01 Disember 2008

Kembara ke Vietnam Bhgn. I

16 Jun 2008

Memang teruja setelah mendapat tahu yang aku bakal ke Vietnam. Tidak pernah kujejak negara yang sedang pesat bangkit daripada perang ini. Yang kutahu hanyalah semasa kecil dulu orang Vietnam adalah orang pelarian dan mereka duduk berlindung di sebuah pulau yang dikhaskan untuk mereka di Terengganu iaitu Pulau Bidong. Orang-orang tempatan memanggil mereka orang hanyut. Sebuah gambar perang yang masyhur masih lagi kuingat di mana seorang kanak-kanak perempuan berbogel lari ketakutan.

Teringat juga kisah seorang pekerja di pelantar minyak dulu menceritakan saat bermulanya kerjaya beliau, beliau ternampak seorang ibu memangku bayi kecil menangis sambil ibunya terkapai-kapai di permukaan laut setelah bot yang dinaiki terlanggar tiang pelantar minyak. Tertekan dan terdesak oleh keadaan, ibu malang itu telah mencampakkan bayinya ke laut. Bayinya lantas hanyut dan tenggelam di laut biru. Lenyap ditelan tangkupan air laut ganas dan tidak kelihatan lagi. Si ibu berterusan mengangis setelah diselamatkan, beliau pula tergamam dan kelu melihat suatu peristiwa menghibakan yang beliau sendiri tidak mahu terlihat di dalam hidup, kalau boleh.

Itulah saat-saat pilu kisah duka Vietnam. Namun kini, segalanya telah berubah. Vietnam terus membangun tanpa menoleh ke belakang lagi. Kalau lama dahulu, orang Vietnam datang sebagai pelarian, tidak lama dulu pula orang Vietnam datang ke Malaysia sebagai pekerja asing, kini pula mereka pulang ke negara asal membangunkan tanah tumpah mereka sendiri.

Perjalanan bermula pagi. Seperti biasa, aku telah awal-awal lagi menempah teksi ke KLIA dengan pemandu teksi yang biasa kunaik. Sudah biasa dengannya aku memulakan perjalanan jam 6.30 pagi. Sampai di KLIA lebih kurang jam 7.30 setelah bersesak-sesak sekejap dengan pengguna jalanraya lain yang mahu ke tempat kerja. Agak malang nasibku kerana rakan sekerja yang membawa e-tiketku tidak kunjung tiba lagi. Dia terperangkap di dalam kesesakan lalulintas. Aku agak resah menunggunya. Maklum saja, penerbangan antarabangsa agak ketat peraturannya apalagi harus melalui pemeriksaan imigresen nanti.

Lalu kutelefon yang lain kalau-kalau mereka sampai. Mereka sebenarnya sudahpun sampai dan sedang menikmati sarapan. Aku tidak mahu turut serta. Urusanku masih belum selesai.

Setelah setengah jam, barulah nampak rakan sekerja itu. Sekarang pula sudah sampai waktu terakhir untuk daftar masuk. Barisan yang beratur pula agak panjang sugguhpun banyak kaunter telah dibuka. Ini kebiasaan di waktu pagi-pagi begini. Aku makin resah. Rakan itu pula terjenguk-jenguk kenapa orang-orang di depan seolah-olah makin perlahan urusan-urusan daftar masuk mereka. Kami berpisah ke dua barisan di dua kaunter berlainan yang mula-mula kami masuk kalau-kalau salah seorang dapat dahulu dan yang seorang lagi boleh menumpang sama untuk daftar masuk. Orang semakin ramai yang menunggu di belakang. Yang di depan pula ada yang mempunyai masalah. Tidak kurang juga yang membawa banyak beg besar yang sudah pasti lambat proses daftar masuk mereka.

Nun di hujung sana, ada sebuah kaunter untuk orang-orang yang terlambat daftar masuk tetapi banyak sangat orang yang sedang berurusan dan banyak juga pesawat-pesawat lain yang mengumumkan panggilan daftar masuk terakhir mereka. Kaunter khas itu juga macam tidak bergerak. Aku tidak tahu untuk berbuat apa lagi.

Sedang mata-mataku ligat melihat sekeliling, kuterpandang seorang pekerja MAS sedang mundar-mandir. Beliau juga orang yang bertanggungjawab mengarah penumpang ke kaunter kosong. Namun tiada kaunter kosong. Beliau pun ada membantu penumpang untuk daftar masuk. Sedang beliau berjalan di sisiku, lantas aku menyapa,

"Boleh tak tolong check in dulu? Kami dah lambat ni. Barisan kat depan pun panjang lagi."

Beliau melihat cetakan e-tiket yang keberikan kepada beliau. Mengangguk, beliau mengarahkan kami mengikut beliau. Lega. Alangkah leganya hatiku ada orang dapat menolong. Beliau membawa kami ke sebuah kaunter kosong dan memproses daftar masuk kami. Akhirnya berjaya juga kami daftar masuk meskipun di saat-saat genting.

