15 Jun 2008

Menyusuri Liku-liku Cameron Highlands Bhgn. III



Di sebelah petang, kami mahu ke Rose Valley. Mahu melihat bunga-bunga ros di situ. Aku masih ingat-ingat lupa di mana kedudukan Rose Valley ini. Berpandukan peta yang diperolehi daripada hotel, kami memandu ke sana dari tempat kami di Kea Farm ke arah Kampung Raja yang boleh tembus ke Simpang Pulai, Ipoh. Terasa jauh pula, macam hendak sesat, tetapi tempat yang dicari akhirnya ditemui.

Namun, nasib kami kurang baik hari itu. Rose Valley sudahpun ditutup pada jam 5 petang. Kami lambat. Akhirnya kami hanya membeli strawberi kering dan bunga ros di gerai-gerai di depan pintu masuk ke Rose Valley.

Kami berpatah balik ke hotel. Terasa pula hendak mengisi waktu petang ini dengan mendaki Gunung Brinchang. Bukannya naik dengan berjalan kaki tetapi dengan berkereta. Lagipun hari dah hampir senja. Jalan naik ke gunung sebenarnya sangat dekat dengan hotel kami. Ternampak papan tanda semasa kami mula-mula keluar dari hotel tadi.

Pada mula-mula pendakian, jalan sempit yang ada di situ agak banyak kenderaan. Terpaksa berhati-hati supaya tidak bergesel. Di selekoh-selekoh tajam dan sempit, kena bunyikan hon supaya tidak bertembung. Laluan mula-mula itu sebenarnya adalah laluan ke ladang teh Boh yang terkenal itu. Hari ini kami bukan mahu ke ladang teh Boh itu kerana kesuntukan masa. Kami mahu ke sana pada keesokannya.

Namun kami hampir ke sana secara tidak dirancang. Di permulaan perjalanan, ada sebuah simpang. Tidak ada papan tanda di situ. Kami membelok ke kanan. Akhirnya kami sedar itu adalah laluan yang salah kerana tidak pernah kucam kawasan yang dilalui. Kami sering sangat bertembung dengan lori-lori pengangkut teh dan acap kali kuterpaksa berhenti memberi jalan. Memang sah salah kerana kami sudahpun di ladang Boh. Kami berpatah balik dan ke simpang ke arah kiri. Inilah jalan yang benar dan kami meneruskan perjalanan.

Dulu, pernah bercadang untuk menaiki kereta ke puncak dengan kawan-kawan, namun kami berpatah balik setengah jalan kerana keuzuran kereta. Tambahan pula terlihat kereta seorang Mat Salleh yang sedang mendaki bertembung dengan sebuah kereta lain yang sedang menuruni bukit di sebuah selekoh tajam.

Kali ini, aku lebih berhati-hati. Sampai di tempat yang sama, aku honkan kereta agar kenderaan lain yang mungkin kebetulan lalu di situ sedar aku juga memandu di situ. Kami selamat. Tidak ada kenderaan yang lalu pada waktu sebegini.

Semakin lama mendaki, semakin sunyi pula. Laluan pula makin banyak yang bertampal-tampal dengan tar baru. Namun tidaklah mengganggu pemanduan. Makin banyak pula selekoh-selekoh mendaki yang dilalui. Di tengah-tengah perjalanan, ternampak banyak lumut-lumut menyeliputi akar-akar dan batang-batang pokok. Di kawasan ini agaknya penggambaran filem Puteri Gunung Ledang diadakan dulu.

Akhirnya kami sampai ke puncak Brinchang. Suhu sejuk menggigit kulit. Apabila keluar dari kereta, terpaksa pakai sweater. Keretaku pula keluar bau yang macam hangit. Mungkin kerana pemanduan mendaki tadi yang hanya menggunakan gear satu dan dua. Enjin sudah dimatikan pun kipas masih berfungsi untuk meyejukkan enjin. Kubiarkan kereta menyejuk dulu.

Di situ, ada menara pemancar. Terdapat pos keselamatan di situ dan juga disediakan nombor-nombor untuk dihubungi jika berlaku kecemasan. Di situ juga ada menara peninjau. Kami memanjat menara itu. Semakin ke atas semakin kuat angin dingin yang menusuk hingga ke tulang sum sum. Agak gayat aku dengan ketinggian di sini. Sudahlah di puncak gunung, ini naik lebih tinggi pula ke menara pemancar. Hendak memegang pemegang besi yang dah berkarat dan sejuk itu pula tak mampu.

Dari sini, pemandangan saujana mata memandang. Di atas, kelihatan langit membiru dan di bawah sedikit kabus-kabus putih mencantumkan kebiruan awan dengan kehijauan hutan. Seluruh Cameron Highlands boleh dilihat dengan jelas dari sini. Dengar kata, bandaraya Ipoh pun boleh dilihat dari sini tatkala cuaca cerah.

Airen sebenarnya pernah berkhemah bersama rombongannya di sini. Rombongan tersebut mendaki gunung ini hanya dengan berjalan kaki. Memang mencabar dan mengambil masa setengah hari. Dingin malam sememangnya amat menyucuk sehinggakan mereka berpelukan untuk memanaskan badan semasa tidur.

Di puncak Gunung Brinchang ini tidak usah bimbang kerana signal telefon bimbit adalah kuat. Di puncak gunung ini, kumenerima satu panggilan dari rakan sesyarikat yang bertanyakan sesuatu berkenaan kerja.

Puas menikmati pandangan di sana, kami menuruni gunung itu semula. Hari sudahpun mulai gelap sungguhpun belum senja lagi kerana rimbunan pohon-pohon di sepanjang jalan melitupi laluan kami. Kumula memasang lampu rendah. Seperti tadi, setiap kali bertemu selekoh tajam di laluan sempit, kumembunyikan hon menandakan keberadaan kami.

Di tengah perjalanan, berhampiran tempat yang pernah berlaku kemalangan tadi, kelihatan dua orang dewasa mendaki gunung dengan berjalan kaki. Kutertanya di waktu begini masih ada orang mahu naik. Mungkin mereka turun nanti agaknya.

Sampai ke hotel, badan sudah terasa penat. Mandi dan hemat diri, kami keluar untuk makan buat mengalas perut. Tidak punya banyak idea, kami ke kedai yang sama seperti semalam. Ya, menu yang sama juga. Kali ini, tidak mahu bertarung dengan kesejukan lagi, kubawa jaket. Selepas makan, isi minyak sekejap dan kami balik semula ke hotel.

Entri terdahulu:
Menyusuri Liku-liku Cameron Highlands Bhgn. I
Menyusuri Liku-liku Cameron Highlands Bhgn. II

Gambar di Cameron Highlands:
Cameron Highlands Revisited Part I
Cameron Highlands Revisited Part II
Cameron Highlands Revisited Part III

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...