04 Ogos 2007

Perihal Saat Akhir dan Gelabah Bhgn II

Selepas makan tengah hari, kami bergerak ke Bandar Melaka. Kami bertemu seorang pelanggan di Tanjung Kling dan perbincangan berlangsung dengan agak cepat.

Setelah itu, kami singgah di sebuah kedai mamak untuk minum petang. Sakit di mulutku ini semakin menjadi-jadi pula sekarang ini. Inilah akibatnya tertinggal pil di rumah. Semasa di dalam kereta tadi, mulutku langsung tidak boleh terkena sejuk dari penghawa dingin. Perutku pula sudah lapar namun mulutku tidak boleh mengunyah apalagi menelan makanan. Jadi, aku memesan teh tarik saja tetapi air yang agak suam itu membuatkan mulutku sakit lagi. Akhirnya terpaksa memesan ais kosong saja. Untuk menghilangkan sakit buat sementara, terpaksa kupesan Panadol.

Sakit yang tak tertahankan ini membuatkan aku mengambil keputusan untuk balik ke KL secepat mungkin. Kami terus pulang selepas itu. Di dalam perjalanan, kami singgah sebentar di Seremban. Di sepanjang lebuhraya, trafik lancar, termasuklah selepas tol Sungai Besi. Namun di dalam KL, sewaktu turun dari Lebuhraya Bertingkat Ampang, banyak kereta pula yang tersangkut dalam kesesakan. Pelik juga. Biasanya selepas Maghrib, trafik lancar.

Kami sebenarnya ke rumahku dulu kerana mahu mengambil barang serta pil yang tertinggal itu sebelum bertemu dengan rakan dari Indonesia untuk makan malam. Mereka datang berempat tetapi yang boleh keluar bersama pada malam ini hanyalah dua orang. Mereka berdua inilah yang sama-sama kutemui sewaktu di Singapura dulu.

Kami mengambil mereka di hotel mereka menginap. Apabila kami sampai di lobi hotel, mereka sudahpun siap menunggu. Agak tidak yakin mereka melihat sebuah kereta menghampiri mereka namun setelah kuturunkan cermin kereta, mereka tahu yang kami sebenarnya di dalam.

Setelah lama tidak bertemu, banyaklah cerita yang ingin diperkatakan. Mereka bertanya tentang cuaca kerana sekarang ini hujan sedang mencurah-curah di KL. Aku tersenyum. Bagiku ini rahmat. Kalau cuaca kering, tentu asap dari Sumatera sudah menghasilkan jerebu di KL pada waktu sebegini seperti saban tahun. Mereka tergelak dengan mengatakan biasalah, Indonesiakan suka mengeksport asap ke Malaysia...

Kami ke KLCC untuk makan malam. Sudahpun kubuat tempahan di restoran Madam Kwan's sewaktu di Melaka lagi. Jadi, tidak perlu menunggu pelanggan lain habis makan di restoran yang selalu penuh itu. Aku syorkan mereka untuk memesan Nasi Bojari, salah satu hidangan istimewa di sini. Sungguhpun telah beberapa kali ke sini, aku masih lagi memikirkan bagaimana untuk menyebut Nasi Bojari itu.

Aku tak pernah dengar nama Bojari. Fikirku ini mungkin Nasi Bukhari. Sesetengah orang yang tidak pandai menyebut "kh" selalunya menyebut sebagai "h" saja seperti Khairul menjadi Hairul dan khayalan menjadi "hayalan". Jadi, ejaan Bukhari menjadi Bohari. Mungkin dieja dengan ejaan Sepanyol yang "j" bunyinya seperti "h", akhirnya nasi itu dipanggil Nasi Bojari. Entahlah, betul atau tidak aku ini. Terlalu kompleks evolusi nama nasi itu yang aku fikirkan...

Dalam pada itu, aku pula sudah kecur air liur melihat Nasi Lemak yang tertera di menu. Jadi aku memesan Nasi Lemak saja. Mereka berdua dari Indonesia itu sudahpun makan Nasi Lemak, jadi aku suruh mereka memesan Nasi Bojari tadi. Setelah menelan pil yang sudahpun kuambil dari rumah tadi, hilang pula sakit di mulut. Tambah berselera aku makan kerana perut memang sudah lapar sewaktu di Melaka tadi lagi.

Banyak cerita yang dibincangkan. Aku mencuit mereka dengan mengatakan Papua atau nama lamanya Irian Jaya mahu keluar dari Indonesia. Sewaktu aku di Johor Bahru tempoh hari, kelihatan bendera Bintang Kejora milik pelopor kemerdekaan di sana dikibarkan di berita televisyen republik itu. Mereka menjawab perang tidak berkesudahanlah kalau mahu merdeka.

