10 Februari 2007

Soalan Cepu Mas

Banyak orang bertanya kerana bukan tujuannya mencari jawapan. Apabila bertemu orang lain, orang sekadar bertanya kerana mahu break the ice. Dengan orang tidak dikenali atau belum dikenali, seseorang bertanya sekadar mahu menyapa seseorang.

Bagi pihak yang menerima pula, sungguh berbesar hati kerana seseorang mahu menyapa. Terasa diri ini mahu dikenali dan dihargai. Namun segalanya pasti berubah apabila soalan yang ditanya merupakan soalan yang sukar untuk dijawab. Atau straight to the point, sensitif.

Mulalah jawapan yang mahu diberi mengambil sedikit masa untuk dijawab kerana otak terpaksa berfikir dahulu apa yang perlu dijawab. Kadang-kadang, terpaksa menipu kerana terdesak dan mahu memberikan jawapan yang cepat. Mahu berterus-terang tapi diri ini tidak mahu kerana sensitif.

Entah kenapa, semua orang hari ini mahu bertanya soalan yang ku tidak mahu jawab. Dalam banyak-banyak subjek di dunia ini, kenapa mahu tanya soalan itu. Entahlah. Mungkin melihat ekspresiku, orang akan bertanya.

Sejak dari sekolah lagi, aku mempunyai kepercayaan yang pelik. Aku sering berfikir seseorang yang duduk disebelah kiriku dapat membaca fikiranku. Agaknya gelombang dari otakku di sebelah kiri dipancarkan sehingga ke otak orang sebelah kiriku. Aku dominan kanan, jadi otak kiriku yang dominan. Mungkin signal di otak kiriku terlalu kuat.

Mustahil tapi dah beberapa kes sebegini berlaku. Kawan-kawanku yang duduk di kiriku di sekolah sering memberi jawapan yang sama seperti yang aku fikirkan. Tadi orang itu duduk di kiriku. Mungkin kebetulan. Tapi kenapa dia mahu tanya soalan sensitif saja? Aku harus berubah...

09 Februari 2007

Sauna

Petang tadi aku mahu ke Kepong. Selepas bersembahyang Jumaat di Masjid KLCC yang khutbahnya dibaca dalam Bahasa Inggeris 'ala Arab', aku memandu ke Jalan Tun Razak. Sebelumnya bertanya rakan sepejabat sama ada jalan sesak atau tidak kerana bakal ada perarakan anti Israel di depan Kedutaan Amerika, namun jawabnya tidak. Pun begitu, kudapati jalan masih sesak kerana orang berpusu-pusu keluar dari Masjid Tabung Haji.

Sampai di Lorong Kuda, kenderaan bergerak perlahan-lahan. Penghawa dingin keretaku pula di waktu-waktu begini membuat hal. Menurut mekanik yang servis penghawa dingin, pemampatnya sudah under power. Kalau kelajuan melahu, penghawa dingin kurang sejuk. Kalau bergerak laju barulah sejuk kerana ada sokongan kuasa dari enjin. Memang benar, tapi masih boleh diterima kerana tidaklah terlalu panas selepas servis dahulu.

Namun kini, setelah keretaku disirami hujan berterusan yang membawa gelombang banjir berterusan di Johor tempoh hari, kurasa kelajuan melahu enjin keretaku terlalu rendah daripada tahap sebenarnya. Selalu enjin keretaku mati di tengah jalan kalau terlalu tinggi bebannya seperti semasa memasang penghawa dingin secara maksimum.

Sekrang terjadi lagi. Beberapa kali enjin keretaku mati sementara mengekori bas Rapid KL di depanku. Panasnya tak terkata. Kubuka cermin keretaku namun tidak banyak beza kerana suhu terik mentari di luar juga sangat panas. Setelah berinjit-injit, akhirnya masuk juga ke Jalan Tun Razak. Apabila laju, sejuk pula penghawa dingin ini. Lega rasanya. Peluh pun dah mula kering.

