09 Februari 2007

Sauna

Petang tadi aku mahu ke Kepong. Selepas bersembahyang Jumaat di Masjid KLCC yang khutbahnya dibaca dalam Bahasa Inggeris 'ala Arab', aku memandu ke Jalan Tun Razak. Sebelumnya bertanya rakan sepejabat sama ada jalan sesak atau tidak kerana bakal ada perarakan anti Israel di depan Kedutaan Amerika, namun jawabnya tidak. Pun begitu, kudapati jalan masih sesak kerana orang berpusu-pusu keluar dari Masjid Tabung Haji.

Sampai di Lorong Kuda, kenderaan bergerak perlahan-lahan. Penghawa dingin keretaku pula di waktu-waktu begini membuat hal. Menurut mekanik yang servis penghawa dingin, pemampatnya sudah under power. Kalau kelajuan melahu, penghawa dingin kurang sejuk. Kalau bergerak laju barulah sejuk kerana ada sokongan kuasa dari enjin. Memang benar, tapi masih boleh diterima kerana tidaklah terlalu panas selepas servis dahulu.

Namun kini, setelah keretaku disirami hujan berterusan yang membawa gelombang banjir berterusan di Johor tempoh hari, kurasa kelajuan melahu enjin keretaku terlalu rendah daripada tahap sebenarnya. Selalu enjin keretaku mati di tengah jalan kalau terlalu tinggi bebannya seperti semasa memasang penghawa dingin secara maksimum.

Sekrang terjadi lagi. Beberapa kali enjin keretaku mati sementara mengekori bas Rapid KL di depanku. Panasnya tak terkata. Kubuka cermin keretaku namun tidak banyak beza kerana suhu terik mentari di luar juga sangat panas. Setelah berinjit-injit, akhirnya masuk juga ke Jalan Tun Razak. Apabila laju, sejuk pula penghawa dingin ini. Lega rasanya. Peluh pun dah mula kering.

Setelah beberapa minit memandu, ku sampai ke Jalan Kepong. Kali ini jalan sesak lagi. Penghawa dinginku buat hal lagi. Kubuka sedikit tingkap keretaku supaya hawa panas dapat keluar. Peluh pula membasahi tubuhku lagi. Kali ini makin teruk kerana kesesakan masih berpanjangan. Terasa seperti mandi pula.

Setelah beberapa lampu isyarat, aku masih tidak dapat mencari tempat yang kutuju. Ah, sudah! Sudahlah panas begini, sesak pula. Kumenelefon kawanku. Tidak mahu berjawab pula. Kutelefon seorang lagi tapi dia sibuk. Kutelefon kembali yang tadi. Dia menjawab namun penerangannya tidak membantuku. Agak tegang diriku bercakap dengan dia kerana keadaanku ini.

Aku pasrah saja. Jalan terus ke depan. Akhirnya bertemu juga tanda tempat yang dicari. Kuberhenti di stesen BHP seperti yang dijanji. Aku bergegas keluar dari kereta dan masuk ke kiosk mencari air. Air air! Umpama orang kehausan di padang pasir, cepat-cepat kuambil 100 Plus. Lega rasanya.

Setelah minum, kubuka pintu keretaku. Wah, mak aih! Panasnya! Panas di dlaam keretaku mengalahkan panas di luar. Umpama sauna! Tak hairan aku berpeluh 'jeruk'!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...