07 Februari 2007

33888


Melihat kepada tajuk entri ini, itulah jumlah hit di laman ini sejak kumula berkecimpung dalam dunia 'blog-memblog' ini pada 2003. 33888 adalah nombor bertuah bagi orang Cina. Bersempena dengan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang, harapnya nombor ini sebagai petanda untuk memulakan kebaikan dan kemakmuran. 33888 disebut san, san, pa, pa, pa dalam Bahasa Mandarin. Nombor tiga membawa erti kehidupan dan nombor lapan bermaksud kekayaan.

Kuingat lagi kumula menulis blog setelah melihat beberapa rakan menghasilkan blog masing-masing. Pada mulanya, kebanyakan menulis lebih bersifat diari. Walau bagaimanapun, ceritanya masih menarik perhatian kerana ia berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan pembaca. Ada juga yang menulis untuk diri sendiri. Maksudku, menulis senarai yang mahu dilakukan dalam bulan itu ataupun menulis buku yang telah dibaca, muzik yang telah didengar mahupun filem yang telah ditonton. Tiada apa yang ingin dikongsikan dengan pembaca. Ini sememangnya membosankan.

Aku masih ingat, pada malam kumula menulis blog, kuhabiskan sepanjang malam itu bermula dari 8 malam hingga ke 4.30 pagi mempelajari HTML bersendirian. Tidak pernah kutahu apa itu HTML sebelumnya. Sampai sakit pinggangku kerana duduk terlalu lama di kerusi.

Blog ini mencapai hit paling tinggi semasa kes rebutan perairan Ambalat antara Malaysia dan Indonesia dulu. Sungguh tidak kusangka tulisanku begitu hangat diperkatakan. Beberapa blog utama dari Indonesia turut membuat pautan ke blogku. Kerana akses TV Indonesia yang ada di JB, tempat tinggalku pada masa itu, mungkin aku antara orang terawal di Malaysia yang memperkatakan hal ini. Sebabnya di Malaysia tiada langsung membangkitkan hal ini tetapi di Indonesia, isunya terlalu hangat sehinggakan terjadi kes pembakaran bendera Malaysia di sana.

Blogku ini majoritinya ditulis dalam Bahasa Melayu dan banyak pengunjung blog ini terdiri daripada mereka yang bertutur ataupun memahami bahasa ini. Apabila kutulis blogku dalam Bahasa Inggeris, jumlah hitnya akan menurun. Jadi akhirnya kutulis saja dalam Bahasa Melayu. Tambahan pula Bahasa Melayu kini hampir seperti melukut di tepi gantang. Di waktu kerja, aku sudah bertutur dan menulis dalam Bahasa Inggeris kerana kerjaku melibatkan orang dari berbagai-bagai negara. Bila lagi ku hendak menulis dalam Bahasa Melayu standard, melainkan di blogku ini. Jikalau kubercakap pun, percakapan Bahasa Melayu kita seharian lebih kepada slanga.

Beberapa tahun berlalu, blog bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Boleh dikatakan setiap orang ada blog sekarang. Blogspot adalah wadah terpopular untuk menulis blog bagi rakyat Malaysia manakala Fotopages mencatatkan laman paling banyak berasal dari Malaysia.

Aku ini pula ikut kemahuanku. Kalau rajin, selalulah blog ini dikemaskini. Kalau malas ataupun tiada akses Internet, blog ini akan lama tidak ditulis. Kulihat beberapa blog baru yang diasaskan selepas blogku begitu ramai pengunjungnya. Ini berkat orang yang rajin menulis blog. Dulu, banyak komen datang seperti "Salam kenal", "Tumpang lalu" ataupun "Just blog-hopping" cuba berpaut ke blogku dan kini mereka punyai ramai pengikut setia. Begitu juga di Fotopages-ku yang kujuga tidak selalu mengemaskini gambar-gambarku.

Harapnya di masa-masa mendatang, ku masih mampu mengemaskini blogku ini dengan kadar konsisten agar pembaca tidak bosan tertunggu-tunggu entri terbaruku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...