05 Jun 2007

Balik ke Bahasa Malaysia

Semalam, The Star dan sebuah akhbar Cina menyiarkan tajuk utama penggunaan istilah Bahasa Melayu, yang merujuk kepada bahasa kebangsaan, ditukar kembali kepada Bahasa Malaysia. Kabinet memutuskan untuk menukar istilah ini kerana mahukan pemilikan bahasa itu untuk semua kaum di Malaysia, bukan merujuk kepada orang Melayu sahaja.

Istilah Bahasa Malaysia mula digunakan setelah pembentukan Malaysia oleh Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang bertujuan menyatukan seluruh penduduk yang berbilang kaum. Namun, semasa mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Pendidikan, istilah itu ditukar ke Bahasa Melayu kerana mengikut istilah yang digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perubahan istilah ini adalah sama seperti Bahasa Indonesia. Di dalam Sumpah Pemuda, Bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa penyatuan dan diubah namanya kepada Bahasa Indonesia.

Satu demi satu perubahan ketika di bawah Datuk Seri Anwar telah mula ditinggalkan. Dulu istilah Kementerian Pelajaran ditukar kepada Kementerian Pendidikan dan sekarang sudah balik semula ke Kementerian Pelajaran. Namun perubahan itu agak remeh.

Cuma ada satu yang ditinggalkan yang sebaliknya patut diteruskan iaitu penggunaan sebutan baku. Hari ini, dengan mengatakan sebutan loghat KL adalah bahasa standard Malaysia, ia adalah kurang tepat. Bayangkan jika pusat pemerintahan dan tumpuan orang Malaysia berada di tempat lain seperti di Pulau Pinang, pastinya seluruh Malaysia akan terikut-ikut loghat Utara dan dianggap sebagai bahasa standard. Bayangkan ibu kota Malaysia berada di Kota Bharu, Kelantan, pastinya loghat Kelantan yang tidak semua orang faham itu akan menjadi bahasa standard.

Jadi satu piawai harus diadakan iaitu sebutan baku, di mana sebutan adalah mengikut cara ejaan sesuatu perkataan dan tidak cenderung untuk memihak kepada satu loghat sahaja. Singapura, walaupun ada satu loghat sahaja di sana iaitu loghat Melayu Singapura, penggunaan bahasa baku dalam urusan rasmi boleh dianggap berjaya kerana sebutan baku telah dikuatkuasakan. Ini juga memudahkan orang yang baru belajar bahasa ini mempraktikkannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...