18 Mac 2008

Menyusuri Liku-liku Cameron Highlands Bhgn. I

tea, Cameron Highlands, Sungei Palas

Kami dah lama merancang untuk ke Cameron Highlands. Bukannya apa, kami mahukan sesuatu yang menarik dan tidak terlupakan dalam hidup. Asyik berada di tempat sama saja. Bangun tidur, pergi kerja, balik dan tidur semula. Menyesal aku tahun lepas tidak ke mana-mana. Orang dah ke angkasa lepas, aku asyik turun naik lif saja demi mencari sesuap nasi untuk dimakan. (Kalau tak, kebulur.. Di dapur itu, tong gas aku agaknya memegang rekod dunia - masih ada isi lagi walaupun dibeli sejak 2003...)

Dari kampung yang Ahli Parlimennya bapa kepada artis TV realiti yang berlakon iklan Conetto yang terguris hati dek pengacara Raja Lawak, yang kupanggil Fel-R itu, aku bersama Airen memandu kereta ke KL. Mahu bermalam di rumahku dulu sebelum meneruskan perjalanan ke Cameron Highlands. Siapa Airen? OK, Ai pada Airen itu macam yang ada di tajuk drama Ai D'Beijing itu.. Atau lebih senang lagi semua orang kan tahu wo ai ni.. Ren itu pula bererti orang. Digabungkan kedua-duanya, tentu kan faham maksudnya..

Kami sampai di KL pada lewat malam kerana memulakan perjalanan agak lewat petang tadi. Sampai saja terus terlena kerana kepenatan.

Awal-awal pagi aku terpaksa menelefon Pusat Servis Toyota dahulu. Aku ingin mencuba kalau-kalau masih ada slot untukku menghantar keretaku pada pagi ini. Aku dah terfikir petang semalam untuk menelefon tetapi terlupa. Harap-harap kali ini berjaya. Pada mulanya penyambut telefon di situ menolak kerana temujanji sudahpun penuh namun aku terus mendesak. Akhirnya dia berjaya mendapatkan satu slot untukku. Terima kasih ya!

Kami yang belum bersarapan terus ke Cheras, di mana lokasinya terletak. Kami mahu makan sementara menunggu kereta siap. Semasa pendaftaran, nombor keretaku tidak terdapat pada senarai penyambut tetamu. Aik, tadi kan sudah telefon? Puas menggagau lapisan kertas di atas mejanya, namun dia tidak ketemu. Akhirnya dia beredar ke maja lain, bercakap dengan staf lain di situ. Selepas itu, dia kembali dan tersenyum. Katanya, tiada masalah, boleh servis kereta dan bertemu Penasihat Servis.

Aku bertanyakan Penasihat Servis di situ berapa lama agaknya kereta boleh siap. Kataku, aku mahu menunggu. Dia mengalih pandangan matanya dari arah mukaku ke arah jam di lengan kirinya. Berfikir sejenak, dia membalas, mungkin pukul 2 petang baru siap. Alasannya sekarang waktu rehat dan mengambil masa. Tambahan pula banyak kereta lagi yang belum siap. Aku malas hendak mendesak kerana kusedar aku pun membuat temujanji di saat-saat akhir. Aku bersetuju saja.

Nampaknya kami terpaksa balik semula ke rumah. Kami ambil teksi saja. Sebelum balik, kami ke sebuah gerai di depan pusat servis itu. Mahu bersarapan namun tiada selera pula. Kami minum saja. Namun lauk-pauk untuk makan tengah hari sudah pun tersedia. Jadi, kami bungkus saja lauk-lauk itu. Agak senang untuk menunggu teksi di sini. Kerana gerai tersebut terletak betul-betul di tepi jalan raya, kami hanya menunggu di kerusi gerai itu saja. Tak lama menunggu, teksi pun sampai.

Sampai saja di rumah, terasa lapar pula perut ini. Kami makan awal. Eh, sedap pula lauk-lauk tadi, terutamanya lala masak lemaknya. Beyond expectation.. Ingat kedai cincai-cincai macam itu biasa saja rasanya.

