30 Ogos 2007

Merdeka Tapi...

Malam ini detik 12 tengah malam, kita menyambut lagi Hari Kemerdekaan. Sudah 50 tahun, namun pelbagai isu yang sepatutnya sudah dirungkaikan masih lagi terawang-awangan.

Ketidakpuashatian satu bangsa terhadap satu bangsa lagi kelihatan semakin jelas dan sudah dibawa ke peringkat yang mendapat perhatian meluas. Dulu, media terhad. Yang ada hanyalah TV, radio dan surat khabar yang dikawal sesetengah isi kandungannya. Nah, sekarang kita ada Internet. Semuanya bebas tanpa dikawal. Tulis dan cakaplah apa saja.

Orang Cina meluahkan isi hati yang mereka tidak mendapat perhatian sewajarnya di negara ini. Mereka dilayan seperti warga kelas kedua. Apabila mahu masuk ke universiti, kuota dikenakan. Yang bijak daripada bangsa mereka ditidakkan hak oleh seorang yang kurang bijak daripada bangsa Bumiputra. Apabila kontrak kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan diberikan keutamaan terhadap Bumiputra, mereka juga tidak berpuas hati.

Lantaran ketidakpuashatian tersebut, terlalu banyak perkara negatif muncul. Apabila diperkatakan perkara-perkara positif dan nilai-nilai murni yang ada di negara ini, golongan negatif inilah yang memperlekehkannya. Bukan kumahu menyebelahi mana-mana pihak, tapi pernah kualaminya. Pernah kubertanyakan di Yahoo Answers Malaysia kenapa terlalu ramai orang asing mahu datang ke Malaysia. Pasport dan MyKad Malaysia telah menjadi barangan yang sangat berharga sehinggakan sanggup dicuri. Ada jawapan yang diterima menjawab ada apa dengan Malaysia, bukannya bagus sangat. Rakyat Malaysia ada yang mahu keluar dari Malaysia.

Rasa tidak puas hati itulah menyebabkan golongan ini kurang rasa milik terhadap negara ini. Mereka lebih suka menjadi oportunis dan duitlah segala-galanya. Umpama semut, di mana ada gula, di situlah ada semut. Di mana ada duit, di situlah ada mereka. Mereka mencari peluang di mana-mana saja termasuklah di luar negara.

Dari sudut pandangan pemerintah Melayu, bangsa tersebut sudah kaya, sudah berada. Mereka menguasai ekonomi. Nak apa lagi. Mereka dianggap sudah tamak. Diberikan betis, hendak pula peha. Mereka dianggap sudah diberikan segala-galanya. Mereka dibenarkan berniaga dan majoriti orang Melayulah yang menjadi pelanggan setia mereka. Mereka telah menguasai sektor swasta. Mereka juga diberikan keistimewaan belajar dalam bahasa ibunda, yang tidak terdapat di negara lain selain daripada negara nenek moyang mereka. Hendak apa lagi?

Akhirnya, perkara ini tidak selesai dan berterusan sebagaimana asal. Ketidakpuashatian terus berlaku, namun golongan minoriti tidak terdaya merubah. Hidup saja dengan keadaan sekarang ataupun lari keluar daripada masalah dengan keluar dari negara ini.

Masalah utama di sini ialah stereotaip dan rakyat Malaysia dibahagi-bahagikan mengikut kaum. Ini mungkin kesan dasar pecah dan perintah zaman Inggeris dulu. Orang Melayu dihadkan untuk tinggal di kampung-kampung menjadi nelayan atau petani. Orang India tinggal di estet-estet. Dua golongan ini terpinggir daripada arus pembangunan dan hidup miskin. Orang Cina tinggal di bandar-bandar yang pesat aktiviti ekonomi seperti kegiatan pelabuhan dan lombong bijih timah. Orang Cina lebih kaya daripada dua bangsa tersebut dan malah ada segelintir daripada mereka diberikan lombong oleh Inggeris. Selepas merdeka, mereka masih lagi dikategorikan mengikut kaum-kaum ini.

Apabila orang Cina mengatakan orang Melayu semuanya mendapat perlindungan kerajaan, inilah yang dikatakan stereotaip. Adakah semua kontrak kerajaan diperolehi secara menyeluruh oleh segenap lapisan orang Melayu? Tidak sama sekali. Hanya golongan tertentu yang rapat dengan golongan tertentu yang punya kuasa sahaja yang mendapat habuannya. Inilah kronisme. Golongan inilah yang menjadi perosak. Mendapat kontrak kerajaan bernilai jutaan Ringgit tetapi tidak mempunyai kepakaran. Akhirnya, diberikan kepada orang lain. Kerana mahukan 'kekayaan dibahagi untuk semua', diberikan lagi kepada orang lain. Dua orang pertama tadi hanya untung atas angin. Duduk di kerusi, duit masuk dengan sendiri.

Dulu, sewaktu ku di universiti, ada siswa yang tidak langsung menjamah biasiswanya. Dia hanya menggunakan wang saku pemberian orang tuanya yang kaya. Sewaktu praktikal pula, ku pernah bertanya pada seorang kerani di pejabat adakah dia ada perancangan untuk melanjutkan pengajian di masa depan. Jawabnya, dia pernah mendapat tawaran ke universiti tetapi terhambat kerana masalah kewangan dan tidak mendapat biasiswa atau pinjaman. Alangkah baiknya kalau biasiswa yang tidak digunakan oleh siswa tadi diberikan kepadanya. Inilah yang dikatakan satu ketirisan dalam pemberian biasiswa, hatta kepada Bumiputra sendiri.

Orang Melayu pula mengatakan orang Cina semuanya kaya. Banyak gedung-gedung membeli-belah dan syarikat-syarikat besar dimiliki orang Cina. Tauke balak semuanya mereka. Pendapatan per kapita mereka adalah yang tertinggi berbanding kaum-kaum lain. Namun, sedar tak sedar, mereka juga punya golongan yang miskin dan tertinggal di kampung. Dengan polisi mengutamakan Bumiputra, golongan ini pastinya tersepit dan tersisih. Mereka juga perlukan pembelaan.

Kesimpulannya, dengan menstereotaipkan sesuatu kaum dan mengenali seseorang itu berdasarkan kaum adalah sesuatu yang silap. Seorang Cina mungkin pernah berkata kepada seorang Melayu, "Lu senanglah. Lu Melayu senang dapat kontrak kerajaan!". Namun apabila seorang Melayu itu penyokong pembangkang, adakah pernyataan di atas benar? Mungkin juga seorang Melayu berkata kepada seorang Cina, "Cina semua dah kaya, tu pun nak mintak lebih!". Walau bagaimanapun, tak semestinya penanam sayur itu hidupnya senang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...