Bagi orang Melayu, apabila orang Indonesia tidak bercakap dalam Bahasa Indonesia dengan mereka, seolah-olah seseorang itu melupakan bahasa sendiri. Nampak macam kurang beradab. Pernah kudengar seorang artis Indonesia yang tidak boleh dinamakan datang ke sini dan tidak habis-habis bercakap dalam Bahasa Inggeris. Apabila penyampai radio bertanyakan soalan di dalam Bahasa Malaysia, dia menjawab dalam Bahasa Inggeris.

Dulu, Yusuf Kalla datang ke sini tetapi banyak menyelitkan perkataaan Inggeris di dalam ayatnya. Macam orang Malaysia yang telah diracuni dengan Bahasa Rojak pula. Rexi Mainaki yang tersengih panjang setelah mendapat taraf kewarganegaraan tetap (permanent resident - PR) Malaysia pun suka menyelitkan perkataan Inggeris di dalam ayatnya. Kris Dayanti juga menyelitkan beberapa perkataan Inggeris di dalam lagu terbarunya. Adakah 'Bahasa Rujak' sudah menular ke sana?

21 Ogos 2007

Singapura atau Woodlands?

15 Ogos 07

Kali ini aku berpeluang ke Johor Bahru (JB) lagi. Sebulan telah berlalu sejak lawatan terakhir ke sini, namun di waktu yang singkat inilah banyak perubahan berlaku. Salah satunya ialah Kompleks Imigresen atau Checkpoint, Immigration and Quarantine (CIQ) yang sedang dalam proses terakhir penyiapannya. Kompleks ini bakal dihubungkan dengan bandaraya JB melalui Jalan Lingkaran Tengah yang sebelum ini kurang digunakan.

Ketika balik dari Restoran Singgah Selalu di Pantai Lido, aku melihat sebuah papan tanda sementara di sebatang jalan alternatif, yang mana jalan utamanya ditutup oleh kerja-kerja penyelenggaraan, tertera perkataan 'Woodlands'. Sekarang sudah berubah, tiada lagi 'Singapura'. Papan tanda yang merujuk kepada republik itu sudah lebih spesifik kini.

Hendak dikatakan ini adalah papan tanda rasmi tidak boleh juga kerana di jalan utama yang menuju ke CIQ juga terdapat papan tanda kekal yang tertera 'Woodlands', bukannya 'Singapura'.

Apakah ini merupakan tanda 'liberalisasi' di bawah Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI)? Akhbar hari ini juga memaparkan rakyat Malaysia yang kerap ke Brunei atau sebaliknya tidak perlu lagi menggunakan pasport. Yang diperlukan hanyalah MyKad ataupun kad pengenalan Brunei. Perancangan kerajaan Malaysia seterusnya ialah dengan Thailand dan Singapura.

Di Singapura sendiri, papan tanda di sana tidak pernah ditulis 'Malaysia', sebaliknya 'Johor'. Di Thailand juga ada tertulis 'Padang Basar' (sepatutnya Padang Besar), bukannya 'Malaysia'. Tidak seperti di Malaysia, papan tanda di sini ditulis 'Thailand', bukannya 'Sungai Golok' ataupun 'Tak Bai'.

Penukaran papan tanda di JB ini turut memudahkan pengguna jalanraya untuk meneruskan perjalanan ke tempat yang lebih spesifik di republik itu. Dengan melihat papan tanda tertulis Woodlands, seseorang tahu jalan itu melalui Tambak Johor. Kalau orang melihat perkataan Tuas, orang itu tahu papan tanda itu menunjukkan arah ke Link Kedua. Namun bagi pelancong luar dari Malaysia atau Singapura yang mungkin memandu ke sini, mereka mungkin terkeliru.

"Di mana 'neraka' Woodlands ini? Aku nak ke Singapura!"
("Where the hell is this Woodlands? I wanna go to Singapore!")

Pos berkaitan:
Kembali ke JB

19 Ogos 2007

Pantai Timur dan LPT Bhgn II

Di jajaran ini, lebuhraya dibina di tanah yang landai, tidak seperti di bahagian-bahagian awal lebuhraya di Pahang yang berbukit-bukau. Ini kerana jajaran ini adalah jajaran yang paling hampir dengan laut. Apabila lebuhraya Fasa 2 disiapkan, lebuhraya ini bakal kembali ke laluan berbukit-bukau kerana melalui kawasan pedalaman Terengganu.

Akhirnya aku sampai ke Persimpangan Jabor. Aliran trafik diarahkan supaya keluar dari lebuhraya melalui persimpangan tersebut. Apabila naik ke atas jejambat untuk keluar dari lebuhraya itu, aku agak terkejut kerana melihat lebuhraya di bawah putus begitu saja dan di depannya pokok-pokok kelapa sawit masih lagi tumbuh menghijau walaupun garisan putih lebuhraya turut disiapkan. Nampaknya kerja-kerja meratakan tanah belum lagi dimulakan. Agak musykil aku sedangkan pembinaan LPT Fasa 2 sudah lama diwar-warkan. Mungkin kerana proses pemberian kontrak masih berjalan.

Apabila keluar dari lebuhraya, aku dapati plaza tol agak jauh kedudukannya. Beberapa kilometer dari lebuhraya, barulah nampak plaza tol itu. Ini adalah kerana persimpangan tersebut dihubungkan dengan laluan pintas Gebeng yang diceritakan dalam entri yang lalu. Laluan luar lebuhraya ini masih di bawah pentadbiran MTD, pemilik konsesi lebuhraya ini, sehinggalah ke persimpangan bulatan di Gebeng yang di bawah jagaan JKR Pahang. Jadi, plaza tol tidak semestinya berada dekat dengan persimpangan tersebut.

Jumlah bayaran tol dari Plaza Tol Karak ke sini adalah RM21.00, iaitu tambahan RM1.40 berbanding dulu, yakni keluar di Plaza Tol Kuantan.

Setelah itu, perjalanan diteruskan dan akhirnya aku sampai ke persimpangan bulatan itu. Di situ, papan tanda sempadan negeri muncul semula. Persimpangan bulatan itu kembali berada di Pahang manakala laluan tersebut berada di negeri Terengganu.

Aku naik dan mengambil simpang pukul 3 untuk ke Kuantan. Simpang pukul 9 pula mengarah ke laluan Jerangau-Jabor yang kembali terletak di negeri Terengganu. Mungkin agak pening bagi yang membaca kerana kawasan ini memang terletak di persempadanan dua buah negeri. Walaupun agak jauh untuk ke Kuantan dengan melewati laluan ini, namun sifat ingin tahuku membuatkan aku memilih laluan ini.

...

Selepas bertemu seorang teman di Kuantan, aku meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu melalui laluan Jerangau-Jabor tersebut. Di sepanjang laluan itu, aku dapati tidak banyak tanda-tanda LPT Fasa 2 sedang disiapkan. Khabarnya beberapa pakej pembinaan lebuhraya tersebut masih belum diberikan kepada kontraktor.

