20 Mei 2008

Menyusuri Liku-liku Cameron Highlands Bhgn. II

Hari ini merupakan hari kedua kami di Cameron, iaitu hari yang bersulamkan rasa malas. Mungkin kerana kedinginan Cameron yang menghambat kami untuk keluar dari kamar hotel. Kami bersarapan ala kadar saja dengan menjamah roti yang dibawa bekal semalam dan air yang dibuat dengan uncang-uncang teh yang tersedia di bilik.

Pejam celik pejam celik, mentari sudahpun tegak. Kami akhirnya memilih untuk keluar di waktu makan tengah hari sahaja. Setelah bersiap, kami keluar dari hotel dengan harapan ada gerai-gerai makan berdekatan dibuka. Malam tadi ternampak ada sebuah deretan kedai berhampiran pasar Kea Farm yang jaraknya hanya dengan berjalan kaki dari hotel kami. Kami mahu ke sana namun tidak dibuka pula pada waktu begini.

Lantas, kami terus menuruni bukit Kea Farm yang dikatakan kedudukan petempatan tertinggi di Cameron Highlands. Selepas beberapa minit mengenderai kereta di laluan berselekoh tajam, kami sampai ke pekan Brinchang, tempat di mana kami makan malam tadi. Takkan mahu makan di tempat sama lagi. Kufikir cari saja tempat yang lain, carikan kelainan. Airen kata ada beberapa gerai makanan yang kedudukannya tidak menghadap jalan utama namun tidak kucari kerana malas hendak membrek dan masuk ke laluan yang harus dipandu perlahan.

Kami meneruskan saja perjalanan ke Tanah Rata. Dulu, ku pernah makan di sebuah medan selera di depan deretan kedai di jalan utama di Tanah Rata. Kuambil keputusan untuk makan di situ saja. Sampai di situ, kami hanya nampak beberapa kedai saja yang dibuka. Kami bergerak ke depan lagi untuk meninjau kalau-kalau ada kedai lain. Kelihatan di sebelah kiri jalan, ada beberapa deretan rumah kedai baru yang lebih tinggi daripada rumah-rumah kedai lama yang terletak mula-mula di sebelah kanan tadi. Kami ke situ. Kulihat beberapa kedai makan namun makanan Melayu tidak ada. Yang ada restoran Cina yang memang tidak halal dan restoran India yang menawarkan makanan daun pisang. Namun restoran India itu tidak kelihatan halal kerana dimiliki seorang Hindu.

Acap kali teman-temanku berbangsa Cina terkeliru dengan restoran-restoran India yang menawarkan masakan India yang diragui kehalalannya dengan mangatakan ianya halal. Restoran daun pisang biasanya dimiliki kaum India beragama Hindu. Tidak kelihatan ayat-ayat suci Al Quran di dalam kedai jika dibandingkan dengan kedai-kedai mamak. Namun kini, sudah ada banyak yang halal. Bahkan banyak restoran yang disangka restoran mamak dewasa ini sebenarnya dimiliki India yang bukan beragama Islam tetapi menerapkan konsep mamak seperti mengambil tukang masak dan pelayan beragama Islam, di samping menggantung ayat-ayat suci Al Quran, yang dikhuatiri hanya untuk memaparkan 'keIslaman', bukan untuk dibaca, difahami dan diamalkan.

Kami meninggalkan kawasan itu dan di depan sedikit, kami ternampak beberapa gerai makan kecil. Dengan harapan dapat mencari kedai yang sesuai, kami berhenti dan keluar dari kereta untuk ke sebuah kedai di hujung mula-mula deretan itu. Namun apabila sudah dekat, kedai itu pula tidak menyediakan juadah tengah hari, sebaliknya hanya menjual makanan ringan seperti pisang goreng.

Akhirnya kami berbalik semula ke medan selera tadi yang di depannya juga terletak pejabat pos dan Bank HSBC. Sudah rezeki kami, terdapat sebuah petak parkir yang kosong pejabat pos itu. Setelah meletakkan kereta, kami menyeberangi jalan untuk ke medan selera itu. Rupa-rupanya ada juga deretan kedai-kedai makan di belakang sebuah bangunan di situ.

Kelihatan ramai orang sedang menjamu selera di kedai lot hujung di situ. Pilihan makanan juga banyak di sini. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk makan di situ saja. Ada Nasi Ayam, tampak menarik tetapi seleraku tertarik kepada Lala Masak Lemak. Teringat yang kami beli tengah hari semalam di Cheras. Airen mengambil agak banyak lala itu, di samping lauk-lauk lain termasuklah Ikan Keli Goreng Sambal. Walaupun tidak terbanding kesedapan yang semalam, kuhabiskan juga kerana perut sudahpun lapar.

Setelah makan, kami pulang semula ke hotel. Perut sudah kenyang, mata pula makin layu. Sedang leka menonton TV, kami terlena. Teruk betul...

...bersambung.

Sila klik di sini untuk foto di Cameron Highlands.

2 ulasan:

  1. aku suka ngan cameron ni ! hehe :)

    BalasPadam
  2. akhirnya dapat juga kumembayangkan tempat-tempat yg disebut dalam entri ini. walaupun sekadar pergi ke cameron highland dengan 'balik hari'

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...