10 Mei 2007

TMM 2007 - Satu Kegagalan?

Ku dah beberapa hari 'merayap' di pusat membeli-belah ternama KL selepas berkerja kerana menemani seorang kawan dari Sarawak membeli-belah.

Kudapati tidak ramai orang yang datang membeli-belah. Kedai-kedai banyak yang lengang. Yang ada hanyalah wajah-wajah tempatan. Tidak ada wajah orang asing. Bukankah tahun ini Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2007? Sepatutnya ramai orang luar datang ke sini. Adakah ini satu kegagalan?

Aku rasa ya. Di samping rakyat tempatan yang masih lagi hari ini merasai kenaikan semua benda terutamanya minyak dan cuba mengikat perut, pelancong asing nampaknya juga tidak mahu berkunjung ke sini. Aku lihat bas dua tingkat Hop In Hop Off KL itu bagaikan tiada penumpang. Hari itu, kulihat hanya seorang penumpang saja.

Di mana silapnya? Maklumbalas buruk tentang Malaysia juga merupakan antara faktor. Paling jelek ialah tandas. Usahkan tandas awam di tepi-tepi pantai atau stesen-stesen bas, tandas di Suria KLCC pun kadang-kadang kotor. Kita tidak boleh menyalahkan pihak pengurusan seratus peratus tetapi pengguna sendiri patut memainkan peranan. Mereka menggunakan kemudahan kelas pertama tetapi mentaliti masih di takuk dunia ketiga. Ada yang mencangkung di atas tempat duduk tandas dan paling teruk ada yang memakai tapak kasut keras dan mencalar tempat duduk tandas. Ada yang tidak tahu menggunakan tandas dan kencing ke atas tempat duduk.

Teksi juga antara faktor lain. Baru sampai saja ke KLIA, sudah ramai 'ulat-ulat' menunggu. Teksi yang sah pula kalau boleh mahu caj maksimum terhadap penumpang. Sudahlah keadaan teksi yang tidak terurus dan berbau tidak enak, mahu pula mengenakan caj lebih terhadap penumpang. Ada yang tidak menghormati penumpang dengan menghisap rokok dan membuka tingkap. Penumpang yang kepanasan di belakang pasti marah.

Kalau memandu di lebuhraya, teksilah yang paling laju. Syarikatku pula sudah mengharamkan penggunaan teksi dari/ke KLIA. Seorang pekerja dari China telah terlibat dalam kemalangan semasa menaiki teksi ke KLIA. Puncanya teksi dipandu laju. Dia dimasukkan ke ICU kerana pendarahan otak. Jadi sekarang ini, cara lebih selamat dan cepat ialah menaiki KLIA Ekspres.

Masalah teksi ini memerlukan pendekatan lebih mapan iaitu tindakan dari pihak atasan. Teksi lapuk model Proton yang dah bertahun di jalanan itu patut ditukar. Model yang lebih besar dan luas patut dibuat khas untuk teksi-teksi di Malaysia. Sekurang-kurangnya Proton masih boleh bernafas dengan menjual model-model teksi daripada menunggu pengguna persendirian yang kebanyakannya sudah sama sekali hilang kepercayaan terhadap Proton yang dulunya mengambil mudah citarasa pengguna tempatan.

Tambang teksi mungkin juga perlu dikaji. Jika perlu untuk dinaikkan, kenaikan haruslah sejajar dengan perkhidmatan yang ditawarkan. Perjalanan haruslah selesa. Tiada lagi pemandu yang mahu menipu atau memilih lokasi perjalanan.

Penguatkuasaan? Masalah ini takkan berakhir selagi ada campur tangan politik. Lebih-lebih lagi sudah dekat pilihanraya ini...

Antara masalah lain yang pernah dikupas, sila rujuk entri terdahulu:
Ada Apa Dengan Malaysia?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...