Yang nampak agak pesat pembinaannya adalah pakej yang telah diberikan kepada MTD sendiri. Pakej ini bermula dari Persimpangan Bukit Besi sehingga ke Persimpangan Bukit Payong. Pakej ini juga merupakan pakej yang paling kompleks pembinaannya kerana melibatkan pembinaan jambatan yang merentasi Sungai Terengganu. Pakej ini juga melibatkan pembinaan persimpangan dan laluan yang bersambung dengan lebuhraya Timur-Barat yang baru yang bermula dari Simpang Pulai di Perak hinggalah ke Bukit Payong, Terengganu, yang juga merentasi Gua Musang di Kelantan dan Tasik Kenyir di Hulu Terengganu. Beberapa jejambat yang merentasi laluan utama sudah mula disiapkan.

Dengan beberapa pakej yang kelihatannya masih belum dimulakan, harapnya lebuhraya ini dapat disiapkan dengan mengikut jadual. Bilalah agaknya dapat memandu terus ke Kuala Terengganu melalui lebuhraya. Diharap juga nanti ada Fasa 3 yang menghubungkan Kuala Terengganu ke Kelantan dan seterusnya ke sempadan Siam. Siapa tahu...

08 Ogos 2007

Pantai Timur dan LPT Bhgn I

Hujung minggu lepas, aku ke Pantai Timur. Aku bertolak agak lambat. Asalnya mahu bertolak jam 9 pagi tetapi entah bagaimana hampir pukul 12 tengah hari baru bertolak. Jadi aku kena makan tengah hari dulu sebelum perjalanan. Setelah difikirkan, aku mahu makan tengah hari di sebuah restoran mamak di stesen minyak BHP di permulaan Lebuhraya Karak di Gombak.

Semasa memulakan perjalanan, seperti biasa kelihatan sebuah gerai menjual akhbar di simpang jalan keluar dari rumahku. Aku fikirkan, tidak mengapa, boleh beli saja di stesen minyak nanti. Lagipun, aku malas hendak keluar dari kereta dan menyeberang jalan untuk membeli surat khabar.

Perjalanan pun bermula. Selepas 15 minit, aku sampai ke tol Gombak dan selepas itu mengambil lorong kiri untuk ke stesen minyak BHP itu. Memang sukar mencari tempat letak kereta yang teduh di sini. Yang ada hanya sedikit. Puas mencari, aku terpaksa letak kereta di ruangan yang panas saja.

Lantas aku masuk ke kedai di situ dan mencari surat khabar. Namun, puas mencari, tidak nampak pula surat khabar dijual di sini. Hampeh! Takkan tidak dijual langsung ataupun sudah habis. Isyh.. menyesal tidak beli tadi. Jadi aku terus makan saja - tanpa membaca akhbar sambil makan.

Aku meneruskan perjalanan selepas itu. Harapnya di stesen minyak Petronas selepas Genting Sempah nanti masih ada akhbar dijual di sana. Ketika mendaki bukit ke terowong lebuhraya itu, pada masa inilah terasa kereta manualku sangat berguna. Kalau selama ini asyik sakit kaki ketika kesesakan lalulintas, kali ini dengan menurunkan gear, keretaku lebih pantas meluncur berbanding dengan kereta bertransmisi automatik.

Selepas menuruni semula laluan tertinggi lebuhraya di terowong itu, aku sampai ke stesen minyak Petronas tersebut. Sebenarnya, pertama kali aku singgah di sini sungguhpun hampir setiap bulan aku melalui lebuhraya ini. Aku terus masuk ke kiosk di situ. Namun, kehampaan berterusan kerana yang ada hanyalah surat khabar yang tidak langsung kukenali. Rasanya surat khabar utama sudah habis dijual.

Hmm, suatu pengajaran berguna - jangan berharap untuk membeli akhbar di lebuhraya disebabkan sama ada sudah habis dijual atau tidak dijual langsung! Begitu juga semasa cuti sekolah - jangan merancang untuk mengisi minyak di lebuhraya kerana barisan amat panjang untuk mengisi minyak. Kalau mahu memulakan perjalanan jauh, isi saja penuh-penuh di stesen-stesen minyak yang berdekatan dengan rumah asalkan tidak terletak di laluan utama.

Perjalanan diteruskan. Sedang ku memandu, aku lihat bendera besar Jalur Gemilang dikibarkan di tiang lampu limpah yang tinggi buat menerangi persimpangan bertingkat lebuhraya di waktu malam. Lantas aku teringat peristiwa yang genap setahun lepas berlalu. Pada masa itu, aku bersama seorang teman ini telah pergi ke PC Fair. Kami telah membuat rekod dengan pergi ke KL dari Kerteh secara balik hari. Kami bertolak pada jam 9.30 pagi dan sampai semula ke Kerteh pada jam 12 tengah malam. He he.. macam pergi ke Kuantan dari Kerteh pula. Orang mungkin kata itu satu kerja gila tapi tidak mustahil dilakukan kerana lebuhraya sudah siap pada masa itu dan menjimatkan waktu perjalanan.

Sebelum persimpangan bertingkat Sri Jaya, aku melihat papan tanda elektronik lebuhraya mengatakan persimpangan tersebut sudah mula dibuka kepada lalulintas mulai 15 Julai. Sebelum ini, persimpangan itu masih di dalam perbinaan walaupun Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 1 sudah mula dibuka. Kini, lebih senang untuk ke Tasik Chini dengan pembukaan persimpangan tersebut.

Di papan tanda elektronik itu juga, terpampang laluan Kuantan-Jabor sudah mula dibuka. Wah, aku teruja! Sampai juga akhirnya lebuhraya ini ke negeri Terengganu setelah Samy Vellu membuat keputusan unilateralnya menghentikan lebuhraya ini di sempadan negeri Pahang-Terengganu bagi pihak kerajaan Terengganu Darul Iman yang diperintah pembangkang pada masa itu. Pelik Samy Vellu ini (macam biasa).

Tentu perjalanan ke Terengganu lebih lancar kerana persimpangan Jabor telah menghubungkan laluan pintas Gebeng yang menghubungkan lebuhraya ini dengan Pelabuhan Kuantan dan seterusnya pemandu boleh mengambil jalan pantai ke Chukai. Bagi orang yang suka melalui laluan dalam Jerangau-Jabor pula, mereka boleh mengambil laluan itu melalui persimpangan bulatan yang ada di laluan pintas itu.

Tidak sabar aku hendak melalui laluan baru di LPT ini. Setelah berhenti sebentar di Hentian Sebelah Kuantan, aku meneruskan perjalanan. Kalau sebelum ini, semua kenderaan mesti keluar di Persimpangan Kuantan kerana lebuhraya habis di situ, kali ini aku boleh meneruskan perjalanan ke Jabor.

Sebelum ini, setelah keluar di Kuantan, pemandu mengambil jalan Bukit Goh sebagai laluan pintas ke Terengganu. Di satu laluan atas untuk ke Bukit Goh, nampak lebuhraya itu belum dicat garisannya. Kini, lebuhraya itu telah siap untuk digunakan dan apabila melalui lebuhraya di bawah laluan atas tersebut, teringat jerih payah memandu laluan pintas Bukit Goh yang sempit, banyak ternakan dan lori simen dari sebuah kilang di itu.

