31 Mei 2007

Rayuan Lina Joy Ditolak

Syukur Alhamdulillah, mahkamah telah menolak permohonan rayuan Azlina Jailani atau nama Kristiannya, Lina Joy untuk membuang perkataan Islam di MyKadnya.

Azlina Jailani dilahirkan sebagai seorang Melayu-Islam tetapi telah murtad ketika berumur 26 tahun dan mahu berkahwin dengan seorang India Kristian, seorang tukang masak. Disebabkan dia masih diiktiraf sebagai Islam, mengikut Perlembagaan Persekutuan Malaysia, dia tidak boleh mendaftarkan perkahwinannya dengan teman lelakinya itu.

Hanya ada cara untuk dia diiktiraf sebagai Kristian dan terus berkahwin iaitu dengan membuat permohonan di mahkamah syariah. Namun adalah mustahil untuk permohonan itu diluluskan di mahkamah syariah kerana mengikut undang-undang syariah, dia pasti akan dihantar ke rehabilitasi atau menghadapi kemungkinan didenda.

Walau bagaimanapun, undang-undang syariah Malaysia masih berpaksikan Perlembagaan Persekutuan yang bersifat sekular, meskipun Islam diiktiraf sebagai agama rasmi. Undang-undang sebenar Islam menghukum mereka yang murtad dengan hukuman mati jika masih mahu terus murtad. Islam di sini amat jelas untuk memelihara kesucian agamanya dan tidak mahu seseorang memeluk agama Islam dengan main-main atau sebagai mencuba sahaja.

Tanpa mahu ke mahkamah syariah yang hasratnya pasti tidak terlaksana, Lina Joy telah memperjuangkan matlamatnya menggunakan mahkamah sivil. Kes Lina Joy ini telah mendapat perhatian seluruh dunia terutamanya pergerakan Kristian antarabangsa yang mungkin membiayai usaha Lina Joy ini.

Islam telah betapak di rantau ini sejak kurun ke-13 dan berkembang subur di kurun ke-15. PengIslaman raja-raja dan perkahwinan campur telah mengembangkan Islam di rantau ini di mana rakyat yang taat pada raja pasti mengikut jejak langkah raja. Hampir seluruh pelosok rantau ini yang mudah terjangkau telah diIslamkan.

Sungguhpun para penjajah yang silih berganti datang seperti Peringgi (Portugis), Belanda dan Inggeris yang salah satu misinya mengembangkan ajaran Kristian di sini, Islam masih tetap kukuh di hati penduduk di sini. Hanya kawasan yang tidak terjangkau para pendakwah Islam dahulu dan penduduknya yang masih mengamalkan animesma telah memeluk agama Kristian. Ini termasuk pedalaman Sumatera, Borneo, utara Kepulauan Filipina dan pulau-pulau di timur Indonesia. Terdapat juga sesetengah etnik yang jarang berinteraksi dengan orang luar yang masih mengamalkan ajaran puja semangat seperti orang Asli di Semenanjung Malaysia dan Orang Laut di Kepulauan Riau.

Setelah kedatangan ramai imigran di Tanah Melayu dari China dan India, penganut Kristian bertambah kerana sesetengah daripada mereka telah memeluk agama ini. Setelah sekian lama, banyak pergerakan Kristian mencuba sesuatu yang tidak pernah berjaya dilakukan sebelum ini iaitu menKristiankan orang Melayu-Islam.

Pelbagai cara dilakukan termasuk menggunakan lelaki kacak (atau gantang) untuk menarik perhatian wanita Melayu. Antara kes yang pernah mendapat perhatian ialah kes Aishah Bohari.

Mengikut sejarah, orang Melayu-Islam amat sensitif dengan hal yang bersangkut paut dengan adat Melayu dan agama Islam mereka. Orang Melayu terkenal dengan sifat lemah lembut tetapi boleh bertindak agresif jika perkara itu disentuh oleh orang bukan dari kalangan mereka. Pernah terjadi rusuhan yang menyebabkan pertumpahan darah di Singapura dulu apabila seorang perempuan Belanda bernama Natrah yang diasuh dan dibesarkan oleh seorang pasangan Islam telah diambil semula dan diKristiankan.

Natrah, semasa kecil, diberikan kepada seorang wanita Melayu Islam berasal dari Terengganu di Bandung, Indonesia. Natrah kemudian dibesarkan di Terengganu. Namun setelah besar, pihak keluarganya mahu mengambil dia semula dan mahu diKristiankan. Seorang lelaki Inggeris yang menggunakan tipu helahnya telah memujuk keluarga angkat Natrah ke Singapura.

