01 Januari 2008

Selamat Tahun Baru 2008

Sudah lama aku tidak mengemaskini blogku ini. Sekarang tidak ada ilham. Tidak banyak isu yang hendak diperkatakan. Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, aku biasanya berkelana ke negeri orang. Jadi banyak cerita yang ingin dikongsi bersama. Tahun lepas aku tidak ke mana-mana. Aku tidak merancang awal. Kalau saat-saat terakhir, agak sukar untuk membuat perancangan ditambah pula dengan tiket kapal terbang yang mahal kalau ditempah dekat dengan tarikh penerbangan. Lagipun aku menyimpan cuti untuk tahun ini.

Tinggal di Kuala Lumpur juga mungkin membuatkan tag blogku, 'Pandanganku Menerobos ke Seluruh Pelosok Dunia' tidak relevan lagi. Kendatipun banyak aktiviti dilakukan di KL, kurasakan tiada apa yang hendak diperkatakan. Mungkin aku malas nak menulis agaknya. Di Johor Bahru, duniaku lebih luas berbanding kini yang aku hanya menonton Astro. Tiada lagi TV-TV Singapura dan Indonesia. Entah apa sinetron terbaru di RCTI agaknya? TransTV menyiarkan kembali Dunia Lain atau tidak?

OKlah, kufikir baik kuceritakan mengenai sambutan tahun baru 2008. Aku ini tidak fancy sangat dengan tahun baru ini. Bukan tahun baru Islam pun. Hi hi, kononnya.. Banyak orang menghantar SMS mengucapkan selamat tahun baru. Aku tengok dingin sahaja. Malam tadi aku tidak keluar. Duduk di rumah saja.

Teringat aku pada tahun baru 2003 dulu aku melepak dengan Mac dan Errer di Sri Hartamas untuk menyambut tahun baru. Kami menyaksikan letupan bunga api di angkasa sambil bertepuk tangan dan bersorak riang. Kini, fikirku, apa yang best sangat?!

Aku duduk rumah malam tadi pun kerana mahu memperbetulkan jam biologi badanku ini. Aku sering tidur lewat akhir-akhir ini. Ditambah pula dengan hidangan perlawanan Liga Perdana Inggeris yang dua kali seminggu pasukan 'Anda Tidak Akan Berjalan Keseorangan' yang menjadi kegilaan aku itu bermain. Semua perlawanan berlangsung pada lewat malam. Jadi bersengkang matalah aku dibuatnya.

Sebut pasal bola, aku rasa negaraku adalah England! Eh, marahlah para pejuang Melayu yang menuntut kemerdekaan daripada Inggeris. Bukan apa, aku sokong Liverpool mengalahkan pasukan Terengganu. Bila Terengganu masuk separuh akhir mana-mana pertandingan barulah aku ada rasa ingin mengikuti perkembangan pasukan Teranung Kite itu. Kalau Liverpool kalah, alamatnya halaman sukan di akhbar pasti aku tidak baca. Apalagi kalah dengan pasukan Setan Merah itu baru-baru ini. Ceh!

Pasukan Malaysia ini bukannya aku tidak ikuti perkembangan langsung. Ada, tetapi mutu permainan sangatlah teruk, malah mungkin boleh dikalahkan kemahiran para pelajar universitiku yang membajak padang sekolah Cina berhampiran dulu. Fikirku, dalam kesebelasan pemain Malaysia itu, kalaulah semua orang lelaki di Malaysia diwajibkan bermain bola sepak, pasti ada sebelas yang lebih baik. Bermain bolasepak yang kononnya profesional di Malaysia itu tidak menjanjikan habuan yang menarik seperti di Eropah. Lebih baik bekerja di sektor lain seperti doktor, peguam, jurutera, arkitek dan sebagainya. Satu lagi pemain-pemain terlalu dimanjakan. Agaknya setelah pergi berlatih di Iraq, Palestin ataupun Pakistan, barulah maju permainan mereka.

OK, berbalik kepada jam biologi tadi, aku mahu tidur awal kerana aku mahu bangun awal untuk ke gim. Mulanya rancang nak tidur awal tapi pukul 12 juga waktu tidurku. Aku leka melayari Internet. Mahu tidur, tapi bunyi dentuman bunga api menyambut munculnya tahun baru mengganggu mataku yang hampir lelap. Aku bingkas bangun dari katil mahu menyaksikan pertunjukan bunga api itu.

Aku nampak ada bunga api keluar dari sebelah hutan di Banjaran Titiwangsa, tulang belakang Semenanjung Malaysia. Fikirku siapa yang duduk di dalam hutan pada malam-malam buta begini. Ah, rupanya itu dari Genting Highlands. Para tahi judi berhenti sejenak agaknya.. Aku mahu melihat di arah bertentangan kalau-kalau ada ternampak bunga api dari KLCC, namun terlindung. Aku berbaring semula. Aku membaca sebuah buku dan akhirnya tertidur. (Baca buku yang membosankan pastinya akan terlelap - contoh buku Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Thermodynamics, Control. Para pelajar dilarang ikut!)

Paginya aku bangun awal. Inilah pagi yang terbaik pada 2008 walaupun pagi ini adalah pagi pertama. Kurasa pagi kedua hingga keempat tidak sebaik pagi pertama. Ini kerana pagi inilah pagi yang kebanyakan orang masih enak dibuai mimpi. Para pemabuk yang berfoya-foya malam tadi tentunya masih belum sedarkan diri atau mungkin kewarasan fikiran masih belum normal. Para Mat Rempit masih belum hilang penat bertarung di jalan raya pada malam tadi. Mungkin juga penat bertarung dengan awek-aweknya.. Budak-budak yang main Sepak Takraw pada tengah malam di gelanggang berhampiran rumahku tidak pula kelihatan menyambung bermain pagi ini. Pendek kata, tidak ramai orang keluar dan jalan-jalan pun lengang. Inilah yang aku suka.

