28 Januari 2007

Kerenggangan Hubungan Kaum Di Malaysia?

Sekarang ini hangat diperkatakan yang kurangnya integrasi kaum-kaum di Malaysia. Setiap bangsa lebih suka bergaul hanya dengan bangsa sendiri. Melayu dengan orang Melayu sendiri, orang Cina sesama mereka sendiri dan orang India hanya di lingkungan mereka sahaja.

Walau bagaimanapun, sepanjang pemerhatianku, interaksi antara kaum masih wujud di kampung-kampung ataupun di bandar-bandar kecil. Orang Cina atau India hidup dengan rukun dengan majoriti orang Melayu di kampung-kampung. Sebagai contoh, mereka boleh duduk bersama di kedai-kedai kopi bersembang pelbagai topik. Orang Cina dan India di Utara malah fasih bertutur dalam loghat Melayu Utara. Begitu juga di Pantai Timur dengan dialek Kelantan dan Terengganunya. Di Johor, ada golongan tua Cina mampu bertutur dalam bahasa Jawa!

Sebaliknya di bandar-bandar besar, interaksi antara kaum sangat kurang. Kesan kurangnya pergaulan antara kaum-kaum berlainan di kota-kota ini, mereka juga malah tidak langsung senang bergaul dengan kaum-kaum lain yang berhijrah dari desa ke kota. Ini kerana gaya hidup di bandar yang kurang mempedulikan orang lain. Di samping itu, komposisi kaum di sesetengah bandar seimbang dan mereka hanya duduk di kepompong sendiri. Kalaupun ada pergaulan rapat antara berlainan kaum di kota-kota, ini mungkin kerana mereka berasal dari kampung atau negeri yang sama.

Antara perkara yang mampu merapatkan hubungan seseorang yang berlainan bangsa adalah minat. Berkongsi minat yang sama mampu menutup jurang perbezaan warna kulit. Apa yang berlaku hari ini ialah kaum-kaum berlainan mempunyai minat yang berlainan. Sebagai contoh, orang Melayu mungkin minat Akademi Fantasia. Orang Cina tidak minat kerana mereka tidak menonton rangkaian Melayu. Contoh lain, orang Cina minat memperkatakan makanan Cina. Orang Melayu tidak akan berkongsi minat yang sama kerana makanan orang Cina kebanyakannya tidak halal.

Faktor lain ialah kemampuan berkomunikasi. Misalnya, orang Cina di bandar kurang bergaul dengan orang Melayu kerana tidak mampu bertutur Bahasa Melayu dengan baik. Orang Cina yang tinggal di dalam komuniti mereka di bandar hanya bertutur dalam Bahasa Mandarin ataupun dialek-dialek mereka. Ada yang bertutur Bahasa Inggeris. Orang Cina bandar apabila mahu berinteraksi dengan kaum lain lebih cenderung memilih untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Bagi kebanyakan orang Melayu, bertutur dalam bahasa kebangsaan menjadi keutamaan, lebih-lebih lagi dengan rakyat Malaysia sendiri. Bertutur dalam Bahasa Inggeris akan memberikan sedikit jurang. Orang Melayu dari kampung-kampung juga kurang fasih berbahasa Inggeris kerana tiada keperluan berbahasa Inggeris di kampung-kampung dan hanya bertutur dalam Bahasa Melayu. Bertutur dalam bahasa asing hanya akan merencatkan penyampaian.

Orang India pula bagaimanapun kelihatan lebih mudah bergaul dengan orang Melayu. Mungkin budaya orang India ada kesamaan dengan budaya orang Melayu. Adat bersanding adalah tinggalan adat Hindu yang dianuti nenek moyang orang Melayu zaman dahulu yang beragama Hindu/Buddha. Bahasa Melayu juga banyak menyerap perkataan-perkataan Sanskrit* yang juga dituturkan orang India yang majoritinya bercakap Bahasa Tamil. Antaranya bumi, suria dan singa. Makanan orang Melayu juga tidak banyak berbeza dari orang India yang berasaskan rempah. Orang Melayu dahulu juga menganut Islam hasil sebaran pedagang-pedagang India Muslim. Ini mungkin sebabnya orang Melayu bersembahyang dengan berkain pelikat, sepertimana pakaian orang India, bukan berjubah seperti orang Arab.

Banyak perkara harus dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Banyak aktiviti yang melibatkan semua kaum harus dilakukan. Persatuan-persatuan yang mewakili hanya satu kaum bakal melebarkan jurang antara kaum.

