26 Julai 2008

Menyusuri Liku-liku Cameron Highlands Bhgn. VI (Akhir)

Hari ini hari kami balik. Petang semalam memang kami belum membeli barang-barang yang dikehendaki di pasar Kea Farm. Bukan apa, takutkan sayur atau buah strawberi tidak segar lagi jika terus dibeli. Lagipun kami tiada tempat penyimpanan khas. Jadi, pagi ini merupakan kesempatan terakhir untuk kami membeli ole-ole untuk dibawa turun dari Cameron Highlands ini.

Kami berjalan kaki saja ke sana kerana pasar Kea Farm itu memang terletak sangat dekat dengan hotel kami iaitu Hotel Equatorial. Mula-mula kami terjumpa kedai yang menjual bantal berasaskan strawberi. Aku mahu terus membeli tapi Airen menyuruh aku meninjau dulu kalau-kalau ada yang boleh memberikan tawaran terbaik. Airen pula membeli beberapa bekas strawberi lagi untuk diagih-agihkan nanti. Kami ke tempat semalam yang kami mendapat harga murah kerana sudah mahu ditutup. Namun pagi ini, penjual itu tidak mahu memberikan harga yang sama kerana masih pagi dan dia nampaknya yakin yang strawberinya akan habis terjual hari ini. Mungkin juga kerana hari ini adalah hari Jumaat. Orang akan mula memenuhi ruang-ruang hotel dan resort di Cameron Highlands kerana hujung minggu bakal menjelma.

Di sini juga banyak dijual sayur-sayuran pelbagai jenis yang sangat segar tetapi murah sekali. Dengan hanya RM10, banyak sekali yang kami dapat. Cukuplah untuk dibahagi-bahagikan apabila pulang nanti. Kami meminta izin daripada pekedai yang kami beli sayur itu untuk meninggalkan sayur yang kami beli. Bukan apa, berat... Lagipun kami masih mahu berjalan-jalan di situ.

Aku pula ternampak pokok bunga ros yang kami tinjau semalam. Geram tengok bunga-bunga yang sedang mekar itu. Lalu kubeli dua pohon untuk diletakkan di beranda apartmentku. Sebelum pulang semula ke hotel, kami membeli sedikit makanan untuk bekalan semasa perjalanan turun nanti. Semasa balik, bukan main penuh lagi tangan-tangan kami membimbit barang-barang yang agak berat itu.

Setelah habis berkemas, kami mendaftar keluar. Aku terpaksa meletak kereta agak lama di depan lobi kerana mahu menyusun barang-barang kami yang makin bertambah itu. Yang hidup dan yang segar mesti diletak di ruang penumpang belakang supaya tidak layu setelah perjalanan jauh nanti.

Kami berhenti lagi di gerai di depan HSBC/Pejabat Pos itu untuk makan tengah hari. Kami makan Nasi Ayam yang kami lihat sebelumnya. Selepas itu, perjalanan diteruskan.

Semasa perjalanan menuruni selekoh-selekoh tajam itu, kami berhenti sebentar di Ladang Teh Bharat. Kami berhenti minum sambil menikmati suasana ladang teh di situ. Sebenarnya semasa kami ke sana, kami kurang bernasib baik kerana banyak pokok teh telah dipetik atau dicantas lantas suasana kurang hijau dan tidaklah cantik sangat. Kami bergambar sekejap di situ.

Perjalan turun memang lebih pantas daripada perjalanan naik kami. Bukannya sebab jalan yang menurun yang membuatkan kami laju tetapi kepala kami tidak pening-pening lagi. Kami makan makanan yang sesuai sebelum menempuh selekoh-selekoh tajam di situ. Tiada lagi Dunkin Donuts tetapi Nasi Ayam.

Seperti biasa, perjalanan pulang tidaklah seseronok atau seteruja waktu perjalanan pergi. Penat dan tiada lagi keriangan menikmati keindahan dan kedinginan Cameron Highlands. Kami berjalan terus ke KL kecuali berhenti sekejap di Plaza Tol Tapah untuk menyahut panggilan alam..


Entri terdahulu:
Menyusuri Liku-liku Cameron Highlands Bhgn. I
Menyusuri Liku-liku Cameron Highlands Bhgn. II
Menyusuri Liku-liku Cameron Highlands Bhgn. III
Menyusuri Liku-liku Cameron Highlands Bhgn. IV
Menyusuri Liku-liku Cameron Highlands Bhgn. V

Gambar di Cameron Highlands:
Cameron Highlands Revisited Part I
Cameron Highlands Revisited Part II
Cameron Highlands Revisited Part III

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...