16 Mac 2007

Akhirnya KLIA Kalahkan Changi

Dulu, apabila orang bertanya di manakah di Malaysia tempat paling banyak kedengaran ngauman enjin kapal terbang, maka ramailah menjawab di Subang. Kini pula, ramai yang menjawab Sepang. Jawapannya, salah! Pasir Gudanglah sebenarnya tempat paling kerap kedengaran enjin kapal terbang kerana kedudukannya yang sangat dekat dengan Changi di Singapura.

Di sebalik jawapan soalan itu, lebih kerap kedengaran bermakna lebih banyaklah penerbangan dan lebih ramailah penumpangnya. Sesudah berpisah daripada Malaysia-Singapore Airlines dan memilih untuk beroperasi bagi laluan antarabangsa syarikat terdahulu itu, Singapore Airlines (SIA) hari ini menikmati jumlah penerbangan yang lebih banyak dan lebih kerap berbanding kembarnya dulu, Malaysia Airlines (MAS) yang memilih meneruskan operasi domestik Malaysia yang dekat jaraknya dan kurang penumpang.

Tanpa menoleh ke belakang, dengan laluan antarabangsa pada masa itu yang kebanyakannya beroperasi di Changi, SIA memiliki tapak kukuh dan berkembang pesat dengan pesawat Boeingnya. Manakala MAS pula bertatih dengan pesawat Fokker F27 dan meneruskan agenda sosialnya di Malaysia. Bertahun berlalu, Changi bertambah kukuh.

Setelah Lapangan Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah di Subang tidak mampu lagi menampung kebanjiran penumpang, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) mula beroperasi menggantikan lapangan terbang lama itu. Dengan adanya KLIA, impian Malaysia, umpama anjing dengan kucing, ingin bersaing dengan Changi. Mulalah persaingan yang pastinya berlatarbelakangkan pelbagai cerita dan sejarahnya.

Tahun demi tahun KLIA membuntuti Changi. Akhirnya pada anugerah terkini Air Council International (ACI), KLIA mengalahkan Changi bagi kategori Lapangan Terbang Terbaik Dunia 2006. Walaupun KLIA di tangga ketiga keseluruhan selepas Incheon (Korea) dan Hong Kong, Changi berada di belakang di tempat keempat. Tidak kisahlah, bagi rakyat Malaysia, asalkan mengalahkan Changi…

Dengan pencapaian ini, KLIA sebenarnya tidak boleh berdabik dada. Selepas ini, perlu kalahkan Korea dan Hong Kong pula. Jika Korea terkenal dengan kebersihannya, KLIA perlu lebih tegas menangani pelbagai permasalahan yang ada. Walaupun ramai yang sukakan kecekapan rangkaian pengangkutan ke KLIA serta rasa ruang terminalnya yang lapang, masih banyak perlu dilakukan.

Internet yang disediakan percuma sangat dialu-alukan tapi kelajuannya haruslah dipertingkatkan. Bila satu pesawat sudah ada beratus-ratus penumpang dan ada pula berpuluh-puluh pesawat, maka tidak hairan jika kesesakan jalur lebar berlaku.

Masalah ulat teksi iaitu teksi haram yang semakin profesional juga patut ditangani. Buat saja papan tanda besar menyuruh penumpang jangan melayan orang sebegitu. Harga sepatutnya untuk tambang teksi juga perlu dipampang besar-besaran, bukannya kecil seperti sekarang. Walaupun orang mungkin kata itu membuka pekung di dada, pekung itu bakal lebih parah jika pelancong terkena dengan ulat-ulat tadi. Maka respons soal selidik yang akan datang bakal jelek belaka.

Pertarungan KLIA dan Changi ini tidak akan berakhir di sini saja. Changi pula bagaimanapun memenangi tempat pertama Anugerah Lapangan Terbang Terbaik Dunia 2006 anjuran Skytrax. KLIA pula di tempat keenam…

Jaringan:
World’s top customer service airports recognized
World Airport Awards

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...