10 Jun 2008

Minyak Naik - Janganlah Memperbodohkan Rakyat

Minggu lepas, langsung tak kuambil kisah tentang khabar angin minyak akan naik. Menteri kata bulan Ogos baru naik. Suratkhabar-suratkhabar pengelap najis pun mengangkat kata-kata menanam tebu di pinggir bibir itu untuk dijadikan berita utama. Salah satu akhbar lain menyiarkan gambar orang ramai yang mulai panik mengisi minyak kerana sangkakan minyak bakal naik, hanya beberapa sen, semaksima 30 sen. Aku tidak langsung ambil kisah.

Petang Rabu itu, sewaktu kumelepaskan penat setelah memandu jauh, tiba-tiba keluar Berita Terkini lagi luar biasa di TV3. Minyak naik! Namun tidak jelas beritanya. Ayat-ayat yang bergerak-gerak dari kanan ke kiri di bawah skrin TV pun tidak jelas beritanya. Tak diberitahu pula bila dikuatkuasakan. Lantas kumenhantar SMS kepada rakanku yang berkerja tentang hal-ehwal stesen minyak. Katanya minyak naik tengah malam nanti! 78 sen! Aku panik...

Lantas kupanggil Airen untuk mengisi minyak. Keretanya tinggal suku lagi minyaknya. Keretaku pula masih ada hampir mencecah tiga suku kerana sudah diisi penuh pada malam sebelumnya, namun kufikir elok juga kalau ditambah.

Kami berkonvoi keluar memandu kereta masing-masing. Sudah kuagak pasti ramai yang mahu mengisi minyak kerana kali ini sejarah dan rekod tercatat, iaitu kenaikan tertinggi. Kereta-kereta berpusu-pusu seolah-olah mengejar sesuatu. Hampir 500m di stesen minyak, seperti kujangka, panjang betul barisan kenderaan beratur.

Jadi kami ambil Plan B yang kami rancang tadi, iaitu pergi ke stesen minyak yang tak laku. Hmm memang sudah diagak, barisan pun panjang.

Fikir dan fikir, kuajak Airen balik saja. Not worth it. Beratur panjang pun boleh habis minyak. Apalagi enjin melahu terlalu lama dan bergerak sedikit demi sedikit pastinya mendatangkan kesan buruk kepada enjin. Kalau isi balik, balik semula ke asal, back to square one... Lagipun, tak sembahyang Maghrib lagi. Takkan nak isi minyak terlepas sembahyang Maghrib...

(Dengar cerita ada yang menunggu sehingga 45 minit dan ada stesen minyak yang kehabisan minyak seawal jam 9.30 malam.)

Itulah alkisahnya seluruh rakyat Malaysia, Tipah tertipu, Bang... Tertipu oleh kerajaan yang sungguh 'prihatin' dengan nasib rakyat. Katanya bulan Ogos tapi alih-alih tengah malam ini! Siapa yang nak menanggung dosa menipu ini?

Kini, pelbagai alasan diberikan namun bagiku, kesemuanya umpama menipu budak sekolah Tadika. Tak nampak lagikah petunjuk yang diberikan rakyat sewaktu PRU yang lalu? Tak serikkah? Caranya dalam menghadapi kemelut ini, tukar kerajaan saja.

Menipu rakyat dengan membandingkan harga minyak di Malaysia dengan harga-harga minyak di negara lain dengan menukarkan matawang mereka ke Ringgit adalah umpama membuat persamaan algebra yang memang tidak sama. Hatta pakar Matematik pun tak termampu menyelesaikan sesuatu yang tidak sama... Umpama membandingkan barisan buah-buahan seperti epal, oren, durian dan tembikai di atas rak dan dikatakan semuanya bersaiz sama. Logikkah?

Kalau dibandingkan dengan Singapura yang rakyatnya membayar RM5 lebih untuk petrol, memang benar kalau ditukarkan ke Ringgit nampak lebih tinggi. Namun apakah benar jika gaji pemotong rumput di sana sama dengan gaji seorang jurutera di Malaysia, jika ditukarkan matawang ke Ringgit? Di sana, graduan yang baru keluar universiti mendapat gaji sebanyak 2500 - 3000 Dolar. Di Malaysia, lebih kurang RM2000 sahaja, tak naik sejak lebih 10 tahun yang lalu. Di Singapura, dengan $3000, mereka membelanjakan $1 lebih untuk 1 liter minyak manakala di Malaysia pula, dengan RM2000, kita membelanjakan lebih daripada RM2 untuk 1 liter minyak. Setelah seorang rakyat Malaysia dan seorang rakyat Singapura membeli 1 liter minyak, siapa yang lebih kaya? Tentulah rakyat Singapura!

Di Thailand pula, sungguhpun harganya lebih daripada RM3, taraf hidup di sana jauh lebih murah daripada di Malaysia. Walaupun Bangkok kota yang jauh lebih besar daripada KL, namun kos sara hidup di sana lebih murah. Gaji di sana lebih murah daripada di Malaysia iaitu sekitar RM1500 bagi graduan baru, namun kuasa beli mereka lebih daripada di Malaysia. Kereta di sana pun murah, tak seperti di Malaysia yang harganya melambung disebabkan cukai yang maha tinggi.

Entahlah apa nak jadi dengan pengurusan kewangan Malaysia. Sebagai negara pengeluar minyak, apabila minyak melambung naik, sudah tentu negara lebih kaya dan hasilnya diagih-agihkan kepada rakyat namun, kini rakyat pula menanggung beban. Umpama kerajaan si penjual, rakyat si pembeli. Sepatutnya minyak lebih murah seperti di Brunei yang hanya RM1.20 seliter. Arab Saudi pula mengambil langkah menurunkan harga minyak kerana negara memperolehi pendapatan lebih hasil kenaikan harga minyak..

Bertanam tebu di pinggir bibir, rebung berduri di hati.. kata Datuk Siti:
Harga minyak mungkin naik mulai Ogos - Shahrir
Najib quashes talk of petrol price increase
Pak Lah: No petrol price hike in accordance with people’s wish

2 ulasan:

  1. Owh ye..

    Terima kasih kerana memaparkan gambar pam minyak tersebut. Sila lihat betul2 harganya. Pada hari pertama harga minyak dinaikkan, harga dipam ialah 270.4 sen.

    Selepas dua hari, baru ia menjadi 270.0 sen. Hmm... siapa yg bertanggungjawab mengaut lebih 0.4 sen itu?

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...