Apabila perut dah kenyang, mata pun mengantuk. Kami tidur sejenak dan selepas bangun dan bersolat Zohor, aku menelefon pusat servis kalau-kalau kereta sudah siap. Katanya servis sudah siap tetapi menunggu untuk dibasuh. Kataku, aku ingin mengambil dulu walaupun belum dibasuh. Tidak dapat kutunggu lagi kerana perjalanan ke Cameron Highlands petang nanti tidak boleh lambat. Kalau tidak, sampai lewat malam alamatnya.

Tidak sukar juga menaiki teksi dari rumahku kerana pada waktu rehat tengah hari, ramai orang balik ke rumah. Biasanya sukar. Almaklum, bukannya di jalan utama.

Sampai di sana, kelihatan keretaku. Masih lagi kotor kerana tidak dibasuh. Aku tak kisah. Namun, kesan karat pada but masih lagi kelihatan. Hujan sejak kebelakangan ini membuatkan satu garisan kecil yang tidak kena cat semasa di kilang dulu telah berkarat. Aku telah mengajukan masalah ini tadi namun telah terlepas pandangan. Walaupun kurang berpuas hati dengan mutu servis, aku harus terima saja. Aku tak punya waktu lagi. Aku bayar saja.

Kami bergegas balik ke rumah untuk mengambil beg dan barang-barang yang dah tersedia untuk dibawa pergi.

Kini, bermulalah perjalanan kami. Sebenarnya sudah lama aku tidak ke Cameron Highlands. Kali terakhir pada tahun 2000 dulu, semasa ku masih belajar. Dulu, kami tinggal di Rumah Rehat Pahang. Teringat fasilitinya yang masih kekal sejak zaman kolonial Inggeris. Pemanas airnya masih lagi dipelihara dengan baik pada waktu itu.

Seorang kawan mencadangkan laluan yang melewati Genting Highlands untuk ke Cameron Highlands, kalau dari Pantai Timur. Walaupun begitu, fikirku, lebih baik saja masuk KL dulu. Laluan yang dicadangkan itu agak mencabar kerana mendaki bukit dan jalan berbengkang-bengkok. Dari segi faktor keselamatan, agak kurang bijak jika melalui laluan itu. Lebih baik guna MRR2 dan masuk ke Lebuhraya Utara Selatan di Sungai Buloh. Lagipun biasanya tiada kesesakan di laluan tersebut.

Tetapi tidak mengapa. Kami sudahpun di KL. Jadi kami guna saja MRR2 dan masuk ke Lebuhraya Utara Selatan di Sungai Buloh. Pada awal perjalanan, trafik agak perlahan kerana projek pelebaran lebuhraya masih belum selesai. Kadang-kadang terpaksa berhenti. Tiga lorong tiba-tiba menjadi satu lorong. Satu lorong itu pun lorong kecemasan! Amat berbahaya lebih-lebih lagi di lebuhraya yang semua orang mahu memecut. Di sebelah selatan, semasa proses pelebaran dari Seremban ke Ayer Keroh dulu, banyak kes kemalangan maut berlaku. Kadang-kadang punca kemalangan adalah semata-mata kon-kon yang berterbangan ke udara. Harapnya tidak di sini.

Kami bercadang untuk melalui keluar di Tapah saja kerana sudah lewat. Kawan itu tadi mencadangkan untuk keluar di Simpang Pulai dan menggunakan laluan baru yang lebih lurus dan lebih selesa tapi kami fikir mungkin boleh digunakan semasa perjalanan balik nanti.

Sebelum menempuh laluan berliku selepas Tapah, kami berhenti di kawasan rehat Tapah saja. Airen mahu makan Dunkin Donut. Aku bersetuju. Kami makan donat dengan Chocolate Shake. Selepas solat, kami meneruskan perjalanan. Tidak lama selepas kawasan rehat Tapah, kami keluar di exit Tapah.

