09 September 2007

Apabila Pengadil Karate Dipukul

Mungkin sudah lama tidak 'dekat' dengan media Indonesia setelah berpindah ke KL, aku semacam tidak ambil pusing tentang berita dari seberang itu. Baru-baru ini, terdapat komen mengecam rakyat Malaysia keseluruhannya datang ke blogku ini. Bahasanya maha kasar. Terpaksa aku padam saja buat menjernihkan keadaan. Ini gara-gara kes pengadil Karate dari Indonesia telah dipukul sekumpulan polis berpakaian preman di Nilai, Negeri Sembilan.

Aku melungsuri beberapa laman Indonesia. Banyak sekali hal ini diperkatakan. Khabarnya, beberapa siri demonstrasi telah diadakan di Indonesia untuk membantah perlakuan buruk sekumpulan polis ini. Apabila berlakunya sesuatu yang menegangkan hubungan kedua-dua belah negara, maka perkara-perkara lama yang masih belum hilang rasa tidak puas hati diungkit-ungkit kembali. Kes Sipadan dan Ligitan, Ambalat, pengusiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dan perkataan "Indon" itu sendiri dibangkitkan.

Bukan ku mahu menegakkan benang yang basah, cuma apabila berlaku pertikaian antara dua negara serumpun ini, pihak berkenaan terlalu emosi. Kadang-kadang apa yang diperkatakan tidak berlandaskan fakta dan alasan. Main hentam kromo saja.

Aku tidak mahu menyentuh kes Sipadan, Ligitan dan Ambalat. Biarkan pada proses pengadilan. Nama PATI itu sendiri merujuk kepada orang yang melakukan kesalahan. Memasuki negara orang tanpa izin, yakni tanpa melalui proses yang sah adalah salah. Kalau sudah salah, tiada apa lagi mahu dipertikaikan. Alasan mencari rezeki bukanlah menghalalkan cara. Namun kesalahan tidak juga boleh diletakkan seratus peratus ke atas PATI itu sendiri, bahkan sindiket yang menipu, memeras dan membawa mereka yang naif, dengan niat asal tulus ikhlas mencari yang halal itu, juga patut diseret sama. Tidak pernah kedengaran mereka ini turut mendapat balasan setimpal. Adakah mereka dilindungi?

Perkataan "Indon" itu bergantung kepada penafsiran seseorang. Fikirku, "Indon" adalah perkataan yang bukan merendah-rendahkan martabat seseorang dari sana. Mungkin perkataan "Mat Indon" itu lebih kasar - merujuk kepada mereka yang sering melakukan jenayah dan berpakaian selekeh.

Berbalik kepada sekumpulan polis tadi, harapnya mereka mendapat pengadilan secukupnya. Janganlah lagi rosak susu sebelanga gara-gara nila beberapa titik itu. Harapnya mereka bukan memeras ugut untuk mendapat wang tambahan. Harapnya mereka tidak meminta rasuah. Harapnya tahap integrasi polis tidak tercalar. Harapnya rasuah tidak menular ke seluruh organisasi polis. Harapnya tiada sogokan diterima di kalangan polis termasuklah pucuk pimpinan atasan keselamatan negara. Aku takut andai aku tidak dilindungi...

3 ulasan:

  1. saya pun "no comment" saja.
    saya punya banyak teman di malaysia dan saya tak ingin kehilangan silaturahmi dengan mereka.. saya ni cinta damai la...
    ohya..'met menjalankan ibadah puasa ramadhan ya, mohon maaf lahir batin.
    salam dari surabaya :)

    BalasPadam
  2. Saya baru pulang dari Jakarta. Ternyata mereka (teman2 blogger yang tak pernah berjumpa sebelum ini) sangat baik sampai saya terharu di atas layanan mereka.

    Seminggu sebelum ke sana sibuk dengan berita "sweeping orang malaysia" tapi saya nekad kesana. Ternyata semua baik2 sahaja, dan perjalanan kali ini memang best :)

    BalasPadam
  3. Trie, Bintang,

    Mmg sy setuju. Majoriti org Indonesia tidak sebegitu. Masing-masing masih lebih menghargai tali silaturrahim daripada berbalah. Ketidaksetujuan haruslah dirunding, bukannya kecam-mengecam. Tak gitu? :-)

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...