07 Januari 2008

Tempatnya Nun Di Bawah Namun Tetap Mulia

Pavilion merupakan pusat membeli belah terbaru di Bukit Bintang, KL. Mungkin ditujukan khusus buat para pelancong, terutama dari Timur Tengah, kulihat tidak ramai orang ke sini berbanding pusat-pusat membeli belah terkemuka lain. Cuma yang aku masih penasaran hari ini ialah kedai donat J.Co yang selalunya ramai pelanggan beratur untuk memesan donat. Ramai orang mengatakan rasanya sedap dan itulah sebabnya ramai orang sanggup beratur panjang. Aku juga ingin mencuba donat di situ namun terhambat oleh barisan yang panjang yang tidak kira masa itu.

OK, bukan kisah donat J.Co yang hendak diceritakan di sini. Kisah ini menyusuri tingkat-tingkat bawah Pavilion yang boleh dituruni melalui tangga bergerak di depan kedai donat J.Co tadi.

Di aras B2, terletak surau di kompleks membeli belah tersebut. Aku sering ke sana di waktu Maghrib sebelum pulang ke rumah. Kemudahan yang disediakan adalah memuaskan. Ramai orang mungkin mengatakan surau tersebut terletak di tempat tersorok dan amat kurang papan tanda yang menunjukkan arah ke surau tersebut. Papan tanda yang ada hanyalah di sekitar tangga bergerak tadi.

Namun, surau lebih sesuai diletakkan di tempat yang jauh sedikit dari aktiviti membeli-belah supaya tidak terganggu urusan solat. Di kebanyakan kompleks membeli-belah lain, surau biasanya terletak di berhampiran tandas. Yang hendak ke tandas pun ke situ dan yang hendak bersolat pun ke situ juga. Akhirnya tempat itu sesak apalagi di waktu puncak iaitu pada waktu Maghrib tatkala orang membeli-belah di saat-saat akhir sebelum perayaan.

Menuruni tangga bergerak, di aras B2, surau lelaki terletak di sebelah kanan dan surau perempuan di sebelah kiri pintu di aras itu. Apa yang kudapati di sini ialah surau ini selalu penuh dengan orang. Penuh dengan para pekerja Bangladesh atau panggilan manjanya Bangla.

Mereka ini terdiri daripada para pekerja kompleks membeli-belah tersebut. Bagus juga mereka ini kerana mengimarahkan surau. Ada yang membaca Yasin sementara menunggu waktu solat. Teringat aku di Pontian, Johor pada waktu bulan puasa lepas di mana pekerja-pekerja Bangla sebuah kilang di situ membaca Quran di sebuah taman berdekatan sementara menunggu masuk kerja semula selepas sembahyang Jumaat. Amat jarang situasi ini terjadi di Malaysia di bulan puasa.

Minggu lepas, aku ke surau itu lagi. Kali ini, ada seorang pekerja Bangla bertugas di situ. Apabila orang masuk ke surau, diucapkannya salam. Di tangannya siap memegang mop lantai untuk mengelap lantai yang basah berhampiran tempat mengambil air sembahyang. Apabila selesai orang mengambil air sembahyang, dia lekas-lekas mengelap lantai yang terpercik dek air. Terharu kulihatnya. Meski duduk di aras bawah, di bawah segalanya, jauh daripada orang lain yang di atasnya bekerja di tempat yang lebih baik dan bergaji lebih baik, namun pekerjaan beliau tetap mulia. Seusai solat dan aku mahu keluar, dia memberi salam lagi, "Assalamualaikum." Kujawab, "Waalaikumussalam."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...