Apabila sampai di sempadan Terengganu, warna tar lebuhraya bertukar hitam, tanda baru diturap. Pertukaran warna tar di lebuhraya ini memberikan seribu satu cerita tentang pembinaan lebuhraya ini. Bangga juga melihat papan tanda sempadan negeri Terengganu Darul Iman terpampang di lebuhraya. Akhirnya lebuhraya sampai juga ke Terengganu.

stop jap, dah Maghrib...

04 Ogos 2007

Perihal Saat Akhir dan Gelabah Bhgn II

Selepas makan tengah hari, kami bergerak ke Bandar Melaka. Kami bertemu seorang pelanggan di Tanjung Kling dan perbincangan berlangsung dengan agak cepat.

Setelah itu, kami singgah di sebuah kedai mamak untuk minum petang. Sakit di mulutku ini semakin menjadi-jadi pula sekarang ini. Inilah akibatnya tertinggal pil di rumah. Semasa di dalam kereta tadi, mulutku langsung tidak boleh terkena sejuk dari penghawa dingin. Perutku pula sudah lapar namun mulutku tidak boleh mengunyah apalagi menelan makanan. Jadi, aku memesan teh tarik saja tetapi air yang agak suam itu membuatkan mulutku sakit lagi. Akhirnya terpaksa memesan ais kosong saja. Untuk menghilangkan sakit buat sementara, terpaksa kupesan Panadol.

Sakit yang tak tertahankan ini membuatkan aku mengambil keputusan untuk balik ke KL secepat mungkin. Kami terus pulang selepas itu. Di dalam perjalanan, kami singgah sebentar di Seremban. Di sepanjang lebuhraya, trafik lancar, termasuklah selepas tol Sungai Besi. Namun di dalam KL, sewaktu turun dari Lebuhraya Bertingkat Ampang, banyak kereta pula yang tersangkut dalam kesesakan. Pelik juga. Biasanya selepas Maghrib, trafik lancar.

Kami sebenarnya ke rumahku dulu kerana mahu mengambil barang serta pil yang tertinggal itu sebelum bertemu dengan rakan dari Indonesia untuk makan malam. Mereka datang berempat tetapi yang boleh keluar bersama pada malam ini hanyalah dua orang. Mereka berdua inilah yang sama-sama kutemui sewaktu di Singapura dulu.

Kami mengambil mereka di hotel mereka menginap. Apabila kami sampai di lobi hotel, mereka sudahpun siap menunggu. Agak tidak yakin mereka melihat sebuah kereta menghampiri mereka namun setelah kuturunkan cermin kereta, mereka tahu yang kami sebenarnya di dalam.

Setelah lama tidak bertemu, banyaklah cerita yang ingin diperkatakan. Mereka bertanya tentang cuaca kerana sekarang ini hujan sedang mencurah-curah di KL. Aku tersenyum. Bagiku ini rahmat. Kalau cuaca kering, tentu asap dari Sumatera sudah menghasilkan jerebu di KL pada waktu sebegini seperti saban tahun. Mereka tergelak dengan mengatakan biasalah, Indonesiakan suka mengeksport asap ke Malaysia...

Kami ke KLCC untuk makan malam. Sudahpun kubuat tempahan di restoran Madam Kwan's sewaktu di Melaka lagi. Jadi, tidak perlu menunggu pelanggan lain habis makan di restoran yang selalu penuh itu. Aku syorkan mereka untuk memesan Nasi Bojari, salah satu hidangan istimewa di sini. Sungguhpun telah beberapa kali ke sini, aku masih lagi memikirkan bagaimana untuk menyebut Nasi Bojari itu.

Aku tak pernah dengar nama Bojari. Fikirku ini mungkin Nasi Bukhari. Sesetengah orang yang tidak pandai menyebut "kh" selalunya menyebut sebagai "h" saja seperti Khairul menjadi Hairul dan khayalan menjadi "hayalan". Jadi, ejaan Bukhari menjadi Bohari. Mungkin dieja dengan ejaan Sepanyol yang "j" bunyinya seperti "h", akhirnya nasi itu dipanggil Nasi Bojari. Entahlah, betul atau tidak aku ini. Terlalu kompleks evolusi nama nasi itu yang aku fikirkan...

Dalam pada itu, aku pula sudah kecur air liur melihat Nasi Lemak yang tertera di menu. Jadi aku memesan Nasi Lemak saja. Mereka berdua dari Indonesia itu sudahpun makan Nasi Lemak, jadi aku suruh mereka memesan Nasi Bojari tadi. Setelah menelan pil yang sudahpun kuambil dari rumah tadi, hilang pula sakit di mulut. Tambah berselera aku makan kerana perut memang sudah lapar sewaktu di Melaka tadi lagi.

Banyak cerita yang dibincangkan. Aku mencuit mereka dengan mengatakan Papua atau nama lamanya Irian Jaya mahu keluar dari Indonesia. Sewaktu aku di Johor Bahru tempoh hari, kelihatan bendera Bintang Kejora milik pelopor kemerdekaan di sana dikibarkan di berita televisyen republik itu. Mereka menjawab perang tidak berkesudahanlah kalau mahu merdeka.

Aku pelik juga kenapa Timor Timur pula boleh keluar dari Indonesia. Jawapannya Timor Timur adalah jajahan Portugis manakala Papua adalah jajahan Belanda. Seluruh jajahan Belanda menjadi Republik Indonesia hari ini. Timor Timor pula pada masa dulu mahu masuk Indonesia dan sekarang mahu keluar pula. Hmm, sepatutnya buat saja perjanjian supaya tidak boleh keluar balik, macam undang-undang murtad mungkin...

Aku juga bertanya ke mana mereka pergi tadi. Jawabnya ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) - tempat Siti Nurhaliza bernikah. Makan di sana. Tidak pula mereka masuk ke Aquaria di situ.

Selepas makan, aku mencadangkan mereka ke Taman KLCC untuk mengambil gambar Menara Berkembar Petronas namun mereka tertinggal bateri kamera di bilik pula. Hmm, tak apalah. Lagipun hujan masih belum berhenti di luar. Aku menghantar mereka balik ke hotel saja.

....

Pagi ini, aku agak lambat memulakan perjalanan ke Melaka kerana banyak urusan lain untuk diselesaikan dahulu. Sebelum bertolak tadi, aku sudah pastikan semua dokumen tender lengkap dan dimasukkan ke dalam beg. Salinan pendua juga sudah kusiapkan. Sampul surat, pita selofan, stepler dan cop syarikat juga kubawa takut-takut tender itu terpaksa diubah lagi. Tidak mahu pisang berbuah dua kali (eh.. pisang berbuah dua kali kan bagus...).

Tarikh tutup tender adalah hari ini, pada jam 12.00 tengah hari nanti. Sekarang jam sudahpun 9.45 pagi dan aku pula baru hendak bertolak. Kalau tiada aral melintang, satu jam setengah sudah boleh sampai. Namun, kuagak mungkin aku sampai agak lambat kerana projek pelebaran lebuhraya yang sedang berjalan.