Kami sampai di sana sudah agak senja. Tidak banyak kenderaan kecuali lori-lori yang membawa sayur-sayuran turun dari Cameron Highlands. Tambahan pula hari ini hari bekerja dan tidak ramai yang bercuti.

Di beberapa selekoh awal, kami masih mampu melayan gerakan kereta yang kadang-kadang ke kiri dan ke kanan itu. Namun, akhirnya kami tidak tahan lagi. Rasa muak akibat makan donat tadi membuatkan kepalaku pening. Sepatutnya kami makan nasi tadi. Barulah boleh tahan. Akibatnya, tumpuan pemanduan aku terganggu. Aku terpaksa memandu perlahan supaya badan tidak terhumban ke kiri kanan lagi. Perjalan kami sungguh perlahan sehinggakan lori yang sarat dengan muatan mampu memotong kami, hatta di selekoh sekalipun.

Malam ini kami bakal bermalam di Hotel Equatorial tetapi ku tidak pasti di mana lokasi tepatnya. Kami menelefon hotel tetapi percakapan pekerja hotel kurang jelas. Yang kudengar hanyalah Kiafam. Di mana itu? Tak pernah kudengar.

Kami melewati Tanah Rata dan Brinchang tetapi hotel yang dicari tidak dijumpai. Kami meneruskan perjalanan berterusan mendaki itu. Takut juga kalau-kalau kami terlepas hotel itu tadi. Akhirnya kami nampak papan tanda Kea Farm. Oh, inilah 'Kiafam' tadi.. Sukar dibayangkan jika tidak tahu tempat ini. Di puncak bukit, kelihatan bangunan hotel yang tinggi berdiri gemerlapan di tengah-tengah gelap pekat malam di hutan Cameron.

Semesa keluar dari kereta di luar lobi, terasa sungguh sejuk penyaman udara hotel menyucuk lenganku yang tidak beralas. Ha, penyaman udara?! Mana ada penyaman udara di Cameron Highlands! Rupanya itulah udara dingin malam di Cameron yang singgah di lenganku. Naluriku mengatakan itu adalah kedinginan penyaman udara kerana biasanya di tanah rendah yang panas, suhu sejuk di ruang lobi hotel amat ketara dengan suhu panas di luar. Sebab itulah, naluriku mengatakan itu sejuk daripada penyaman udara.

Selepas daftar masuk, kami keluar semula untuk mengisi perut yang cepat kosong kerana badan yang mahu menyesuaikan diri di tengah-tengah suasana yang sejuk. Kami turun semula ke pekan terdekat iaitu di Brinchang untuk makan malam. Kami ternampak sebuah restoran Tom Yam dan kelihatan ramai orang di situ. Tentu sedap kalau ramai orang. Mungkin juga ramai orang kerana tidak banyak restoran-restoran Melayu yang ada pada waktu malam di sini. Setelah dicuba, ternyata makanan di sini sedap terutamanya Tom Yam yang ada banyak bawang. Ha.. ha..

Kurasa tiada orang yang berani memesan minuman sejuk di sini. Memang sungguh sejuk di waktu malam di sini. Angin pula tidak henti-henti bertiup dan menambahkan sejuk yang sampai ke tulang sum-sum ini. Cawan Milo panas yang kupesan itu pun mampu kupegang lama-lama. Terasa macam di dalam cerita Orang Putih pula.

Aku lihat beberapa budak Cina mampu hanya memakai baju T di sini. Tidak kelihatan mereka sejuk. Hendak control macho, aku mencuba melakukan yang sama tetapi terketar-ketar pula badan ini. Terpaksa kupakai jaket yang kubawa bersama ini. Rupa-rupanya mereka merokok untuk memanaskan badan.

Selepas makan, kami pulang semula ke hotel. Sudah amat penat. Hari esok bakal bermula dengan aktiviti-aktiviti kami di Cameron. Tunggu bahagian kedua yang bakal menyusul.

Klik di sini untuk gambar-gambar di Cameron Highlands.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...