Setiap kaum tidak harus hidup dengan kepompong sendiri sahaja. Satu contoh ialah kewujudan sekolah-sekolah yang berasaskan satu kaum iaitu sekolah jenis kebangsaan yang memisahkan pelajarnya dari arus perdana. Ops, jangan cepat melatah. Bukannya dicadangkan di sini untuk menutup saja sekolah-sekolah itu. Cuma kewujudan istimewa sekolah-sekolah itu di Malaysia harus lebih mampu berinteraksi dengan majoriti masyarakat Malaysia yang lain. Sekolah Wawasan adalah perancangan yang baik cuma tidak kelihatan kesannya.

Banyak juga orang Malaysia yang kakinya berpijak di Malaysia tetapi kepalanya berada di negara-negara asing. Dengan kemajuan teknologi hari ini, apabila dibuka televisyen, banyak sajian rangkaian dari luar disediakan. Ada yang terlepas dengan perkembangan di tanah air. Bersekolah pun di sekolah antarabangsa. Kurikulumnya dari luar dan kurang bersifat tempatan. Apabila ini berlaku, maka golongan ini kurang berinteraksi dengan komuniti tempatan.

Paling penting, pemahaman tentang budaya kaum lain sangat penting. Orang Melayu tidak harus menjauhi orang Cina semata-mata orang Cina membela anjing dan makan daging babi. Banyak perkara lain boleh dikongsi bersama. Contohnya meraikan Tahun Baru Cina tidak salah kerana itu adalah perayaan adat, bukannya perayaan agama.

Orang Cina pula jangan mengatakan semua makanan Cina itu adalah haram. Cuma cara penyediaan itu haruslah mengikut hukum syarak. Masakan masakan (baca masa-kan masakan) Cina semuanya haram kerana jumlah penduduk Islam di China bahkan lebih ramai daripada jumlah penganut Islam di Malaysia. Kita juga harus sedari banyak orang India adalah vegetarian. Mereka tidak makan haiwan atas alasan agama.

Untuk merapatkan hubungan kaum, rasanya kita perlu berbalik kepada dasar penyatuan bangsa dengan satu bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Malaysia. Tanpa satu bahasa pengantaraan yang khusus, tidak mungkin bangsa yang berlainan mampu berkomunikasi dengan baik dan seterusnya bergaul dengan rapat. Bertutur dalam Bahasa Inggeris antara kaum di Malaysia bukanlah cara terbaik kerana yang memilih bertutur dalam Bahasa Inggeris bukan saja menyusahkan penterjemah Buletin Utama TV3, bahkan tidak ubah seperti pelancong asing!

*Lapangan terbang terbaru di Bangkok yang bernama Survanabhumi sebenarnya berasal dari perkataan Sanskrit dan sering disalahanggap oleh kebanyakan orang, bahkan orang Thai sendiri, yang ianya adalah perkataan Thai. Survanabhumi bererti Bumi Emas. Jika kita mengingati subjek Sejarah di sekolah dulu, Semenanjung Malaysia juga pernah dipanggil Survanabhumi. Jadi, nama Survanabhumi bukanlah nama unik. Orang di India dan juga mungkin Indonesia boleh juga menggunakan nama itu…

13 Januari 2007

Hari Terakhir di Johor Bahru

Hari ini merupakan hari rasmi terakhir kubermastautin di Johor Bahru (JB). Tanggal 15 Januari ini, akan kuberpindah ke Kuala Lumpur (KL) pula. Ku sudah empat tahun setengah di sini - masa yang sudah ranum buatku berpindah untuk mencari pengalaman baru. Sudah empat tahun kutinggal di Johor Jaya dan sebelumnya enam bulan di Pasir Gudang.

Mungkin tiada apa yang boleh kubanggakan di sini, biasalah setiap bandaraya terkenal dengan kesesakan lalulintasnya, jalan berlopak serta hiruk-pikuknya.

Jalanraya di Johor, terutamanya Johor Bahru sungguh teruk. Banyak lubang dan tiada langsung housekeeping. Kualiti jalan kurang memuaskan. Ada sesetengah tempat yang jalannya baru diturap namun terus berlopak apabila dilalui kenderaan berat. Apabila kulihat dekat dengan lopak itu, kudapati lapisan tarnya tidak sampai dua inci pun! Di bawahnya lapisan tanah! Kalau macam ini, kereta pun boleh membuatkan jalan itu berlopak! Pastinya banyak penyelewengan berlaku.