Pada awal perjalanan, aku memandu agak perlahan kerana mulutku masih terasa sakit. Jahitan pada gusi itulah penyebabnya, di samping ulser yang terbentuk kerana luka di lidah dan bibir yang mulai pecah kerana lama menganga mulutku sewaktu di klinik hari itu. Aku mahu berhenti di Nilai untuk bersarapan, seperti semalam, namun kawasan rehat dan rawat itu ditutup pula. Jadi aku terpaksa berhenti di hentian seterusnya iaitu di Seremban. Aku makan pau saja kerana teksturnya yang lembut membantu mulutku mengunyah. Sambil makan, aku membaca akhbar.

Lama duduk di situ, baru aku tersedar yang aku terleka. Jam sudahpun hampir 11 pagi. Aku hanya ada satu jam saja lagi! Aku bergegas ke kereta dan meneruskan perjalanan. Kali ini pemanduan dipercepatkan. Nasibku baik kerana tidak banyak laluan tersekat dek projek pelebaran itu.

Aku sampai di Simpang Ampat/Alor Gajah pada jam 11.30 pagi. Waduh, sudah lambat ini! Semalam aku masih boleh menikmati suasana kampung di sini, tetapi hari ini tidak lagi. Bawa kereta laju sedikit dan aku hanya memikirkan untuk sampai ke destinasi secepat mungkin. Tiada lagi pokok rambutan, petai, durian.. Ah, tiada masa untuk semua itu. Harapnya aku dapat sampai dengan selamat dan tepat pada masanya.

Akhirnya aku lega. Sampai juga di destinasi lima minit sebelum tender ditutup. Aku mengambil sampul surat tender yang kusengaja tidak tutup tadi. Aku pantas mengambil stepler untuk menutup sampul itu. Aku menekan-nekan stepler itu namun tidak berkacip pula sampul surat itu. Arghhh!!!! Celaka! Aku terlupa untuk memastikan ada dawai kokot di dalam stepler tadi! Kenapalah terjadi macam ini...

Namun nasibku baik kerana ada soletep yang dibawa bersama tadi. Nasib baik aku bawa semuanya. Aku menutup sampul surat itu dengan soletep saja, tanpa dawai kokot. Lantaklah, asalkan ditutup kemas. Mataku pula menjeling-jeling ke arah jam di telefon bimbit supaya masih ada waktu. Akhirnya, aku bergegas keluar dan berjalan pantas ke arah sekuriti untuk menghantar tender. Satu minit lagi sebelum habis tempoh masa, aku berjaya juga akhirnya menghantar tender itu... Fuh...

29 Julai 2007

Perihal Saat Akhir dan Gelabah Bhgn I

23 Julai 2007

Hari ini aku bercadang hendak ke Melaka untuk menghantar satu tender yang tarikh akhirnya pada keesokan hari, 24 Julai. Aku ke sana dengan seorang rakan sekerja dari Singapura yang malam tadi sudahpun mendarat di KLIA. Sebelum bertolak ke sana, aku menghantar SMS ke seorang rakan sekerja lain dari Jakarta yang dijadualkan tiba pada pagi ini. Aku tidak mengharapkan balasan serta-merta daripadanya kerana kuyakin dia sudahpun berada di dalam pesawat.

Semasa perjalanan ke sana, agak sukar untuk aku berbual-bual dengan rakan dari Singapura itu gara-gara aku baru saja mencabut gigi. Jahitan pada gusi membuatkan mulutku terbatas pergerakannya kerana sakit. Aku kadang-kadang mengatakan 'hmm' tanda setuju. Baru kusedar bercakap Bahasa Inggeris menggunakan banyak tenaga berbanding bercakap Bahasa Melayu kerana mulutku lebih sakit apabila bercakap dalam bahasa semesta itu. Dalam menahan kesakitan itu, aku rasakan pertuturanku agak keras dan menjengkelkan. Harap audiens dapat faham keadaanku.

Kami berhenti di Nilai untuk bersarapan pagi. Sedang menikmati atau lebih tepatnya betapa sengsaranya mengunyah donat, aku menerima SMS daripada teman dari Jakarta itu. Dia sudah mendarat di KLIA. Apa dia fikir tentang KL agaknya kerana inilah kali pertama dia ke KL atau kali kedua dia menjejakkan kaki di Malaysia. Dia entah orang ke berapa juta dari Indonesia menjejakkan kaki di sini.. He he..

Kali pertama dulu, dia kubawa ke Johor Bahru (JB) dari Singapura. Teringat pengalaman di sana apabila mereka (bertiga dari Indonesia) ditahan imigresen 'kiasu' Singapura dan dibawa masuk ke bilik pegawai semata-mata mereka orang Indonesia. Bukankah mereka sudah pun lepas masuk di imigresen Lapangan Terbang Changi? Salah seorang daripada mereka yang fasih berbahasa Inggeris dan memegang PR Australia bertekak dengan pegawai di situ. Aku tersenyum dan aku faham.

Aku rasa aku juga pernah di"mark" oleh imigresen di sana kerana pernah ke sana bersama seorang temanku yang pernah mengerjakan umrah, yang tertera visa umrah bertulisan Arab di pasportnya. Selepas itu pula, aku sering masuk ke sana kerana banyak latihan dan mesyuarat kuhadiri. Mungkin mereka syak aku berkerja secara haram ataupun aku ini pengganas. Pengganas? Kalau aku pengganas, aku pinjam lori vendor syarikat aku, aku langgar saja paip-paip di Tambak Johor itu. Tak perlu ke Singapura, paip di Ulu Tiram pun aku boleh langgar... Tapi aku bukan pengganas... Mereka mengambil jalan yang aku tidak sukai - menyelidik pemuda Melayu-Islam dari Malaysia kalau-kalau mereka ada jaringan dengan Jemaah Islamiyah di sana. Maklumat ini aku dapati dapati dari seorang teman.

Ah, lupakan seberang tambak.

Setelah membaca SMS itu, aku menelefonnya bertanyakan apakah rancangan dia hari ini. Dia sampai awal, mesyuarat bermula besok, jadi hari ini dia punya masa lapang. Dia menjawab hanya duduk di hotel saja. Duduk di hotel saja? Bukankah rugi kalau begitu. Aku mencadangkan agar dia mengikuti aku saja ke Melaka. Akan kutinggalkan dia di Banda Hilir. Biar dia tengok segala warisan penjajah dan muzium-muzium di sana dan selepas selesai urusan kerjaku, aku mengambil dia di sana semula. Katanya dia ndak mau.

OKlah, aku cadangkan dia ke Bukit Bintang atau ke KLCC saja. Sekarang ini ada Mega Sale, bolehlah membeli-belah. Namun dia menolak kerana fikirkan harga yang lebih mahal di sini. Aku teringat pula kisah seorang Bapak membeli spender berharga ratusan Ringgit sehelai dengan wang tunai. Lalu aku berkata padanya, takkan berkerja di syarikat multinasional masih memikirkan harga yang mahal.. Belilah sesuatu buat ole-ole untuk dibawa pulang. Aku biarkan dia tentukan apa mahu dibuat hari ini... Akhirnya aku mengajak dia untuk makan malam di KLCC saja selepas aku pulang dari Melaka nanti.

