02 Februari 2007

Perihal Lif dan Malam Ini Tak Mengaji!

Hari ini merupakan hari kedua secara rasmi kutinggal di apartmen baruku di KL. Masih cuba menyesuaikan diri dengan tempat ini. Kumasih meninjau-ninjau tempat-tempat penting seperti warung makan, gerai menjual sarapan pagi, kedai runcit, masjid dan sebagainya.

Petang tadi sesudah pulang dari gimnasium pejabatku, semasa menaiki lif, lif itu tidak mahu pula membuka pintunya apabila berhenti di tingkat kutinggal. Risau juga dengan kedua-dua tanganku membimbit barang-barang yang agak banyak ini. Tambahan pula masih lagi penat. Takkan awal-awal lagi ku sudah diperangkap lif!

Jangan panik. Kucuba menekan tingkat di bawah tingkat kududuk. Boleh pula. Kututup pintu lif balik dan menekan kembali tingkat tempat kutinggal. Sampai di tingkatku, lif itu masih lagi tidak mahu membuka pintunya. Isy... OK, apa kata ku ke tingkat lebih tinggi dari tingkat kutinggal. Kutekan nombor tingkat itu. Apabila sampai ke tingkat yang setingkat tinggi dari tingkatku, kali ini boleh pula. Hmm pelik aku. Terpaksalah kukeluar dari lif dan kuturun ke tingkatku semula melalui tangga.

Setelah menuruni anak-anak tangga dan sedang kumembuka pintu rintangan api, kedengaran hiruk-pikuk suara budak-budak. Mereka mengekoriku ke muka pintu rumahku dan memberi salam ke rumah sebelahku. Oh, anak orang rumah sebelah rupanya. Beberapa kali mereka memberi salam yang tidak terjawab. Setelah itu, kelihatan pula beberapa orang kanak-kanak lagi sampai sambil membawa Quran dan rehal. Oh, sebenarnya mereka adalah anak-anak jiran yang lain dan orang sebelahku rupanya mengajar mengaji.

Sejurus kemudian, kakak sebelah membuka pintu dan berkata dalam loghat pekat Utaranya,

"Apalah hangpa ni. Haghi Jumaat tak mengajilah!"

"Hooray!" Serentak kanak-kanak itu menjerit keriangan. Hmm, budak-budak...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...