13 Januari 2007

Hari Terakhir di Johor Bahru

Hari ini merupakan hari rasmi terakhir kubermastautin di Johor Bahru (JB). Tanggal 15 Januari ini, akan kuberpindah ke Kuala Lumpur (KL) pula. Ku sudah empat tahun setengah di sini - masa yang sudah ranum buatku berpindah untuk mencari pengalaman baru. Sudah empat tahun kutinggal di Johor Jaya dan sebelumnya enam bulan di Pasir Gudang.

Mungkin tiada apa yang boleh kubanggakan di sini, biasalah setiap bandaraya terkenal dengan kesesakan lalulintasnya, jalan berlopak serta hiruk-pikuknya.

Jalanraya di Johor, terutamanya Johor Bahru sungguh teruk. Banyak lubang dan tiada langsung housekeeping. Kualiti jalan kurang memuaskan. Ada sesetengah tempat yang jalannya baru diturap namun terus berlopak apabila dilalui kenderaan berat. Apabila kulihat dekat dengan lopak itu, kudapati lapisan tarnya tidak sampai dua inci pun! Di bawahnya lapisan tanah! Kalau macam ini, kereta pun boleh membuatkan jalan itu berlopak! Pastinya banyak penyelewengan berlaku.

Kini seusai dua kali banjir, permukaan jalan semakin teruk. Lubang di jalan sungguh dalam dan lebar. Pastinya lubang-lubang itu mampu memuatkan tayar kereta di dalamnya, apalagi boleh membawa maut buat penunggang motosikal.

Banyak projek yang mampu memberi manfaat buat semua orang tidak langsung berjalan di sini. Yang ada hanyalah projek-projek mega yang tidak semua orang akan rasai. Dataran Teluk Danga mungkin terlalu jauh buat sesetengah wargakota. Hendak ke sana pun jalanraya sangat sesak.

Satu projek ini yang kurasa mungkin sudah terbatal(?) Projek pelebaran Lebuhraya Pasir Gudang ke enam lorong tidak langsung kelihatan. Lebuhraya empat lorong yang ada sekarang ini sudah tidak mampu lagi menampung pertambahan kenderaan yang saban tahun meningkat jumlahnya. Sering berlaku kemalangan maut. Minggu ini saja kulihat ada satu mayat masih lagi terbaring di tengah jalan setelah kemalangan.

Projek persimpangan bertingkat Jalan Tebrau-Lebuhraya Pasir Gudang yang dimulakan sejak kutinggal di JB empat tahun lepas masih belum siap-siap lagi. Kini ku hendak balik ke KL, tidak nampak laluan itu akan dibuka dalam masa terdekat. Nampaknya tidak sempatlah kumerasa laluan itu! Alahai... Harapnya persimpangan bertingkat lain yang mampu mengurangkan kesesakan lalulintas seperti di Taman Perling dan persimpangan ke UTM di Skudai dapat disiapkan mengikut jadual.

Selain itu, Lebuhraya Senai-Desaru yang sudah bertahun diperkatakan entah sudah dimulakan atau tidak. Harapnya projek lain seperti Monorel dapat dijelmakan seperti yang dicanangkan.

Namun begitu, JB tidak kurang juga kelebihannya. Johor sudah sinonim dengan makanannya. Banyak makanan asli Johor yang tidak terlupakan. Nasi Beriani Gam, Nasi Ambang, Mi Bandung Muar dan Tahu Bakar sangat popular. Dengan pengaruh orang Jawa di sini dan juga pendatang dari Indonesia, restoran Melayu banyak menyediakan lauk-pauk Jawa. Yang tidak pernah kuterlepas beli di Restoran Seroja Jaya ialah tempe gorengnya. Sungguh sedap! Kalau tidak ada itu, kubeli sambal goreng.

Makanan laut juga tidak kurang popular di sini. Ikan siakap di Restoran Rahmat, Kg. Pasir Putih, Pasir Gudang sangat pantas servisnya. Belumpun sempat sampai ke meja yang dikhaskan, nasi dan kicap sudah tersedia!