Perjalanan diteruskan selepas berhempas-pulas mengunyah supaya makanan tidak terbawa ke luka cabutan gigi itu. Perjalanan lancar namun tersekat sebentar di Seremban kerana projek pelebaran lebuhraya di situ. Selepas itu trafik lancar. Namun hati-hati kerana ada polis 'menembak' kelajuan. Maklumlah, ada di sesetengah tempat lorong ketiga sudah siap, maka sesetengah orang menekan minyak sehingga ke lantai. Aku dari awal-awal lagi sudah berjaga-jaga kerana minggu lepas, bos aku hampir terkena di situ.

Kami sampai di susur keluar Simpang Ampat/Alor Gajah dan mengambil jalan kampung sebagai jalan pintas untuk ke destinasi. Seronok memandu di jalan kampung kerana dapat menikmati suasana kampung. Dari Alor Gajah ke arah pantai, kelihatan rekabentuk rumah mula berubah dari pengaruh Minangkabau ke pengaruh Melayu Melaka. Di Alor Gajah, terdapat banyak orang Minang yang orang tua masih mengamalkan Adat Perpatih. Di bahagian lain Melaka pula lebih kepada Adat Temenggung orang Melayu.

Berasal dari kampung juga, aku dapat menamakan sesuatu pokok dengan hanya melihat bentuk daun. Teringat semasa di Zoo Negara dulu, seorang kakak berkata kepada anaknya tentang pokok sirih. Aku yang tengah sibuk mengecat pagar semasa projek komuniti di situ hanya mendengar saja. Setelah aku ke sebelah pagar dekat dengan pokok sirih itu untuk mengecat bahagian pagar di sana, baru aku sedari itu adalah pokok daun kaduk.. Daun sirih dan daun kaduk seakan-akan sama. Namun daun kaduk tumbuh di atas tanah dan sering dibuat sayur manakala daun sirih tumbuh menjalar naik ke atas batang pokok yang lebih besar untuk mendapatkan cahaya matahari. Daun sirih pula berbau dan daun kaduk tidak. Aku tersenyum di dalam hati. Tak apa, mereka orang bandar...

Di samping memandu kereta, aku juga menjadi pemandu pelancong buat rakan dari Singapura itu. Kelihatan di kiri kanan jalan banyak pokok rambutan sedang lebat berbuah. Ada yang merah dan ada yang kuning. Kalaulah dapat dipetik dan dijual, tentu lumayan pulangannya. Nampaknya setiap rumah ada pokok rambutan di halaman mereka.

Sesekali, kelihatan kebun durian. Rakan dari Singapura bertanya bagaimana aku tahu sedangkan tidak ada buah pun di pokok-pokok itu. Aku tersenyum dan berkata, lihat saja pada daunnya. Aku memandu perlahan untuk melihat kalau-kalau ada buah durian di pohon. Aku terjumpa satu buah yang agak besar bergantungan di sebatang dahan namun dia pula tak nampak kerana terlindung bumbung kereta. Kelihatan juga pokok petai yang banyak buah petai berjuntaian di dahan-dahan.

Akhirnya kami sampai ke destinasi tepat pada jam 12 tengah hari. Aku bertanya kepada sekuriti di situ kalau orang yang hendak dijumpai sudah keluar makan. Namun dia masih ada. Perbincangan kami berlangsung selama setengah jam dan aku menghantar tender kepadanya.

Setelah itu, kami bertolak ke Bandar Melaka yang digelar Melaka Bandaraya Bersejarah pula. Kami melalui jalan pantai yang sangat menarik pemandangannya. Banyak rumah tradisional Melaka terhias cantik di sini. Banyak juga rumah-rumah itu disewakan kepada penerbit-penerbit drama untuk lokasi penggambaran mereka. Kalau masa raya, tentu meriah di sini.

Selat Melaka yang biru terbentang di sini juga sungguh mendamaikan. Kelihatan juga banyak kapal-kapal dagang sedang belayar. Selat Melaka merupakan selat yang tersibuk di dunia. Semasa menaiki kapal terbang dari KLIA ke Johor Bahru tempoh hari, kebetulan cuaca sangat baik, Selat Melaka kalau dilihat dari atas seumpama sebuah lebuhraya untuk kapal-kapal. Banyak kapal sedang belayar dan jaraknya tidaklah jauh. Di bawah nampak negeri Melaka dan di seberang kelihatan pantai memutih di Sumatera.

Sedang kami ke Bandar Melaka, bos aku menelefon bertanyakan tentang tender itu. Setelah berbincang, dia kurang bersetuju dengan tawaran yang aku utarakan untuk pelanggan. Akhirnya aku terpaksa menelefon pelanggan itu kembali dan bertanya padanya sama ada tender yang aku sudah hantar tadi boleh dibatalkan. Dia berkata boleh dan aku mesti menghantar yang baru.

Aku pula menyumpah diri sendiri kerana tidak membawa salinan pendua. Kalau aku bawa, bolehlah aku hantar semula. Namun semuanya ada di KL dan nampak gayanya aku mesti datang ke Melaka semula besok. Hish... waktu begini pula terjadi seperti ini. Biasanya, aku membawa dua-tiga salinan sebagai ganti jika tersalah sesuatu. Dulu, aku juga membawa cop syarikat, cellophane tape, stapler (apa dia dalam bahasa Melayu ha? Ubat dia aku tahu dawai kokot..) dan sampul surat.

Kami berhenti sebentar di tepi pantai itu untuk makan tengah hari. Satu lagi penyeksaan. Rakanku itu menghabiskan sepinggan nasinya dalam masa 10 minit manakala aku pula setengah jam! Apa nak buat, terpaksa makan sedikit demi sedikit supaya tidak sakit mulutku. Pil-pil yang diberikan doktor pula aku tertinggal sebab bergegas keluar dari rumah tadi. Lain kali, seperti biasa, letak saja di depan pintu rumah supaya tidak tertinggal. Kalau tersepak sesuatu dekat pintu tu, adalah barang tertinggal... heh heh..

bersambung..
1) Makan malam di KLCC
2) Perjalanan hari kedua ke Melaka
3) Stapler habis ubat (dawai kokot) - hua.... jeng jeng jeng...

26 Julai 2007

Harry Potter: Ugly Price War or Ugly Bookstores?

I fully support Tesco and Carrefour's moves to sell the latest Harry Potter book, Harry Potter and the Deathly Hallows at RM69.90. At this price is cheaper than the retail price at RM109.90, those who can't afford for high price of books can also enjoy reading the book that they can only buy after the price has dropped.

This so called "ugly price war" I must say has revealed the "ugly side" of book price in our country. While the Government has encouraged the rakyat to read more books, now we have realised that prices of books here in Malaysia are actually high. This might be one of the causes why the reading habit is not that popular as hoped by the Government.

I believe Tesco and Carrefour have made decent margin here by selling at RM69.90. The four bookstores that have boycotted the launch of the latest Harry Potter book must have made huge margin when the book is sold at the list price of RM109.90. At least, the bookstores would have made 100% margin by selling at the list price.

