07 April 2008

Kerajaan Atau Pemerintah?

Eh, mana satu yang betul ini? Kerajaan atau pemerintah? Kerajaan merujuk kepada negara yang mempunyai raja atau sultan. Manakala pemerintah pula merujuk kepada negara yang tidak mempunyai sistem monarki ataupun dalam erti kata lain, pemerintah terkait dengan sesebuah republik.

Di Malaysia, government selalunya diterjemah kepada 'kerajaan'. Hal ini terjadi kerana Malaysia sudah sinonim dengan pemerintahan raja berperlembagaan di mana sembilan sultan bergilir-gilir menjadi Yang Dipertuan Agong untuk tempoh lima tahun setiap sultan.

Kendatipun begitu, ada beberapa keadaan di mana istilah kerajaan tidak digunakan secara tepat. Menyebut beberapa contoh, antaranya kerajaan Indonesia ataupun kerajaan Singapura adalah salah. Di persimpangan Jalan Ampang dan Jalan Jelatek, ada papan iklan tertulis kerajaan Swiss. Sudahlah istilah kerajaan salah, istilah Swiss pun juga salah. Kalau melayari sesetengah laman, tertera iklan Kad Hijau Amerika Syarikat yang ditulis kerajaan Amerika.

Kesemua contoh di atas sepatutnya digunakan istilah pemerintah. Tidak pernah wujud kerajaan Indonesia, yang pernah ada hanyalah kerajaan Srivijaya, Majapahit ataupun Aceh. Switzerland adalah republik manakala Amerika Syarikat diketahui bahawa presiden yang menerajui negara itu.

Istilah kerajaan Malaysia, kerajaan Thai, kerajaan Brunei, kerajaan Arab Saudi ataupun kerajaan Britain kesemuanya adalah betul kerana negara-negara ini diketuai oleh raja atau sultan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...