14 Mei 2007

Terowong SMART Akhirnya Dibuka

Hari ini, terowong Stormwater Management and Road Tunnel (SMART) akhirnya dibuka kepada lalulintas setelah tertangguh beberapa kali. Ini merupakan satu lambang arkitektural Kuala Lumpur yang terbaru dan pernah disiarkan di Discovery Channel. Terowong ini mempunyai dua kegunaan iaitu untuk laluan air bagi menghalang banjir dan juga digunakan sebagai laluan lebuhraya dua tingkat.

Pada paginya, aku mahu ke sana tetapi kerana lambat ke destinasiku, aku batalkan saja. Namun setelah pulang lambat dari kerja, aku melencong ke arah Selatan dan memasuki Terowong SMART. Dari Utara, terowong ini boleh dimasuki dari Jalan Tun Razak berhampiran Menara RHB/Bulatan Kg. Pandan atau dari Jalan Sultan Ismail (Bukit Bintang). Terowong ini tembus di Lebuhraya KL-Seremban berhampiran TUDM Sungai Besi.

Agak seronok memandu di sini kerana semua orang santai menikmati suasana terowong. Perjalanan lancar tetapi terowong ini bukanlah lurus kerana terpaksa melalui laluan bawah tanah KL yang penuh dengan cerucuk bangunan tinggi itu. Sebab itulah kelajuannya hanya 60 km/j. Buat bulan pertama, tol dikecualikan tetapi untuk bulan seterusnya, bayaran tol masih belum diputuskan. Semua orang mengagak tol inilah yang paling mahal di KL...

Apabila keluar, terdapat plaza-plaza tol. Kerana masih dalam percubaan, pemilik kereta terutamanya yang menggunakan Touch&Go dan SmartTAG masih perlu menggunakan kad Touch&Go. Walau bagaimanapun, nilai tidak ditolak kerana laluan masih percuma.

Aku membuat pusingan U di simpang ke Cheras/Taman Desa dan masuk semula ke Terowong SMART mengarah ke Utara. Di dalam terowong, dipaparkan frekuensi radio-radio tempatan sebagai langkah untuk pemandu mengetahui laporan terkini keadaan terowong. Almaklum, terowong ini mempunyai dua tujuan dan salah satunya untuk mengalirkan air bah. Jikalau hujan terlalu lebat, laluan lebuhraya ditutup dan air akan melimpah masuk. Dalam keadaan kecemasan, ada tangga untuk naik ke atas. Kuharap janganlah berlaku keadaan di mana kereta terpaksa ditinggalkan kerana air sudah mula masuk. Nampaknya pengguna terowong terpaksa menambah insurans bencana alam...

Sebelum di hujung satu lagi, laluan terowong terpecah dua. Satu ke arah Jalan Tun Razak dan satu lagi ke arah Jalan Sultan Ismail. Aku melencong ke arah Jalan Sultan Ismail. Terowong ini dihubungkan dengan simpang lampu isyarat Jalan Imbi/Jalan Pudu dan Jalan Sultan Ismail berhampiran Berjaya Times Square. Jadi untuk kaki-kaki shopping, agak mudah sekarang untuk ke sana.


Laluan masuk ke Terowong SMART dari arah Utara.


Pandangan di dalam terowong.


Lagi pandangan di dalam terowong.


Masih belum dikenakan tol.


Laluan masuk dari arah Selatan.

Tag: , ,

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...