Kami berjalan pantas ke pemeriksaan keselamatan. Barisan agak panjang dan kami meminta izin daripada penumpang-penumpang lain yang turut beratur untuk memintas mereka kerana kami sudah lambat. Di pemeriksaan imigresen, kami guna kaunter untuk mengimbas pasport kami kerana lebih cepat. Sebenarnya amat jarang kumenggunakan pengimbas automatik itu kerana memakan masa yang lama. Setelah diimbas pasport, mahu lagi diimbas cap jari. Hendak menunggu pintu terbuka pun lama juga.

Sedang kami berjalan pantas ke pintu penerbangan, kami terserempak dengan rakan-rakan lain yang sudahpun kenyang bersarapan. Ada rasa sedikit kecewa kerana tidak berkesempatan untuk bersarapan yang kosnya sudahpun dimasukkan dengan harga tiket. Tetapi nak buat macam mana, sudah tiada rezeki.

Kami terus masuk ke pesawat yang sudahpun menunggu selepas sampai di pintu penerbangan. Setelah duduk di dalam pesawat, yang kufikir hanyalah makan. Perut sudah lapar setelah saat-saat mencemaskan tadi.

Cuaca hari itu sangat baik. Pesawat terbang lancar dan nun di bawah sana nampak kehijauan bumi Malaysia dengan jelas. Aku mendapat tempat duduk tingkap, sesuai dengan permintaanku. Sedang asyik melihat kehijauan hutan di kawasan banjaran, aku terlihat toporafi kebiruan yang menyerupai tasik. Cantik. Lantas kuambil kamera untuk merakam gambarnya. Telahanku di mana ini selain Tasik Kenyir. Sedang kapal terbang terus bergerak, nampak pula satu garisan putih lurus di yang menghubungkan dua gunung. Di satu sisi nampak biru tasik itu dan di sisi lain pula nampak kehijauan hutan yang terbelah oleh satu garisan biru halus tempat air mengalir. Sudah tentu itu adalah empangan hidro Kenyir yang pernah kulawati dulu.

From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Pemandangan Tanah Tinggi Terengganu dari atas.


From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Pemandangan Tasik Kenyir, Terengganu dari atas.


Telahanku memang tepat kerana beberapa minit selepas itu, juruterbang membuat pengumuman yang kapal terbang sedang terbang di ruang udara Bandaraya Kuala Terengganu. Dia memberitahu pemandangan cantik bandaraya Kuala Terengganu yang terletak di muara sungai berada di sebelah kanan. Aku pula tidak dapat melihat kerana duduk di sebelah kiri pesawat.

Walau bagaimanapun, aku juga punyai peluang lain. Beberapa minit selepas itu, nampak pasir memutih di sekitar Merang, Setiu yang disentuh oleh garisan-garisan putih ombak yang menghempas pantai. Suatu pemandangan cantik. Sedang leka menangkap gambar, kuternampak pula sebuah pulau yang dikelilingi pasir memutih. Di air yang cetek, nampak airnya biru kehijauan. Dasar laut yang menguning juga jelas kelihatan. Fikirku itu adalah Pulau Bidong. Rasa macam kebetulan pula. Hendak pergi ke Vietnam, ternampak pula Pulau Bidong. (Namun setelah pulang semula ke tanah air dan diperiksa dalam Google Earth, rupanya pulau itu adalah Pulau Redang!)

From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Pemandangan salah satu pesisir pantai Terengganu di Pantai Merang


From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Pemandangan keseluruhan Pulau Redang, Terengganu dari atas


Sedang aku ghalit menikmati pemandangan cantik di bawah, sarapan pagi sampai. Terlupa pula aku ini sudah pun lapar. Setelah makan, sedang aku berehat, nampak pula kawasan tanah setelah pesawat kami melalui kawasan kebiruan laut. Nampak sungai-sungai yang besar yang airnya berwarna seperti air teh. Di sepanjang tebingnya nampak ada kawasan petempatan. Di kawasan jauh sedikit dari gigi air, nampak kehijauan petak-petak sawah yang memanjang yang warna hijaunya pelbagai jenis warna hijau. Tidak kutahu sama ada itu sudah pun Vietnam ataupun Kemboja.

..bersambung..


From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Pesawat mula terbang di ruang udara Viet Nam


From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Sungai yang luas di Viet Nam


From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Kawasan pertanian dan sungai di Viet Nam


From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Kawasan sawah padi di Viet Nam


From Vietnam Trip - Ho Chi Minh City

Petempatan semakin padat di Viet Nam

1 ulasan:

  1. jalan2 je keje eh...jeles aku...bagi le nasihat sikit aku nak ke singapore esok pagi. apa nak buat kat sana..?

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...