03 Jun 2007

Lanun Berbangsa Cina Di Singapura?

Dulu semasa pembikinan filem terakhir Pirates of the Caribbean, At World’s End, aku teruja kerana beberapa plot bakal menggambarkan pelabuhan entreport Singapura.

Namun setelah filem ini dikeluarkan, aku tertanya-tanya sama ada cerita ini menggambarkan situasi sebenar atau tidak. Sungguhpun ini adalah satu cerita fiksyen, namun latar belakangnya haruslah logik.

Kerajaan British menggalakkan rakyatnya mengembara dan menemui sesuatu yang baru dan dikongsi dengan rakyat di tanah air. Cerita ini menggambarkan keadaan itu pada sekitar kurun ke 19.

Watak lakonan Chow Yun Fat iaitu Kapten Sao Feng yang merupakan seorang lanun yang berpusat di Singapura pada masa itu mungkin menjadi satu tanda soal. Hakikatnya, mengikut sejarah, tidak pernah kudengar adanya lanun berbangsa Cina di rantau ini pada masa itu.

Memang Selat Melaka banyak lanun, bahkan hingga ke sekarang pun masih ada lagi. Hang Tuah di zaman pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka diangkat menjadi Laksamana kerana menumpaskan lanun di Selat Melaka. Lanun di rantau ini kebanyakannya rakyat tempatan yang tinggal di pesisir pantai Semenanjung Malaysia, Sumatera dan pulau-pulau sekitarnya. Mereka terdiri dari suku Melayu, Orang Laut dan juga Bugis dari Sulawesi.

Justeru, menggambarkan seorang lanun dari China yang amat berkuasa di sini juga kurang tepat, pada hematku. Orang dari China pada zaman dahulu kebanyakannya datang dengan niat untuk berdagang dan malah ada yang berkahwin dengan wanita tempatan. Hanya pada kurun ke 19 dan awal kurun ke 20, terdapat kebanjiran orang dari China setelah dibawa oleh Inggeris ke rantau ini untuk bekerja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...