14 April 2007

Tahiyyat

Tapi selepas ke gim, aku ke Bukit Bintang untuk mencari beberapa majalah. Kalau lambat, tentu sudah habis. Majalah yang aku selalu beli biasanya selalu habis. Hmm...

Di BB Plaza, aku ke surau dulu untuk sembahyang Zuhur. Memang dah lambat kerana leka di gim tadi. Aku sebenarnya tak ingat sangat di mana surau di situ. Nak tanya orang sembarangan, tentu tak tahu walaupun muka Melayu. Sudahlah bersubang dan berambut warna semuanya. Kucari cleaner tapi tidak ketemu. Akhirnya terjumpa seorang kakak Indon menjaga pintu tandas. Katanya di tingkat tiga.

Di sana, cepat-cepat aku bersolat. Tok bilal dah pun mengaji menunggu waktu Asar masuk. Sesudah sembahyang Zuhur, kutunggu sebentar untuk sambung dengan sembahyang Asar. Rupanya jemaah di sini betul-betul berwajah 'antarabangsa'.

Pak Imam kelihatannya dari India. Di kiri kananku kelihatan beberapa orang luar. Dalam Islam ada beberapa mazhab yang walaupun berlainan tapi perkara pokok masih tidak berbeza. Di tahiyyat akhir, orang di kananku yang kufikir juga dari India hanya sekadar menggoncang jari di kala membaca syahadat. Di kananku pula seorang lelaki berkulit putih yang kufikir dari Asia Tengah membuat pusingan dengan jari telunjuknya tatkala membaca syahadat.

Sesudah sembahyang, kurasa agak kagum dengan perbezaan ini. Ada kelainan tapi masih tidak berubah perkara pokok yang lebih besar. Umpamanya rukun sembahyang masih sama dan ada empat rakaat bagi solat Asar. Cuma kita, kalau melihat perbezaan sebegitu, janganlah cepat menuduh orang lain salah kerana tidak sama dengan cara kita. Lihat dulu sama ada itu perkara cabang ataupun perkara pokok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...