Kolaborasi empat gerai di Pantai Lido juga sungguh mengagumkanku. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Itulah kalau kita bersatu-padu menyediakan perkhidmatan, para pelanggan pasti ramai. Ada empat gerai menyediakan berlainan jenis makanan dan pelanggan yang duduk akan diambil pesanan oleh empat orang! Satu gerai menyediakan makanan laut bakar, satu lagi menyediakan minuman seperti Chikong, yang ketiga menyediakan pembuka selera seperti tahu bakar dan terakhir sekali pelbagai jenis nasi. Hebat bukan?

Di sini, buka saja TV, berbelas televisyen percuma tersiar. Bahkan mungkin Johor adalah pasaran terkecil Astro kerana sudah banyak siaran lain diperolehi. Selain TV-TV Malaysia yang semuanya ada di sini, boleh didapati TV-TV Singapura dan juga TV-TV Indonesia yang dipancarkan tidak jauh dari kotamadya Provinsi Kepulauan Riau, Batam.

Satu kelebihan TV Singapura ialah adanya rangkaian khusus berita iaitu Channel News Asia. Banyak juga liputan tentang Malaysia oleh penyampai yang pernah kita lihat di TV-TV Malaysia dan beritanya mungkin tidak akan tersiar di TV Malaysia...

Dua TV popular Indonesia juga sangat jelas di sini, bahkan mengalahkan pancaran RTM1 yang sungguh tidak jelas itu. Kebanyakan sinetron popular Indonesia yang disiarkan di Malaysia pernah disiarkan di RCTI dan SCTV. Kusuka menonton Hikmah 1 dan 2 yang disiarkan ketika bulan puasa di RCTI. Bagaimanapun, Hikmah 3 berpindah ke Indosiar yang juga baru dilancarkan di Batam, namun kualiti gambarnya agak kurang di sini.

Bawang Putih Bawang Merah pernah disiarkan di RCTI juga. Tadi kelihatan iklan di SCTV, Kiamat Sudah Dekat, mungkin siri yang baru, akan disiarkan. Sekarang ini penonton tengah 'gila' dengan sinetron Intan di RCTI yang lagu temanya sungguh 'ngetop'. Astro juga akan memulai sinetron Bidadari. Bidadari juga bakal popular di Malaysia kerana anak-anak buahku dulu pasti terpacak di depan TV ketika hujung minggu menunggu sinetron ini.

Selain itu, tinggal di Johor Bahru juga memberikan akses mudah untuk ke Singapura. Kali pertama ke sana bukan main susah dulu kerana tidak ada teman yang biasa ke sana. Akhirnya kubertemu seorang kawan yang keluarganya berasal dari sana. Kami menjelajah sehari suntuk ke pusat-pusat membeli-belah di sana. Sampai lenguh-lenguh kakiku. Kawaku itu pula kaki shopping, dia sudah biasa.

Kukagum dengan keteraturan kehidupan di sana waima orang mengatakan ini adalah 'kotaraya denda'. Tempatnya bersih dan sistem pengangkutan awam sungguh efisyen dan mudah diakses. Jadinya, kali kedua ke sana, ku terus menjadi penunjuk arah buat kawan-kawanku yang mahu ke sana.

Di sekitar Johor Jaya, pelbagai hypermarket ada di sini. Rasanya lengkap semua pasaraya ternama di Malaysia ada di sini. Ada Giant, Carrefour, Macro, The Store, Jaya Jusco dan bahkan Tesco juga akan dibuka. Paling kusuka ialah Jusco Tebrau City. Tempat ini menyediakan alternatif membeli-belah dan tidak perlu lagi meredah kesesakan pusat bandar seperti di City Square, Pelangi, Kotaraya atau Angsana.

Kesimpulannya, tinggal di sesuatu tempat pastinya meninggalkan seribu satu kenangan yang pahit mahupun manis. Pelbagai pengalaman dan pengajaran diperolehi. Walaupun ku sudah berpindah, tetapi ku masih akan tetap berkunjung di sana. Mungkin agak ralat sedikit kerana sewaktu kuberpindah ini, Johor mengalami banjir buat kali kedua. Harap banyak bersabar dengan ujian demi ujian ini.



Pos-pos terdahulu yang berkaitan:
KT vs JB
Panjang dan MBJB - Memalukan!
Great News

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...