Setelah beberapa minit memandu, ku sampai ke Jalan Kepong. Kali ini jalan sesak lagi. Penghawa dinginku buat hal lagi. Kubuka sedikit tingkap keretaku supaya hawa panas dapat keluar. Peluh pula membasahi tubuhku lagi. Kali ini makin teruk kerana kesesakan masih berpanjangan. Terasa seperti mandi pula.

Setelah beberapa lampu isyarat, aku masih tidak dapat mencari tempat yang kutuju. Ah, sudah! Sudahlah panas begini, sesak pula. Kumenelefon kawanku. Tidak mahu berjawab pula. Kutelefon seorang lagi tapi dia sibuk. Kutelefon kembali yang tadi. Dia menjawab namun penerangannya tidak membantuku. Agak tegang diriku bercakap dengan dia kerana keadaanku ini.

Aku pasrah saja. Jalan terus ke depan. Akhirnya bertemu juga tanda tempat yang dicari. Kuberhenti di stesen BHP seperti yang dijanji. Aku bergegas keluar dari kereta dan masuk ke kiosk mencari air. Air air! Umpama orang kehausan di padang pasir, cepat-cepat kuambil 100 Plus. Lega rasanya.

Setelah minum, kubuka pintu keretaku. Wah, mak aih! Panasnya! Panas di dlaam keretaku mengalahkan panas di luar. Umpama sauna! Tak hairan aku berpeluh 'jeruk'!

07 Februari 2007

33888


Melihat kepada tajuk entri ini, itulah jumlah hit di laman ini sejak kumula berkecimpung dalam dunia 'blog-memblog' ini pada 2003. 33888 adalah nombor bertuah bagi orang Cina. Bersempena dengan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang, harapnya nombor ini sebagai petanda untuk memulakan kebaikan dan kemakmuran. 33888 disebut san, san, pa, pa, pa dalam Bahasa Mandarin. Nombor tiga membawa erti kehidupan dan nombor lapan bermaksud kekayaan.

Kuingat lagi kumula menulis blog setelah melihat beberapa rakan menghasilkan blog masing-masing. Pada mulanya, kebanyakan menulis lebih bersifat diari. Walau bagaimanapun, ceritanya masih menarik perhatian kerana ia berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan pembaca. Ada juga yang menulis untuk diri sendiri. Maksudku, menulis senarai yang mahu dilakukan dalam bulan itu ataupun menulis buku yang telah dibaca, muzik yang telah didengar mahupun filem yang telah ditonton. Tiada apa yang ingin dikongsikan dengan pembaca. Ini sememangnya membosankan.

Aku masih ingat, pada malam kumula menulis blog, kuhabiskan sepanjang malam itu bermula dari 8 malam hingga ke 4.30 pagi mempelajari HTML bersendirian. Tidak pernah kutahu apa itu HTML sebelumnya. Sampai sakit pinggangku kerana duduk terlalu lama di kerusi.

Blog ini mencapai hit paling tinggi semasa kes rebutan perairan Ambalat antara Malaysia dan Indonesia dulu. Sungguh tidak kusangka tulisanku begitu hangat diperkatakan. Beberapa blog utama dari Indonesia turut membuat pautan ke blogku. Kerana akses TV Indonesia yang ada di JB, tempat tinggalku pada masa itu, mungkin aku antara orang terawal di Malaysia yang memperkatakan hal ini. Sebabnya di Malaysia tiada langsung membangkitkan hal ini tetapi di Indonesia, isunya terlalu hangat sehinggakan terjadi kes pembakaran bendera Malaysia di sana.

