06 November 2008

Di Sebalik Biodata Obama

Setelah ramai pesimis bahawa Obama bakal memenangi jawatan Presiden Amerika Syarikat, kini semuanya terpaksa menelan ludah sendiri kerana rakyat Amerika berani membuat perubahan. Siapa sangka seorang yang berkulit hitam mampu merebut jawatan yang dianggap terkuat dan terpengaruh di maya pada ini. Namun, adakah juga Obama dipilih kerana sungguhpun berkulit gelap, beliau sebenarnya adalah separuh hitam dan separuh putih kerana ibunya berkulit putih? Entahlah..

Obama dilahirkan pada tahun 1961 hasil perkahwinan antara bapanya, Barack Hussein Obama Sr. yang berasal dari Kenya dengan Ann Dunham dari Kansas. Ibubapanya bertemu ketika belajar di Hawaii. Umum mungkin tertarik dengan nama tengah Obama dan juga bapanya iaitu Hussein. Nama itu adalah sebuah nama Islam dan bagaimana pula boleh berada di dalam nama seorang yang beragama Kristian?

Sebenarnya, bapanya dilahirkan oleh sebuah keluarga Islam di Kenya namun bapanya tidak mempratikkan ajaran Islam dan Obama sendiri menggambarkan bapanya seorang atheist iaitu tidak mempercayai kewujudan Tuhan. Manakala ibunya pula tidak mengamalkan ajaran Methodist dan Baptist bagi seorang Kristian. Jadi, yang ada padanya hanyalah sebuah nama.

Setelah rumahtangganya gagal pada tahun 1963, bapa Obama, Barack Hussein Obama Sr. pulang semula ke Kenya. Obama hanya sempat bertemu bapanya sekali sahaja sebelum bapanya meninggal akibat kemalangan jalanraya pada tahun 1982. Manakala ibunya, Ann Dunham berkahwin pula dengan seorang pemuda Indonesia, Lolo Soetoro yang juga dikatakan seorang Islam. Obama mengikut ibu dan bapa tirinya ke Indonesia pada tahun 1967. Namun suami baru Ann ini juga tidak mengambil berat tentang hal-hal agama. Di Indonesialah, Obama mendapat pendidikan tempatan termasuk pendidikan Islam.

Pada usia 10 tahun, pada tahun 1971, Obama dihantar ibunya balik ke Hawaii untuk tinggal bersama datuk dan neneknya. Ibunya pulang semula ke Indonesia pada tahun 1972 untuk menghabiskan kerja lapangan kedoktorannya. Bagaimanapun ibunya meninggal pada tahun 1995.

Sejak detik itulah bermula zaman malap Obama. Akibat keruntuhan rumahtangga dan ketidakpedulian keluarganya, ditambah pula dengan kelonggaran pegangan agama, Obama mula berjinak-jinak dengan dadah dan alkohol. Namun hasil bimbingan datuk dan neneknya yang masih ada, Obama berjaya melanjutkan pengajiannya ke peringkat tertinggi. Beliau merupakan seorang siswa yang pintar dan aktif dalam kegiatan luar termasuk memegang jawatan pengarah projek komuniti yang berasaskan gereja.

Dari situlah Obama yang terumbang-ambing hidupnya mula mendekati ajaran Kristian. Beilau pernah menulis sebuah buku, In The Audacity of Hope yang diinspirasikan daripada khutbah seorang paderi yang membimbingnya.

Itulah dunia Obama, sebuah dunia yang biasa terutamanya di negara-negara Barat yang mana rata-ratanya sudah memisahkan agama dari kehidupan seharian. Bukan sahaja orang Kristian sendiri, malah banyak orang-orang Islam juga yang meninggalkan ajaran agama. Obama pula 'bernasib baik' setelah mendapat 'hidayat' untuk memperbetulkan arah tuju kehidupannya. Cuma kita berharap supaya tidak ramai 'Obama' di sana - tersesat dari jalan yang lurus, mahu mencari jalan yang lurus namun ketemu jalan yang tidak lurus.

Umum mengharapkan Obama lebih terbuka dengan isu-isu yang membelenggu dunia terutamanya isu Palestin-Israel, ibu segala kekacauan sejagat. Dengan latarbelakang yang penuh warna, beliau diharap mampu mengubahnya. Namun, aku masih sangsi itu bakal berlaku. Beliau hanya 'melihat dunia' setelah dewasa manakala zaman kanak-kanaknya masih kabur. Tidak semudah itu perubahan bakal berlaku. Masih ada tangan yang memegang telunjuk Obama. Sudah pasti.

1 ulasan:

  1. dah berisi ye....tahniah...tak lama lagi masuk le kau kelab bapak2...dan juga kelab tak tido malam (pasal nak kena layan anak nangis tgh malam)....ehehhee

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...