12 Julai 2008

Menyusuri Liku-Liku Cameron Highlands Bhgn. IV

Pagi ini, kami mahu pergi ke Rose Valley yang kami tak sempat lawati semalam. Selepas bersarapan, kami terus ke sana. Waktu masih pagi dan kelihatannya tidak ramai orang. Atau mungkin memang tidak ramai orang yang berkunjung ke sini?

Telahanku tepat kerana apabila menjejakkan kaki, taman ini seolah-olah tak terjaga. Tiada lagi pohon-pohon ros yang mekar berwarna-warni. Daun-daun juga tidak sehijau dan sesegar sewaktu aku ke sini dulu. Bunga-bunga yang ada amat jarang, bahkan ada yang dah layu. Daun-daun ada yang gugur tanda kekurangan zat.

Harapanku ke sini agar aku dapat lagi mengambil gambar di celah-celah rimbunan ros tampaknya tidak kesampaian. Jadi ambil sajalah di mana-mana yang ada ros sedang mekar. Sebenarnya bukan tidak ada langsung kawasan yang banyak bunga yang berkembangan, ada, namun tidaklah sebanyak dulu.

Di samping bunga mawar, ada juga bunga-bunga lain di sini termasuklah kaktus dan labu air yang menjalar tinggi bergantungan di sebelah kolam. Di sinilah mungkin titik terbaik untuk mengambil gambar. Banyak juga ros-ros merah di sini.

Di dalam Rose Valley, ada juga gerai cenderahati dan makanan ringan. Sebelum keluar, kami membeli sedikit ole-ole untuk dibawa pulang termasuklah magnet yang dilekatkan pada peti sejuk yang menjadi item wajib dalam setiap perkelanaanku.

Di luar pintu Rose Valley, ada juga beberapa gerai yang menjual hasil-hasil pertanian Cameron Highlands. Rata-rata harganya lebih murah kerana dekat dengan ladang-ladang dan mungkin tiada sewa premis. Kami membeli strawberi kering dan juga cenderahati yang bermotifkan strawberi iaitu beg dan bantal strawberi untuk dibawa pulang.

Setelah ke Rose Valley, kami pergi ke ladang teh Boh yang kami lalui semalam. Kami berpatah balik ke arah hotel yang kami menginap di Kea Farm. Simpang ke sana sangat dekat dengan hotel kami itu.

Kami melalui lagi jalan sempit berbengkang-bengkok itu. Di sebelah kiri, tebing bukit yang tinggi. Di sebelah kanan, tebing curam yang kadang-kala dalam. Sesekali kubunyikan hon menandakan keberadaan kami.

(bersambung)

Entri terdahulu:
Menyusuri Liku-liku Cameron Highlands Bhgn. I
Menyusuri Liku-liku Cameron Highlands Bhgn. II
Menyusuri Liku-liku Cameron Highlands Bhgn. III

Gambar di Cameron Highlands:
Cameron Highlands Revisited Part I
Cameron Highlands Revisited Part II
Cameron Highlands Revisited Part III

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...