Blogku ini majoritinya ditulis dalam Bahasa Melayu dan banyak pengunjung blog ini terdiri daripada mereka yang bertutur ataupun memahami bahasa ini. Apabila kutulis blogku dalam Bahasa Inggeris, jumlah hitnya akan menurun. Jadi akhirnya kutulis saja dalam Bahasa Melayu. Tambahan pula Bahasa Melayu kini hampir seperti melukut di tepi gantang. Di waktu kerja, aku sudah bertutur dan menulis dalam Bahasa Inggeris kerana kerjaku melibatkan orang dari berbagai-bagai negara. Bila lagi ku hendak menulis dalam Bahasa Melayu standard, melainkan di blogku ini. Jikalau kubercakap pun, percakapan Bahasa Melayu kita seharian lebih kepada slanga.

Beberapa tahun berlalu, blog bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Boleh dikatakan setiap orang ada blog sekarang. Blogspot adalah wadah terpopular untuk menulis blog bagi rakyat Malaysia manakala Fotopages mencatatkan laman paling banyak berasal dari Malaysia.

Aku ini pula ikut kemahuanku. Kalau rajin, selalulah blog ini dikemaskini. Kalau malas ataupun tiada akses Internet, blog ini akan lama tidak ditulis. Kulihat beberapa blog baru yang diasaskan selepas blogku begitu ramai pengunjungnya. Ini berkat orang yang rajin menulis blog. Dulu, banyak komen datang seperti "Salam kenal", "Tumpang lalu" ataupun "Just blog-hopping" cuba berpaut ke blogku dan kini mereka punyai ramai pengikut setia. Begitu juga di Fotopages-ku yang kujuga tidak selalu mengemaskini gambar-gambarku.

Harapnya di masa-masa mendatang, ku masih mampu mengemaskini blogku ini dengan kadar konsisten agar pembaca tidak bosan tertunggu-tunggu entri terbaruku.

02 Februari 2007

Perihal Lif dan Malam Ini Tak Mengaji!

Hari ini merupakan hari kedua secara rasmi kutinggal di apartmen baruku di KL. Masih cuba menyesuaikan diri dengan tempat ini. Kumasih meninjau-ninjau tempat-tempat penting seperti warung makan, gerai menjual sarapan pagi, kedai runcit, masjid dan sebagainya.

Petang tadi sesudah pulang dari gimnasium pejabatku, semasa menaiki lif, lif itu tidak mahu pula membuka pintunya apabila berhenti di tingkat kutinggal. Risau juga dengan kedua-dua tanganku membimbit barang-barang yang agak banyak ini. Tambahan pula masih lagi penat. Takkan awal-awal lagi ku sudah diperangkap lif!

Jangan panik. Kucuba menekan tingkat di bawah tingkat kududuk. Boleh pula. Kututup pintu lif balik dan menekan kembali tingkat tempat kutinggal. Sampai di tingkatku, lif itu masih lagi tidak mahu membuka pintunya. Isy... OK, apa kata ku ke tingkat lebih tinggi dari tingkat kutinggal. Kutekan nombor tingkat itu. Apabila sampai ke tingkat yang setingkat tinggi dari tingkatku, kali ini boleh pula. Hmm pelik aku. Terpaksalah kukeluar dari lif dan kuturun ke tingkatku semula melalui tangga.

Setelah menuruni anak-anak tangga dan sedang kumembuka pintu rintangan api, kedengaran hiruk-pikuk suara budak-budak. Mereka mengekoriku ke muka pintu rumahku dan memberi salam ke rumah sebelahku. Oh, anak orang rumah sebelah rupanya. Beberapa kali mereka memberi salam yang tidak terjawab. Setelah itu, kelihatan pula beberapa orang kanak-kanak lagi sampai sambil membawa Quran dan rehal. Oh, sebenarnya mereka adalah anak-anak jiran yang lain dan orang sebelahku rupanya mengajar mengaji.

Sejurus kemudian, kakak sebelah membuka pintu dan berkata dalam loghat pekat Utaranya,

"Apalah hangpa ni. Haghi Jumaat tak mengajilah!"

"Hooray!" Serentak kanak-kanak itu menjerit keriangan. Hmm, budak-budak...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...