Since the government has also said that books are actually not a controlled item, the price of the books can be skyrocketed high or otherwise can be as low as recovering the cost. The bookstores should have not complaint as this is free market here. They, if they think they still should sell at the list price, should continue selling Harry Potter book. They must know that they should distinguish their market segment with Tesco or Carrefour's market segment. They are the expert of selling books and should not jump when discovering other unknown players selling at the cheaper price. Why can't they concentrate on selling value added items such as autographed books in order to entice readers to buy at a higher price?

Anyway, me, as a consumer, laud this hypermarkets move. At least, I don't buy a book that the seller has actually marked up so high. This has also revealed that our book price is actually skyrocketed. Who wants to read when a price of a book can actually buy you urbanite a week's meal?

Tags: , ,

7 Keajaiban Baru Dunia

Pada 7.7.07 lepas, tujuh keajaiban baru dunia telah diisytiharkan oleh New Seven Wonders setelah undian dilakukan melalui Internet, telefon dan SMS premium. Tujuh keajaiban baru dunia tersebut ialah Tembok Besar China, Christ Redeemer (Brazil), Taj Mahal, Colosseum (Itali), Chichen Itza (Mexico), Machu Picchu (Peru) dan Petra (Jordan).

Walau bagaimanapun, keputusan ini telah mencetuskan pelbagai kontroversi kerana ramai menganggap keputusan ini hanya berasaskan keuntungan yang diraih dan bukan berdasarkan pengamatan saintifik. Cara pengundian juga diragukan dan keputusan yang diperolehi tidak menggambarkan pemilihan yang dibuat adalah tepat.

Kebanyakan undi yang diperolehi pastinya datang dari negara yang mempunyai kadar ketembusan Internet yang tinggi dan ini tidak menyeluruh ke seluruh dunia. Pastinya ada sentimen tersendiri semasa undian dibuat.

Di Brazil, satu promosi besar-besaran telah dilakukan untuk mempastikan Christ Redeemer tersenarai sebagai salah satu tujuh keajaiban baru dunia. Pihak operator telefon bimbit telah memberikan SMS percuma buat para pengundi menghantar undian untuk Christ Redeemer tersebut. Banyak juga iklan disiarkan seperti di TV dan di tiket bas. Maka, Christ Redeemer telah berhasil disenaraikan.

Melihat kepada senario di atas, antara faktor penentu ialah kesedaran orang ramai tentang undian ini. Pihak pengelola undian ini juga pernah menemui bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan bekas PM itu mencadangkan Menara Berkembar Petronas disenaraikan sebagai calon.

Ketika itu, The Sun telah mempromosikan pengundian ini. Namun The Sun bukanlah akhbar nasional dan terhad pengedarannya. Maka, rakyat Malaysia tidak ramai yang tahu. Aku sendiri pun tidak mengetahui akan hal ini sehinggalah heboh tentang pengumuman yang bakal diwar-warkan pada 7.7.07 yang lalu.

Di India pula, tidak ramai yang tahu sehinggalah di saat-saat akhir. Pada mulanya Taj Mahal tidak termasuk di kedudukan tujuh teratas. Namun, promosi besar-besaran dilakukan termasuklah oleh artis Bollywood sendiri berjaya menaikkan Taj Mahal ke tujuh kedudukan teratas. Mungkin juga di saat-saat akhir, dek Taj Mahal yang memang sudah tersohor, ramai yang mahukan Taj Mahal tersenarai juga.

Menteri Kebudayaan Mesir pula menyelar pihak penganjur kerana telah memasukkan Piramid untuk bertanding dengan calon-calon lain. Atas desakan itu, pihak penganjur telah memasukkan Piramid sebagai calon kehormat dan dikecualikan daripada pengundian.

UNESCO pula awal-awal lagi tidak mahu dikaitkan dengan pengundian ini dan menjelaskan ini tidak terbabit dengan senarai warisan dunia UNESCO.

Pihak penganjur juga diselar kerana pengundian bukanlah percuma dan jelas unsur keuntungan menjadi matlamat pengundian ini. Pengundian juga tidak adil kerana pengundi boleh mengundi lebih dari sekali.

Beberapa calon yang dianggap terkenal juga tidak termasuk dalam pusingan akhir. Antaranya Candi Borobudur di Indonesia. Mungkin tiada lobi daripada pihak tertentu.

p/s - Kaabah juga suatu "keajaiban".

20 Julai 2007

Din Highway @ Din Beramboi

Bila ada budak-budak di depan TV, maka rangkaian kanak-kanaklah yang ditonton mereka. Aku secara tak langsung menonton juga iaitu rangkaian Astro Ceria. Terdapat siri baru di rangkaian itu iaitu Telematch. Telematch yang disiarkan telah pun dialih suara ke Bahasa Malaysia menggunakan suara Din Beramboi yang memang lucu.

Din Beramboi ini pelik juga bagiku kerana menukarkan namanya ke Din Beramboi. Dulu di zaman 90-an, Din Beramboi adalah seorang DJ yang bertugas di stesen radio nombor satu ketika itu, Time Highway Radio. Pada masa itu, dia lebih dikenali dengan nama Din Highway.

Beliau merupakan DJ yang kutunggu-tunggu kerana kebolehannya mempelbagaikan suara. Antara yang paling popular adalah suara seorang pondan, Shasha, orang tua Atuk Ipin, Encik Rostam, Lim Kai Tak dan beberapa suara lagi. Paling diingati adalah temuramah Shasha dan Iwan yang menyanyikan lagu Yang Sedang-sedang Saja. Begitu juga temuramah paling lawak dengan Harun Salim Bachik. Din Highway juga pernah menghasilkan sebuah album yang dipromosinya sendiri dengan menggunakan "khidmat" Shasha.

Agak membosankan juga beberapa tahun selepas itu setelah Time Highway Radio mulai jatuh. Din Highway jarang ke udara dan kalau ada, dia lebih suka membuat "suara cerita Jepun". Pada masa itu, dia berpasangan dengan Abby Fana yang mulai naik sebagai seorang DJ.

Selepas itu, Din Highway mula mengalih arah dengan muncul di TV dan menggunakan nama Din Beramboi. Nama itu menjadi kontroversi kerana pernah digunakan oleh majalah Ujang. Namun kesannya tidak seperti beliau di radio dulu. Beliau pernah berlakon di beberapa filem seperti Buli dan juga membintangi siri Afi dan Abah di Astro Ceria.

Kini, dengan adanya Telematch, terasa Din Highway dulu seakan kembali. Kepelbagaian suara yang digunakan dalam Telematch memang lawak sungguhpun kadang-kadang mengarut. Habis semua nama Mat Salleh diMelayukan. Nama padang pun suka-suka hati ditukar seperti Padang Merbok. Seronok menonton bukan kerana terhibur dengan acara sukaneka yang ditonjolkan, tetapi terhibur mendengar celoteh Din Beramboi.

18 Julai 2007

Kembali ke JB

4 Julai 2007

Kali ini ku berpeluang balik ke JB. Sudah rindu pula kehidupan di sini yang ditinggalkan. Kali ini, agak lama ku di sini iaitu tiga hari. Tentu banyak perkara boleh dilakukan selepas kerja.

