25 Ogos 2008

Datuk Itu Atau Datukku?

Mutakhir ini, semua orang dapat gelaran datuk. Yang dapat cucu itu tidak mengapalah tetapi yang mendapat gelaran Datuk daripada Sultan-sultan ataupun Yang Dipertua Negeri yang ingin kuperkatakan.

Mudah sangat sekarang ini untuk seseorang mendapat gelaran Datuk. Dulu, tidak ramai yang dapat dan apabila kita bertemu seseorang dengan gelaran Datuk, wujud rasa hormat dan mungkin rasa segan. Namun apabila terlalu ramai Datuk, adakah gelaran itu sesuatu yang eksklusif?

Yang muda-muda sekarang sudah mendapat Datuk, tidak seperti dulu-dulu apabila hanya yang dah berumur dan sudah banyak berbakti boleh mendapat gelaran Datuk. Lee Chong Wei dikhabarkan akan mendapat gelaran Datuk dan Misbun Sidek juga akan mendapat Datuk. Bukan kuasaku menentukan seseorang untuk mendapat Datuk, namun apakah kesannya jika terlalu mudah untuk seseorang mendapat gelaran Datuk. Jika hanya menang pingat perak Olimpik sudah mendapat Datuk, maka ramai lagilah dengan mudah mendapat Datuk.

Fikirku Nicol David juga terlalu muda untuk mendapat Datuk. Lihat saja arwah Tan Sri P Ramlee. Anugerah yang diterimanya diberikan sesudah beliau tiada lagi di dunia ini. Dulu, bukan mudah untuk mendapat gelaran. Kini, berapa banyak artis yang bergelaran Datuk.

Memang kuhormati dan kusanjung Sultan-sultan yang mahukan pemberian gelaran ini dibataskan. Sesuatu harus dilakukan supaya seseorang yang mendapat gelaran itu terasa nilai gelaran itu. Jangan jadi seperti Datuk Harry Lee @ Lee Kuan Yew yang langsung tidak peduli gelaran dikurniakan Sultan Johor itu kerana tiada nilainya di tempatnya.

Mungkin hanya para Sultan patut diberikan kuasa mengurniakan gelaran Datuk. Yang Dipertua Negeri yang terdiri daripada kalangan orang biasa pula dikurangkan atau ditiadakan langsung kuasa pengurniaan gelaran Datuk. Lihat sahaja Yang Dipertua Negeri Melaka dulu. Terlalu panjang senarai penerima gelaran Datuk...

Ampun maaf. Patik hanya meluahkan apa yang tersirat di hati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...