20 November 2008

Berakhirnya The Amazing Race Asia 2008

Berakhir sudah. Tahniah kepada Sam and Vince kerana memenangi The Amazing Race Asia. Sungguh senang melihat mereka menang. Bagiku, mereka adalah pasukan 'neutral' dan mereka memang berhak menang.

Sebenarnya sepanjang perlumbaan, semestinya aku dari Malaysia, aku menyokong pasukan-pasukan dari Malaysia - Ida & Tania dan Henry & Bernie. Pun begitu, aku memilih menyokong Ida & Tania. Entahlah, mungkin perwatakan ceria dan gila-gila mereka yang menarik perhatianku. Di dalam perlumbaan terakhir itu, aku memang berharap Ida dan Tania dapat memenangi perlumbaan. Walau bagaimanapn, nasib tidak menyebelahi mereka. Terperangkap di dalam pasir gurun dan terlepas penerbangan memang sesuatu yang mahal yang harus dibayar.

Semenjak beberapa episod terakhir, secara peribadi aku memang benci pasangan dari Filipina itu, Geoff dan Tisha. Geoff sungguh berlagak dan tiada semangat kesukanan. Seringkali berada di hadapan, dia memang penuh dengan sikap besar diri dan terlalu yakin. Mereka adalah satu-satunya pasukan yang membuli pasukan-pasukan lain. Di dalam satu episod, mereka membuatkan Henry & Bernie terpaksa menunggu lama. Di dalam episod yang lain, mereka telah membuatkan pasangan paling tenang, AD & Fuzzie membuat pusingan U. Jikalau aku di tempat mereka, disebabkan penat dan tertekan, mungkin aku sudah menumbuk muka Geoff. Selamat, mereka tak menang! Aku sebenarnya kagum dengan pasangan AD & Fuzzie yang mampu pergi sejauh itu sungguhpun mereka adalah satu-satunya pasukan yang tidak pernah berlari!

Ingin kuberikan beberapa komen berkenaan beberapa kesalahan yang dilakukan para peserta semasa perlumbaan terakhir itu. Semasa aktiviti di padang pasir di mana peserta mesti menarik unta-unta masuk ke dalam kandang, Vince telah melakukan satu kesilapan. 'Shuh' adalah bahasa sejagat antara manusia dan haiwan yang bermaksud untuk menghalau atau 'pergi'! Bila dia berkata 'shuh', itu bermaksud seoalah-olah dia mahu menghalau unta-unta itu walaupun di tangannya dia masih memegang tali unta tersebut. Oleh kerana itulah kita dapat melihat unta-unta seperti mahu melarikan diri.

Kesilapan terakhir yang terbukti amat berharga nilainya terhadap pasangan Filipina ialah tidak menggunakan tenaga yang seimbang semasa berkanu. Para pendayung biasanya mendayung di satu sisi dan diikuti dengan sisi yang lain. Jika bermula di sebelah kanan, diikuti pula dengan sebelah kiri. Mereka bagaimanapun tidak mengikut cara ini dan berdayung di dalam satu bulatan adalah kesilapan biasa seseorang yang baru atau tidak berpengalaman lakukan. Terlalu banyak tenaga dikenakan di satu sisi, umpamanya orang tangan kanan mengenakan terlalu banyak tenaga di sebelah kanan tetapi kurang di sebelah kiri, juga boleh menyebabkan kanu berpusing.

Walau bagaimanapun, perlumbaan telah berakhir. Tahniah kepada semua peserta kerana mendapat pengalaman yang sangat berharga dan sudah tentu dapat melancong ke beberapa negara secara percuma. Harap dapat melihat satu perlumbaan yang lebih mencabar tahun depan!

2 ulasan:

  1. heheh gempak gak la malaysian. aku ingat diaorang boleh menang. hehe :)

    BalasPadam
  2. the most boring TARA ever!
    semua cepat mengaku kalah....

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...