Singapura pada masa itu merupakan salah sebuah negeri Selat dan berada di bawah pentadbiran Inggeris manakala Terengganu adalah Negeri Melayu Tidak Bersekutu yang tidak tertakluk kepada undang-undang Inggeris. Tindakan membawa Natrah ke Singapura umpama masuk ke dalam jerat kerana mahkamah Singapura memutuskan Natrah wajar diperlihara oleh ibubapa biologinya. Lantaran keputusan itu, orang Melayu yang tidak puas hati telah merusuh.

Keputusan tidak berpihak kepada Lina Joy itu mungkin mengambilkira hal ini. Sebarang usaha menjolok kedudukan Melayu dan agama Islam di negara ini hanya bakal mengundang padah. Pastinya peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 tidak mahu diulang lagi.

Jika keputusan ini berpihak kepada Lina Joy, maka sudah pasti mudah untuk orang Melayu-Islam menjadi murtad. Menurut laporan tidak rasmi, seramai 250,000 orang Melayu telah murtad. Membenarkan perkara ini berlaku, menurut Presiden Pergerakan Belia Islam Malaysia, saudara Yusri Mohamad, umpama membuka pintu air sebuah empangan. Ujar beliau, harapnya tiada lagi percubaan untuk menganggu gugat kedudukan Islam di negara ini dengan keputusan mahkamah itu.

Penulis juga kagum dan juga mungkin tersentuh melihat sesetengah pihak membaca Quran dan berdoa di perkarangan mahkamah supaya kesucian Islam tidak ternoda di negara ini.

Harapnya pihak yang suka menjolok sarang tebuan dan membuat provokasi ini supaya menjauhkan diri daripada berbuat demikian di negara ini. Masalah ini melibatkan orang Melayu yang diKristiankan. Pastinya isu ini tidak akan sensitif jika seseorang yang bukan Islam dan bukan asalnya beragama Kristian mahu masuk Kristian.

Dalam Perlembagaan Malaysia, istilah Melayu itu sangat unik. Tidak seperti di Indonesia atau Singapura, Melayu itu bersangkut paut dengan Islam. Seseorang yang dilahirkan oleh pasangan berketurunan Melayu secara automatik beragama Islam. Kita sebagai orang Melayu yang dilahirkan Islam sepatutnya bersyukur. Lihat saja beberapa sabahat Nabi SAW yang bukan dilahirkan sebagai Islam dan setelah melalui segala pancaroba, barulah dapat memeluk Islam. Bapa saudara Nabi SAW yang menjaga baginda juga ditakdirkan tidak masuk Islam. Jadi, keIslaman kita ini patut dihargai dan tidak dibuang sebegitu saja.

Lina Joy sebenarnya sudah mula menerima akibatnya. Rakan-rakannya sudah melarikan diri. Dia juga kehilangan kerja kerana pelanggannya membatalkan pembelian kerana dia telah lari daripada agama islam. Pastinya hidup Lina Joy tidak tenteram dan dia sudah pasti tidak akan bebas lagi berjalan di bumi Malaysia kerana bimbangkan keselamatannya dan mungkin dicekup pihak berkuasa syariah. Orang tuanya juga tidak merestui tindakannya keluar Islam dan Mak Som, ibunya, hanya mampu berdoa supaya dia kembali ke pangkal jalan.

Kembali Azlina Jailani ke jalan asalmu, selagi hayat dikandung badan. Peluang masih ada buatmu. Ingatlah kamu diperalatkan oleh musuh-musuh Islam. Nikmat dunia yang terlihat hanya sementara.

Kepada mereka yang tidak berpuas hati dengan penghakiman ini, terimalah dengan hati terbuka. Sebelum mengkritik (banyak hentaman dibuat di Internet sekarang ini), dalami ilmu ajaran Islam dahulu sebelum menghentam. Isu ini berkaitan seseorang yang beragama Islam yang tertakluk kepada hukum Islam kerana dia Islam. Islam tidak membenarkan penganutnya murtad. Kebebasan beragama di sini adalah orang yang bukan Islam bebas mengamalkan ajaran agamanya dan tiada paksaan untuk masuk Islam. Jadi, bukan bererti kebebasan beragama itu adalah kebebasan untuk tidak mengikut ajaran agama. Dalam Islam tiada paksaan iaitu untuk masuk Islam tetapi jika sudah Islam, segala hukum Islam mesti dipatuhi.

Tag:

1 ulasan:

  1. mengapa orang yang beragama islam tidak boleh menukar agamanya??? mengapa orang yang beragama kristian boleh menukar agama?? mengapa umat islam mengalu-alukan umat yang beragama lain memeluk islam???

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...