Tidak sampai 15 minit, aku sampai ke gim. Aku disapa staf di situ bertanyakan ke mana malam tadi. Aku cakap duduk di rumah saja. Katanya dia keluar di depan gim saja namun masih belum hilang mengantuk kerana terpaksa bekerja pula pagi ini. Aku tersenyum saja.

Gim juga lengang. Hanya beberapa orang yang hadir di situ. Di bilik persalinan, tiada orang di situ. Aku suka. Aku bebas memilih almari yang kusuka. Teringatku di Singapura bulan lepas. Aku terjumpa satu almari yang kedudukannya agak strategik. Namun tiada orang pilih walaupun gim sesak. Nombornya 414. Mungkin sesetengah orang menganggapnya membawa mati. Entahlah.

Selesai work out, terasa penat sekali. Sudahlah lama tidak ke gim, aku pula belum makan. Lalu aku ke sebuah restoran Mamak yang berdekatan. Suasana masih lengang walaupun mentari sudah meninggi. Jalan raya yang sentiasa sesak itu masih lengang. Kudapati pelanggan di restoran Mamak itu agak kurang. Barisan makanan yang ada juga kurang. Mahu memesan Capati tetapi tiada. Yang ada hanyalah Nasi Lemak dan Roti Canai. Akhirnya kupesan saja Teh Tarik Kurang Manis dengan Nasi Lemak.

Yang mengambil pesananku seorang wanita dari Indonesia. Di mana-mana, orang Indonesia yang mahu bercakap slanga KL pastinya tidak akan hilang slanga Indonesianya. Begitu juga sebaliknya orang Malaysia mahu bercakap Bahasa Indonesia dengan mudah dikenalpasti sebagai orang Malaysia. Di JB dulu, seorang kakak itu yang dah berpuluh tahun duduk di Malaysia juga tidak hilang slanga Indonesianya. Mungkin dia selalu ngomong Jawa dengan teman-teman sekampungnya.. Slanga Malaysia ini, di samping huruf r di hujung perkataan yang tidak berbunyi, huruf-huruf seperti b,d,k,p dan t yang ada di hujung perkataan juga disebut dengan 'malas' dan lembut. Kalau di Indonesia, penekanan terhadap huruf-huruf tersebut adalah kuat. Dalam hal ini, Bahasa Sabah dan Sarawak lebih mirip kepada Bahasa Indonesia.

Wanita itu menjerit kepada si pembuat air,

"Teh tarik satu!"

Aku cepat-cepat mencelah,

"Kurang manislah!"

Lalu dia memperbetulkan pesanannya,

"Teh tarik kurang manisssss satu!"

Aku tersenyum melihat gelagat dia. Fikirku, kesilapan tidak menyebut 'kurang manis' besar ertinya. Aku mahu kurangkan yang manis. Ukur lilit perutku sudah naik. Tambahan pula Kementerian Kesihatan dengan menteri 'panas'nya selalu mengiklankan kurangkan 5M itu. Susah aku hendak ingat apa 5M itu. M itu semuanya imbuhan. Bagaimana mahu diingati? Teringat aku malam tadi terbaca di Internet. Rukun nikah adalah SISWA - suami, isteri, 2 orang saksi, wali dan akad nikah (ijab kabul). Ada yang menambah SISWAS - S untuk sijil. Tidak ada sijil kena cekup dengan pegawai pencegah maksiat!

Setelah menunggu sebentar, teh tarik aku sampai. Wuih, manis juga Teh Tarik Kurang Manis ini! Kalaulah aku tidak mencelah tadi tentu lebih manis! Lain kali, aku pesan saja Teh Tarik Kurang-kurang Manis!

Setelah makan, aku ke Low Yat Plaza. Mahu gunting rambut. Hari sudahpun mahu mencecah tengah hari namun orang masih tidak ramai. Yang ada kebanyakannya para pelancong asing yang tidak mahu masa mereka terbuang dengan tidur di hotel. Namun kedai-kedai masih banyak yang belum dibuka.

Satu perkara yang buruk yang biasa dilakukan rakyat Malaysia ialah membuang sampah merata-rata. Kesan sambutan malam tadi, sampah-sarap bertaburan di sana-sini. Pekerja-pekerja kontrator DBKL yang biasa membersihkan kawasan ini juga cuti hari ini. Sesetengah kedai yang baru dibuka mengambil inisiatif membersihkan sendiri siar kaki di depan kedai-kedai mereka. Kelihatan juga benang-benang berwarna-warni melekat pada permukaan kaki lima yang disemburkan malam tadi semasa sambutan tahun baru. Tampak sukar untuk dibersihkan.

Usai segala urusanku, aku balik ke rumah. Jalan pun masih tidak banyak kenderaan. Alangkah baiknya jika KL selalu begini..

2 ulasan:

  1. Betul tu 1 januari jalan lengang jer.. Saya pergi jalan2 kat KL hari tu senang aje parking, jalan tak jam. Agaknya dah ramai keluar malam, jadi bila siang ramai yang sayang nak tinggal katil, tv, sofa hihi.

    Salam Maal Hijrah in advance greeting

    BalasPadam
  2. alah..mu org mesia..aku baru orang england..heh..team setan merah yg sungguh tere..selamat jalan sorang2...haha

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...