Kini seusai dua kali banjir, permukaan jalan semakin teruk. Lubang di jalan sungguh dalam dan lebar. Pastinya lubang-lubang itu mampu memuatkan tayar kereta di dalamnya, apalagi boleh membawa maut buat penunggang motosikal.

Banyak projek yang mampu memberi manfaat buat semua orang tidak langsung berjalan di sini. Yang ada hanyalah projek-projek mega yang tidak semua orang akan rasai. Dataran Teluk Danga mungkin terlalu jauh buat sesetengah wargakota. Hendak ke sana pun jalanraya sangat sesak.

Satu projek ini yang kurasa mungkin sudah terbatal(?) Projek pelebaran Lebuhraya Pasir Gudang ke enam lorong tidak langsung kelihatan. Lebuhraya empat lorong yang ada sekarang ini sudah tidak mampu lagi menampung pertambahan kenderaan yang saban tahun meningkat jumlahnya. Sering berlaku kemalangan maut. Minggu ini saja kulihat ada satu mayat masih lagi terbaring di tengah jalan setelah kemalangan.

Projek persimpangan bertingkat Jalan Tebrau-Lebuhraya Pasir Gudang yang dimulakan sejak kutinggal di JB empat tahun lepas masih belum siap-siap lagi. Kini ku hendak balik ke KL, tidak nampak laluan itu akan dibuka dalam masa terdekat. Nampaknya tidak sempatlah kumerasa laluan itu! Alahai... Harapnya persimpangan bertingkat lain yang mampu mengurangkan kesesakan lalulintas seperti di Taman Perling dan persimpangan ke UTM di Skudai dapat disiapkan mengikut jadual.

Selain itu, Lebuhraya Senai-Desaru yang sudah bertahun diperkatakan entah sudah dimulakan atau tidak. Harapnya projek lain seperti Monorel dapat dijelmakan seperti yang dicanangkan.

Namun begitu, JB tidak kurang juga kelebihannya. Johor sudah sinonim dengan makanannya. Banyak makanan asli Johor yang tidak terlupakan. Nasi Beriani Gam, Nasi Ambang, Mi Bandung Muar dan Tahu Bakar sangat popular. Dengan pengaruh orang Jawa di sini dan juga pendatang dari Indonesia, restoran Melayu banyak menyediakan lauk-pauk Jawa. Yang tidak pernah kuterlepas beli di Restoran Seroja Jaya ialah tempe gorengnya. Sungguh sedap! Kalau tidak ada itu, kubeli sambal goreng.

Makanan laut juga tidak kurang popular di sini. Ikan siakap di Restoran Rahmat, Kg. Pasir Putih, Pasir Gudang sangat pantas servisnya. Belumpun sempat sampai ke meja yang dikhaskan, nasi dan kicap sudah tersedia!

Kolaborasi empat gerai di Pantai Lido juga sungguh mengagumkanku. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Itulah kalau kita bersatu-padu menyediakan perkhidmatan, para pelanggan pasti ramai. Ada empat gerai menyediakan berlainan jenis makanan dan pelanggan yang duduk akan diambil pesanan oleh empat orang! Satu gerai menyediakan makanan laut bakar, satu lagi menyediakan minuman seperti Chikong, yang ketiga menyediakan pembuka selera seperti tahu bakar dan terakhir sekali pelbagai jenis nasi. Hebat bukan?

Di sini, buka saja TV, berbelas televisyen percuma tersiar. Bahkan mungkin Johor adalah pasaran terkecil Astro kerana sudah banyak siaran lain diperolehi. Selain TV-TV Malaysia yang semuanya ada di sini, boleh didapati TV-TV Singapura dan juga TV-TV Indonesia yang dipancarkan tidak jauh dari kotamadya Provinsi Kepulauan Riau, Batam.

Satu kelebihan TV Singapura ialah adanya rangkaian khusus berita iaitu Channel News Asia. Banyak juga liputan tentang Malaysia oleh penyampai yang pernah kita lihat di TV-TV Malaysia dan beritanya mungkin tidak akan tersiar di TV Malaysia...

Dua TV popular Indonesia juga sangat jelas di sini, bahkan mengalahkan pancaran RTM1 yang sungguh tidak jelas itu. Kebanyakan sinetron popular Indonesia yang disiarkan di Malaysia pernah disiarkan di RCTI dan SCTV. Kusuka menonton Hikmah 1 dan 2 yang disiarkan ketika bulan puasa di RCTI. Bagaimanapun, Hikmah 3 berpindah ke Indosiar yang juga baru dilancarkan di Batam, namun kualiti gambarnya agak kurang di sini.

