14 November 2008

Jangan Kedekut...

Hari ini sewaktu mendengar khutbah Jumaat, seperti biasa ada seorang budak membawa 'tupperware' yang sudah terisi dengan duit ke saf-saf untuk menerima sumbangan para jemaah. Aku dah bersedia untuk memberikan sumbanganku yang tak seberapa ini namun dia tidak sampai di depanku kerana di sebelahku ada seorang jemaah lain sedang bersolat sunat. Terlepas aku. Tidak apa, lain kali sajalah.

Teringat pula aku tentang jumlah sumbangan yang diberikan orang ramai kepada masjid-masjid atau surau-surau setiap kali ke sana. Semasa kecil dulu, 20 atau 50 sen sudah cukup. Pada masa itu, jumlah kutipan memang sudah memadai buat membayar bil air dan elektrik. Lagipun kos sara hidup pada masa itu tidaklah setinggi hari ini manakala orang-orang kampung pula bukanlah orang-orang yang berada.

Tahun demi tahun, jumlah sumbangan naik. Namun pertambahan sumbangan itu tidaklah setimpal dengan pertambahan pendapatan dan gaya hidup. Rakyat Malaysia semakin senang hidup sekarang. Sungguhpun ramai merungut tentang kenaikan kos barang makanan dan tol-tol lebuhraya, tidaklah hidup mereka melarat sampai terpaksa menebus rumah dan kereta yang dibeli.

Kalau dulu hanya naik motosikal, kemudian memandu Kancil dan seterusnya memandu Proton. Sekarang pula memandu Toyota ataupun Honda. Di dalam hati ada menyimpan untuk memandu BMW atau Mercedes pula. Kalau dulu semasa naik motosikal, sumbangan ke masjid-masjid atau surau-surau adalah seringgit, kini setelah memandu Toyota atau Honda, masih seringgit itulah yang disumbangkan.

Kenapa warna duitnya tidak berubah? Bila nak bertukar ke merah ataupun paling kedekut pun warna hijau? Kalau mampu makan makanan segera paling tidak RM10 harganya, kenapa tidak sumbangan ke masjid atau surau sejumlah itu juga? Kenapa kalau kita sanggup bertemu kawan di KLCC, mengharung beberapa tol, bayaran meletak kereta sekurang-kurangnya RM5, belum masuk lagi harga segelas minuman sekurang-kurangnya RM8, kenapa tidak?

Fikirku, RM5-lah yang paling kedekut pun...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...