Aku pelik juga kenapa Timor Timur pula boleh keluar dari Indonesia. Jawapannya Timor Timur adalah jajahan Portugis manakala Papua adalah jajahan Belanda. Seluruh jajahan Belanda menjadi Republik Indonesia hari ini. Timor Timor pula pada masa dulu mahu masuk Indonesia dan sekarang mahu keluar pula. Hmm, sepatutnya buat saja perjanjian supaya tidak boleh keluar balik, macam undang-undang murtad mungkin...

Aku juga bertanya ke mana mereka pergi tadi. Jawabnya ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) - tempat Siti Nurhaliza bernikah. Makan di sana. Tidak pula mereka masuk ke Aquaria di situ.

Selepas makan, aku mencadangkan mereka ke Taman KLCC untuk mengambil gambar Menara Berkembar Petronas namun mereka tertinggal bateri kamera di bilik pula. Hmm, tak apalah. Lagipun hujan masih belum berhenti di luar. Aku menghantar mereka balik ke hotel saja.

....

Pagi ini, aku agak lambat memulakan perjalanan ke Melaka kerana banyak urusan lain untuk diselesaikan dahulu. Sebelum bertolak tadi, aku sudah pastikan semua dokumen tender lengkap dan dimasukkan ke dalam beg. Salinan pendua juga sudah kusiapkan. Sampul surat, pita selofan, stepler dan cop syarikat juga kubawa takut-takut tender itu terpaksa diubah lagi. Tidak mahu pisang berbuah dua kali (eh.. pisang berbuah dua kali kan bagus...).

Tarikh tutup tender adalah hari ini, pada jam 12.00 tengah hari nanti. Sekarang jam sudahpun 9.45 pagi dan aku pula baru hendak bertolak. Kalau tiada aral melintang, satu jam setengah sudah boleh sampai. Namun, kuagak mungkin aku sampai agak lambat kerana projek pelebaran lebuhraya yang sedang berjalan.

Pada awal perjalanan, aku memandu agak perlahan kerana mulutku masih terasa sakit. Jahitan pada gusi itulah penyebabnya, di samping ulser yang terbentuk kerana luka di lidah dan bibir yang mulai pecah kerana lama menganga mulutku sewaktu di klinik hari itu. Aku mahu berhenti di Nilai untuk bersarapan, seperti semalam, namun kawasan rehat dan rawat itu ditutup pula. Jadi aku terpaksa berhenti di hentian seterusnya iaitu di Seremban. Aku makan pau saja kerana teksturnya yang lembut membantu mulutku mengunyah. Sambil makan, aku membaca akhbar.

Lama duduk di situ, baru aku tersedar yang aku terleka. Jam sudahpun hampir 11 pagi. Aku hanya ada satu jam saja lagi! Aku bergegas ke kereta dan meneruskan perjalanan. Kali ini pemanduan dipercepatkan. Nasibku baik kerana tidak banyak laluan tersekat dek projek pelebaran itu.

Aku sampai di Simpang Ampat/Alor Gajah pada jam 11.30 pagi. Waduh, sudah lambat ini! Semalam aku masih boleh menikmati suasana kampung di sini, tetapi hari ini tidak lagi. Bawa kereta laju sedikit dan aku hanya memikirkan untuk sampai ke destinasi secepat mungkin. Tiada lagi pokok rambutan, petai, durian.. Ah, tiada masa untuk semua itu. Harapnya aku dapat sampai dengan selamat dan tepat pada masanya.

Akhirnya aku lega. Sampai juga di destinasi lima minit sebelum tender ditutup. Aku mengambil sampul surat tender yang kusengaja tidak tutup tadi. Aku pantas mengambil stepler untuk menutup sampul itu. Aku menekan-nekan stepler itu namun tidak berkacip pula sampul surat itu. Arghhh!!!! Celaka! Aku terlupa untuk memastikan ada dawai kokot di dalam stepler tadi! Kenapalah terjadi macam ini...

Namun nasibku baik kerana ada soletep yang dibawa bersama tadi. Nasib baik aku bawa semuanya. Aku menutup sampul surat itu dengan soletep saja, tanpa dawai kokot. Lantaklah, asalkan ditutup kemas. Mataku pula menjeling-jeling ke arah jam di telefon bimbit supaya masih ada waktu. Akhirnya, aku bergegas keluar dan berjalan pantas ke arah sekuriti untuk menghantar tender. Satu minit lagi sebelum habis tempoh masa, aku berjaya juga akhirnya menghantar tender itu... Fuh...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...