20 September 2008

Antara Makan Pakai Tangan Dengan Makan Pakai Sudu

Jikalau kita makan dengan menggunakan tangan di tempat-tempat makan eksklusif seperti di restoran-restoran besar ataupun hotel-hotel, seringkali kita merasa malu. Kelihatannya agak kolot dan tidak tahu menjaga adab makan. Namun, adakah pendapat sebegini benar?

Bukankah menggunakan tangan merupakan adat ataupun lebih tepat lagi kemahiran turun-temurun kita? Adakah salah jika menggunakan tangan semasa makan sekeluarga di kampung?

Yang mula-mula mempelopori ‘adab’ makan ini adalah orang-orang Barat. Mereka mencipta tatasusila menghadap makanan berasaskan budaya mereka. Tangan mana harus memegang sudu, tangan mana mesti memegang garfu ataupun pisau. Sudu untuk menikmati makanan berlainan juga tidak sama dan malah ada makanan yang tidak boleh dimakan dengan menggunakan sudu dan garfu.

Semasa zaman penjajahan dan setelah mereka sudah mula-mula maju ke depan berbanding tamadun lain, mereka menyebarkan cara pemakanan mereka ini ke serata dunia. Kita pula bulat-bulat menerima apa yang mereka ajar dan apa cara berlainan termasuk budaya kita sendiri dianggap sebagai tidak sesuai dan kolot. Mudahnya kita dipengaruhi orang.

Kalau diamati cara-cara pemakanan, orang-orang yang tinggal di kawasan sejuk tidak makan dengan menggunakan tangan. Mereka menggunakan alat-alat tertentu untuk menyuap makanan ke mulut mereka. Manakala orang yang tinggal di kawasan panas berhampiran Khatulistiwa, mereka secara tradisi makan dengan menggunakan tangan.

Orang-orang Barat makan dengan menggunakan sudu dan garfu. Orang-orang Asia Utara termasuklah China, Jepun, Korea dan Mongolia makan dengan menggunakan chop stick. Mengapa? Orang-orang yang tinggal di kawasan sejuk harus makan makanan panas untuk memanaskan badan. Jadi, mereka tidak boleh menggunakan tangan. Sebaliknya sesuatu alat mesti digunakan untuk mengambil makanan yang masih panas dan disuap ke mulut.

Orang-orang yang tinggal di kawasan panas seperti Asia Tenggara, Asia Selatan ataupun Timur Tengah pula tidak perlu memakan makanan panas kerana keadaan sekeliling sudahpun panas. Mereka boleh membiarkan makanan itu agak suam dahulu dan makan dengan menggunakan tangan mereka sendiri.

Jadi, cara pemakanan ini terevolusi dari keadaan sekeliling dan budaya setempat. Masing-masing punya cara tersendiri. Mengapa pula perlu merasa malu jika kita menggunakan tangan jika makan di khalayak ramai? Mungkin ada yang menyentuh bab kebersihan namun bukankah tangan boleh dibasuh? Ahli sains telah membuat kajian yang tangan kita merembeskan sejenis enzim yang dapat membantu penghadaman ketika kita makan menggunakan tangan. Makan dengan tangan juga merupakan satu kemahiran yang tidak semua orang tahu, sama seperti menggunakan sudu ataupun chop stick.

Kalau orang Jepun bangga dengan makan di meja teh dan duduk di atas lantai, adakah kita mahu mempelopori cara makan sambil bersila ataupun bersimpuh dan duduk di atas tikar mengkuang? Kalau ada yang membantah menggunakan tangan, suruh saja mereka itu cuba menggunakan tangan. Ini satu kemahiran, adakah mereka boleh juga? Kenapa kita tidak dapat menjalankan hak kita?!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...