Malam pertama, aku makan malam di Anjung Warisan untuk merasa Tauhu Bakar dan Nasi Beriani Gam yang ku terasa mengidam pula. Anjung Warisan ini terkenal kerana restorannya bertingkat-tingkat di bawah dan di atas pokok. Ada juga pertunjukan angklung yang bukan saja memainkan lagu-lagu warisan tetapi lagu-lagu kontemporari juga. Drama Dunia Anita di TV3 juga dirakam di sini.

Pergi dengan anak buah, kami memilih di tingkat atas di atas pokok. Sungguh nyaman suasana di sini kerana tempat ini dikelilingi pokok-pokok di kawasan Hutan Bandar, di mana restoran ini terletak. Duduk pula bersila ala Jepun walaupun konsep restoran ini lebih kepada konsep tradisional Melayu Johor.

Aku seperti biasa memesan Nasi Beriani Gam Daging, Tauhu Bakar dan Ais Kacang. Rasanya sedap. Mungkin ramai yang mempertikaikan sama ada makanan di sini adalah yang paling sedap di JB kerana khabarnya tukang masaknya selalu bertukar, namun ku rasa suasana makan di sini melebihi segala-galanya. Pelanggan masih setia kerana restoran ini masih punya keunikan seperti pertunjukan angklung itu.

Kami duduk agak lama kerana banyak perkara untuk diceritakan. Malah kami melihat beberapa kumpulan pengunjung silih bertukar ganti menjamu selera di meja-meja sekeliling kami. Namun kami tidak kisah.

Sedang kami duduk itu, kami mendengar alunan muzik angklung. Banyak lagu terkini dimainkan. Antaranya Cindai, Because of You, Tapak Sulaiman, Kenangan Terindah dan Lagu Cinta. Terasa pula nak menyanyi bersama namun takut malu pula. Maklumlah pitching lari...

...

Apabila bangun pagi keesokannya, terasa sungguh letih badan ini. Macam tidak cukup tidur pula walaupun aku tidur awal pada malam itu. Aku rasa ini penangan daging Nasi Beriani Gam itu. Pakar mengatakan daging meningkatkan kadar metabolisma. Mungkin agaknya badan aku membakar kalori sewaktu tidur. Entahlah...

...

Pada malam kedua, aku duduk di bilik hotel sahaja. Tidak boleh keluar kerana banyak e-mail untuk dibaca atau diambil tindakan. Sambil mengadap laptopku, aku membuka stesen TV Indonesia, RCTI. Lama tidak menonton televisi Indonesia ini. Rindu pula.

Malam itu, ku tonton Cewek Gue Cantik Banget. Seperti biasa, banyak drama atau sinetron Indonesia memaparkan suasana di sekolah. Cerita ini juga berkisar tentang kisah cinta di sekolah. Pelajar wanita dalam cerita ini mula-mulanya berpura-pura untuk mencintai seorang pelajar lelaki lain untuk membuatkan teman lelakinya cemburu. Namun kesudahannya, dia pula betul-betul mencintai lelaki itu. Dalam pada masa yang sama, lelaki itu dari awal-awal lagi menaruh harapan buat wanita itu.

Aku tertanya-tanya apa maksud begok yang disebut di dalam dialog cerita itu - "Selain kamu jelek, kamu juga begok!" Rupanya begok itu bermaksud bodoh setelah ku bertanya seorang kawan dari Jakarta.

Semasa menonton berita, terdengar pembaca berita menyebut LPG. Pelik juga mendengarnya kerana Bahasa Indonesia menggunakan sebutan Bahasa Belanda. LPG sepatutnya menjadi el pe ge namun berbunyi macam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris pula. Oh sekarang baru ku teringat. Semasa di Jogja dulu, perkataan LPG dieja sebagai elpiji. Oh ya dong! (Jangan gelak, tak baik tau...)

Malam itu, ku tidur agak lewat. Ku terus menyambung menonton RCTI hingga lewat malam. Aku menonton kisah lucu kanak-kanak, Kawin Muda sebelum lena.

Tag: , , ,

15 Julai 2007

Budak Belasahan

Tidak tahu lagi apa hendak jadi dengan pasukan bolasepak Malaysia. Sungguhpun ini dikatakan pilihan terbaik di kalangan pemain profesional Malaysia, kelihatannya mereka hanyalah budak belasahan di peringkat antarabangsa.

Setelah dimalukan China dengan kekalahan besar 1-5, kini Malaysia melangkah keluar dengan longlai (malah melangkah masuk juga) setelah diperkotak-katikkan Uzbekistan dengan kekalahan lebih buruk 0-5.

Jurulatih negara, Norizan Bakar, hanya mampu menggeleng kepala. Namun, jika hendak disalahkan seratus-peratus ke atas bahu jurulatih itu, tidak boleh juga. Sememangnya pemain Malaysia terlalu tidak berbakat dan tidak punya kemahiran lebih-lebih lagi di peringkat antarabangsa.

Kadang-kadang, terasa geram juga melihat cara mereka bermain. Budak-budak kampung yang main di padang-padang bola pada setiap petang pun tidak membuat kesilapan memalukan seperti mereka. Bila bermain di Liga Malaysia, bukan main gah lagi cara mereka bermain. Walau bagaimanapun, bila melawan pasukan negara lain, mereka seolah-olah budak baru bermain bola sepak. Main secara tidak berfikir.

Masalah utama di Malaysia ialah bermain bola sepak secara profesional tidak dianggap profesyen yang manjanjikan pendapatan lumayan dan menjanjikan masa depan yang cerah. Pemain yang ada hari ini barangkali bukanlah pemain terbaik yang mampu dilahirkan Malaysia. Agaknya golongan profesional yang bukan bermain bola sepak seperti jurutera, doktor, arkitek dan sebagainya, jika mereka memilih untuk bermain bola sepak, tentu pasukan Malaysia lebih kuat.

Lihat saja MyTeam. Walaupun golongan yang disebutkan tadi tidak semuanya terpikat dengan MyTeam, masih ada lagi segolongan orang yang mungkin tercicir daripada dipilih untuk bermain di kelab-kelab bola sepak yang masih mempunyai minat untuk bermain bola sepak. Mereka ini malah kemahiran mereka mengalahkan sesetengah pemain profesional yang sedia ada.

Tidak seperti di Eropah, Amerika Selatan atau di Jepun dan Korea Selatan, Malaysia tiada akademi khusus atau kalau ada akademi sekalipun, akademi itu bukanlah dipunyai oleh setiap pasukan di Liga Malaysia. Di negara-negara tersebut, kanak-kanak yang dilatih bakal menjadi pemain profesional. Yang kurang menyerlah sahaja akan keluar memilih profesyen lain.

Mereka dijanjikan pendapatan lumayan iaitu pendapatan yang mengalahkan golongan profesional lain seperti jurutera, doktor dan arkitek. Di Malaysia pula, keadaan sebaliknya. Sesetengah kelab tidak mampu berdiri dengan sendiri dan mengharapkan belas ihsan FAM untuk memperolehi dana. Ada sesetengah kelab tidak mampu membayar gaji pemain. Sudah tentu jika keadaan sebegini berlaku, tidak ramai orang yang sanggup bermain bola sepak yang jangka masa bermainnya bukanlah lama sangat, selagi kudrat masih ada sahaja.

