27 Mei 2007

Adakah Senaman Perlu?

Pagi tadi aku keluar awal ke Mid Valley untuk ke gim. Pagi Ahad merupakan waktu kegemaranku kerana jalan tidak sesak dan orang masih belum keluar. Aku ini terbalik daripada orang lain. Tatkala orang lain bersesak-sesak mahu ke tempat kerja di waktu pagi, aku hanya duduk di rumah melihat kenderaan bumper-to-bumper di lebuhraya berhampiran pangsapuriku.

Ini adalah kali pertama aku ke sini. Kelihatan agak berlainan suasana di sini. Banyak orang baru atau 'amatur' yang datang bersenam di sini. Badan masih berisi dan perut almaklum.. masih 'double-bass'. Tidak seperti di gim yang selalu aku pergi, pengunjungnya adalah orang yang dah biasa bersenam di gim dan agak ramai juga 'otai-otai' di sana. Kalau tengok susuk badan mereka, memang rasa jeleous..

Aku terfikir kenapa orang bandar terpaksa berbelanja beribu-ribu Ringgit untuk bersenam dan mengekalkan tahap kesihatan. Lihat saja orang kampung, mereka tidak perlu semua itu. Bak kata Piee, "Orang bodoh saja duk kayuh basikal bodoh ni.."

Sedang aku bersenam tadi, aku menonton National Geographic Channel. Rangkaian ini menjadi tumpuan kerana ada sarikata. Di gim, TV tiada suara kecuali menggunakan pemain MP3 atau radio untuk mendengar suaranya. Jadi, dengan adanya sarikata itu, yang tidak menggunakan penerima suara tersebut memilih untuk menontonnya.

Dokumentari kali ini berkenaan keretapi di Mumbai, India. Keretapi itu adalah yang tersesak di dunia. Seorang pengguna yang menggunakan perkhidmatan keretapi itu menyatakan berasak-asak di waktu puncak untuk menaiki keretapi umpama membuat senaman di gim. Aku tergelak kecil. Beberapa orang yang berada di sebelahku juga tertawa kecil.

Dua hari lepas, aku ke Zoo Negara (buat kali pertama kerana terpaksa.. he he..) Aku melihat susuk badan seorang brader Indon yang berkerja di situ. Sasa. Tidak perlu bersusah payah ke gim.

Bab makanan, orang bandar juga sangat sensitif. Makan nasi lebih sikit, badan senang sangat naik. Orang kampung makan nasi banyak tapi tidak gemuk-gemuk juga. Ada yang menyalahkan cara masakan. Contohnya masakan Melayu. Katanya masakan Melayu tidak menyihatkan kerana menggunakan banyak minyak, banyak santan dan dimasak terlalu lama seperti rendang.

Tetapi tidak adil juga menyalahkan cara masakan. Orang Melayu dulu rata-ratanya petani, nelayan dan juga suka berkelana. Mereka perlu makan makanan yang banyak kalori untuk membekalkan tenaga.

Kita pula sekarang terlalu selesa dengan kehidupan kita. Sepanjang masa duduk di dalam suasana berhawa dingin termasuklah di dalam kereta. Di pejabat pula, hanya duduk di kerusi empuk tanpa banyak bergerak. Jadi makan makanan seperti Nasi Lemak memang tidak sesuai. Kalau mahu makan juga, kurangkan porsinya.

Melihat gaya hidup bandar, memang senaman sangat perlu. Satu contoh untuk bersenam tanpa ke gim, cuba gunakan tangga. Naik dua-tiga tingkat sudah cukup. Kalau yang berkereta sendiri, sekali-sekala cuba menaiki pengangkutan awam. Seperti di Mumbai tadi, berasak-asak di waktu puncak laksana bersenam di gim... :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...