Bawang Putih Bawang Merah pernah disiarkan di RCTI juga. Tadi kelihatan iklan di SCTV, Kiamat Sudah Dekat, mungkin siri yang baru, akan disiarkan. Sekarang ini penonton tengah 'gila' dengan sinetron Intan di RCTI yang lagu temanya sungguh 'ngetop'. Astro juga akan memulai sinetron Bidadari. Bidadari juga bakal popular di Malaysia kerana anak-anak buahku dulu pasti terpacak di depan TV ketika hujung minggu menunggu sinetron ini.

Selain itu, tinggal di Johor Bahru juga memberikan akses mudah untuk ke Singapura. Kali pertama ke sana bukan main susah dulu kerana tidak ada teman yang biasa ke sana. Akhirnya kubertemu seorang kawan yang keluarganya berasal dari sana. Kami menjelajah sehari suntuk ke pusat-pusat membeli-belah di sana. Sampai lenguh-lenguh kakiku. Kawaku itu pula kaki shopping, dia sudah biasa.

Kukagum dengan keteraturan kehidupan di sana waima orang mengatakan ini adalah 'kotaraya denda'. Tempatnya bersih dan sistem pengangkutan awam sungguh efisyen dan mudah diakses. Jadinya, kali kedua ke sana, ku terus menjadi penunjuk arah buat kawan-kawanku yang mahu ke sana.

Di sekitar Johor Jaya, pelbagai hypermarket ada di sini. Rasanya lengkap semua pasaraya ternama di Malaysia ada di sini. Ada Giant, Carrefour, Macro, The Store, Jaya Jusco dan bahkan Tesco juga akan dibuka. Paling kusuka ialah Jusco Tebrau City. Tempat ini menyediakan alternatif membeli-belah dan tidak perlu lagi meredah kesesakan pusat bandar seperti di City Square, Pelangi, Kotaraya atau Angsana.

Kesimpulannya, tinggal di sesuatu tempat pastinya meninggalkan seribu satu kenangan yang pahit mahupun manis. Pelbagai pengalaman dan pengajaran diperolehi. Walaupun ku sudah berpindah, tetapi ku masih akan tetap berkunjung di sana. Mungkin agak ralat sedikit kerana sewaktu kuberpindah ini, Johor mengalami banjir buat kali kedua. Harap banyak bersabar dengan ujian demi ujian ini.



Pos-pos terdahulu yang berkaitan:
KT vs JB
Panjang dan MBJB - Memalukan!
Great News

04 Januari 2007

Antara Jelajah Malaysia dan Le Tour de Langkawi

Acara lumba basikal di Malaysia bertambah tahun ini dengan adanya perlumbaan Jelajah Malaysia yang dikatakan bakal pemanas badan sebelum perlumbaan tahunan Le Tour de Langkawi yang lebih berprestij nanti.

Kutertarik dengan perkataan Jelajah Malaysia dan Le Tour de Langkawi tersebut. Mungkin ketika dulu mahu menarik perhatian dunia supaya terarah ke perlumbaan ini di Malaysia, namanya diceduk dari perlumbaan tersohor Perancis, Le Tour de France. Namun selepas beberapa kali dianjurkan dan kini telahpun diiktiraf dunia, kenapa namanya tidak diubah? Ini supaya ia lebih bersifat ke-Malaysia-an dan tidak lagi dibayangi perlumbaan di Perancis. Kucadangkan namanya ditukar ke Jelajah Malaysia tadi.

Kalau ditukar ke Jelajah Langkawi, ini kurang tepat kerana perlumbaan bukannya terhad di Pulau Langkawi sahaja. Disebabkan ia merentasi seluruh Semenanjung Malaysia, maka namanya perlu menjadi Jelajah Malaysia. Untuk lebih tepat lagi, lebarkan perlumbaan ke Sabah dan Sarawak jika mahu betul-betul jelajah ke seluruh ceruk rantau Malaysia. Berbalik kepada perlumbaan Jelajah Malaysia tadi, tukarkan namanya kepada nama lain, Kayuhan Malaysia atau apa saja.

Satu perkara lain, kulihat di Indonesia juga mahu diadakan Le Tour de Indonesia. Namanya kurang tepat di sini. Kalau mahu dalam Bahasa Perancis, sepatutnya Le Tour de Indonesie. Kalau mahu dalam Bahasa Indonesia, tour itu apa ya? Muter Endonesia? Jangan marah donk, bercanda saja...

Nota kaki: basikal = sepeda
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...