Sedikit kemewahan yang ada pada pemain hari ini juga menjadi penyebab kemerosotan prestasi hari ini. Kehidupan mereka yang senang-lenang itu menyebabkan mereka mengambil sikap ambil mudah. Lihat saja apabila melawan pasukan dunia ketiga atau negara yang lebih miskin atau sedang menghadapi perang, pasukan Malaysia senang dikalahkan.

Entahlah, apa hendak jadi dengan pasukan Malaysia. Agaknya jika melawan pasukan San Marino yang semi-pro yang selalu dibelasah oleh pasukan Eropah lain, Malaysia agaknya boleh kalah. Apa kata lawan Somalia? Boleh menang ke?

Sudah tiada harapan untuk pasukan Malaysia. Berapa gol bakal dibolosi apabila menentang Iran nanti? Rasanya 6-0. FAM, lain kali jangan jadi tuan rumah jika pasukan Malaysia terlalu lemah. Memalukan saja!

12 Julai 2007

Sejadah Tidak Hapak

Stink not.

Malam tadi, selesai sembahyang, aku terlihat seorang remaja menunggu di pintu surau sebuah stesen minyak. Aku lihat kiri dan kanan. Dua orang yang ada di situ bukannya sebaya dengannya. Pelik juga. Nak kata dia menunggu seseorang di situ, tak mungkin.

Setelah aku bangun, dia bingkas mendekatiku. Rupa-rupanya dia mahu mengambil sejadah yang kugunakan. Oo sejadah itu dia yang punya. Maka tak hairan sejadah tadi terasa lembut dan tidak hapak seperti yang biasa ditemui di surau-surau kecil sama ada di lebuhraya atau stesen minyak.

Hmm, perkara ini memang tak dijangka. Tak sangka pula ada orang bawa sejadah sendiri. Aku tadi lambat satu rakaat...

11 Julai 2007

Ada Apa Dengan Tujuh?

Seven, saba’ah, qi, jed, pitu. Apa saja yang disebut itu merujuk kepada angka 7. Hadirnya tanggal 7.7.07 yang lepas menjadi persoalan and perbincangan. Seorang kawan di Johor memilih tarikh ini untuk majlis perkahwinannya.

Buat peminat bola, angka 7 sering dikaitkan dengan jersi nombor 7 yang dipakai David Beckham. Satu minggu juga mempunyai 7 hari. Langit dan bumi masing-masing mempunyai 7 petala. Ada yang mengatakan terdapat 7 lapis syurga dan neraka. Kalimah syahadah juga terdiri daripada 7 huruf. Begitulah nombor 7 dikaitkan.

Di Melaka, seorang pelajar yang sangat meminati angka 7 telah meninggal pada jam 7 pagi pada 7.7.07 yang lalu. Bagiku, ini adalah suatu kebetulan, bukannya sial meminati nombor 7. Atau mungkin juga dia tahu nombor 7 itu sesuatu yang berkait dengan hidupnya iaitu kematian? Wallahu a’lam.

08 Julai 2007

Perjalanan ke Melaka Yang Tak Terlupakan Bhgn II

Selepas memandu uji kereta Latio itu, kami meneruskan perjalanan ke kilang Honda di Alor Gajah. Tujuan kami adalah untuk bertemu seorang pekerja di bahagian stor di situ.

Kami sampai ke sana selepas beberapa minit. Di kawasan letak kereta, kami dapati banyak sekali kereta Honda Civic model terbaru dipakai oleh para pekerja di sini. Agaknya mereka mendapat diskaun. Dulu, semasa aku di Modenas, kami mendapat diskaun untuk motosikalnya tetapi tidak banyak.

Kedudukan stor itu agak ke belakang. Kami mencari sendiri lokasi bahagian itu. Kami melewati beberapa bahagian lain sebelum ke sana. Kami nampak beberapa kereta Honda City sedang dipasang. Nampak cantik pula di sini. Mungkin baru saja dipasang dan pengcahayaan di sini yang baik. Kalau di luar, lain pula rupanya yang kurasa tidak cantik.

Selepas itu, kami melalui kawasan pemasangan enjin pula. Kami terus mencari destinasi kami namun terasa macam sesat pula. Setelah bertanya beberapa orang di bahagian-bahagian yang berlainan, kami sampai ke bahagian stor. Kami berada di situ seketika sehingga urusan kerja selesai.

Untuk pulang, kami menggunakan laluan lain yang orang yang kami temui tadi syorkan. Nampak macam dekat, tapi kami sesat lagi! Alahai, sesat pula di kilang yang besar ini. Kami tersalah arah ke bahagian mengecat dan coating kereta. Kelihatan beberapa Honda CRV baru sedang dicat. Pun begitu, terasa bagus juga kerana kami membuat lawatan secara tidak langsung ke kilang Honda. Kalau orang lain, bukan main lagi buat rombongan macam Cik Kiah.. He.. He..

Kami berjalan lagi sambil masih hilang punca. Ternampak pula beberapa Honda Civic yang telah siap dipasang sedang sedia untuk dipandu uji. Kami mencari kalau-kalau ada litar di sini, seperti yang ada di kilang Proton di Shah Alam, tetapi tidak nampak pula. Setelah bertanya lagi dengan staf di situ, kami akhirnya menemui jalan keluar.



Semasa perjalanan balik ke bandar Melaka, terasa dahaga pula. Kami mencari air kelapa untuk menyejukkan badan di hari yang panas ini. Baju aku basah di kilang Honda tadi kerana kesesatan. Kami berhenti semula di Cheng untuk singgah ke sebuah gerai di tepi jalan di situ.

Kami memesan air kelapa sejuk. Untuk mengalas perut, kami memesan sejenis tauhu yang dibuat sendiri yang dipanggil Tau Kua. Sedap juga. Rasanya lain, seolah-olah macam keropok lekor pula, tapi tidak terlalu terasa ikannya.



Aku pula seperti biasa, gatal tangan mengambil gambar. Disebabkan kamera aku dah rosak, aku mengambil gambar gerai ini dengan kamera telefon sahaja. Sedang aku mengambil gambar, aku terperasan yang di sini juga ada dijual Air Kelapa Halia. Mahu mencuba, aku terus memesan Air Kelapa Halia itu. Wah, sedap! Lima bintang kuberi. Rugi kalau tak cuba!

Setelah kenyang, kami balik ke hotel. Di hotel pula, keseronokan tidak terhenti di situ sahaja. Aku diberi bilik upgrade. Kemas bilik di Hotel Renaissance itu. Ada buah tersedia untuk dimakan di samping dekorasi bunga yang cantik itu. Untuk melepaskan penat, kupergi ke kolam renang. Namun setelah berenang, terpaksa ku ke lobi untuk mengambil kunci dengan seluar yang basah kerana tertinggal kunci di bilik.



Kendatipun begitu, berbaloi juga bertandang semula ke bumi Hang Tuah ini. Suatu pengalaman menarik...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...