03 November 2007

Ekzos Besar

Tadi semasa membelok kanan ke sebatang jalan di sebuah lampu isyarat, sebuah kereta tiba-tiba muncul dari sebelah kiriku, memotong barisan dan juga masuk ke kanan. Melihat ekzos yang besar, kebiasaannya kita beranggapan mereka ini golongan yang kurang bersopan di jalan raya.

Dengan 'berlesenkan' ekzos besar, mereka ini biasanya suka memecut di jalan raya, suka memotong barisan dan suka menggunakan lorong kecemasan. Kereta mereka bukannya kereta-kereta yang mahal atau yang berprestasi tinggi tetapi kereta-kereta buatan Malaysia termasuk Kancil yang diubahsuai. Entahlah, ini yang selalu kelihatan di jalan raya. Kalau kereta yang standard, tidak mungkin pula mereka berbuat sebegitu.

Fikirku, dengan melawaskan sistem ekzos yang membuang segala rintangan di dalamnya termasuklah sistem catalytic converter, prestasi enjin tidaklah meningkat mana. Lainlah kalau dibeli kereta yang lebih besar kapasiti enjinnya dan lebih baik prestasinya serta berlengkapkan ciri-ciri keselamatan yang bagus.

Bagiku, mereka ini golongan yang perasan kereta mereka 'power', sedangkan tidak seberapa. Ada yang membeli Proton tapi perasan memandu Mitsubishi, ada yang memandu Kancil tetapi perasan memiliki Daihatsu. Tidakkah mereka fikir dengan menukar logo, orang masih tahu model asal kereta mereka?

Golongan ini boleh 'diajar' apabila mendaki bukit. Contohnya di Lebuhraya Karak semasa mendaki ke terowong Genting Sempah. Dengan ekzos yang sudah tidak ada rintangan, tiada daya mampatan pada enjin, maka ekzos mereka akan 'berong'. Kereta inilah yang bakal tertinggal di belakang berbanding kereta yang standard.

Satu lagi yang kurasa pelik ialah orang yang suka meninggikan sistem gantungan kereta mereka seperti seolah-olah sebuah kereta rali. Tidak terfikirkah mereka tentang pusat graviti yang telah ditinggikan itu bakal mempengaruhi keseimbangan kereta semasa memandu? Cuba mengambil selekoh dengan kereta sebegini, pastinya mereka tidak boleh melayan selekoh dengan laju. Jalan raya adalah permukaan rata, maka tidak perlu ditinggikan pusat graviti kereta seperti kereta rali kerana mereka berlumba di jalan berbatu yang tidak rata.

Sebagai seorang yang pernah belajar Kejuruteraan Automotif, pelik aku lihat mereka yang sekadar mengikut gaya semasa ini. Yang kaya adalah kedai aksesori kereta, yang papa kedana adalah wannabe yang perasan kereta mereka 'power'. Baik kumpul duit beli kereta yang sememangnya sudah 'power' berasal dari kilang...

Perbendaharaan kata:
berong - bising (seperti ekzos) - asal Pantai Timur

1 ulasan:

  1. ehmmm... satu pengajaran kepada kimi raikonen wannabe ....
    untuk aku pula, cukuplah dengan sport car murah aku yang langsung tidak aku modified apa-apa selain dari menggelapkan sedikit lagi tint film. satria neo mmg sudah cukup untuk aku lepaskan sekali sekala 'gian' aku utk melepasi 150km/j.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...