30 Jun 2007

Perjalanan di Melaka Yang Terlupakan Bhgn I

27 Jun 2007 8.30 pg - 3.30 ptg

Hari ini aku ke Melaka bersama seorang rakan kerana ada urusan kerja. Seusai tugas di Sungai Udang, kami ke Cheng kerana mahu mengambil seorang lagi kawan dan makan tengah hari bersamanya.

Destinasi kami seterusnya ialah ke kilang Honda di Alor Gajah tetapi kami berhenti sebentar di salah sebuah pusat pameran Nissan di Cheng. Kami mahu melihat model terbaru Nissan, Latio.

Kereta ini padaku adalah sebuah kereta yang value for money. Dengan kapasiti enjin 1.6L berserta harga di atas jalannya yang bermula daripada RM82K untuk transmisi manual, RM88K untuk transmisi automatik dan RM95K untuk model hatchback, kereta ini boleh dikatakan murah di dalam kelasnya. Model lain yang berkapasiti sama biasanya berharga lebih daripada RM100K. Terdapat juga model 1.8L yang berharga RM100K. Namun harganya masih tetap relatif murah daripada para saingannya.

Semasa ke pusat pameran itu, kami terserempak dengan sebuah model yang sedang dipandu uji. Model itu jenis sedan dan sekali imbas, bak Honda City pula kerana bentuk belakangnya yang seperti punggung yang sedikit terjongket itu. Kami mengekori kereta uji itu dan apabila kami sampai, kereta itu juga habis dipandu uji.

Kerana mahu memandu uji juga, aku mendaftarkan diri. Model yang tersedia itu berkapasiti enjin 1.8L dan dilengkapi dengan Kunci Pintar yang mana pemandu hanya perlu berjalan ke kereta dan membuka pintu atau but kereta dan boleh menghidupkan enjin tanpa menggunakan anak kunci. Walau bagaimanapun ciri ini hanya terdapat pada model sedan 1.8L dan hatchback 1.6L.



Ruang dalaman kereta ini luas dan aku sememangnya menyukai keluasan ini. Aku tidak suka apabila lututku berlaga dengan tempat duduk depan ataupun dashboard apabila duduk di depan. Ini tidak terjadi pada kereta ini walaupun aku menolak tempat dudukku agak ke belakang kerana bad habit aku yang suka duduk jauh dari stering dan orang di belakang masih punya ruang yang selesa.

Kami mengambil laluan jalan baru ke Sungai Udang. Enjin kereta sungguh responsif kerana berkapasiti 1.8L. Terasa seperti kereta manualku. Power steeringnya juga sangat ringan tetapi masih terkawal. Perjalanan bermula lesu kerana banyak lori di hadapan. Aku hanya memandu secara santai. Kedudukan tempat duduk pemandu agak tinggi tetapi dengan kedudukan sebegitu, seolah-olah kita sedang mengawal keadaan sekeliling kereta.

Perjalanan ke Sungai Udang yang masih dibayangi lori-lori besar yang bergerak perlahan memang membosankan kerana tidak dapat menguji kereta ini pada kelajuan tinggi. Aku bergurau dengan jurujual yang mengikuti pandu uji kami dengan mengatakan apa kata kita ke Alor Gajah. Biar jauh sedikit tapi boleh merasai 'kehebatan' kereta ini.

Akhirnya perjalanan lesu kami sampai ke Sungai Udang. Kami membuat pusingan U. Kelihatan beberapa kereta datang dari arah kanan semasa kami masuk semula ke jalan raya tetapi aku cepat-cepat masuk kerana jalan di hadapan lengang. Bolehlah mencuba top speed.

Semasa masuk semula ke jalan tadi, kereta ini pantas bertindakbalas dengan tekanan pedal kakiku. Pick upnya sungguh baik. Minyak terus ditekan dan dalam beberapa saat sahaja kelajuan sudahpun mencecah 120km/j. Tidak terasa langsung kelajuan itu kerana keselesaan yang ditawarkan kereta ini. Kawanku berseloroh dengan mencabarku menggandaduakan kelajuan itu. Jurujual itu pula tersengih walau di dalam hati masam bak kerabu mangga rasanya.

Aku pula mencuba menaikkan sedikit kelajuan ke 140km/j. Masih terasa keselesaannya! Sampai di satu selekoh yang agak lanjut dan tidak berapa tajam, aku mencuba mengekalkan kelajuan itu. Kerana pusat graviti yang agak tinggi, terasa seperti melayang namun masih terkawal. Mungkin Proton Wiraku lebih baik mengambil selekoh seperti ini kerana pusat gravitinya yang boleh dikatakan terendah di antara kereta-kereta yang ada di Malaysia.

Setelah habis mengambil selekoh, tiba-tiba sebuah kereta mahu membelok ke jalan raya. Aku serta-merta menekan pedal brek. Pada masa ini, Antilock Braking System (ABS) berfungsi dengan cemerlang dalam keadaaan brek mengejut. Cuak agaknya jurujual itu melihat aku melanyak keretanya...

Selepas itu, aku memandu perlahan. Almaklum ini jalan biasa sahaja, bukannya lebuh raya. Kami pulang semula ke pusat pameran. Satu perjalanan yang selesa dengan Nissan Latio ini. Faktor keselamatan juga tidak dikompromi pada kereta ini. Semua model ada beg udara dan ABS. Cuma yang kurang sedikit kerana sistem brek di belakang pada semua model adalah jenis drum. Kalau jenis cakera pastinya memberi cengkaman yang lebih kuat. Agaknya inilah antara sebabnya harga dapat diturunkan berbanding kereta lain di dalam kelasnya.

Hmm, aku pula terasa nak menempah kereta ini. Proton Wira aku pula menyambut habis bayar hutangnya dengan dirempuh sebuah motosikal yang seperti biasa pemandu kereta seperti aku yang terpaksa memikirkan keselamatan mereka... Habis bumper depan aku tercabut dan sekarang tengah dicat kembali di bengkel. Kira punya kira, boleh juga ni...

Tag: , ,

1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...