14 Julai 2008

Menyusuri Liku-liku Cameron Highlands Bhgn. V

Sampai di ladang teh Boh, kami meletakkan kereta di parkir bawah saja supaya dapat berjalan melewati celah-celah batas teh di situ. Sebenarnya ada dua tempat meletak kereta di situ. Satu di bawah semasa mula-mula sampai dan satu lagi setelah mendaki bukit berhampiran kompleks pameran dan kafeteria Boh di atas sana. Laluan berjalan kaki melewati ladang teh juga melalui kawasan hadapan sebuah sekolah Tamil buat memenuhi pendidikan anak-anak pekerja di sini yang rata-ratanya orang India.

Mengah juga mendaki bukit di sini hatta tidaklah securam mana. Mungkin kerana udara yang lebih tipis di kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands ini. Dari sini, boleh nampak hamparan pohon teh yang menghijau bermula dari tempat kami berpijak hingga ke puncak bukit di seberang sana. Selepas berjalan sejarak 200 meter, kami sampai ke kompleks yang menjadi tumpuan para pelancong itu.

Di sana kelihatan sepasang pengantin baru Cina sedang mengambil gambar berlatarbelakangkan hamparan pohon-pohon teh itu berbusanakan pakaian perkahwinan ala Barat. Kufikir orang-orang Cina di Malaysia barangkali sudah hilang adat turun-temurun mereka tatkala berpakaian. Bagi kami pula, alangkah molek juga jikalau kami juga dapat membawa pakaian akad nikah kami dulu. Boleh juga bergambar sekali lagi.

Di kompleks itu, ada pameran gambar-gambar teh dan pembuatannya. Juga dijual cenderahati dan produk-produk teh keluaran Boh. Kami tinggalkan dulu bangunan yang masih baru itu. Kami mahu ke kilang pemprosesan teh yang dah lama beroperasi di sebelah belakang. Di sini, banyak pelancong berkumpul dahulu sebelum masuk supaya dapat menggunakan khidmat jurupandu pelancong yang tidak dikenakan sebarang bayaran. Aku malas nak menunggu, jadi kami jalan dulu saja. Lagipun sekadar untuk menunjukkan Airen kilang ini manakala aku sudah ke sini dulu. Tiada perubahan di sini sejak bertahun lamanya.

Setelah keluar dari kilang itu, kami pergi semula ke kedai Boh tadi. Kami membeli sedikit cenderamata untuk dibawa pulang. Kami juga memborong pelbagai jenis teh yang dipelbagaikan perasanya termasuklah yang terbaru di pasaran. Selepas membeli-belah, terasa lapar pula perut ini di dalam udara dingin. Lantas kami ke kafeteria di situ. Makan sandwich dan teh o sambil menikmati pemandangan indah di situ. Angin pula kadang-kadang sepoi-sepoi bahasa membawakan udara dingin yang agak menyucuk. Namun, tetap nyaman.

Selesai makan dan minum, kami turun semula ke kereta. Di tengah perjalanan, kami mengambil beberapa keping gambar buat kenang-kenangan. Sampai di sekolah Tamil tadi, kelihatan beberapa orang murid sedang berlatih untuk kejohanan olahraga. Hanya beberapa orang kelihatan berbaris untuk berlatih berlari. Mungkin jumlah pelajar di sini sedikit memandangkan kawasan yang agak terpencil.

Selepas di ladang teh Boh yang terletak di Sungei Palas itu, kami ke Tanah Rata lagi untuk makan tengah hari. Kali ini ke barisan gerai di depan pejabat pos/HSBC lagi. Semasa perjalanan pulang ke hotel selepas makan, kami singgah sebentar di sebuah kebun kaktus yang dinamakan Cactus Valley. Berbagai-bagai jenis kaktus dijual di sini. Kami membeli beberapa pasu kecil kaktus dan juga pokok bunga renek yang berwarna-warni.

Di sebelah petang, kami keluar semula namun tempat yang dituju tidaklah jauh. Kami ke kebun strawberi yang hanya terletak dekat dengan pintu masuk ke hotel. Kami berjalan kaki ke sana. Di sini, pelanggan boleh memetik sendiri buah strawberi. Kami diberikan dulang kecil daripada polisterin dan gunting untuk memetik strawberi. Strawberi yang dipetik pelanggan adalah lebih mahal daripada strawberi yang sudah dikutip oleh pekerja mereka. Ironi bukan? Bukanlah kita sudah menjimatkan kos untuk mengutip? Alasan mereka pengalaman memetik strawberi itu yang membuatkan harganya mahal.

Aktiviti kami sepetang ini hanyalah berlegar di sekitar hotel. Selepas di kebun strawberi itu, kami berjalan kaki ke pasar Kea Farm pula. Di sini, pelbagai sayuran segar dijual dengan harga yang sangat murah. Terdapat juga buah-buahan termasuk strawberi, pokok-pokok bunga seperti ros dan juga cenderahati. Kami belum bercadang untuk membeli-belah hari ini kerana kami mahu lagi ke sini besok iaitu hari terakhir kami sebelum perjalanan pulang. Kami sekadar membeli tat strawberi dan disebabkan seorang penjual mahu pulang cepat dan melelong strawberinya, kami beli lagi strawberi untuk dibahagi-bahagikan setelah pulang nanti.

Pada malamnya, seperti biasa, kami makan lagi di restoran Tom Yam di Brinchang. Tidak ada idea lagi dah.. (bersambung)

Entri terdahulu:
Menyusuri Liku-liku Cameron Highlands Bhgn. I
Menyusuri Liku-liku Cameron Highlands Bhgn. II
Menyusuri Liku-liku Cameron Highlands Bhgn. III
Menyusuri Liku-liku Cameron Highlands Bhgn. IV

Gambar di Cameron Highlands:
Cameron Highlands Revisited Part I
Cameron Highlands Revisited Part II
Cameron Highlands Revisited Part III

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...